Website counter
Showing posts with label Tesis. Show all posts
Showing posts with label Tesis. Show all posts

Thursday, December 8, 2011

Proposal tesis

BAB 1

PENGENALAN

1.1 PENDAHULUAN

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mula ditubuhkan pada 1 Julai 1956 dan mula beroperasi apabila Akta Pembangunan Tanah 1956 yang dahulunya dikenali sebagai Ordinan dikuatkuasakan. Matlamat penubuhan FELDA ini adalah berperanan untuk melaksanakan projek pembangunan tanah dan membimbing serta menyelaraskan kegiatan sosioekonomi di kawasan FELDA.[1] Penubuhan FELDA ini dicetuskan oleh usaha Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein. Cetusan idea beliau sewaktu memegang jawatan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar ini seterusnya telah menjadi titik tolak untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu di luar bandar. Penubuhan FELDA berfungsi sebagai satu agen pemulihan, penyatuan dan pembangunan tanah di kawasan luar bandar.[2]

1.2 PERMASALAHAN KAJIAN

FELDA ditadbir dan diuruskan oleh sekurang-kurangnya 20 kakitangan FELDA yang terlatih. Bidang pengurusan dan pentadbiran meliputi aspek-aspek polisi, pemasaran tanaman, penanaman tanaman, menjaga tanaman, menyusun pekerja, hal-ehwal dan pembangunan komuniti dan membantu peneroka menyesuaikan diri dengan kehidupan yang dirancang.[3] Permasalahan pertama kajian ialah berkaitan dengan perubahan-perubahan yang berlaku di FELDA Sri Ledang (FSL) yang telah memberikan kesan terhadap penduduknya. Di samping itu penilaian yang ingin dilihat ialah sejauh manakah elemen-elemen dalam dan luar turut memberikan impak kepada perkembangan FSL. Selain itu, kajian yang ingin dilihat adalah mengenai kelebihan atau keunikan yang ada di kawasan FSL ini sehingga ditubuhkan sebuah tanah rancangan FELDA.

1.3 KAJIAN LEPAS

Sebelum membuat penulisan, beberapa sumber rujukan dikaji untuk mengolah penulisan yang akan dihasilkan. Dalam buku bertajuk Petempatan FELDA Perspektif Perancangan Bandar dan Desa yang telah dihasilkan oleh Sulung Mohamad. Rujukan ini mengenai pembangunan penempatan FELDA dari aspek perancangan bandar dan desa. Selain itu, sumber ini membincangkan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat desa di Malaysia yang membawa kepada pembentukan FELDA 1956 dan seterusnya kepada penubuhan penempatan FELDA. Konteks yang turut dibincangkan juga mengenai peranan perancangan fizikal adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dan peluang yang sesuai untuk mencapai matlamat dirancang FELDA. Aspek ekonomi dan sosial juga turut dibincangkan. Namun dalam kajian yang dilakukan, penulis didapati kurang memberi contoh terhadap kawasan FELDA. Melalui rujukan ini telah dapat membantu menghasilkan penulisan dari segi latar belakang penubuhan FELDA dan aspek sosioekonomi masyarakat peneroka.

Sebelum membuka satu penempatan rancangan FELDA beberapa proses perlu dilalui terlebih dahulu sehinggalah kepada penubuhan penempatan kawasan FELDA. Hal ini dibuktikan dalam rujukan bertajuk Pembangunan dan Persekitaran Semenanjung Malaysia ditulis S. Robert Aiken dan telah diterjemahkan oleh Sulung Mohamad. Hal ini dibuktikan dalam bab Pembangunan Desa Selepas Merdeka: Agen-agen Perubahan. Pembangunan yang dilakukan secara berperingkat membolehkan pihak yang terlibat mengkaji keadaan persekitaran tempat, tanih nya, hidrologi hinggalah kepada pembersihan kawasan.[4] Rujukan ini juga akan membantu penulisan untuk menerangkan ciri-ciri penempatan dan penggunaan tanah.

Masalah yang sering dihadapi oleh pengurusan FELDA ialah disebabkan kekurangan tenaga belia yang proaktif. Tenaga belia sangat diperlukan untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi FELDA. Terdapat beberapa faktor penyebab kekurangan tenaga belia. Hal ini dibuktikan merujuk kepada sumber bertajuk Migrasi Keluar Generasi Kedua dan Dampaknya Terhadap Sosioekonomi Masyarakat FELDA oleh kajian Asan Ali Golam Hassan dan Hassan Ali dari Universiti Utara Malaysia. Kajian ini boleh dilihat dalam dalam buku bertajuk Penilaian Dampak Sosial oleh Mohd Razali Agus dan Yahaya Ibrahim. Dalam kajian ini menceritakan tentang faktor-faktor penghijrahan keluar generasi kedua daripada kawasan FELDA masing-masing. Dua faktor yang diselidik iaitu faktor penolak dan faktor penarik.

Salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya migrasi keluar masyarakat FELDA ialah kerana mahu terlibat dalam pekerjaan kilang. Hal ini dibuktikan dalam rujukan berkaitan Kajian Proses Industrialisasi Luar Bandar: Impak terhadap Komuniti di Tanah Rancangan FELDA oleh kajian Yahaya Ibrahim dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian ini diperoleh di dalam buku Impak Pembangunan Kualiti Hidup dan Persekitaran oleh Lukman Z. Sesetengah masyarakat FELDA tidak mahu terlibat dalam sektor pertanian. Telah berlaku proses transformasi dari sektor pertanian kepada perindustrian. Perkara ini telah membawa impak sosial dan ekonomi terhadap masyarakat FELDA. Oleh itu, strategi pembangunan semula kawasan FELDA telah dilakukan. Contohnya seperti FELDA Sungai Buaya dan FELDA Sungai Behrang.

Berdasarkan daripada rujukan kajian lepas, didapati penekanan hanya terhadap ekonomi dan sosial secara umum sahaja tanpa mengaitkan dengan peranan pihak pengurusan FELDA. Turut dihuraikan berkaitan dengan impak industri, kesan transformasi ekonomi dan ciri-ciri penempatan FELDA. Oleh itu, berdasarkan sumber rujukan lepas yang telah dikaji, penulisan yang akan dihasilkan pula adalah mengenai pertumbuhan dan perkembangan FELDA di daerah Segamat yang akan memberikan tumpuan kepada satu FELDA iaitu FELDA Sri Ledang.

1.4 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif pertama penulisan ini ialah untuk melihat sejauh manakah bahawa masyarakat FELDA walaupun berada dalam kawasan luar bandar namun masih boleh berkembang maju dari segi ekonomi malahan dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara. Kajian ini juga bagi memperlihatkan bahawa masyarakat FELDA juga mampu untuk berdaya saing dan menjadi contoh bagi masyarakat kampung tradisional yang lain, malahan menjadi contoh kepada negara luar.

Selain itu, objektif penulisan ini seterusnya ialah supaya dapat membetulkan serta mengubah persepsi sesetengah pihak yang menganggap ramai dalam kalangan belia di FELDA yang terlibat dengan aktiviti sosial dan budaya negatif yang menjejaskan kehidupan mereka. Sering kali apabila dibicarakan tentang isu penagihan dadah dianggap sudah sinonim dengan golongan FELDA. Oleh itu, penulisan ini diharapkan dapat membuktikan kepada masyarakat luar bahawa golongan belia FELDA mampu menjadi belia harapan negara.

Objektif seterusnya ialah bertujuan untuk mengumpul serta mewujudkan sumber-sumber dan idea baru untuk dijadikan bahan rujukan generasi akan datang. Selain itu, usaha menghasilkan sumber baru ini juga sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengerakkan usaha-usaha memperkenalkan FSL kepada pembaca.

1.5 SKOP KAJIAN

Fokus kajian yang akan dijalankan adalah mengenai pertumbuhan dan perkembangan FELDA di daerah Segamat. Namun fokus utama ialah di kawasan FSL. Penulisan ini ingin memperlihatkan sama ada berlakunya perkembangan atau sebaliknya semenjak FELDA ini ditubuhkan. Aspek perkembangan ini dilihat dari segi keadaan sosial dan ekonomi terhadap peneroka FELDA. Walaupun fokus utama melihat kepada FSL, namun beberapa perbandingan akan dibuat merujuk kepada beberapa FELDA yang ada dalam daerah Segamat. Penulisan ini akan memberi tumpuan bermula dari tahun 1968 sehinggalah kepada tahun 2011. Hal ini kerana ingin melihat satu perubahan yang berlaku sejak FSL ini ditubuhkan bermula tahun 1968 sehinggalah sekarang.

1.6 METODOLOGI KAJIAN

Bagi mengolah penulisan, beberapa kaedah telah digunakan untuk mengukuhkan penulisan dihasilkan. Kaedah rujukan perpustakaan banyak membantu mendapatkan sumber sekunder. Penyelidikan secara kualitatif menjadi sebagai asas untuk penulisan. Oleh itu, hasil kajian akan dihuraikan secara deskriptif berdasarkan data-data yang diperoleh dan dikumpul melalui sumber primer dan sekunder. Sumber-sumber data primer ini boleh diperoleh melalui Arkib Negara Malaysia dan Pejabat Daerah Segamat. Manakala sumber-sumber sekunder diperoleh dengan merujuk jurnal, buku-buku berkaitan FELDA dan artikel-artikel diperoleh di perpustakaan. Pendekatan secara deskriptif digunakan dalam mengukuhkan dan mengolah maklumat yang akan diperoleh selepas kajian yang akan dijalankan.

Maklumat kajian meliputi sumber primer daripada kaedah temu bual dan pemerhatian. Temu bual dan pemerhatian adalah dua strategi yang digunakan oleh pengkaji untuk mendapat dan mengumpulkan maklumat. Maklumat diperoleh oleh pengkaji melalui temu bual yang dijalankan kepada responden yang menjadi peneroka di FSL. Jenis temu bual yang akan dijalankan oleh pengkaji ialah temu bual jenis semi berstruktur di mana item-item soalan dalam temu bual ditentukan terlebih dahulu oleh pengkaji tetapi jawapan kepada soalan-soalan tersebut adalah terbuka, boleh dikembangkan mengikut budi bicara pengkaji dan responden.[5]

1.7 RUMUSAN BAB

Bagi memudahkan pembacaan penulisan ilmiah ini, penyelidik akan membahagikan penulisan kepada beberapa bab. Secara keseluruhannya, penulisan ini mengandungi lima bab. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan penulisan yang lebih teratur bagi memudahkan kefahaman pembaca untuk memahami keseluruhan isi penulisan. Bagi bab 1 adalah mengenai pengenalan kepada penulisan yang ingin dihuraikan.

Terlebih dahulu di dalam bab 2, penulisan ini akan menjelaskan berkaitan dengan latar belakang Segamat dan FELDA di Malaysia. Beberapa aspek utama seperti matlamat dan konsep penubuhan FELDA akan dibincangkan dalam bab ini. Penulisan ini juga turut memperjelaskan mengenai kriteria-kriteria yang dipilih yang perlu ada di sesuatu kawasan untuk didirikan sebuah penempatan. Selain itu, penyelidik juga menerangkan berkenaan dengan asal usul Segamat dan sejarahnya. Tidak ketinggalan juga dalam bab ini mengungkap sejarah FSL sebagai salah satu FELDA yang telah dipilih dalam penulisan ini.

Dalam bab 3, penulisan akan menghuraikan berkenaan dengan perkembangan sosioekonomi FSL. Selain itu, penulisan akan membincangkan mengenai struktur penempatan di FSL ini di samping menjelaskan kriteria pemilihan kawasan penempatan tanah rancangan FELDA. Penulisan juga akan memperlihatkan peringkat-peringkat bagi sesebuah tanah rancangan FELDA yang akan diterokai.

Pada bab 4 pula akan mempamerkan anjakan dan perubahan sosioekonomi masyarakat di FSL. Selain itu, aspek yang dibincangkan juga akan menyentuh mengenai keistimewaan yang terdapat di FSL. Salah satunya ialah pengekalan warisan seni yang masih terpelihara. Di samping itu penulisan akan menjelaskan berkaitan dengan bentuk-bentuk perubahan menyentuh aspek sosioekonomi masyarakat di FELDA itu.

Manakala di akhir bab iaitu bab 5 pula akan membincangkan keseluruhan hasil kajian dalam penulisan yang dilakukan. Hasil penulisan ini memperlihatkan reaksi masyarakat terhadap penubuhan FELDA. Secara kesimpulannya tidak semua hasil kajian ini menonjolkan reaksi positif masyarakat kerana terdapat beberapa pandangan mengenai corak pentadbiran dan sebagainya. Justeru penulisan ini diharapkan dapat menjawab permasalahan kajian yang dibincangkan.

1.8 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, diharapkan kajian ini akan memberikan satu perspektif baru terhadap masyarakat FELDA. Jika selama ini masyarakat FELDA sering dianggap sebagai ketinggalan, namun dengan adanya penulisan ini diharapkan dapat mengubah tanggapan tersebut berdasarkan kepada bentuk perubahan yang akan dijelaskan. Dengan adanya penulisan ini, maka telah mewujudkan satu sumber bacaan baru kepada masyarakat yang akan mendalami kehidupan masyarakat di FELDA.



[1] Zunaidah Zainon (2010, Disember 29). Tidak timbul konflik Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. FELDA aspirasi glokal. Hlm. 8.

[2] Mohd. Taib Hj. Dora. (1993). Agihan pembangunan: Teori pelaksanaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 44.

[3] Ibid., Hlm. 158.

[4] S. Robert Aiken et.al. (1994). Pembangunan dan persekitaran di Semenanjung Malaysia (Sulung Mohamad, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 161.

[5] Othman Lebar. (2007). Penyelidikan kualitatif, pengenalan kepada teori dan metod. Tanjong Malim, Perak : Universiti Pendidikan Sultan Idris. Hlm. 122.

Muka depan tesis

PERTUMBUHAN PERKEMBANGAN FELDA DI DAERAH SEGAMAT: TUMPUAN KEPADA FELDA SRI LEDANG

NURSUHADAH BINTI MOHAMAD RAMDZAN

D20081032686

LATIHAN ILMIAH INI DIKEMUKAKAN UNTUK MEMENUHI SYARAT PENGAJIAN IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN (SEJARAH): JABATAN SEJARAH, UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

JABATAN SEJARAH

FAKULTI SAINS KEMANUSIAAN

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

SESI 2011

Pendahuluan TESIS

PERAKUAN

“Saya akui ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali ringkasan dan nukilan yang tiap-tiap satunya telah saya jelaskan sumbernya”

09022012 Damianasyazana ;)

________________ _________________

Tarikh Nama Penulis

_________________

Nombor Matrik

TUNTUTAN PIHAK KETIGA

Projek Ilmiah ini disediakan bagi memenuhi tuntutan sebahagian daripada syarat keperluan pengijazahan Sarjana Muda Pendidikan Sejarah oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pihak Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris tidak bertanggungjawab atas sebarang tuntutan dari pihak ketiga yang berhubung kait dalam penyediaan Projek Ilmiah ini.

DEDIKASI

Latihan Ilmiah ini istimewa

Kepada

Ayah, Ibu, Keluarga dan insan tersayang

Semua penduduk FELDA Sri Ledang

PENGHARGAAN

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia Nya dapat juga saya menyiapkan Latihan Ilmiah ini yang telah saya usahakan selama ini bertajuk, Pertumbuhan FELDA di daerah Segamat: Tumpuan kepada FELDA Sri Ledang. Latihan Ilmiah ini amat penting buat saya memandangkan ini merupakan syarat keperluan pengijazahan Sarjana Muda Pendidikan Sejarah oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada individu yang banyak membantu saya sepanjang saya menyiapkan tugasan. Pertama sekali kepada Dr. Adnan bin Jusoh, pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris dan selaku penyelia kepada Latihan Ilmiah ini yang banyak memberikan tunjuk ajar dan semangat sepanjang saya menyiapkan Latihan Ilmiah ini. Sekalung jutaan terima kasih juga kepada Dr. Nabir bin Abdullah, pensyarah di Jabatan Sejarah juga pengajar kepada kursus Penyelidikan dan Penulisan Sejarah (HSR 3023), kerana telah banyak memberi panduan dan nasihat untuk saya menghasilkan penulisan sejarah yang berkualiti.

Seterusnya tidak lupa juga kepada kedua ibu, bapa saya kerana memberikan dorongan dan sokongan kepada saya sepanjang proses saya menyiapkan Latihan Ilmiah ini. Terima kasih juga kepada ibu bapa yang telah banyak memberikan bantuan dari segi kewangan kepada saya.

Tidak lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama berhempas pulas dalam menyempurnakan Latihan Ilmiah masing-masing. Bantuan kalian dari segi informasi terkini mengenai Latihan Ilmiah amat saya hargai. Budi kalian yang sanggup membantu saya mencari maklumat tidak akan saya lupakan.

Akhir sekali terima kasih kepada semua penduduk di FELDA Sri Ledang yang telah banyak memberikan kerjasama yang baik dan memuaskan untuk saya mengumpulkan maklumat. Jutaan terima kasih sekali lagi kepada pihak yang terlibat dalam membantu saya secara langsung atau tidak langsung sepanjang saya menghasilkan Projek Ilmiah ini.

ABSTRAK

Kajian ini memfokuskan tentang pertumbuhan FELDA di daerah Segamat yang memberikan tumpuan kepada FELDA Sri Ledang. FELDA di Malaysia mula ditubuhkan setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu pada tanggal 1 Julai 1956. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ini mula beroperasi apabila Akta Pembangunan Tanah 1956 mula dikuatkuasakan. Objektif kajian ini ialah untuk mengumpul dan mewujudkan sumber-sumber serta idea baru untuk dijadikan bahan rujukan generasi akan datang. Selain itu, usaha menghasilkan sumber baru ini juga sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengerakkan usaha-usaha memperkenalkan FELDA Sri Ledang kepada pembaca. Selain itu kajian ini juga bertujuan untuk memperlihatkan peningkatan dan perubahan yang berlaku dari FELDA Sri Ledang mula ditubuhkan pada 1968 sehingga sekarang. Dalam menghasilkan kajian ini pengkaji penyelidik telah menggunakan kaedah temu bual sebagai sumber pertama untuk mendapatkan maklumat di samping kaedah-kaedah lain yang turut digunakan. Hasil kajian mendapati bahawa telah berlakunya perubahan yang ketara sejak FELDA Sri Ledang ini mula ditubuhkan. Perubahan ini dilihat selaras dengan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat penubuhan FELDA iaitu membasmi kemiskinan dalam mempertingkatkan tahap sosioekonomi penduduk luar bandar. Di samping itu juga, FELDA ini dilihat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

ABSTRACK

This study focuses on growth in Segamat FELDA, which focused on FELDA Sri Ledang. FELDA in Malaysia was established a year before the country achieved independence on July 1, 1956. Federal Land Development Authority (FELDA) commenced operations on the Land Development Act 1956 came into force. The objective of this study is to collect and create resources and new ideas to make the next generation of reference materials. In addition, the production of new resources is also to some extent can help in mobilizing efforts to introduce the reader FELDA Sri Ledang. In addition this study also seeks to show improvement and the changes from the FELDA Sri Ledang was established in 1968 to the present. In this study the researchers to produce researchers have used the interview method as the first source for information in addition to other methods were also used. The study finds that there has been significant change since FELDA Sri Ledang was first established. These changes are seen in line with government efforts to achieve the goal of eradicating poverty FELDA establishment in enhancing socio-economic level of rural population. In addition, FELDA is seen to have its own special qualities.

ISI KANDUNGAN HALAMAN

Dedikasi iii

Penghargaan iv

Abstrak vi

Abstrack vii

Senarai Lampiran xi

Senarai Singkatan xii

BAB 1 PENGENALAN

1.1 Pendahuluan 1

1.2 Permasalahan kajian 2

1.3 Kajian lepas 3

1.4 Objektif kajian 5

1.5 Skop Kajian 6

1.6 Metodologi kajian 7

1.7 Rumusan bab 8

1.8 Kesimpulan 10

BAB 2 LATAR BELAKANG SEGAMAT DAN

FELDA DI MALAYSIA

2.1 Pendahuluan 11

2.2 Sejarah Segamat 12

2.3 Sejarah Penubuhan FELDA Di Malaysia 17

2.4 Matlamat Penubuhan FELDA 19

2.5 Konsep Perancangan FELDA 21

2.6 Kriteria Pemilihan Peneroka 23

2.7 Sejarah FELDA Sri Ledang 25

2.8 Lokasi FELDA Sri Ledang 27

2.9 Komposisi penduduk 29

3.0 Kesimpulan 30

BAB 3

FELDA SRI LEDANG

3.1 Pendahuluan 31

3.2 Komuniti di FELDA Sri Ledang 32

3.3 Perkembangan FELDA Sri Ledang 34

3.4 Struktur Penempatan FELDA Sri Ledang 36

3.5.1 Guna Tanah Kediaman 37

3.5.2 Guna Tanah Perniagaan 40

3.5.3 Sistem Peredaran Dalam Komuniti 41

3.5.4 Infrastruktur dan Kemudahan Perkhidmatan 42

3.5 Ekonomi Peneroka Sebelum Hasil Tanaman Dikeluarkan 44

3.6 Pemilihan Kawasan Penempatan FELDA 47

3.7 Peringkat Pembangunan Tanah Rancangan FELDA 51

3.8 Kesimpulan 53

BAB 4

PERUBAHAN DAN PERKEMBANGAN YANG

BERLAKU DI FELDA SRI LEDANG

4.1 Pendahuluan 54

4.2 Simbolik Nama FELDA Sri Ledang 55

4.3 Bekas Tapak Kegiatan Komunis 57

4.4 Perubahan Sosioekonomi Penduduk 58

4.41 Perubahan Infrastruktur dan Perkhidmatan 59

4.4.2 Perubahan Ekonomi 65

4.5 Keistimewaan Bangunan Sekolah Agama 69

4.6 Pengekalan Warisan Budaya 70

4.7 Asimilasi Masyarakat Jawa dan Melayu 74

4.8 Lokasi Strategik 79

4.9 Perspektif Pelbagai Terhadap FELDA 85

5.0 Kesimpulan 88

BAB 5

KESIMPULAN

5.1 Penutup 90

BIBLIOGRAFI 95

LAMPIRAN 99

Senarai Lampiran Halaman

Lampiran 1 Senarai responden 99

Lampiran 2 Logo FELDA Malaysia 101

Lampiran 3 Peta daerah Segamat 102

Lampiran 4 Peta penempatan FELDA Sri Ledang 103

Lampiran 5 Perancangan guna tanah di FELDA 104

Lampiran 6 Infrastruktur di FELDA Sri Ledang 105

Lampiran 7 Rakaman peristiwa 107

Senarai Singkatan

4B Persatuan Belia 4 Bersatu

AKKF Anugerah Keceriaan Kampung FELDA

CO2 Karbon dioksida

D.Y.M.M Duli Yang Maha Mulia

DEB Dasar Ekonomi Baru

FELDA Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan/ Federal Land Development Authority

FSL FELDA Sri Ledang

GPW Gerakan Persatuan Wanita

Hlm Halaman

IKS Industri Kecil dan Sederhana

JKKK Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung

KEMAS Jabatan Kemajuan Masyarakat

MBE Model Baru Ekonomi

No Nombor

RM Ringgit Malaysia

SAJ Syarikat Bekalan Air Johor

SPM Sijil Penilaian Menengah

UMNO Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu

Vol Volume

Y.A.B Yang Amat Berhormat