Website counter

Monday, November 14, 2011

Analisakan Perkembangan Nasionalisme di China Khususnya pada tahun 1920-an dalam gerakan melawan barat

1.0 PENDAHULUAN

Sekitar tahun 1920-an, kebangkitan semangat nasionalisme wujud dalam memperjuangkan ideologi bagi membentuk sebuah negara yang berasaskan kepada Tiga Prinsip Rakyat. Nasionalisme menekankan ‘pembebasan untuk negara China’, ‘kebebasan dari imperialisme Barat’, dan ‘persamaan untuk semua bangsa dalam negara China’.[1] Ideologi dibawa oleh Sun Yat Sen dilihat sebagai kelangsungan daripada Revolusi 1911 yang bermatlamat untuk membentuk kerajaan republik. Sun Yat Sen mengutuk sikap tidak bersungguh-sungguh kuasa Barat membantu China sejak Perjanjian Versailles.[2] Penubuhan persatuan nasionalisme adalah disebabkan daripada keinginan untuk mengubah keadaan negeri China dan menentang penjajahan asing.[3] Kesan daripada penjajahan asing di beberapa buah kawasan negeri China menyebabkan berlakunya masalah dalaman dalam negara tersebut oleh kerana pihak asing yang telah mengenakan beberapa perjanjian yang tidak adil.

Kuomintang (KMT) mahu mewujudkan sebuah negara republik yang mengikut seperti idea liberalisme Barat. Namun hakikat sebenar, idea demokrasi dan liberalisme yang didukung kuasa Barat dilihat sebagai suatu ilusi sahaja. Perkara yang sebenarnya berlaku adalah pemerasan ekonomi ke atas bangsa yang dijajah berikutan daripada idea kapitalisme dan imperialisme menjadikan bangsa yang dijajah hidup menderita. Manakala Parti Komunis China (PKC) pula memegang idea komunis yang mendukung prinsip sama rata dan menentang kapitalisme dan imperialisme. Jelas dilihat perbezaan antara kedua ideologi oleh KMT dan PKC. Namun akhirnya mereka telah bergabung untuk menentang penaklukan Barat dan juga Jepun.

2.0 PENUBUHAN PARTI NASIONALISME

2.1 Kuomintang (KMT)

Sun Yat Sen telah adalah merupakan individu yang berpengaruh dalam penubuhan organisasi nasionalisme di China. Beliau telah terpengaruh dengan keadaaan di Hong Kong dan Honolulu menyebabkan beliau ingin mengubah China dengan sistem Barat. Pada awalnya beliau telah menubuhkan Revive China Society pada tahun 1894 kemudian kepada penubuhan Tung Meng Hui pada Ogos 1905.[4] Sun Yat Sen telah menyusun semula Tung Meng Hui kepada KMT untuk bertanding dalam pilihanraya pertama republik yang membawa kepada kejayaan besar parti tersebut. Namun KMT telah mendapat tentangan daripada Yuan Shih Kai dan panglima perang menyebabkan KMT terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak luar dan akhirnya Soviet Union telah memberikan bantuan.

2.2 Parti Komunis China (PKC)

Revolusi Bolshevik Rusia pada Oktober 1917 telah menjadi perangsang kepada penubuhan PKC. Parti ini ditubuhkan oleh beberapa pemimpin fahaman komunis seperti Chen Tu-hsiu, Li Ta- chao dan Mao Tse-tung dengan bantuan daripada ejen Comintern (Kongres Komunis Antarabangsa), iaitu Gregory Voitinsky. PKC telah ditubuhkan pada tahun 1921 yang berkait rapat dengan Gerakan 4 Mei.[5] Gerakan 4 Mei ini telah membawa kepada penyertaan golongan buruh dalam menyertai golongan pelajar memprotes Perjanjian Versailles. Penyerahan Shantung kepada pihak asing sebagai syarat daripada dalam Persidangan Paris itu menyebabkan meletusnya perasaan semangat kebangsaan yang kemuncak.[6] Penyertaan buruh sesuai dengan doktrin komunis yang ingin memimpin pihak buruh untuk revolusi proletariat (pekerja). Beberapa orang pemimpin negara China seperti Li dan Chen turut menyertai dan memulakan usaha penubuhan parti komunis.

3. 0 PERIKATAN KUOMINTANG DAN KOMUNIS

Penyatuan di antara KMT dan Komunis bermula apabila Sun Yat-sen ingin mengukuhkan kuasanya di China dengan meminta bantuan daripada negara-negara seperti Perancis, Britain dan Amerika Syarikat, tetapi gagal[7]. Hal ini telah menyebabkan Sun Yat sen mula meminta bantuan daripada negara Rusia. Rusia telah membantu KMT apabila Sun Yat sen sedia bergabung dengan komunis setelah H. Maring iaitu ahli pertubuhan Komunis antarabangsa yang berbangsa Belanda telah mengesyorkan agar KMT bergabung dengan parti PKC. Pada tahun 1923, kerjasama diantar PKC dan KMT telah diadakan dan delegasi bersama yang diketuai oleh Chiang Kai shek pada bulan Ogos 1923. Pada Januari 1924, Kongres kebangsaan KMT yang pertama telah diadakan di canton. Kongres ini telah menerima akli komunis secara individu di dalam KMT dan menyusun semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat KMT yang juga menerima ahli komunis sebagai ahlinya.[8]

Gabungan antara kedua-dua parti ini mempunyai kepentingan masing-masing. Menurut Maswari Rosdi, faktor Sun Yat Sen ingin dari parti Kuomintang ingin bergabung dengan parti komunis adalah disebabkan oleh dua faktor. Faktor yang pertama ialah disebabkan oleh kejayaan PKC dalam menyusun strategi dan menstabilkan partinya. Hal ini membolehkan pihak KMT mendapatkan panduan daripada parti komunis daripada gabungan ini. Faktor yang kedua adalah disebabkan oleh kejayaan golongan komunis melancarkan Mass Movement seperti Gerakan 4 Mei 1919.[9] Kejayaan komunis ini dianggap dapat membantu usaha Sun Yet sen dan KMT dalam mencapai cita-citanya untuk menguasai China.

Pihak Komunis juga mempunyai kepentingannya yang tersendiri untuk bergabung dengan pihak KMT. Hal ini demikian kerana China bukan seperti negara Eropah yang lain yang memerlukan gerakan pembebasan para pekerja melalui revolusi tetapi China memerlukan revolusi nasionalisme untuk membebaskan diri daripada penjajahan kuasa Asing. Disebabkan ini, Lenin telah mengutarakan satu rancangan untuk mewujudkan Barisan Bersatu china.[10] Hal ini demikian kerana pada masa ini China berada dalam keadaan mundur dan dikuasai oleh penjajah Barat. Keadaan ini menyebabkan perkembangan pengaruh komunis di China memerlukan pengaruh daripada satu gerakan atau pertubuhan yang kuat bagi mengembangkan ideologi nya dan tindakan melawan kuasa penjajahan Barat. Bagi mencapai matlamat ini PKC perlu bergabung dengan KMT yang pada ketika itu merupakan satu gerakan yang kukuh.

Selain itu, pada peringkat awal PKC hanya di pengaruhi oleh golongan cerdik pandai dan pelajar. Jumlah ahli yang menyertai PKC adalah kurang iaitu hanya mempunyai keahlian sekitar 50 orang pada awal penubuhannya dan 300 orang pada tahun 1923.[11] Keahlian yang kurang ini memperlihatkan kedudukan parti komunis yang tidak kukuh dan pemimpin yang menerajui PKC pada kita iaitu Chen Tu- Shui dan Li Ta Chao tidak mempunyai pengalaman dalam revolusi. Oleh itu, penting bagi PKC pada peringkat awal untuk bersekutu dengan gerakan yang lebih kuat jika dilihat daripada pendapat Lenin untuk mewujudkan Barisan bersatu di China. Disebabkan itu, pihak PKC telah bergabung dengan pihak KMT yang mempunyai pengalaman dan merupakan parti revolusi yang agak kuat pada ketika itu. Penggabungan ini akan membolehkan gerakan ini mendidik dan mengorganisasikan golongan petani dan pekerja bersama-sama dan revolusi ini. Hal ini demikian kerana menurut pendapat Comintern KMT merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili empat kelas utama masyarakat iaitu borjuis, borjuis kecil pekerja dan petani.[12] Penggabungan ini juga sangat penting bagi pihak komunis bagi menjayakan objektif dan idea pihak Comintern. Hal ini demikian kerana PKC gagal untuk mewujudkan hubungan yang baik di dengan kerajaan pimpinan pusat China iaitu Wu Pei Fu yang berpusat di Peking.

Pada mulanya, Sun Yat sen tidak bersetuju dengan pakatan bersama PKC atas dasar pergabungan antara dua parti. Namun beliau telah bersetuju dengan jika penyertaan dilakukan secara individu. Hal ini bertujuan untuk mengetatkan disiplin parti kerana sebelum ini, kelemahan disiplin ahli menyebabkan kegagalan KMT. Namun begitu penyertaan secara individu tidak dipersetujui oleh PKC yang tidak berkeyakinan dengan pihak KMT. Walaupun begitu, kata sepakat telah diambil pada persidangan yang berlangsung dengan wakil H. Maring untuk bergabung dengan pihak KMT. Hal ini demikian kerana menurut Maring dengan penyertaan secara individu boleh mempengaruhi dan merampas pengaruh kesatuan sekerja.[13] Oleh itu, amat penting bagi mereka berjuang bersama-sama borjuis Kebangsaan (KMT) untuk menyingkirkan panglima perang dan imperialisme asing di China. Cara ini membolehkan pihak komunis mengusai China sedikit demi sedikit.

4.0 PERTENTANGAN KUOMINTANG DAN KOMUNIS

Kejayaan KMT di bawah pimpinan Jeneral Chiang menawan beberapa buah bandar-bandar penting semakin memberikan keyakinan kepada beliau untuk berjuang terutamanya terhadap golongan komunis. Jeneral Chiang mendapat sokongan daripada golongan pengusaha-pengusaha bank, saudagar-saudagar dan tuan-tuan tanah. Kedudukan dikukuhkan lagi apabila Golongan Kanan teguh memberikan sokongan kepadanya. Golongan Kiri yang menentang pada mulanya juga telah memberikan sokongan kepadanya apabila mula wujud rasa curiga terhadap komunis.[14]

Kegiatan komunis yang semakin ketara di beberapa buah bandar seperti Wuhan yang menjadi pusat gerakan komunis semakin membimbangkan Jeneral Chiang. Disebabkan oleh itu, Jeneral Chiang berasa bahawa komunis harus disingkirkan dari KMT. Sebagai contoh, peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Shanghai pada 12 April 1927 terhadap golongan komunis dan juga sesiapa yang menyokong.[15] Walaupun mendapat tentangan daripada komunis dan Puak Kiri, Jeneral Chiang akhirnya telah menubuhkan sebuah Kerajaan Kebangsaan di Nanking. Berikutan itu, ramai golongan komunis telah menyingkirkan diri dan melancarkan gerakan bawah tanah.

5.0 PERPECAHAN DAN PEPERANGAN KUOMINTANG DAN KOMUNIS

Walaupun berlakunya pergolakan serius berlaku antara KMT dan komunis akibat daripada tindakan Jeneral Chiang, namun pihak Comintern tetap mengarahkan PKC dan KMT tetap bergabung. Hal ini kerana, pihak Comintern merasakan bahawa PKC tidak akan mampu untuk menentang pengaruh KMT. Walau bagaimanapun, tindakan Jeneral Chiang semakin menekan komunis menyebabkan mereka bangkit melakukan penentangan. Pada 1 Ogos 1927, komunis yang telah mendapat sokongan daripada golongan petani telah memulakan rampasan kuasa bermula di Nanchang.[16] Namun rampasan kuasa itu telah berakhir dengan kegagalan. Penentangan kedua pula berlaku di Canton. Pihak komunis hanya berjaya menguasai dalam masa tiga hari sahaja tetapi telah mengorbankan kira-kira 15 000 orang dan kerugian sebanyak 50 juta.

Kekalahan teruk yang diterima oleh komunis tidak sedikit pun dilihat melemahkan semangat mereka untuk terus berjuang mempertahankan nasibnya. Sebelum ini serangan yang dilakukan oleh pihak Nasionalis tidak begitu berjaya. Hal ini disebabkan pihak komunis menggunakan taktik gerila. Mereka juga melakukan risikan melalui pertubuhan kaum tani.[17] Hal ini dapat dibuktikan apabila Mao Tse-tung dan Chu The telah bertindak menubuhkan satu angkatan tentera yang dikenali sebagai Fourth Red Army. Chu Teh sendiri telah menjadi ketua bagi pasukan tentera tersebut. Usaha mereka diteruskan lagi apabila pada Julai 1928, Mao telah menjadikan Kiangsi sebagai pusat pemerintahannya.[18]

Jeneral Chiang telah menerima penentangan daripada pengikutnya sendiri iaitu Jeneral Feng dengan tentera National Salvation disebabkan rasa tidak puas hati dengan polisi yang dilakukan oleh Jeneral Chiang. Namun, penentangan ini gagal apabila Jeneral Feng telah dikalahkan. Tamatnya penentangan ini, berlaku pula penentangan daripada Golongan Kiri. Wang Ching-wei daripada Golongan Kiri telah mendesak supaya diadakan semula penyusunan semula terhadap KMT. Namun akhirnya Wang telah melarikan diri ke Hong Kong apabila Jeneral Chiang mula mengambil tindakan ke atasnya.

Jeneral Chiang masih tidak berputus asa dalam menghapuskan komunis. Beliau telah bertindak untuk mendapatkan bantuan daripada Jerman.[19] Bantuan yang dimaksudkan adalah dengan menghantar pegawai-pegawai tenteranya membantu KMT. Sokongan daripada Jerman ini telah semakin menguatkan kedudukan KMT untuk melakukan serangan ke atas komunis. Setelah yakin dengan kedudukan KMT yang semakin kukuh, Jeneral Chiang akhirnya telah memulakan serangan terhadap komunis. Sebanyak lima siri serangan telah dilakukan oleh KMT terhadap komunis dalam tempoh 1930 sehingga 1934.

Usaha untuk menghapuskan komunis ini terganggu apabila timbulnya isu Jepun yang melakukan serangan ke atas Manchuria. Kemaraan pihak Jepun yang terlalu pantas menyebabkan KMT tidak dapat mempertahankan China. Akhirnya KMT menemui jalan buntu dan terpaksa untuk menerima jalan dengan mengadakan gencatan senjata dengan pihak Jepun. Walaupun wujud sentimen anti-Jepun dan desakan-desakan diterima supaya terus melawan Jepun namun Jeneral Chiang tetap dengan keputusannya menerima gencatan senjata dengan pihak Jepun. Hal tersebut kerana beliau ingin menumpukan kepada gerakan menghapuskan komunis.

Akibat daripada sikap Jeneral Chiang yang menerima pendamaian dengan pihak Jepun telah dianggap seperti menjatuhkan maruah KMT. Oleh itu, satu pemberontakan telah berlaku di Foochow.[20] Para pemberontak telah mengambil langkah untuk mendapatkan sokongan daripada pihak komunis. Namun, Rusia tidak membenarkan sama-sekali PKC melibatkan diri dalam pemberontakan menentang Jeneral Chiang tersebut. Pemberontakan tersebut telah gagal kerana tidak mendapat sokongan daripada pihak Komunis.

Jeneral Chiang masih meneruskan penentangan terhadap Komunis. Serangan kelima dilakukan ke atas Komunis dan telah memberikan kejayaan yang besar terhadap Jeneral Chiang. Hal ini disebabkan berlakunya perselisihan pendapat dalam kalangan PKC mengenai strategi penyusunan tentera. Kekalahan teruk ini mendesak Komunis untuk meninggalkan Juichin. Maka bermulanya satu gerakan pengunduran yang dikenali sebagai ‘Perjalanan Jauh Dengan Berbaris’ (Long March) pada 15 Oktober 1934.[21] Mao telah menubuhkan satu Republik Rakyat Soviet China yang telah menjadikan Yenen sebagai pusat pemerintahannya.

Jeneral Chiang telah bertindak mengarahkan Chang Hsueh-liang menghapuskan Komunis di sana. Sebaliknya, Chang enggan dan mengakibatkan Jeneral Chiang mengeluarkan arahan membunuh Chang. Bertitik tolak daripada ke keengganan tersebut telah menimbulkan perbalahan yang serius. Jeneral Chiang telah diculik dan dipenjarakan.[22] Akhirnya setelah melakukan rundingan, Jeneral Chiang terpaksa menghapuskan polisinya untuk menghapuskan Komunis dan menerima untuk menubuhkan Barisan Bersatu bagi menentang Jepun.

6.0 GOLONGAN PELAJAR

Golongan pelajar merupakan golongan yang penting sebagai penggerak kepada nasionalisme di China. Hal ini demikian kerana pendidikan Barat yang diperoleh oleh golongan pelajar semasa menuntut di negara Barat mahupun di Jepun telah membuka pemikiran dan pandangan mereka tentang tujuan kedatangan barat datang ke China. Kesedaran yang diperoleh ini yang membawa kepada gerakan-gerakan menentang barat di China. Antara penentangan yang dilakukan adalah melalui peristiwa 4 Mei 1919. Peristiwa ini adalah,

‘Chinese student movement from the demonstration of May 4, 1919, which was staged to protest this injustice ang to denounce the pro- Japanese warlords and the politicians who had acquiesced in it. The ensuing nationwide indignation culminated in China’s refusal to sign the treaty and more important, made student opinion a power to be reckoned with.’[23]

Gerakan ini menunjukkan satu perubahan pandangan dalam masyarakat China yang di gerakan oleh golongan terpelajar. Gerakan ini sebenarnya telah mula memberi kesedaran kepada masyarakat China tentang niat dan tindakan yang dilakukan oleh Barat di China yang bertujuan untuk memenuhi kehendak mereka dari segi ekonomi sehingga menyebabkan keadaan di China menjadi tidak stabil.

Antara tahun 1903 hingga 1919 semakin ramai pelajar-pelajar China dari luar negara pulang ke tanah air mereka seperti Chen Tu Hsiu, dan Tsai Yuan Pei dari Perancis, Kuo Mo Jo dan Lu Hsu dari Jepun dan Hu Shih dan Monlin dari Amerika Syarikat.[24] Para pelajar inilah yang menjadi perangsang kepada gerakan nasionalisme di China dan cuba untuk melakukan reformasi ke arah pemodenan supaya seiring dengan barat dan Jepun. Antara cara yang telah digunakan oleh golongan pelajar ini untuk menyebarkan idea-idea barat yang diperoleh dengan menggunakan pusat pengajian tinggi terutama Universiti Kebangsaan Peking (Peita).[25] Di Peita ini, Tsai Yuan Pei telah dilantik sebagai Canselor telah melakukan gerakan pembaharuan di universiti ini. Beliau telah bertanggungjawab meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar di Universiti ini.

Tsai Yuan Pei juga telah menggariskan tiga hala tuju penting bagi memajukan Peita iaitu universiti adalah institusi untuk penyelidikan akademik, pelajar harus menganggap universiti sebagai pusat mendapat pekerjaan dan universiti harus menjamin kebebasan akademik.[26] Matlamat yang diwujudkan ini membolehkan perkembangan ilmu pengetahuan tanpa sekatan dan perkembangan ini dapat meningkatkan kesedaran nasionalisme dalam kalangan masyarakat yang belajar di situ kerana mereka bebas untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan melakukan kajian akademik mereka.

Selain itu, golongan terpelajar sama ada guru, profesor dan penulis sudah mula berpendapat bahawa mereka memperjuangkan pembentukan satu masyarakat baru, menilai kembali tradisi Cina dan memperkenalkan idea- idea yang dibawa dari Barat. Antara orang yang bertanggungjawab dalam mengadakan perubahan dalam melakukan perubahan dalam bidang penulisan dan kesusasteraan ini ialah Hu Shih iaitu seorang pelajar lulusan universiti Colombia. Beliau telah mencadangkan agar orang China menggunakan tulisan bahasa biasa menggantikan bahasa sastera Klasik.[27] Pengenalan ini akan memudahkan masyarakat China untuk belajar dan memahami karya sastera. Hal ini memudahkan penyampaian ilmu baru kepada masyarakat dan secara langsung dapat mengembangkan nasionalisme dalam kalangan masyarakat China. Faktor kejayaan Revolusi Bolshevik di Rusia telah memberi rangsangan dan kesedaran kepada golongan Intelektual China untuk menggunakan ideologi komunis untuk memulihkan keadaan di China.

7.0 ANALISIS

Nasionalisme yang berlaku di China dimainkan oleh dua pihak yang berbeza iaitu pihak KMT yang memperjuangkan negara republik dan golongan pelajar yang memperjuangkan gerakan komunis di China. Perang Dunia Pertama serta Perjanjian Damai Versailles yang telah ditandatangani telah menyebabkan berlakunya gerakan anti barat ini. Penyertaan dalam Perang Dunia pertama diharapkan dapat memberi impak yang besar dengan diberi jaminan kepada China untuk memperjuangkan hak mereka dalam perjanjian damai. Namun, dalam perjanjian damai tersebut, China dipaksa menyerahkan Shantung kepada Jepun, tuntutan 21 dihapuskan dan hak Jerman di China diserahkan kepada Jepun. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya tentangan daripada golongan pelajar yang membawa kepada tercetusnya gerakan 4 Mei 1919 dan munculnya gerakan komunis di China.[28] Ideologi komunis di China dilihat sebagai saluran nasionalisme yang sebenarnya kerana pada sebelum ini, golongan pelajar yang mempelopori ideologi ini melihat pihak KMT yang kononnya memperjuangkan nasionalisme dan gerakan anti barat, lebih tertumpu kepada perjuangan mengatasi dan menguasai politik dalaman China. Apabila Perjanjian Versailles dianggap tidak rasional dan melampau terhadap kedaulatan China maka golongan pelajar bangkit menentang perjanjian damai tersebut. Pada tahun 1920-an ini, golongan pelajar mula bangkit selepas Perjanjian Versailles yang memperlihatkan barat telah menggunakan China untuk kepentingan mereka. Di sebalik gerakan ini, telah membawa kepada perkembangan ideologi komunis di China. Kejayaan Revolusi Bolshevik di Rusia turut memberi sedikit sebanyak rangsangan kepada golongan intelektual China menggunakan ideologi komunis untuk memulihkan China.[29] Sekitar 1921, golongan Bolshevik telah berjaya mengatur langkah ke arah penubuhan Parti Komunis China di Shanghai. Sentimen nasionalis mula digerakkan oleh Rusia apabila para intelektual telah mula menerima propaganda komunis untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka, sekali gus menjelaskan hanya fahaman komunis sahaja yang dapat membuka jalan ke arah keamanan dan ketenteraman.

Kemaraan nasionalisme dalam kalangan orang China terutama para tenteranya, telah membawa beberapa kejayaan dalam melawan barat. Antara lain ialah mengenai ketidakupayaan pihak England membantu puak kanan kerana perhubungan China-Inggeris telah merosot akibat peristiwa 30 Mei di Shanghai di mana sebilangan besar pelajar-pelajar dan pekerja-pekerja telah melancarkan mogok terhadap kilang-kilang kepunyaan Jepun. Bantahan terhadap tindakan polis yang membunuh pemogok-pemogok mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai Shakee-shameen di Canton oleh pasukan polis British. Reaksi terhadap tindakan ini diambil serta merta yang mana perdagangan British di China dan Hong Kong diboikot.[30] Kesan kejadian ini menunjukkan bahawa pergelutan dalam parti telah menjelma menjadi satu pergerakan anti penjajah. Ini dapat dilihat apabila Rusia mengambil kesempatan di atas situasi yang tidak tenteram ini.[31]

Tindakan lain yang dilakukan dalam usaha melawan barat ini ialah dengan menjadikan England sebagai sasaran propaganda anti penjajah. England dipilih kerana pedagang-pedagang dari negeri tersebut telah bertanggungjawab terhadap Perang China yang pertama dan kedua. Rakyat China beranggapan bahawa kapitalisme dan imperialisme ini telah membawa kepada pendudukan Inggeris di Hong Kong. Kemusnahan perkampungan Wahsien akibat dari serangan sebuah kapal Inggeris telah menyebabkan sentiment anti barat semakin kuat di kalangan orang China.[32] China memerlukan revolusi nasionalisme untuk membebaskan diri daripada penjajahan kuasa asing. Oleh itu, menyedari hakikat tersebut, golongan komunis ini telah mendidik dan mengorganisasikan petani dan pekerja dalam suatu revolusi politik. Secara umumnya, pergerakan ini telah membawa kepada dua peringkat perjuangan iaitu perjuangan pertama melawan imperialisme dan tentera dalam perjuangan revolusi kebangsaan. Ia diikuti dengan perjuangan proletariat menentang golongan borjuis. Ahli-ahli PKC juga diminta untuk menjaga kepentingan golongan pekerja dan harus mengakui perjuangan revolusi kebangsaan sebagai satu-satunya cara revolusi proletariat.[33]

Walaupun krisis dalaman yang berlaku antara pihak KMT dan PKC, tetapi tindakan untuk melawan barat tetap diteruskan. Apabila British mula merasakan keadaan tersebut, usaha untuk melembutkan hati orang China dilaksanakan. Namun, kejayaan kempen KMT menanamkan semangat taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Presiden oleh kadet-kadet yang dilatih membuahkan hasil apabila perasaan tersebut menggugat kehadiran barat di China.[34] Ini dibuktikan apabila kuasa-kuasa barat mula menarik keluar warganegara mereka dan dihantar ke Shanghai sebelum angkatan KMT mara ke tempat itu. Akibatnya, golongan ahli perniagaan yang kaya mula merasa bimbang dengan kebangkitan puak kiri di China. Walaupun begitu, dalam perjuangan melawan barat ini, kesungguhannya lebih ditunjukkan oleh golongan pelajar. KMT sebagai sebuah parti yang berusaha untuk membina sentimen nasionalisme ini di kalangan masyarakat China masih sukar untuk diterima perjuangan mereka. Hal demikian kerana, masyarakat China melihat adanya dua pihak yang memperjuangkan nasionalisme dari dua sudut yang berbeza. Masyarakat China berhak memilih perjuangan yang sebaiknya terutama yang benar-benar menjelaskan kepada mereka perkara nasionalisme sebenarnya. KMT lebih kepada nasionalisme yang bersifat pro-barat manakala golongan pelajar ini lebih kepada menyokong komunis.

Ketegasan pihak KMT dalam melawan barat ini dijelaskan melalui perundingan mengenai isu Nanking pada tahun 1927 mengenai serangan rakyat China ke atas orang-orang asing dan harta benda mereka. Perundingan yang diadakan dengan kuasa-kuasa asing ini berkaitan kerelaan kuasa-kuasa ini menamatkan perkara berkenaan cukai dan kastam daripada menamatkan sistem hak wilayah asingan. Persetujuan yang dicapai antara Amerika dan China berkaitan cukai dan bayaran lain telah dimansuhkan. Persetujuan ini telah memberi China kuasa autonomi yang penuh terhadap tarif tersebut.[35] Kesannya, persetiaan-persetiaan ini telah diikuti oleh negeri-negeri lain dan telah membawa perubahan dalam kerajaan Nanking yang baru. Usaha untuk melawan barat ini walaupun tidak dengan kekerasan, ia dilihat berjaya dalam membawa sentiment anti barat dalam pentadbiran negara China yang baru.

Alasan yang diberi oleh pihak Rusia bahawa pertubuhan itu tidak lengkap dan akhirnya akan menghadapi kegagalan sekiranya dijalankan juga. Walaupun Chiang telah menyambut baik akan seruan Rusia untuk menangguhkan kempen tersebut tetapi beliau tetap berhati-hati agar puak komunis tidak mengambil kesempatan di atas penangguhan tersebut untuk mengambil alih kuasa di Canton.[36] Keadaan ini menggambarkan bahawa Chiang seolah-olah tidak mempunyai keputusan sendiri terhadap pimpinannya, tetapi hanya menjadi pengikut terhadap arahan Rusia. Perjuangan Chiang yang tidak jelas tentang nasionalisme yang ingin dibentuk bagi sebuah negara republik telah menyebabkan hal ehwal dalaman China dikawal oleh pihak Rusia, sedangkan perjuangan sebenar para nasionalis China ini ialah untuk melawan barat terutama dalam hal pentadbirannya.

8.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhan, gerakan nasionalisme yang berlaku di China sekitar tahun 1920-an dalam usaha melawan barat dilihat berjaya secara keseluruhannya. Ia disebabkan oleh nasionalisme yang diperjuangkan oleh PKC adalah lebih jelas berbanding dengan KMT kerana nasionalisme di China ini memperjuangkan komunis sebagai ideologi mereka. Barat dilihat hanya berusaha untuk menguasai China atas kepentingan masing-masing sahaja. Perjuangan nasionalisme ini digerakkan oleh dua parti yang berbeza yang mana perjuangan KMT lebih kepada pembentukan republik yang dapat dirasakan oleh penduduk China, manakala perjuangan oleh PKC ini lebih kepada perjuangan komunis. Perlu difahami bahawa, perjuangan dan ideologi komunis di China adalah berbeza dengan perjuangan komunis di negara Asia lain.

Perjuangan komunis di China ialah perjuangan nasionalisme yang sebenarnya iaitu yang bersifat taat setia kepada tanah air dan semangat cintakan negara yang tidak berbelah bahagi. Perjuangan nasionalisme khususnya dalam melawan barat ini disebabkan kesan daripada Perang Dunia Pertama serta Perjanjian Versailles yang telah memperlihatkan siapa barat sebenarnya. Jadi, jelaslah bahawa PKC telah memainkan peranan yang penting dalam usaha melawan barat ini serta meningkatkan semangat nasionalisme di kalangan penduduk China. Sehingga ke hari ini, ideologi komunis menjadi pegangan utama negara China.

BIBLIOGRAFI:

Abdullah Zakaria, Azharuddin, Azhar, Suffian. (2003). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

C.Martin Wibur. (1983). The nationalist revolution in China, 1923-1928. Cambridge: Cambridge University Press.

Joginder Singh Jessy. (2007). Sejarah China dan Jepun. (Ghazali Basrni, Penyunting). Kuala Lumpur: Anthonian.

John Israel. (1966). Student nationalism in China 1927- 1937. California: Stanford University Press.

Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Kuala Lumpur: Adabi Publishing.

Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.



[1] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Hlm. 129.

[2] Abdullah Zakaria, Azharuddin, Azhar, Suffian. (2003). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd. 129.

[3] Ibid., Hlm. 373.

[4] Ibid., Hlm. 373-374.

[5] Ibid., Hlm. 375.

[6] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Kuala Lumpur: Adabi Publishing. Hlm. 216.

[7] Kegagalan ini disebabkan oleh negara-negara barat hanya mengiktiraf pemerintahan di Peking sebagai pemerintahan yang sah mewakili negara China dan hanya akan membantu warlord yang dirasakan mempunyai peluang berkuasa di China. Jika warlord berjaya sudah pasti negara-negara yang memberi bantuan akan mendapat faedahnya. Selain itu, barat juga beranggapan bahawa Dr. Sun tidak begitu popular di Utara dan hanya mendapat simpati daripada golongan Selatan. Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm. 210

[8] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Hlm. 129

[9] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm 211.

[10] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Hlm 126.

[11] Ibid., Hlm 126.

[12] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden . Hlm. 127

[13] Ibid., Hlm. 128.

[14] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm. 229.

[15] Ibid., Hlm. 229.

[16] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm. 230.

[17] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Hlm. 260.

[18] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm. 230.

[19] Ibid., Hlm. 231.

[20] Ibid., Hlm. 231.

[21] Ibid., Hlm. 231.

[22] Joginder Singh Jessy. (2007). Sejarah China dan Jepun. (Ghazali Basrni, Penyunting). Kuala Lumpur: Anthonian. Hlm. 265.

[23] John Israel. (1966). Student nationalism in China 1927- 1937. California: Stanford University Press. Hlm. 3.

[24] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm. 214.

[25] Ibid., Hlm. 214.

[26] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Hlm. 121.

[27] Ibid., Hlm. 121.

[28] Suffian Mansur. (2009). Sejarah China moden. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Hlm. 117.

[29] Ibid., Hlm. 122.

[30] C.Martin Wibur. (1983). The nationalist revolution in China, 1923-1928. Cambridge: Cambridge University Press. Hlm. 15.

[31] Joginder Singh Jessy. (2007). Sejarah China dan Jepun. Hlm. 245.

[32] Ibid., Hlm. 256.

[33] Suffian Mansur. (2009). Sejarah China moden. Hlm. 126.

[34] John Israel. (1966). Student nationalism in China 1927-1937. Hlm. 5.

[35] Ibid., Hlm. 256.

[36] Ibid., Hlm. 248.

No comments:

Post a Comment