Website counter

Thursday, December 8, 2011

Analisis Jurnal Perang Rusia-Jepun

1.0 PENDAHULUAN

Jurnal yang dipilih ini bertajuk Perang Rusia- Jepun 1905. Jurnal ini diperoleh secara online melalui JEBAT Bil. 2, 1972/73. Jurnal ini ditulis oleh Khozin Mohd Tamrin yang diterbitkan oleh Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam jurnal ini menyentuh berkenaan dengan dua buah kuasa besar iaitu Rusia dan Jepun. Jepun merupakan sebuah negara yang semakin meningkat maju dalam segala aspek setelah perubahan yang berlaku dalam era Meiji. Manakala Rusia pula merupakan sebuah negara barat yang sudah maju dan juga merupakan negara kedua yang menanam modal terbanyak selepas Britain di China.

Perebutan kuasa berlaku di antara dua buah negara ini disebabkan oleh perebutan untuk menguasai China. Perebutan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor sehinggalah membawa kepada tercetusnya perang Rusia dengan Jepun yang berlaku pada tahun 1905. Oleh itu analisis yang akan dibincangkan ialah berkaitan dengan faktor-faktor yang menyebabkan tercetus peperangan di antara kedua kuasa besar ini.

2.0 ANALISIS

Kepentingan Manchuria

Faktor pertama yang menjadi konflik antar Rusia dan Jepun ialah isu perebutan Manchuria. Seperti diketahui selain kedudukan strategik Manchuria berada di sebelah timur laut Tiongkok bersempadan dengan Korea Utara dan Rusia, Manchuria juga merupakan satu kawasan yang kaya dengan sumber bahan mentahnya. Rusia dan Jepun mempunyai kepentingan mereka tersendiri untuk menakluki Manchuria. Rusia mempunyai kepentingan dari segi politik dan ekonomi terhadap Manchuria. Hal ini seperti dijelaskan oleh Maswari Rosdi yang menyatakan bahawa Rusia sangat memerlukan Manchuria kerana aspek ketenteraan iaitu mendapatkan pangkalan tentera laut bagi menggantikan pelabuhan Vladivostock yang berada di timur jauh. Dari segi lain pula kepentingan Manchuria adalah disebabkan oleh perancangan Rusia bagi membina jalan kereta api Trans- Siberia.[1]

Rusia telah mendapat persetujuan daripada China bagi pembinaan jalan kereta api Trans-Siberia. Di samping itu, Rusia dan China telah membina satu pakatan tentera rahsia untuk menentang Jepun. Rusia juga menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan Manchuria dengan memberikan bantuan kewangan kepada China sebanyak 400 juta Frans. Oleh itu, jalan kereta api menyeberangi Manchuria dan ke Port Deven diletakkan di bawah kuasa Rusia.

Imperialisme Jepun kesan pemodenan Meiji menyebabkan keutamaan ditumpukan kepada industrialisasi yang memerlukan bahan mentah serta pasaran luar ekoran pasaran domestik yang lemah serta bahan mentah yang terhad.[2] Hal ini telah mendorong Jepun melihat kepentingan Manchuria untuk dikuasai. Sama seperti Rusia, Manchuria sejak dulu lagi telah menjadi kawasan kepentingan Jepun kerana kedudukan strategik dan juga ekonomi. Hal ini seperti dinyatakan oleh M. Rajendran, Jepun telah menyatakan bahawa Manchuria merupakan barisan pertahanan utama bagi Jepun terhadap Rusia. Jepun juga telah menuntut supaya Manchuria menjadi kawasan Lingkungan pengaruhnya ataupun kawasan lindungan Jepun.[3] Selain itu, masalah sosial turut mendorong Jepun mendapatkan Manchuria. Penduduk Jepun semakin pesat dan menimbulkan masalah kekurangan makanan dan penempatan. Oleh itu, Jepun telah menggunakan alasan masalah keselamatan penduduk bagi campur tangan di Manchuria. Oleh itu dapat dilihat bahawa kepentingan-kepentingan Jepun dan Rusia di Manchuria inilah yang akhirnya telah menyebabkan berlakunya perbalahan dan mencetuskan Perang Rusia-Jepun.

Isu Semenanjung Liaotung

Jepun berasa amat terancam apabila mengetahui bahawa Semenanjung Liaotung digunakan oleh Rusia sebagai pangkalan angkatan lautnya. Jepun berasa tindakan Rusia itu akan mengancam kepentingan Jepun di Korea. Selain itu, Jepun turut berasa terhina apabila Rusia yang mengetuai tiga kuasa barat mendesak Jepun untuk keluar dari Semenanjung Liaotung. Namun bagi pihak Rusia, mereka berasa berbangga kerana menjadi seperti pelindung kepada China selepas berjaya menghalau Jepun dari Semenanjung Liaotung.[4] Kenyataan tersebut diumumkan pada 23 April 1895 dengan alasan kehadiran tentera Jepun akan mengancam keselamatan ibu kota Peking.[5] Penyerahan Liaotung kepada Jepun yang dihalang oleh Jerman, Rusia dan Perancis ini benar-benar mengaibkan Jepun. Rakyat Jepun juga menyalahkan kerajaan kerana sikap berlembut dengan kuasa barat. Keaiban inilah yang mendorong Jepun mempertingkatkan usaha mencapai autonomi ekonomi dan ketenteraan.[6] Pada bulan Jun 1898 pula, Rusia telah bertindak memajakkan Liaotung. Jepun benar-benar rasa dipermainkan dengan tindakan Rusia hingga membawa dendam dan berterusan kepada peperangan.

Masalah Korea

Korea juga merupakan antara punca perbalahan antara Rusia dan Jepun. Walau bagaimanapun, pada asalnya Korea adalah berada di bawah naungan negara China.[7] Pemberontakan yang berlaku di Korea telah menyebabkan Rusia dan Jepun menghantar tentera masing-masing ke Korea. Namun, Raja Korea lebih memihak kepada Rusia. Beliau telah meminta perlindungan politik daripada Rusia dan bantuan menghalau tentera Jepun. Satu perjanjian dikenali sebagai Perjanjian Yamagata-Lobanoff telah ditandatangani untuk menyelesaikan kedudukan kedua-dua kuasa tersebut. Antara isi perjanjian tersebut ialah Korea bebas mentadbir dan kedua-dua kuasa tersebut akan bersama-sama bertanggungjawab dalam rancangan pembaharuan Korea. Hal ini bermakna, kedua-dua kuasa ini mengakui kemerdekaan Korea.[8]

Walau bagaimanapun, Rusia dilihat masih mencampuri dalam urusan Korea. Rusia telah mendapat dua hak kebenaran di Korea iaitu mengeluarkan kayu balak di Sungai Yalu dan melombong di Sungai Tuwan. Selain itu, Rusia juga telah mengirimkan penasihat tentera dan kewangan ke Korea. Hal ini telah mengakibatkan kemarahan pihak Jepun. Sekali lagi satu persidangan bagi menyelesaikan pertelingkahan diadakan. Pada tahun 1898, satu konvensyen diadakan iaitu Konvensyen Nishi-Rosen yang mana kedua-dua kuasa ini akan mengakui kedaulatan Korea.[9] Ini bermakna Rusia dan Jepun tidak boleh lagi untuk mencampuri hal-hal Korea. Namun sebaliknya berlaku apabila Rusia masih berkeras dan mahu mengukuhkan kedudukannya di Korea walaupun telah diadakan persetujuan kedua pihak bahawa tidak akan mencampuri hal-hal Korea.

Rusia masih berusaha untuk mendapatkan sebuah pelabuhan di Korea. Jepun merasakan tindakan Rusia ini seperti mencabarnya dan tindakan ini tidak akan dibiarkan. Pihak Jepun mengharapkan agar isu ini Manchuria dan Korea dapat diselesaikan dengan aman. Oleh itu Jepun telah menghantar wakilnya ke Rusia untuk membuat perundingan. Pada bulan Ogos 1903, satu perundingan telah diadakan di St. Petersburg.[10] Dalam rundingan tersebut Jepun meminta agar kedua-dua pihak mengakui dan menghormati kedaulatan Korea. Walau bagaimanapun rundingan ini menemui kegagalan kerana sikap Rusia yang berkeras untuk berdamai. Hal ini juga adalah kerana sikap Rusia sebagai satu kuasa barat yang tidak mahu menerima bangsa lain setaraf dengan mereka. Justeru, pada Februari 1904, Jepun telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Rusia.

Berikutan putusnya hubungan tersebut maka peperangan tidak dapat dielakkan antara Rusia dan Jepun. Menurut Maswari Rosdi, Jepun tidak mengisytiharkan perang terlebih dahulu kepada Rusia. Hal ini kerana pada 8 Februari 1904 terlebih dahulu angkatan laut Jepun di bawah pimpinan Laksamana Toga Haichachairo telah membuat serangan mengejut terhadap angkatan laut Rusia di Port Arthur. Setelah berlakunya siri serangan tersebut hanya pada 10 Februari pihak Jepun telah mengisytiharkan perang terhadap Rusia.[11] Serangan mengejut ke atas Rusia itu telah mengejutkan Rusia dan terpaksa bertempur di dalam keadaan yang tidak bersedia. Hal ini jika dilihat kemungkinan salah satu faktor kekalahan Rusia.

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, dapat dilihat sejak Perjanjian Shimonoseki hingga tercetusnya peperangan 1904, Jepun dilihat lebih bersikap bertolak ansur dengan Rusia. Hal ini kerana, Rusia menganggap ia sebagai sebuah negara besar yang tidak dapat dikalahkan oleh Jepun. Selain itu, Rusia juga mahu mengaut kepentingan terhadap negara yang dikuasainya. Namun di atas sebab-sebab yang telah dijelaskan dan ditambah dengan sikap Rusia yang berkeras terhadap Jepun akhirnya peperangan tidak dapat dielakkan. China juga dilihat lebih berpihak kepada Rusia. Hal ini disebabkan kerana persengketaan yang pernah terjadi antara Jepun dan China hingga tercetus peperangan China-Jepun pada Julai 1894.[12] Selain itu, hal ini adalah kerana Rusia telah menggunakan peluang membuat tuntutan dan tekanan kepada China setelah kejayaannya menghalau Jepun dari Semenanjung Liaotung.

Walau bagaimanapun, peperangan ini telah membawa kemenangan terhadap pihak Jepun. Kesan peperangan ini ternyata memberi kerugian terhadap kedua-dua kuasa. Kerugian dan ramai tentera yang telah terkorban akhirnya kedua-dua negara ini telah mengikat satu perjanjian dikenali sebagai Perjanjian Portsmouth pada 5 September 1905.[13] Namun, apa yang lebih penting ialah imej Jepun yang semakin dipandang tinggi selepas menang dalam peperangan tersebut.

BIBLIOGRAFI:

Abu Talib Ahmad. (2005). Tamadun Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Joginder Singh Jessy. (2007). Sejarah China dan Jepun. (Ghazali Basrni, Penyunting). Kuala Lumpur: Anthonian.

Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Kuala Lumpur: Adabi Publishing Sdn. Bhd.

M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Kuala Lumpur: Arenabuku. Sdn. Bhd.

Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.



[1] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Kuala Lumpur: Adabi Publishing Sdn. Bhd. Hlm. 163-164.

[2] Abu Talib Ahmad. (2005). Tamadun Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 198-199.

[3] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Kuala Lumpur: Arenabuku. Sdn. Bhd. Hlm. 164-165.

[4] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm. 159.

[5] Ibid., Hlm. 165.

[6] Abu Talib Ahmad. (2005). Tamadun Jepun. Hlm. 200.

[7] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Hlm. 71.

[8] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm. 166.

[9] Ibid., Hlm. 166.

[10] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun moden 1800-1955. Hlm. 167.

[11] Ibid., Hlm. 167.

[12] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China moden. Hlm. 71.

[13] Ibid., Hlm. 169.

No comments:

Post a Comment