Website counter

Thursday, December 8, 2011

Ekonomi Vietnam

EKONOMI

Perubahan daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial telah mempengaruhi corak hidup masyarakat umum Asia Tenggara secara mendalam. Dasar ekonomi Perancis terutamanya di Vietnam bersifat amat memeras dan hanya menguntungkan kelas-kelas tertentu seperti tuan tanah, kapitalis dan pentadbir kolonial.[1] Dasar ekonomi Perancis juga telah mewujudkan satu kelas marhaen yang akhirnya memainkan peranan penting dalam pergerakan sosial semasa di Vietnam. Kesan nyata dapat dilihat daripada kolonialisme Perancis ke atas Vietnam ialah penindasan terhadap kaum petani.

Terdapat beberapa kajian yang membincangkan berkenaan dengan keadaan petani dan buruh Vietnam semasa pentadbiran Perancis. Berdasarkan kajian tersebut berlakunya pertentangan pendapat di mana pendapat pertama yang dikemukakan oleh Ennis (1973), Pham Cao Duong (1985), dan Popkin (1979) menyatakan bahawa kemunduran ekonomi yang berlaku dalam kalangan petani adalah disebabkan oleh sikap petani itu sendiri.[2] Petani di Vietnam dikatakan tidak dapat menerima pembaharuan yang dilakukan oleh Perancis dan mereka juga tidak begitu memberi galakkan terhadap ilmu sains Barat. Selain itu usaha Jabatan Pertanian untuk mempertingkatkan pengeluaran padi, teh, kopi dan bijirin juga tidak mendapat sokongan kerana petani Vietnam bersikap dingin terhadap bidang agronomi.

Kemunduran yang berlaku ini adalah disebabkan sikap petani yang lebih suka menggunakan kaedah pertanian lama yang telah diwarisi sejak turun temurun. Misalnya, mereka menggunakan najis manusia sebagai baja. Kemunduran ini telah menjejaskan penanaman kopi dan pengeluaran sutera yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi di Perancis.

Pandangan yang kedua pula nyata bertentangan dengan pandangan pertama. Hal ini kerana menurut kajian terbaru mengenai petani di Vietnam sama sekali menolak pandangan bahawa kemunduran yang berlaku disebabkan sikap petani yang tidak mahu menerima pembaharuan. Menurut mereka, kemunduran yang berlaku tersebut adalah disebabkan oleh dasar Perancis yang tidak memberi galakkan kepada kaum petani bagi mempertingkatkan produktiviti pertanian. Sebaliknya pihak Perancis memberikan bebanan kepada kaum petani dengan hutang yang berterusan. Ini juga disebabkan oleh kemiskinan, perbelanjaan berlebihan, beban cukai, pinjaman untuk bertani, pembelian makanan dan sewa binatang ternakan serta perjudian semasa tidak mengerjakan bendang.[3] Kemelaratan ini menyebabkan kehidupan para petani diibaratkan seperti kais pagi makan pagi.

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila petani Vietnam sentiasa berterusan mengerjakan sawah, menanam keledek, ubi dan jagung tanpa mengikut musim. Namun terdapat beberapa sebab yang telah menyebabkan petani ini miskin dan dibebani hutang. Antaranya ialah sikap petani yang sering berjudi pada cuti musim rehat sehingga terpaksa menggadaikan tanah. Sistem pinjaman kredit yang ternyata tidak memberikan manfaat. Petani juga kekurangan tanah awam kerana dibolot oleh pemimpin desa. Sementara itu sistem pentadbiran yang mengalami perubahan telah mengenakan cukai yang menjadi beban kepada petani. Contohnya cukai kepala, candu, garam, dan arak. Penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pentadbir desa juga berlaku dan menyebabkan petani ditindas.

Akibat kemelaratan yang ditanggung oleh petani telah membawa kepada pengenalan undang-undang buruh pada tahun 1918 oleh Perancis.[4] Undang-undang ini mendapat tentangan hebat daripada golongan kapitalis. Di dalam undang-undang ini, sistem kerah telah dihapuskan pada tahun 1923 dan setiap pekerja perlu diberikan upah. Selain itu, pada tahun 1926, Jawatan Pemeriksaan Buruh telah diwujudkan dan ditugaskan untuk mengkaji keadaan buruh secara umum. Manakala pada tahun 1927, Jabatan Penyiasatan Buruh pula ditubuhkan bagi menyelidiki keadaan buruh sama ada melibatkan orang tempatan atau Eropah terutamanya dalam bidang pertanian, industri dan komersial. Jabatan ini juga bertujuan untuk melindungi nasib buruh dari dianiaya oleh majikan.[5]

Walau bagaimanapun, pelaksanaan peruntukan perburuhan ini telah membawa kesengsaraan dan penindasan terhadap buruh terutamanya yang bekerja di ladang-ladang kepunyaan kapitalis. Buruh tempatan ini telah dilayan seperti haiwan. Ini dapat dilihat melalui layanan daripada pegawai-pegawai berbangsa Perancis yang kejam. Mereka telah menangkap buruh yang cuba melarikan diri dan dihukum dengan sebatan sehingga mati. Mayat mereka akan dijadikan baja benih getah.[6] Akibat kekejaman ini telah berlaku satu mogok buruh. Kerajaan kolonial telah bertindak menghantar wakil Pejabat Buruh bagi menyiasat. Namun keadaan tidak berubah kerana berlakunya rasuah yang berleluasa dalam kalangan pegawai penyiasat.



[1] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah tanah besar Asia tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 90.

[2] Ibid., hlm. 101.

[3] Ibid., hlm. 101.

[4] Ibid. hlm. 103.

[5] Ibid., hlm. 103.

[6] Ibid., hlm. 104.

No comments:

Post a Comment