Website counter

Thursday, December 8, 2011

Politik Indonesia

1.0 PENDAHULUAN

Indonesia merupakan sebuah negara yang terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai ramai penduduk. Kedudukannya dikatakan strategik kerana berada di antara lautan Hindi dan Lautan Pasifik.[1] Oleh sebab Indonesia mempunyai kepadatan penduduk yang ramai, negara ini juga mempunyai pelbagai aliran politik. Berikutan munculnya aliran politik yang masing-masing mempunyai fahaman yang berbeza, kesannya telah mencetuskan pelbagai konflik dalam sistem pemerintahan negara. Selepas Jepun menyerah kalah, Indonesia perlu membentuk sebuah jentera pentadbiran bagi membuat keputusan untuk negara serta rakyatnya. Namun, perubahan sosiobudaya yang berlaku, tidak mungkin bagi Indonesia memilih untuk mewujudkan sistem pemerintahan bercorak tradisional. Tambahan pula, pemimpin yang baru bukanlah terdiri daripada golongan kerabat diraja mahupun bangsawan.

Indonesia telah mencapai kemerdekaannya pada tanggal 17 Ogos 1945.[2] Sama seperti negara Asia Tenggara yang lain, Indonesia telah memilih untuk mencontohi sistem kerajaan bekas penjajahannya. Hal ini dibuktikan apabila pemimpin-pemimpin baru yang menerajui negara telah mula terpikat dengan idea kemodenan dan pembinaan sebuah bangsa moden, kesan daripada pengaruh penjajahan yang berlaku ke atas mereka. Indonesia mula menjalani kehidupan sebagai sebuah negara merdeka dengan kuasa berada dalam tangan-tangan pemimpin republik yang ditubuhkan dalam tahun 1945 semasa kekalahan Jepun.[3] Walau bagaimanapun, Indonesia telah mengisytiharkan negaranya sebagai sebuah negara kesatuan yang berada di bawah pimpinan Sukarno dan Hatta.[4] Namun, penyerahan sebenar kuasa kepada Kesatuan Indonesia oleh Belanda hanya dilakukan pada Disember 1949 setelah persetiaan Hague disahkan.[5]

Cabaran selepas merdeka merupakan satu bentuk ujian yang penting bagi Indonesia untuk mencapai kemakmuran dan menuju era kemajuan. Selepas kemerdekaan dicapai, Indonesia dilihat telah banyak mengalami perubahan dalam sistem pentadbiran negaranya. Indonesia telah melalui beberapa siri corak pemerintahan seperti Era Demokrasi Berparlimen 1949-1957, kemudian bertukar kepada Era Demokrasi Terpimpin 1957-1967 dan akhirnya membawa kepada berakhirnya zaman Sukarno. Oleh itu, dalam esei ini, hal yang akan dibincangkan ialah mengenai corak kepimpinan pemerintah di Indonesia dalam menentukan perjalanan politik negara selepas merdeka.

2.0 PEMERINTAHAN SELEPAS MERDEKA

Mengikut susunan perlembagaan selepas merdeka, Indonesia sepatutnya mempunyai sebuah Majlis Penasihat, Jabatan Presiden dan sebuah dewan Wakil Rakyat. Namun oleh sebab pilihan raya yang tidak dapat dijalankan, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan telah mengambil keputusan untuk memutuskan bahawa semua kuasa akan dilaksanakan oleh seorang presiden yang dilantik. Presiden ini akan dibantu oleh Jawatankuasa Kebangsaan Pusat.[6] Walau bagaimanapun, selepas tahun 1949, kabinet yang ditubuhkan ini mula goyah. Telah berlakunya perselisihan di antara Sukarno dengan timbalan presidennya sendiri iaitu Hatta. Dalam hal ini, punca disebabkan sikap presiden yang mula mengambil kesempatan di atas perlembagaan yang kurang tegas berkenaan kedudukannya. Beliau telah menuntut kuasanya lebih daripada seorang ketua kerajaan dan perundangan. Konflik yang berlaku ini akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Hatta sebagai naib presiden.

Menurut Profesor Kahin dalam D. G. E Hall (1972), Sukarno adalah merupakan seorang pemimpin nasionalis yang revolusioner dan bukanlah seorang presiden berperlembagaan.[7] Terdapat banyak kelemahan yang dilihat terhadap Sukarno sebagai seorang ketua negara. Beliau dikatakan gagal memahami perasaan kedaerahan, enggan mengikut nasihat-nasihat pemimpin-pemimpin yang berkelayakan yang pernah menjadi kawan-kawannya dulu dan juga kelemahan pengetahuan tentang bidang ekonomi. Sebagai contoh, konflik yang berlaku di Aceh. Walaupun Aceh menjadi pusat ekonomi utama, namun rakyat Aceh mengalami kehidupan yang sukar dan hidup dalam kemiskinan. Hal ini disebabkan kuasa pusat yang telah mengaut keuntungan tetapi mengabaikan kebajikan daerah-daerahnya.

3.0 ERA DEMOKRASI BERPARLIMEN

Indonesia mempunyai parti-parti politik yang besar jumlahnya. Oleh hal demikian, telah berlakunya persaingan dalam kalangan parti-parti berebut untuk mentadbir kerajaan. Hal ini dapat dibuktikan pada bulan Julai 1955, apabila pilihan raya pertama telah diadakan seperti yang dirancang pada bulan September tahun tersebut. Golongan tentera yang pada mulanya kuat mengecam parlimen juga dilihat telah mula berminat dengan pilihan raya tersebut. Ketua Turus Tentera telah mewujudkan satu parti dikenali sebagai Ikatan Pendukung Kemerdekaan Indonesia.[8] Oleh sebab jumlah parti yang besar ini, tiada sebuah parti yang berjaya menubuhkan kerajaan. Kerajaan hanya dibentuk daripada beberapa parti yang telah bergabung supaya mendapat jumlah kerusi yang secukupnya dan bukan berdasarkan kesefahaman. Penggabungan yang lemah ini tidak mungkin dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

Pilihan raya yang dijalankan ini juga diragui kerana dilakukan dengan cara tidak berkesan. Hal ini kerana, mereka yang buta huruf sekalipun dapat mengundi disebabkan pilihan raya ini hanya menggunakan simbol-simbol bagi rakyat mengundi. Selain itu, wakil-wakil parti telah memasuki desa dan mempengaruhi rakyat dengan janji-janji manis, malah tekanan dan juga kecaman. Menurut pandangan sejarah, pilihan raya umum pertama ini juga merupakan untuk yang terakhir kerana dengan ini berakhir lah sudah zaman berparlimen di Indonesia.[9] Selain itu, kekecohan yang berlaku dalam kalangan wilayah luar juga telah mengakibatkan kejatuhan kepada demokrasi berparlimen. Kabinet Ali yang memegang kerajaan pada ketika itu kemudiannya terpaksa menyerahkan kuasa pada 14 Mac. Kesannya, Indonesia telah diisytiharkan darurat dan berada dalam undang-undang tentera.

Penyerahan kuasa oleh kabinet Ali telah membuka peluang kepada Sukarno kembali semula ke pentas politik setelah sekian lama dipinggirkan. Sukarno yang berpegang kepada konsep revolusi menyatakan bahawa apa yang berlaku adalah disebabkan oleh tokoh-tokoh politik yang telah hilang semangat revolusi sehingga gagal memenuhi hasrat rakyat. Kesannya, perselisihan telah berlaku antara mereka dan menggugat perpaduan yang dibina dalam tempoh revolusi. Sukarno juga berpendapat bahawa demokrasi barat telah gagal diaplikasikan dalam pentadbiran Indonesia. Oleh demikian, beliau perlu mencari suatu sistem politik berdasarkan kebudayaan aslinya iaitu berdasarkan prinsip musyawarah dan muafakat yang terkandung dalam majlis kampung tradisional.[10] Beliau telah melahirkan apa yang disebut sebagai Demokrasi Terpimpin.

4.0 ERA DEMOKRASI TERPIMPIN

Dalam era pemerintahan ini, kuasa lebih banyak daripada presiden, tentera malah juga Parti Komunis Indonesia (PKI). Menurut Sukarno telah tiba masanya untuk negara diperintah oleh pemimpin yang secara musyawarah dan dijalankan orang lebih tua yang tidak hanya meniru tetapi memimpin seperti yang banyak dilakukan oleh semua negara demokrasi di Asia.[11] Sukarno ingin membina sebuah negara Indonesia berdasarkan acuan tersendiri. Ini dapat dibuktikan apabila Sukarno telah mengisytiharkan bahawa perdagangan dengan luar negeri hanya akan dilayan jika mereka dapat menyesuaikan diri dengan peraturan kerajaan. Malahan hak warganegara asing dilucutkan terhadap tanah di Indonesia dan menghapuskan pemakaian sarung tangan besi yang mencerminkan budaya imperialisme.[12] Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan Indonesia mahu menjalankan dasarnya sendiri dengan melaksanakan kebudayaan nasional dan menghapuskan nilai-nilai barat.

Di dalam pemerintahan ini, dua dewan parlimen telah dibentuk iaitu Majlis Permusjarawatan Rakyat (MPR) dan Dewan Pertimbangan Agung (DPA). Ahli-ahli bagi kedua dewan ini telah dilantik sendiri oleh Sukarno sendiri atas alasan peraturan pengundian belum digubal. Sepanjang berlangsungnya Era Demokrasi Terpimpin ini (1957-1965), pilihan raya tidak diadakan. Walau bagaimanapun, Sukarno perlu mendapatkan sokongan bagi menjalankan dasar pemerintahannya. Oleh demikian, beliau telah bekerjasama dengan golongan tentera yang kemudiannya telah membantu dalam mematahkan pemberontakan Pemerintahan Revolusi Republik Indonesia. Kedudukan tentera semakin kukuh kesan daripada kerjasama tersebut. Sejak tahun 1958, media massa telah pun dikuasai. Penguasaan ini menyebabkan pihak media tidak berani untuk mengecam tindakan yang dilakukan pada Era Demokrasi Terpimpin ini.[13]

Sukarno juga telah bekerjasama dengan PKI kerana beranggapan bahawa PKI adalah satu parti yang masih mempunyai semangat revolusi. Sukarno juga telah memperkenalkan slogan ‘Nasakom’ yang mewakili singkatan kata depan perkataan nasionalisme, agama dan komunis. Beliau menekankan bahawa nasionalis, Islam dan kumpulan agama yang lain sepatutnya bergabung dengan Marxis dalam semangat gotong-royong untuk memenuhi matlamat revolusi.[14] Walau bagaimanapun, konflik telah tercetus antara pihak tentera dan juga PKI. Sukarno telah menerima banyak petisyen mendesak supaya mengharamkan PKI kerana terlibat dengan Gestapo, iaitu Gerakan 30 September.[15] Gerakan tersebut ialah satu cubaan sekumpulan pihak tentera untuk membuat rampasan kuasa terhadap Sukarno. Namun, gerakan tersebut berjaya dibanteras oleh golongan tentera yang berada di bawah Suharto. Walau bagaimanapun, Suharto telah mengambil peluang ini untuk membanteras PKI. Oleh itu, beliau telah menuduh bahawa rampasan kuasa tersebut telah dirancang oleh pihak komunis.

5.0 KESIMPULAN

Jelas dilihat bahawa untuk membentuk sebuah negara selepas merdeka bukanlah mudah. Walaupun telah mencapai status sebagai sebuah negara merdeka, pergolakan politik di Indonesia seringkali berlaku. Konflik yang tercetus ini adalah disebabkan daripada sikap pemerintah yang mentadbir serta perpecahan dan perebutan kuasa dalam kalangan parti-parti politik untuk menguasai kerajaan. Ketidaksefahaman inilah akhirnya telah menyumbang kepada ketidakstabilan politik di Indonesia. Sukarno berpendapat bahawa ke tidak persefahaman ini adalah kesan daripada corak pemerintahan penjajah. Akhirnya pengaruh barat dalam Era Demokrasi Berparlimen telah ditukar kepada corak pemerintahan nasional iaitu sewaktu Era Demokrasi Terpimpin.

Setelah berlakunya pelbagai konflik, akhirnya pada 11 Mac, Sukarno telah diminta untuk menyerahkan kuasanya kepada Suharto setelah mesyuarat kabinet dicapai. Keadaan politik Indonesia yang berada dalam keadaan tidak stabil pada pertengahan 60-an telah beransur pulih. Pada 27 Mac 1968, Jeneral Suharto telah memangku jawatan presiden kedua Indonesia dan secara rasminya telah dilantik oleh Majlis Perwakilan Sementara untuk jangka masa lima tahun.[16] Dengan itu, Indonesia mula memasuki era pemerintahan tentera.

BIBLIOGRAFI:

A.Rani Usman. (2003). Sejarah peradaban Aceh: suatu analisis interaksionis, intergrasi dan konflik. Indonesia: Yayasan Obor.

Bernhard Dahm. (1988). Sejarah Indonesia abad kedua puluh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

D. G. E Hall. (1972). Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Donald W. Fryer. (1979). Asia Tenggara yang sedang membangun: suatu kajian mengenai perkembangan dan sebaliknya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Herbert Feith. (2001). Soekarno dan militer dalam demokrasi terpimpin. Jakarta: Pustaka Sinar Harapan.

Neta S, Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka solusi, harapan dan impian. Jakarta: Penerbit PT Gramedia Widiasarana Indonesia.

Tan Pek Leng. (2004). Sejarah Asia Tenggara moden. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Yogyakarta: Gadjah Mada University Press.



[1] Donald W. Fryer. (1979). Asia Tenggara yang sedang membangun: suatu kajian mengenai perkembangan dan sebaliknya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 401.

[2] Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Yogyakarta: Gadjah Mada University Press. Hlm. 279.

[3] D. G. E Hall. (1972). Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 1068.

[4] A. Rani Usman. (2003). Sejarah peradaban Aceh: suatu analisis interaksionis, intergrasi dan konflik. Indonesia: Yayasan Obor. Hlm. 119.

[5] Bernhard Dahm. (1988). Sejarah Indonesia abad kedua puluh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 187.

[6] D. G. E Hall. (1972). Sejarah Asia Tenggara. Hlm. 1068.

[7] Ibid., Hlm. 1068.

[8] Bernhard Dahm. (1988). Sejarah Indonesia abad kedua puluh. Hlm. 221.

[9] Ibid., hlm. 222-225.

[10] Tan Pek Leng. (2004). Sejarah Asia Tenggara moden. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Hlm. 17.

[11] Bernhard Dahm. (1988). Sejarah Indonesia abad kedua puluh. Hlm. 248.

[12] Ibid., Hlm. 249.

[13] Herbert Feith. (2001). Soekarno dan militer dalam demokrasi terpimpin. Jakarta: Pustaka Sinar Harapan. Hlm. 79.

[14] Bernhard Dahm. (1988). Sejarah Indonesia abad kedua puluh. Hlm. 251.

[15] Ibid., Hlm. 311.

[16] Ibid., Hlm. 331.

No comments:

Post a Comment