Website counter

Monday, January 2, 2012

Filipina

1.0) PENGENALAN

Tugasan ini akan membincangkan tentang peranan yang dimainkan oleh presiden Filipina iaitu Ramon Magsaysay dalam pembinaan negara tersebut selepas merdeka. Ramon Magsaysay ialah presiden ketiga Filipina yang mula menjalankan tugas pada 30 Disember 1953. Beliau sangat terkenal dengan gelaran “people presiden” dalam kalangan rakyat Filipina. Hal ini kerana, sepanjang beliau berkhidmat sebagai presiden Filipina beliau sentiasa berusaha dan mencuba sedaya upaya untuk menunaikan janji-janjinya kepada rakyat Filipina. Beliau seorang presiden yang sangat terkenal dan menjadi contoh bukan sahaja di negara sendiri tetapi juga di serata dunia termasuklah di negara-negara Asia dan Amerika. Sepanjang pemerintahan Magsaysay beliau telah berusaha keras untuk membaiki keadaan di Filipina dalam pelbagai aspek tidak kira dari aspek ekonomi, sosial mahupun politik untuk membina negara Filipina yang lebih baik.

2.0) PERANAN RAMON MAGSAYSAY DALAM PEMBINAAN NEGARA FILIPINA

Magsaysay telah mengambil alih pemerintahan Filipina semasa Filipina berada dalam tempoh post-war. Tempoh waktu tersebut menyaksikan Filipina masih lagi tidak kukuh kedudukannya dalam pelbagai bidang. Jadi, dalam usaha untuk membina negara Filipina menjadi lebih baik, Magsaysay telah memainkan peranannya yang tersendiri. Pada awal pemerintahannya, beliau telah berjaya meluluskan Akta Republik 997. Akta ini merupakan akta penting dalam pembinaan negara Filipina kerana akta ini membolehkan Magsaysay meningkatkan kuasa eksekutifnya yang. seterusnya membolehkan beliau membuat Rancangan Lima Tahun dalam pembangunan ekonomi negara. Rancangan tersebut menjana 1.7 juta pekerjaan kepada rakyat Filipina. Peluang pekerjaan tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah pengangguran yang sedang kronik di negara tersebut. Beliau juga cuba meningkatkan peluang pekerjaan di Filipina dengan menghadkan kemasukan pekerja luar untuk mengelakkan wujudnya persaingan dalam peluang pekerjaan disamping menggalakkan dagangan import dan eksport untuk menambah bilangan rakyat Filipina yang terlibat dalam perdagangan yang seterusnya dapat mempertahankan perusahaan tempatan.

Dalam usaha untuk memberi pembelaan kepada rakyat Filipina yang tidak mempunyai tanah, Magsaysay telah memberi tanah kepada mereka. Beliau mewujudkan National Ressettlement and Rehabilitation Administration (NARRA) untuk membantu ribuan keluarga yang tidak bertanah di Mindanao, Palawan dan beberapa kawasan lagi. Beliau turut mewujudkan The Land Tenure Administration di bawah Akta Republik 1400 yang membolehkan tanah estet diagihkan kepada penyewa dengan kadar pembayaran ansuran yang lebih mudah. Hal ini sangat penting dalam pembinaan negara kerana NARRA dapat membantu membaiki sosial dan ekonomi rakyat Filipina.

Selain itu, Magsaysay juga telah menubuhkan Presidential Assistant for Community Develoment (PACD) sebagai usaha untuk membantu masyarakat luar bandar khususnya para petani dalam bidang ekonomi. Melalui program ini, pihak kerajaan akan membantu para petani meningkatkan produktiviti mereka dan meluaskan peluang pemasaran. Selain itu, pihak Amerika turut menunjukkan sokongan dengan memberi dana permulaan sebanyak $ 4.2 juta dan penambahan $ 42.5 juta untuk membolehkan program ini terus berjalan. Magsaysay juga cuba meningkatkan pengeluran pertanian padi dengan memperkenalkan Margrate System dan Masagana System. Melalui sistem ini petani didedahkan dengan kaedah saintifik penanaman padi serta menggunakan pelbagai jentera pertanian. Disebabkan itu, pengeluaran padi dapat ditingkatkan. Di bawah pelbagai rancangan pembangunan ekonomi, Magsaysay telah berjaya meningkatkan pendapatan negara. Buktinya pada tahun 1956 pendapatan Filipina meningkat kepada 10.3 billion iaitu pendapatan tertinggi negara tersebut sejak tahun 1946. Usaha-usaha ini dilihat sebagai antara usaha penting Magsaysay dalam pembinaan negara kerana beliau sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi di Filipina disamping memberi tumpuan untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Bidang pertahanan pula menyaksikan Magsaysay telah berjaya membawa sumbangan besar dalam pembinaan negara Filipina kerana beliau telah berhasil menghapusakan pemberontakan Huk yang mengamcam negara tersebut. Pemberontakan ini mempunyai matlamat untuk menyebarkan ideologi komunis di negara Filipina. Disebabkan beliau merasakan gerakan ini akan menghalang pembinaan negara yang lebih baik maka, Magsaysay berusaha keras untuk menghapuskan pemberontakan tersebut. Antara usaha beliau untuk membendung gerakan ini ialah beliau menawarkan kehidupan yang lebih baik kepada ahli Huk yang menyerah diri melalui program penempatan semula bekas anggota pemberontak Huk yang tidak mempunyai salah laku jenayah di bawah program Economic Development Corps (EDCOR). EDCOR telah berjaya menjadi propaganda penting kerajaan dalam usaha menghapuskan gerakan Huk. Kemuncak kejayaan program yang direncana oleh Magsaysay ini ialah apabila Luis Taruc telah menyerah diri kerana sedar beliau tidak lagi mampu untuk menarik sokongan rakyat Filipina yang seterusnya menggagalkan usahanya untuk melawan rancangan Magsaysay. Peranan Magsaysay dalam menghapuskan gerakan Huk ini dilihat sebagai suatu peranan penting dalam pembinaan negara.

Magsaysay juga telah mengubah dasar luar negaranya dengan keahliannya dalam Southeast Asia Treaty Organization (SEATO). SEATO menyaksikan Filipina mula menunjukkan bahawa mereka bebas dalam menjalinkan hubungan antarabangsa dan tidak terikat hanya pada negara Amerika. Penyertaan dalam SEATO membuktikan bahawa Filipina mula sedar kedudukannya dalam Asia. Hubungan Filipina dengan negara-negara Asia dikuatkan lagi dengan penyertaan Filipina dalam Persidangan Bandung. Maka, perubahan dasar luar Magsaysay yang tidak hanya terhad kepada negara Amerika adalah usaha penting dalam pembinaan negara Filipina.

Dalam usaha untuk membina negara yang lebih baik, Magsaysay telah berusaha meningkatkan taraf pendidikan di negara tersebut. Pada tahun 1955 menyaksikan peningkatan bilangan sekolah awam iaitu sebanyak 25,631 buah berbanding hanya 12,000 pada tahun 1946. Bilangan universiti juga turut ditambah menjadi 9 buah universiti pada tahun 1957. Bidang pendidikan di Filipina semasa pemerintahan Magsaysay telah melalui pelbagai inovasi kerana beliau telah memberi perhatian kepada pendidikan vokasional selain penekanan kepada Filipinism untuk menyemai semangat cinta akan negara bermula dari sekolah lagi. Sesungguhnya sepanjang tiga tahun pemerintahannya Magsaysay berjaya membuktikan bahawa beliau adalah cahaya disebalik kesuraman di negara tersebut yang seterusnya melayakkan beliau digelar “People President”.

3.0) ANALISIS

Jika diteliti Ramon Magsaysay telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan negara tersebut. Beliau telah memerintah Filipina dengan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat terutama rakyat yang miskin. Beliau juga mementingkan identiti negara Filipina dan berusaha untuk memperkenalkan budaya sebenar Filipina di dunia luar. Beliau sangat mementingkan penggunaan bahasa Filipina dalam pertuturan serta sangat menggalakkan pemakaian barong tagalog sebagai pakaian tradisi Filipia yang harus diperkenalkan di mata dunia. Walaupun Magsaysay dilihat gagal melunaskan sebahagian dari janjinya disebabkan kematian mengejut akibat tragedi kapal terbang terhempas namun, sepanjang tiga tahun pemerintahannya beliau telah berjaya membawa kemegahan dalam sejarah Filipina.

3.1) Kejayaan

Kejayaan terbesar beliau ialah menghapuskan pemberontakan Huk hingga menyebabkan beliau telah menjadi perhatian bukan sahaja rakyat Filipina tetapi juga masyarakat dunia. Hal tersebut menjadikan beliau antara individu penting dalam pembinaan negara Filipina kerana beliau berjaya membuka mata dunia terhadap kemampuan seorang pemerintah Filipina dalam menjaga keselamatan negaranya. Beliau turut memberi nafas baru kepada ekonomi di Filipina dengan pelbagai perubahan yang membanggakan. Antaranya Rancangan Lima Tahun, penubuhan PACD serta pengenalan Margrate System dan Masagana System telah meningkatkan ekonomi Filipina. Dalam pemerintahannya, Magsaysay memegang prinsip bahawa beliau harus meneguhkan keyakinan rakyat kepada kerajaan. Prinsip ini menjadi contoh berguna pemimpin baru Filipina kerana keyakinan rakyat kepada pihak kerajaan akan membantu mendorong rakyat untuk menghormati pemimpin yang seterusnya menyokong setiap langkah kerajaan untuk membina negara.

3.2) Kelemahan

Disebalik peranan besar Magsaysay dalam pembinaan negara Filipina, terdapat beberapa kelemahan yang dapat dikesan sepanjang beliau memerintah. Kelemahan yang paling ketara ialah beliau terlalu memberi perhatian kepada ketenteraan hingga mengabaikan peranan pihak polis. Disamping itu, Magsaysay juga masih lagi tidak berjaya mengekang kuasa legislatif dalam ketenteraan kerana pihak legislatif masih lagi mengawal pelantikan dan kenaikan pangkat tentera. Hubungan baik beliau dengan pihak Amerika sering kali dijadikan propaganda oleh pihak pembangkang untuk memburukkan Magsaysay. Pembangkang berpendapat bantuan yang diberikan Amerika adalah cara negara tersebut menjajah Filipina secara halus. Kebergantungan Filipina kepada Amerika dalam bidang ekonomi akan menyekat pembangunan ekonomi di negara tersebut. Semasa pemerintahan beliau, Magsaysay juga dilihat gagal menyelesaikan masalah rasuah yang berleluasa di negara tersebut. Walaupun terdapat kelemahan dalam pemerintahannya karisma beliau sebagai pemimpin dan nasionalis tidak boleh dipertikaikan hingga Arsenio H. Lascon pernah menyatakan bahawa Magsaysay ialah merupakan tokoh paling hebat yang pernah dilahirkan di Filipina.

4.0) KESIMPULAN

Kesimpulannya, Magsaysay telah memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk membina negara Filipina menjadi sebuah negara yang lebih baik selepas merdeka. Sepanjang pemerintahan beliau, rakyat Filipina telah mengalami pelbagai perubahan membina dalam ekonomi, sosial dan politik. Walaupun Magsaysay tidak mampu untuk memberi kemajuan sepenuhnya kepada negara namun usaha dan rancangan beliau untuk membangunkan negara seharusnya diberi pujian. Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa presiden ini memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan negara Filipina.

No comments:

Post a Comment