Website counter

Tuesday, January 3, 2012

Vietnam

1.0 Pengenalan

Kolonialisme merujuk kepada penguasaan politik secara rasmi oleh sesebuah kuasa besar ke atas sesuatu wilayah lain yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial.[1] Kolonialisme berkait rapat dengan dasar imperialisme yang dijalankan oleh kuasa penjajah dengan tujuan meluaskan kuasa, pengaruh serta mendapatkan kekayaan hasil bumi kawasan yang dijajah. Di Vietnam, pelbagai dasar telah dilaksanakan oleh Perancis sehingga mengubah hampir keseluruhan sistem politik dan struktur sosioekonomi. Antaranya ialah penghapusan sistem feudal, pengenalan ekonomi komersial dan perubahan pendidikan ala barat yang mementingkan bahasa Perancis dan agama Kristian. Perubahan tersebut telah membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Vietnam demi mengembalikan kedaulatan negara tersebut. Dasar kolonialisme yang dilaksanakan oleh Perancis sebenarnya memberi impak positif dan negatif kepada negara Vietnam. Walau bagaimanapun, kesan positif dan negatif kolonialisme ini telah bergerak seiring dalam mencetuskan semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme telah memuncak selepas berlakunya perang pertama iaitu 1914 sehingga 1918.

2.0 Politik

Koloniaslisme Perancis ke atas Vietnam bermula pada 1885 telah mengubah sistem beraja kerajaan tersebut setelah dua abad ia diamalkan.[2] Sebelum kehadiran Perancis, kekuasaan maharaja Vietnam meliputi hampir keseluruhan aspek politik, sosial dan ekonomi. Agama Buddha turut meletakkan maharaja Vietnam sebagai suci. Unsur agama ini telah memperkuatkan lagi kuasa pemerintahannya. Namun begitu, selepas penjajahan Perancis ke atas Vietnam, sistem feudal yang diamalkan sebelum itu dihapuskan secara berperingkat-peringkat.

Di Asia Tenggara sekitar abad ke-19, raja dianggap sebagai penaung kehidupan rakyat.[3] Segala urusan kehidupan golongan bawahan bergantung kepada pemerintah. Demi menjaga sensitiviti dan kesetiaan rakyat kepada raja, pihak kolonial cuba mengekalkan sistem ini dalam memastikan hubungan pemerintah feudal dan pihak penjajah berada dalam keadaan baik. Pengekalan hubungan baik tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan penentangan dan ancaman dalam kalangan masyarakat tempatan. Justeru, kolonial Perancis turut menggunakan pendekatan ini dalam memastikan masyarakat Vietnam tidak bangkit menentang kolonial.

Dalam jangka masa pendek, sistem beraja di Vietnam mengalami perubahan yang agak ketara. Kesan peringkat awal, raja sebagai boneka dalam hierarki pemerintahan. Kolonialisme Perancis menyebabkan maharaja Vietnam hanya berkuasa pada agama dan adat istiadat tempatan sahaja. Manakala kekuasaan ekonomi dan sosial terletak pada bahu pegawai-pegawai Perancis dan tempatan yang dilantik kolonial. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kesan kolonialisme Barat telah mengubah sistem kemaharajaan Vietnam.

Kejatuhan Dinasti Nguyen dan kekalahan rejim Thuyet dalam mengusir kekuasaan Perancis di Vietnam telah mengubah sistem monarki Vietnam. Hal ini terbukti apabila Raja Dhong Khan dilantik sebagai maharaja yang baru oleh Perancis.[4] Dhong Khan merupakan ketua negara tetapi yang menjalankan segala urusan pentadbiran wilayah-wilayah penting Vietnam adalah wakil-wakil Perancis. Sejak 1887, Indochina diuruskan oleh seorang Gabenor General yang berpusat di Hanoi.[5] Di bawah Gabenor General, lima orang pegawai tertinggi dilantik sebagai pentadbir wilayah-wilayah Indochina. Hal ini menunjukkan bahawa kedatangan kolonial Perancis menghakis kekuasaan maharaja yang dahulunya berkuasa mutlak.

Kelemahkan kekuasaan maharaja disebabkan oleh kolonialisme Perancis, wujud gerakan awal nasionalisme untuk mengembalikan sistem monarki. Gerakan ini diketuai Phan Boi Chau dalam mewujudkan sentimen anti-Perancis dalam kalangan masyarakat Vietnam.[6] Bagi memastikan kekuasaan maharaja Vietnam dipulihkan, beliau menubuhkan Persatuan Pemulihan (Duy Tan Hoi) di bawah kepimpinan Putera Cuong De ketika itu.[7] Beliau juga menggalakkan golongan muda Vietnam melarikan diri ke luar negara iaitu Jepun dengan menganggotai persatuan tersebut. Pergerakan secara sulit ini tidak dapat dikesan dengan mudah oleh pihak Perancis kerana ibu pejabatnya berada di Jepun. Tujuan sebenar persatuan ini ditubuhkan ialah untuk melahirkan golongan yang mentaati raja, mencintai negara Vietnam dan bersemangat untuk berubah dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial.

Kolonialisme Perancis turut memberi kesan terhadap pentadbiran tradisional Vietnam yang dahulunya dikuasai oleh golongan mandarin. Hal ini dilihat apabila sistem tradisional ini digantikan dengan sistem residen. Perubahan sistem tersebut menyebabkan pihak Perancis membahagikan Vietnam kepada tiga bahagian iaitu Cochin China, Annam dan Tonkin.[8] Pembahagian tersebut memberi kelebihan kepada Perancis dalam mengawal hal pentadbiran dan ekonomi setiap bahagian. Setiap bahagian akan diwakili oleh seorang residen. Sekaligus, ia dapat mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan. Berdasarkan kepada pembahagian tersebut, Annam dan Tonkin diletakkan di bawah sistem residen dengan menjadikan Gabenor Jeneral yang berpusat di Hanoi sebagai kuasa tertinggi di Vietnam.

Walau bagaimanapun, Perancis masih mengekalkan raja dan golongan mandarin di Tonkin dan Annam berasaskan sistem dualisme. Melalui sistem ini, raja dan golongan mandarin akan melaksanakan segala urusan pentadbiran berdasarkan nasihat residen. Impaknya, kuasa raja dan golongan mandarin dihapuskan secara berperingkat-peringkat. Hal ini terbukti apabila kuasa pentadbiran wakil raja di Tonkin iaitu Kuai Luoc (Wizurai) dan Majlis Co-mat Vien di Annam telah diambil alih oleh kuasa residen.[9] Hal ini menyebabkan, segala keputusan yang dibuat oleh raja dan golongan mandarin perlu mendapat keizinan daripada residen.

Pengenalan sistem residen ini berjaya mengurangkan kuasa sistem tradisional. Buktinya, wujud perpecahan dalam kalangan golongan mandarin kepada dua. Dua golongan ini adalah mereka yang menyokong kepada Perancis dan anti-Perancis. Golongan mandarin yang menentang kolonial Perancis telah mewujudkan gerakan anti-Perancis sekaligus membina semangat nasionalisme di Vietnam. Namun begitu, semangat nasionalisme pada ketika itu lebih bersifat kedaerahan yang memberi manfaat kepada golongan pemerintah dan bukannya membabitkan soal kemerdekaan. Sebagai contoh, Parti Perlembagaan yang ditubuhkan oleh Bui Quang Chieu pada tahun 1917.[10] Ia lebih bertujuan mengembalikan kekuasaan politik dan ekonomi golongan elit dan pertengahan di Cochin China. Begitu juga dengan parti Viet Nam Quoc Dang Dang (VNQDD) yang ditubuhkan pada 1927 oleh Nguyen Thai Hoc yang berpusat di Hanoi.[11] Hal ini menyebabkan, parti-parti ini mengalami kegagalan dalam mewujudkan semangat nasionalisme Vietnam dalam kalangan masyarakat.

Semangat anti–Perancis secara menyeluruh telah dipelopori oleh Ho Chi Minh yang merupakan golongan mandarin kelas rendah.[12] Ketika perang dunia pertama pada tahun 1914-1918, Ho Chi Minh telah telah terdedah dengan political education[13] ketika berada di Perancis. Kesan pendedahan tersebut, pemikiran beliau telah dipengaruhi oleh aliran Lenin[14] dan bergiat aktif dalam arena politik di sana. Ho Chi Minh cuba mewujudkan semangat nasionalisme dengan menubuhkan Parti Thanh Nien di Canton pada tahun 1925.[15] Namun, parti ini gagal kerana mendapat tekanan daripada negara China. Kegagalan parti ini sebenarnya telah mempercepatkan penubuhan Parti Komunis Indochina pada 1930.[16] Parti Komunis Indochina cuba menarik seberapa ramai golongan buruh dan petani bagi menyokong penentangan mereka melawan Perancis. Walau bagaimanapun, parti ini terhenti sementara pada tahun 1936 disebabkan oleh penyusunan semula gerakan tersebut oleh Tran Van Giau.

Kegagalan parti-parti bersifat kedaerahan dan mengikut kelas masyarakat menyebabkan ideologi antarabangsa dikenali sebagai komunisme berkembang. Fahaman ini bukanlah dibawa oleh Perancis tetapi ia menular dalam kalangan penduduk berikutan kesedaran masyarakat yang ingin bersatu dari semua kelas penduduk. Pengaruh komunis yang berkembang di Eropah mempengaruhi pemikiran penduduk Vietnam yang dibawa ke sana semasa Perang Dunia Pertama oleh Perancis.[17] Kesedaran penduduk terutamanya yang berpendidikan mengembangkan ideologi ini lalu meresap dengan pantas ke dalam golongan massa. Persamaan kelas dan pembebasan dari kuasa asing menjadi agenda perjuangan komunis menjadikan ideologi ini mudah diterima.

Nguyen Au Quoc atau Ho Chi Minh berperanan menyebarkan pengaruh komunis melalui penulisan di dalam akhbar seperti L’Humaniti, La Vie Ouvriere dan Le Paria dan penubuhan Parti Pemuda Revolusioner atau Thanh Nien.[18] Beliau berperanan besar dalam mengembangkan pengaruh ini sehingga berjaya menyatukan penduduk Vietnam menentang Perancis berbanding gerakan penyatuan oleh nasionalis bukan komunis yang terdiri daripada golongan atasan dan pertengahan seperti Parti Constitionaliste (Parti Perlembagaan) dan VNQDD atau (Parti Nasionalis Vietnam).[19] Usaha menubuhkan Parti Komunis Indochina pada 1930 merupakan usaha ke arah menamatkan rejim kolonial Perancis dan menggantikannya dengan pemerintahan komunis.

Berdasarkan kekuatan prinsip kesamarataan yang diperjuangkan, pendukung aliran komunis tetap dengan prinsip mereka walaupun terpaksa mengharungi kesengsaraan menentang kuasa Barat. Beberapa siri penentangan dan peperangan demi memperjuangkan prinsip komunis dan pembebasan dari kuasa kolonial. Antaranya ialah Perang Indochina I (1949-1953) dan Perang Vietnam II (1960-1975).[20] Pengaruh komunis yang masuk ini merupakan kesan besar kepada Vietnam setelah Perancis menguasai negara tersebut. Fahaman ini diambil sebagai ideologi negara Vietnam dan kekal hingga ke hari ini. Kuasa penjajah menyuntik kesedaran orang Vietnam untuk bersatu dan ideologi komunis ini menjadi medium penyatuan berikutan prinsipnya yang mementingkan kebajikan rakyat.

Berdasarkan rentetan peristiwa dan pengamatan, dapat dinyatakan bahawa ideologi komunis dibawa ke Vietnam sebagai agen penyatuan semua golongan. Ia secara terus menerus membina kekuatan orang Vietnam dalam membebaskan negara mereka dari penjajah. Dalam tempoh jangka panjang, melalui ketegaran fahaman ini, ia berjaya menyaingi pengaruh lain di Vietnam Selatan hingga terbentuk Rebublik Vietnam Sosialis (SRV) pada Julai 1976 di samping mengusir kuasa kolonial Perancis dan kuasa Barat lain dari bumi Vietnam.[21] Ia lahir kesan kolonialisme dan bertindak sebagai agen pengusir kuasa kolonial melalui kebijaksanaan pemimpin dan semangat menentang dari rakyat.

3.0 Ekonomi

Penguasaan Perancis ke atas Vietnam pada tahun 1885 telah mengubah ekonomi bercorak tradisional kepada ekonomi komersial. Perkembangan ekonomi komersial di Vietnam telah menggalakkan aktiviti pertanian dilaksanakan secara besar-besaran. Permintaan tinggi pasaran dunia terhadap beras dan getah merancakkan lagi pembukaan beratus-ratus ladang getah dan aktiviti penanaman padi di Sungai Mekong.[22] Kesannya, Vietnam menjadi salah sebuah negara pengeksport utama beras. Perlombongan arang batu turut menjadi komoditi penting dalam ekonomi Vietnam. Tonkin merupakan kawasan utama pengeluaran arang batu di Vietnam.[23] Kegiatan perlombongan arang batu semakin berkembang apabila Perancis membawa masuk pemodal asing dari Perancis. Oleh itu, hampir 92 peratus aktiviti perlombongan arang batu di Vietnam telah dikuasai oleh syarikat Perancis.[24]

Perkembangan ekonomi komersial di Vietnam tidak banyak memberi manfaat kepada masyarakat bumiputera Vietnam. Hal ini demikian kerana, warga Perancis dan orang Cina telah menguasai ekonomi tersebut terutamanya dalam perniagaan beras.[25] Pada mulanya, dasar yang diperkenalkan oleh Perancis adalah bertujuan membantu ekonomi penduduk pribumi. Namun dasar-dasar ini sebenarnya tidak menggalakkan petani setempat mempertingkat produktiviti pertanian.[26] Sebaliknya, pihak Perancis mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang besar melalui pemilikan tanah oleh pemodal-pemodal asing Perancis dan Cina. Malahan, pemilik-pemilik tanah juga menerima keuntungan yang sama. Mereka membolot hasil tanaman padi tanpa memberi keperluan yang secukupnya kepada petani-petani yang miskin (ta-dien).[27] Golongan petani juga dikenakan cukai yang tinggi[28] menyebabkan golongan kelas ini semakin terbeban lantas wujudnya perasaan tidak puas hati dalam kalangan petani terhadap kolonial Perancis.

Malahan perkembangan ekonomi komersil ini secara tidak langsung membawa masuk buruh asing seramai 221,000 orang iaitu 86,000 orang untuk sektor industri dan komersial, 81,000 untuk perladangan getah dan 53,000 orang dalam sektor perlombongan.[29] Demi menjaga kepentingan buruh-buruh asing, undang-undang dan jabatan penyiasatan buruh telah ditubuhkan bagi untuk mengelakkan buruh dianiaya oleh majikan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan peruntukan perburuhan ini tidak dijalankan secara berkesan. Hal ini membawa kepada kesengsaraan dan penindasan terhadap buruh terutamanya yang bekerja di ladang-ladang milik kapitalis Perancis.[30] Misalnya, mereka diberikan tugas yang berat tanpa diberi rehat dan makan. Akibat daripada penindasan tersebut, timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan pekerja terhadap pentadbiran kolonial Perancis.

Kesan ekonomi komesial turut mewujudkan infrastruktur yang lengkap di Vietnam seperti jalan kereta api, pelabuhan dan sistem perhubungan yang lebih baik. Namun, kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kolonial lebih berfungsi sebagai medium untuk mengaut keuntungan hasil bumi negara tersebut. Akibatnya, penduduk pribumi semakin terpinggir dan tertindas disebabkan dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Perancis di Vietnam. Hal ini telah melahirkan bibit-bibit penentangan dalam kalangan masyarakat bawahan. Situasi dapat dibuktikan apabila golongan buruh dan petani mula menerima ideologi komunis kerana kesamarataan yang diperjuangkan kerana penindasan oleh kolonial Perancis. Ideologi komunis menjadi pencetus kepada penyatuan golongan bawahan yang terdiri daripada para petani dan buruh bersama-sama dengan penduduk Vietnam dari kelas atasan dan pertengahan menentang penjajah.

4.0 Sosial

Agama Kristian telah bertapak di Vietnam sejak abad ke-17 lagi. Perkembangan penyebaran agama Kristian oleh mubaligh-mubaligh Kristian dalam kalangan masyarakat Vietnam menyebabkan golongan pemerintah Vietnam terutamanya Maharaja Tu Duc cuba menghapuskannya. Langkah-langkah kekerasan seperti pembunuhan paderi Jen Louis Bronnard dan Bishop Diaz[31] adalah salah satu alasan kolonial Perancis menjajah Vietnam secara langsung pada tahun 1885.

Semasa penjajahan Perancis di Vietnam, agama Kristian dijadikan medium untuk mempengaruhi penduduk yang tidak berpuas hati terhadap pemerintahan kolonial. Dengan itu, Perancis menubuhkan sekolah-sekolah Khatolik dalam melahirkan masyarakat Vietnam yang taat kepada pemerintah. Malah, pelajar-pelajar lepasan sekolah ini berpeluang menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan di peringkat rendah.[32] Kebanyakan pelajar di sekolah tersebut berkebolehan dalam berbahasa Perancis dan beragama Kristian. Tindakan Perancis mengutamakan pelajar-pelajar dari sekolah aliran Khatolik dalam pentadbiran kolonial, menyebabkan timbul semangat penentangan terhadap Perancis dalam kalangan penduduk Vietnam. Antara pemimpin awal yang menentang kolonial Perancis di Vietnam ialah Phan Chu Trinh dan Phan Boi Chau sekitar tahun 1890-an dan 1900-an.[33] Pemimpin ini cuba untuk mendapatkan hak sama rata golongan elit dan pertengahan masyarakat Vietnam dalam pentadbiran Perancis.

Kesan jangka masa panjang pula dilihat apabila pelajar Vietnam yang beragama Khatolik mula mentadbir negara Vietnam selepas kemerdekaan. Hal ini dibuktikan dengan pemilihan Presiden Vietnam Selatan iaitu Diem (berpendidikan Perancis dan beragama Khatolik). Ketika pemerintahan Presiden Diem, beliau telah mengamalkan sistem kroni seagama. Buktinya, dua juta penganut ajaran Khatolik di Saigon ditempatkan di bahagian-bahagian penting dalam kerajaannya.[34] Perkara ini melahirkan perasaan tidak puas hati dan mencetus bibit-bibit penentangan dalam kalangan masyarakat Vietnam yang majoritinya beragama Buddha. Impak daripada ketidakpuasan hati rakyat yang beragama Buddha, Amerika Syarikat telah mengambil kesempatan untuk menjatuhkan kepimpinan Diem selanjutnya cuba untuk mendapat Vietnam demi kepentingan negara tersebut.

Selain itu, kedatangan Perancis turut mengubah sistem pendidikan masyarakat Vietnam. Sebelum kedatangan penjajah, pendidikan Vietnam dipengaruhi sistem pendidikan negara China. Kebanyakan rakyat Vietnam yang layak mendapat pendidikan ala China ini ialah mereka yang berkedudukan dan mempunyai masa terluang seperti Phan Tian Gian.[35] Semasa penjajahan Perancis, sistem pendidikan yang diperkenalkan dianggap lebih moden dan dapat memberi peluang kepada semua rakyat Vietnam. Sistem pendidikan kolonial bertujuan untuk melahirkan penuntut yang berkebolehan membangunkan ekonomi dan pentadbiran kolonial. Mereka didedahkan kepada quo-ngu[36], bahasa Perancis, ilmu kira-kira, geografi, sejarah dan geometri.[37] Kesannya lahirlah rakyat Vietnam yang berpendidikan Barat dan boleh berbahasa Perancis.

Pendidikan Perancis membawa perubahan terhadap sistem tulisan dan bahasa di Vietnam. Bahasa Han dan tulisan Cina yang digunakan sebelum penjajahan Perancis dihapuskan dan digantikan dengan bahasa Perancis dan tulisan Latin. Sungguhpun penggunaanya meluas dalam penulisan buku-buku, jurnal dan surat khabar tetapi penerimaannya adalah kurang kerana kesukaran bahasa Perancis tersebut. Malah untuk bekerja dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan mahupun dalam pentadbiran perlu mempunyai kemahiran berbahasa Perancis. Jadi, disebabkan kepentingan bahasa Perancis, pemerintah kolonial menggalakkan rakyat Vietnam bertutur menggunakan Bahasa Perancis dalam kehidupan seharian.[38]

Chasseloup-Laubamen merupakan antara sekolah aliran Perancis yang terkenal di Vietnam semasa zaman kolonial. Setiap tahun seramai 100 pelajar memasuki sekolah tersebut. Pelajar yang lulus dari sekolah ini layak memasuki perkhidmatan di kolonial Perancis. Sungguhpun begitu, pemerintah kolonial mengutamakan rakyat Perancis dan golongan yang menyokongnya sahaja. Buktinya, jawatan-jawatan pentadbiran kolonial dimonopoli oleh hampir 250 orang pegawai Perancis.[39] Keadaan ini menyebabkan golongan cendekiawan bangkit menentang kolonial Perancis kerana masyarakat Vietnam berpendidikan Perancis sukar mendapatkan peluang pekerjaan walaupun boleh bertutur di dalam bahasa Perancis. Sedangkan penduduk Vietnam yang mempunyai diploma sekolah tinggi ialah seramai 305 orang yang dan 4,146 orang mempunyai sijil diketepikan peluang mereka. Keadaan ini secara tidak langsung membangkitkan semangat nasionalisme rakyat Vietnam yang tidak puas hati dengan pendidikan Perancis kerana hak mereka dinafikan oleh pentadbir.

Di samping itu, dianggarkan 45,000 rakyat Vietnam telah menerima pendidikan Perancis sahaja dari peringkat rendah sehingga peringkat diploma.[40] Sungguhpun begitu, pendidikan Perancis ini secara tidak langsung mewujudkan golongan cendekiawan yang boleh menulis dan berbahasa Perancis serta dapat mengetahui perkembangan negara-negara luar contohnya, Phan Boi Chau dan Phan Chau Trinh.[41] Selain itu, Nguyen An Ninh yang terdedah dengan revolusi-revolusi yang berlaku di Perancis telah menulis akhbar berbahasa Vietnam atau Perancis seperti La Cloche Felee bagi membangkitkan semangat nasionalisme rakyat Vietnam.[42] Golongan cendekiawan ini mendapati pendidikan Perancis sebenarnya diwujudkan bukanlah untuk melahirkan masyarakat Vietnam yang berpendidikan tetapi sebaliknya untuk memenuhi kepentingan Perancis terutama sekali dalam mengendalikan pentadbiran mereka. Keadaan ini telah membangkitkan semangat nasionalisme untuk menentang Perancis di Vietnam.

5.0 Kesimpulan

Kolonialisme Perancis ke atas Vietnam telah berlangsung hampir satu abad lamanya. Kesan kolonialisme Perancis telah mengubah aspek politik, ekonomi dan sosial penduduk masyarakat Vietnam. Antara perubahan dan pembaharuan yang dilakukan oleh Perancis seperti penghapusan kuasa maharaja dan golongan mandarin secara berperingkat. Ekonomi komersial dan pendidikan ala Perancis turut diperkenalkan. Kesan daripada kolonialisme telah timbul semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat bumiputera Vietnam. Semangat nasionalisme ini dapat dibuktikan dengan penubuhan persatuan-persatuan mahupun parti-parti politik yang cuba mempertahankan negara Vietnam. Namun pada akhirnya, Parti Komunis Vietnam telah berjaya mewujudkan semangat cinta akan negara bersandarkan kepada satu ideologi yang sama dikenali sebagai komunis. Parti inilah yang sebenarnya berjuang untuk membentuk negara Vietnam (Vietnam Utara dan Vietnam Selatan) merdeka.



[1] Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. (1990). Kolonialisme di Malaysia dan Negara-negara Lain. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm. 180.

[2] Peter N. Stearns. (2006). Gender in World History. London: Routledge Tylor & Francis Group. Hlm. 1

[3] David P. Chandler & David Joel Steinberg. (1987). In Search of Southeast Asia: A Modern History. Amerika Syarikat: University of Hawaii Press. Hlm. 79-80.

[4] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Jebat. Bil 10. Hlm. 215.

[5] Neil L. Jamieson. (1995). Understanding Vietnam. London: University of California. Hlm. 64.

[6] Ibid. Hlm. 57-58.

[7] Ibid.

[8] M.C.Ricklefs et al. (2010). A New History of Southeast Asia. New York: Palgrave Macmillan. Hlm. 184.

[9] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 80.

[10] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 144.

[11] Ibid. Hlm. 145.

[12] Ibid. Hlm. 149.

[13] Jonathan Leaf. (2009). The Politically Incorrect Guide to The Sixties. Washington: Regnery Publishing. Inc. Hlm. 176.

[14] David L. Anderson. (1946). The Columbia History of The Vietnam War. United State: Columbia University Press. Hlm. 18.

[15] Phillippe Devillers. (1988). Sejarah Indo-China Moden: Perkembangan Sosiopolitik Sehingga Abad Ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 245.

[16] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Jebat. Bil 10. Hlm. 222.

[17] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Jebat. Bil 10. Hlm. 219.

[18] Ibid.

[19] Van Dao Hoang. Terjemahan Khue Huynh. (2008). A Contemporary History of A National Struggle: 1927-1954. Pennsylvania: Rosdog Book. Hlm. 7-8.

[20] Geoge Donelson Moss. (1998). Vietnam an American Ordeal (3rd ed.). New Jersey: Prentice Hall. Hlm. 167-263. Lihat juga Mari Oslen. (2006). Soviet-Vietnam Relations and The Role of China, 1949-64: Changing Alliances, Cass Series: Cold War History. New York: Routledge Taylor & Francis Group. Hlm. 13-26.

[21] Clive J. Christie. (1996). A Modern History of Southeast Asia. London: Tauris Academic Studies I.B. Tauris Publishers. Hlm. 22-23.

[22] Georgh Donelson Moss. (2005). Vietnam An America Ordeal (3th ed.). New Jersey: Saddle River. Hlm. 12.

[23] Georgh Donelson Moss. (2005). Vietnam An America Ordeal (5th ed.). New Jersey: Saddle River. Hlm. 12.

[24] Ibid.

[25] Ibid.

[26] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asis Tenggara. Hlm. 101.

[27] Ibid. Hlm. 236.

[28] Joseph Buttingar. (1967). From Colonialism to The Vietminh. London: Pall Mall Press. Hlm. 123.

[29] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara . Hlm. 143.

[30] Ibid. Hlm. 103.

[31] Oscar Chapuis. (1995). A History of Vietnam: From Hong Bang to Tu Duc. United State: Greenwood Press. Hlm. 195.

[32] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 78.

[33] Ibid. Hlm. 86.

[34] Rohani Hj. Abdul Ghani. (1994). Pencapaian Malaysia dan Vietnam Selatan dalam Menentang Ancaman Komunis, 1948-1975: Satu Perbandingan. Jebat. Bil 22. Hlm. 80.

[35] Phan Than Gian berasal daripada keluarga seorang pegawai rendah dari provinsi Vinh Long dan beliau merupakan orang pertama dianugerahkan tien si (kedoktoran). Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 40-42.

[36]Bahasa quoc-ngu iaitu bahasa Vietnam yang ditulis dalam huruf Latin. Phillippe Devillers. (1988). Sejarah Indo-China Moden: Perkembangan Sosiopolitik Sehingga Abad Ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 215.

[37]Ibid. Hlm. 84.

[38] Mark Atwook Lawrence & Fredrik Logevall. (2007). The First Vietnam War: Colonial Conflict and Cold War Crisis. London: Harvard University Press. Hlm. 271.

[39] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 144.

[40] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 143.

[41] Phillippe Devillers. (1988). Sejarah Indo-China Moden: Perkembangan Sosiopolitik Sehingga Abad Ke-20. Hlm. 240-245.

[42] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Hlm. 218.

No comments:

Post a Comment