Website counter

Monday, January 2, 2012

Thailand

1.0 Pengenalan

Thailand merupakan sebuah negara Asia Tenggara yang terletak di selatan benua Asia. Thailand bersempadan dengan Laos dan Kemboja di timur, Myanmar di bahagian barat daya, Malaysia dan juga Teluk Siam di selatan serta Laut Andaman di barat. Thailand adalah negara yang tidak terlepas dengan isu konflik yang melanda negara Thailand dalam proses Thailand membina negaranya. Antaranya pada tahun 1960an sehingga awal tahun 1980an, pihak kerajaan Thailand telah berkonflik dan bertelagah dengan pihak pemberontak komunis. Seterusnya kerajaan Thailand juga terpaksa berhadapan dengan pihak pemisah beragama Islam yang bergerak aktif di kawasan Selatan Thailand dari tahun 1940an hingga lewat tahun 1980an. Kawasan selatan Thailand antaranya terdiri daripada Narathiwat, Pattani, Satun dan Yala dan majoriti masyarakatnya adalah rakyat Thailand yang berbangsa Melayu dan juga beragama Islam, yang dianggarkan berjumlah 1.5 juta orang. Penduduk minoriti ini jugalah yang menjadi permasalahan utama dan memberi ancaman terhadap kestabilan dan pembinaan negara bangsa Thailand hingga ke hari ini.

2.0 Faktor Berlakunya Konflik Di Selatan Thailand

Berlangsungnya konflik di selatan Thailand adalah rentetan daripada masalah pemberontakan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan pemisah yang berlaku di daerah-daerah seperti Pattani, Yala dan juga Narathiwat. Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti menjadi penyebab kepada berlakunya konflik antara pihak kerajaan Thailand dan juga masyarakat Muslim di Selatan Thailand. Antaranya disebabkan oleh:-

a) Faktor Sejarah: isu politik dan kemerdekaan

Konflik yang berlangsung antara kerajaan Thailand dan juga Orang Melayu Islam Patani (OMIP) adalah berkisar kepada tuntutan kemerdekaan. Konflik Selatan Thailand ini dilihat bermula pada November 1786, apabila kerajaan Siam berjaya menakluki kerajaan Kesultanan Melayu Patani melalui siri peperangan. Demi melemahkan lagi Patani, kerajaan Thai telah melaksanakan polisi pecah dan perintah. Kesultanan Melayu Patani telah dipecahkan kepada 7 wilayah, dan setiap satunya dilantik raja-raja “boneka” Melayu. Seterusnya, pihak British yang diwakili oleh gabenor-gabenor Negeri Selat telah berjumpa dan berbincang dengan kerajaan Siam di Bangkok pada tanggal 9 Julai 1909. Ketika pertemuan itu berlangsung, kerajaan Thailand masih lagi menjajah dan juga mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pattani, Yala dan juga Narathiwat. Hasil perjumpaan itu, Kerajaan Siam telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Bangkok 1909. Hasil perjanjian, Kerajaan Siam telah menyerahkan Kedah, Perlis, Terengganu dan juga Kelantan kepada pihak British. Manakala, daerah seperti Yala, Pattani dan juga Narathiwat masih lagi kekal di bawah pemerintahan kerajaan Siam. Dari sudut rumpun bangsa, majoriti masyarakat tiga wilayah ini terdiri daripada penduduk yang asalnya berbangsa Melayu, dan serumpun dengan orang Melayu yang berada di Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga Brunei.

Jelaslah orang Melayu Islam Patani di selatan Thailand adalah hak kepunyaan dunia Melayu. Cuma dari segi politik dimiliki oleh bangsa Thai yang berteraskan kepada agama Buddha. Maka, rentetan daripada sejarah lampau inilah berlakunya pelbagai siri pemberontakan menuntut kemerdekaan yang seterusnya menghasilkan konflik di Selatan Thailand. Sebagai contoh, sebuah kumpulan bersenjata yang dinamakan sebagai Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) telah ditubuhkan pada tahun 1968. Matlamat utama pertubuhan PULO ini adalah untuk berjuang demi kemerdekaan daerah-daerah Pattani, Yala dan juga Narathiwat daripada penguasaan Kerajaan Thailand. PULO mendakwa bahawa kemerdekaan sepatutnya milik mereka berdasarkan faktor sejarah yang terdahulu.

b) Faktor polisi integrasi / asimilasi Kerajaan Thailand

Kerajaan Thai banyak melaksanakan polisi integrasi yang membawa kepada konflik dan kemudian membawa kepada kemunculan gerakan pembebasan Orang Melayu Islam Patani. Pemberontakan OMIP untuk mendapatkan hak politik di Patani dilihat mengancam pendominasian kuasa pihak kerajaan Thailand di Patani selama ini. Maka untuk itu, kerajaan Thailand telah memperkenalkan pendekatan asimilasi sebagai jalan penyelesaian untuk mengatasi tuntutan hak politik OMIP. Semenjak pemerintahan beraja Melayu dihapuskan pada tahun 1902, orang Melayu Patani hidup dalam keadaan tertekan dan menderita. Ditambah lagi apabila kerajaan Thai telah mengambil langkah pertama untuk mengasimilasikan orang Melayu Patani dengan mengenakan Akta Pendidikan Rendah 1921, secara paksa setelah dua dekad menguasai Patani. Akta ini bertujuan untuk mewajibkan semua pelajar Muslim Melayu menghadiri sekolah rendah anjuran Thai dan secara tidak langsung menghalang diri mereka daripada mempelajari Bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda mereka sendiri.

Kemudiannya, Revolusi 1932 yang menamatkan sistem pemerintahan beraja mutlak Siam tidak membawa sebarang perubahan kepada orang Melayu Islam Patani (OMIP) seperti yang diharapkan mereka. Malah, revolusi yang berlaku itu hanya menambahkan lagi semangat kebangsaan dalam kalangan bangsa Siam untuk menindas bangsa Melayu, terutamanya ketika negara Siam berada di bawah pemerintahan Phibun Songkhram, 1938-1944. Kerajaan Thailand telah memperkenalkan dasar Ratthaniyom (Thai Custom Degree), dan juga Tai Rom Yen ( The Peaceful South) pada tahun 1939 di bawah pemerintahan Phibun Songkhram. Dasar Ratthaniyom ini pada permulaannya adalah bertujuan untuk menggesa rakyat Siam untuk menyintai negara, bangsa dan juga bahasanya. Secara tidak langsung, dasar-dasar ini berfungsi mengubah identiti, budaya dan agama Orang Melayu Islam Patani sebagai golongan minoriti kepada identiti Thai- Buddha. Polisi Ratthaniyom meletakkan Orang Melayu Patani berada dalam keadaan tertekan. Isi kandungan dasar tersebut antaranya memaksa sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan menggunakan bahasa Siam dan Bahasa Melayu adalah dilarang. Nama-nama keluarga dan kampung juga perlu ditukar kepada bahasa Thai. Selain daripada Ratthaniyom, kerajaan Thai di bawah pimpinan Phibun Songkhram telah memansuhkan Majlis Agama Islam Wilayah, sekali gus turut membatalkan Undang-Undang Islam Mengenai Keluarga dan Harta Pusaka, serta menghapuskan jawatan Kadi atau Dato’ Yutitham.

Pada tahun 1961, juga telah dilaksanakan program “pemulihan pendidikan” di wilayah selatan Thailand, yang bertujuan menukarkan sekolah Agama Islam tradisional (pondok) kepada sekolah Islam swasta yang tunduk kepada peraturan kerajaan. Keadaan di selatan Thai bertambah meruncing apabila kerajaan Thai memperkenalkan dasar Nikhom Sang Ton Eng, iaitu dasar yang bertujuan membangunkan zon perindustrian di wilayah selatan dengan menempatkan lebih ramai pegawai kerajaan dan juga kakitangan awam yang berbangsa Siam dan China. Malah pihak kerajaan Thai turut membina kuil-kuil Buddha di tengah-tengah perkampungan orang Melayu Patani. Selain itu, sewaktu Perdana Menteri Sarit Thannarat berkuasa (1961), beliau juga telah mengambil pendekatan memperkenalkan projek penempatan penduduk dalam kalangan bangsa Siam supaya dibawa masuk untuk mendiami keempat-empat wilayah Melayu ini. Tindakan beliau bertujuan untuk menghapuskan bangsa Melayu di wilayah-wilayah selatan, memecah kepadatan penduduk peribumi berketurunan Melayu serta mengimbangi jumlah antara penduduk Melayu-Islam dan Thai-Buddha. Namun begitu, proses asimilasi yang dilaksanakan kerajaan Thailand melalui dasar-dasar yang diperkenalkan ini gagal untuk mengatasi masalah pemberontakan golongan OMIP, mencapai perdamaian serta membantu dalam pembangunan negara. Malah polisi yang cuba diwujudkan kerajaan Thailand ini menimbulkan lagi semangat OMIP untuk bangun menentang.

3.0 Analisa

Konflik di selatan Thailand terus berpanjangan lantaran kebencian terhadap kerajaan Thailand yang dianggap menjajah. Namun, sesuatu yang paling ditentang masyarakat Thailand adalah melibatkan penindasan integrasi budaya dan juga pencabulan terhadap kesucian Agama Islam. Sepanjang lebih seratus tahun Patani dijajah Siam, telah berlaku banyak keganasan yang menggugat kestabilan masyarakat Melayu. Kebanyakan keganasan berlangsung disebabkan oleh tindakan pihak berkuasa kerajaan yang memerintah, sama ada kerajaan awam ataupun kerajaan tentera yang silih berganti pucuk pimpinan di Bangkok. Setiap kerajaan yang berkuasa dilihat mempunyai cara yang tersendiri dalam berhadapan masalah konflik di Selatan Thailand ini. Contohnya, di bawah pemerintahan Prem Tinnasulanonda, telah dilaksanakan pembaharuan politik seperti memperbaharui polisi pemerintahan, menubuhkan badan pentadbiran khusus, melancarkan rancangan Harapan Baru dan beberapa langkah baru di bidang pendidikan serta ekonomi. Namun begitu, kekerasan kerajaan Thailand menerusi kuasa tentera dan polis tetap juga berlangsung. Jelasnya, penyelesaian masalah gerakan pembebasan selatan Thailand yang dilaksanakan melalui cara ekonomi dan pembangunan dilihat gagal kerana konflik etnik minoriti yang berlangsung ini, tidak berasaskan aspek ekonomi dan pembangunan, namun lebih menjurus kepada permasalahan agama, bangsa dan negara. Dasar dan pendekatan kerajaan Thailand menjadi punca kepada peningkatan konflik kerana kebanyakan dasar dan pendekatan yang digunakan adalah berat sebelah dan tidak menghormati hak dan kepentingan Orang Melayu Islam Patani, di samping dilaksanakan secara pemaksaan dan penekanan. Malah, persoalan ketidak fahaman antara dua budaya juga merupakan isu penting yang menyemarakkan konflik di selatan Thailand ini. Namun, isu pertentangan dua budaya ini dapat diatasi kedua-dua pihak seandainya diwujudkan suatu saluran komunikasi yang konstruktif agar wujudnya timbal balas antara kedua-dua pihak yang bertelagah.

3.0 Kesimpulan

Tuntutan kemerdekaan oleh pihak Patani jelasnya tidak mungkin diterima oleh pihak kerajaan Thailand, demi menjaga keutuhan dan kedaulatan wilayah-wilayahnya. Apatah lagi untuk Thailand mengubah peta dunia di selatan negaranya. Kesimpulannya, proses pembinaan negara Thailand akan terus dianggap gagal selagi konflik golongan minoriti Muslim di Selatan Thailand ini tidak dapat ditangani oleh pihak Kerajaan Thailand dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment