Website counter

Tuesday, January 3, 2012

Indonesia dan Sukarno

1.0 Pengenalan

Sukarno telah dilahirkan pada 6 Jun 1901, Bapanya bernama Raden Sukemi Sosrodihardjo yang mengajar di Surabaya Jawa. Ibunya berasal dari Bali.[1] Beliau pernah bersekolah di Hoogere Burger School (HBS) di Surabaya dan pada ketika itu beliau sentiasa bertemu dengan pemimpin-pemimpin Islam dan yang kemudiannya bergabung dengan organisasi Pemuda Jawa.[2] Beliau merupakan salah seorang presiden yang pernah mentadbir kerajaan Indonesia. Sepanjang Sokarno menjadi presiden di Indonesia beliau telah mewujudkan pelbagai dasar pembaharuan yang telah membawa kepada kejayaan dan kelemahan dalam pentadbiran beliau. Sepanjang beliau menjadi presiden terdapat beberapa kejayaan yang boleh dinilai iaitu dengan memerhatikan usaha beliau bagi mendapatkan kemerdekaan Indonesia dan bagi mengukuhkan negara Indonesia yang baru memperolehi kemerdekaan, Presiden Sukarno telah memperkenalkan pula Prinsip Pancasila. Selain itu terdapat juga kelemahan dalam pentadbiran Sukarno iaitu dalam aspek Demokrasi Terpimpin. Oleh itu , penulis akan mengkaji kejayaan dan kelemahan sepanjang pemerintahan Presiden Sukarno di Indonesia di dalam aspek usahanya menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah , Prinsip Pancasila yang diperkenalkan serta penulis juga akan menghujahkan kelemahan pemerintahan Sokarno dalam mentadbir Indonesia melalui pengenalan Demokrasi Terpimpin di Republik Indonesia.

2.0 Kejayaan Presiden Sukarno

2.1 Sukarno Sebagai Bapa Kemerdekaan Indonesia

Kemerdekaan yang diperoleh oleh Indonesia daripada pihak kolonial Jepun pada tanggal 17 Ogos 1945[3] memperlihatkan kegigihan dan ketokohan yang dibawa oleh pemimpin Parti Nasionalis Indonesia (PNI) dibawah pimpinan Sukarno telah memberikan satu kejayaan apabila mampu menamatkan penjajahan di Indonesia. Secara tidak lansung telah membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Sukarno dilihat sebagai tokoh pejuang kemerdekaan yang sangat disanjungi oleh rakyat-rakyat di Indonesia. Kemerdekaan Indonesia yang diperoleh itu secara tidak lansung telah menaikkan nama Sukarno apabila beliau telah dilantik sebagai presiden pertama Indonesia bermula tahun 1946 sehingga 1967.[4]

Perjuangan Sukarno dapat dilihat apabila beliau mula menceburkan diri dalam arena politik pada usia 18 tahun dengan menjadi anggota kepada Parti Sarekat Islam.[5] Pemikiran yang dibawa oleh Sukarno adalah menekankan konsep nasionalisme, Maxisme dan Islam dan menolak kepada komunis ataupun Islam semata-mata. Sebaliknya, konsep nasionalisme, Marxisme dan Islam telah dijadikan sebagai ideologi oleh Sukarno. Sukarno berpendapat bahawa usaha untuk mencapai kemerdekaan adalah melalui perpaduan.[6] Oleh hal yang demikian, Sukarno telah menggabungkan ketiga-tiga elemen tersebut dalam menjalankan usahanya untuk mendapatkan kemerdekaan Indonesia. Secara tidak lansung, dapat dilihat usaha-usaha yang dilakukan oleh Sukarno sejak sebelum kedatangan Jepun di Indonesia lagi iaitu semasa penjajahan Belanda di Indonesia.

Presiden Sukarno yang mendapat gelaran sebagai ‘Bapa Kemerdekaan Indonesia’ itu sememangnya tokoh yang disanjung oleh rakyat Indonesia apabila Sukarno merupakan tokoh yang banyak menyumbang usaha dan tenaga untuk mendapat kemerdekaan bagi negara Indonesia. Usaha – usaha yang dilakukan oleh Sukarno untuk mendapatkan kemerdekaan negara Indonesia dapat dibuktikan apabila beliau menubuhkan Parti Nasionalis Indonesia (PNI) pada tahun 1927 yang dahulunya dikenali sebagai Penserikatan Nasional Indonesia. Sukarno bersama-sama dengan Mr. Iskaq Tjokrohadisurjo, Mr. Budiarto, Mr. Sunario, Mr. Sartono bekerjasama menubuhkan parti itu.[7] Di samping itu, penubuhan PNI adalah sebagai salah satu cita-cita Sukarno itu sendiri yang menginginkan sebuah parti yang berbentuk kebangsaan untuk menyatukan rakyat Indonesia membentuk nasionalisma bagi mencapai kemerdekaan.

Penubuhan PNI bermatlamatkan untuk mencapai kemerdekaan Indonesia disamping ingin menyuntik semangat kebangsaan dan patriotisme serta kesedaran rakyat untuk menyingkirkan penjajahan Belanda.[8] Berdasarkan matlamat penubuhan PNI ini dapat dilihat bahawa Sukarno begitu bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kemerdekaan negara Indonesia daripada pihak Belanda bersama-sama dengan pemimpin lain seperti Mohamad Hatta. Selain itu, Sukarno begitu giat mengembangkan usahanya dengan melaksanakan program perjuangan PNI untuk menarik minat rakyat Indonesia terhadap PNI.

Dalam usaha untuk memperjuangkan matlamat PNI juga, Sukarno telah memainkan peranan yang sangat penting. Hal ini dapat dibuktikan apabila Sukarno merupakan pemimpin yang sangat giat membela kaum marhaen yang juga dikenali sebagai golongan rakyat kelas bawahan sehingga diberi gelaran sebagai ‘Bapa Kaum Marhaen’ dalam kalangan rakyat Indonesia.[9] Selain itu juga, usaha yang dilakukan oleh Sukarno adalah dengan berpidato pada setiap perjumpaan umum PNI dan mengajar ahli-ahli PNI.[10] Perjuangan Sukarno dan rakan-rakannya jelas menggambarkan kesungguhan yang tidak pudar dalam meraih sokongan rakyat terhadap perjuangan PNI yang bermatlamatkan mendapatkan kemerdekaan bagi negara Indonesia.

Selain itu juga, usaha yang membawa kejayaan Sukarno bagi mendapatkan kemerdekaan Indonesia dapat dibuktikan lagi melalui usaha Sukarno dan ahli-ahli PNI yang lain dengan menerbitkan Majalah Parti bernama Suluh Indonesia Muda pada tahun 1928.[11] Hal ini dapat dilihat bahawa Sukarno dan ahli-ahli PNI telah menggunakan kekuataan melalui mata pena untuk meraih sokongan daripada rakyat. Usaha-usaha yang dilakukan oleh Sukarno dan ahli PNI telah menjadi perhatian dan intipan oleh pemerintah Belanda memandangkan Sukarno telah berjaya mempengaruhi masyarakat di Indonesia melalui matlamat PNI yang memperjuangkan kemerdekaan Indonesia.

Dalam usaha menuntut kemerdekaan bagi negara Indonesia, usaha dan sumbangan yang dimainkan oleh Sukarno adalah dengan menjalankan dasar berbaik-baik dengan negara Jepun yang bertujuan untuk mendapatkan kemerdekaan daripada kerajaan Jepun sekaligus membebaskan negara Indonesia daripada belenggu penjajahan.[12] Negara Indonesia yang merupakan salah sebuah negara yang menerima kemasukan pengaruh Jepun disebabkan telah berlakunya dasar imperialisme Jepun ke seluruh rantau Asia Tenggara yang memperjuangkan konsep ‘Kawasan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya’.[13]

Pendudukan Jepun di Indonesia selama tiga setengah tahun itu merupakan salah satu tempoh masa yang sangat penting dalam sejarah Indonesia. Hal ini disebabkan sebelum kedatangan Jepun, tidak terdapat tentangan yang serius terhadap penjajahan Belanda di Indonesia. Namun, selepas kekalahan Jepun telah muncul perubahan luar biasa yang mungkin berlakunya Revolusi Indonesia. Semasa pendudukan Jepun di Indonesia, Sukarno dan rakan-rakannya yang lain telah melibatkan diri di dalam organisasi politik yang ditubuhkan oleh pihak Jepun. Keadaan ini menggambarkan bahawa wujudnya satu hubungan yang baik di antara pihak Jepun dengan pihak Indonesia. Organisasi yang muncul di Jawa itu dikenali sebagai Putera malahan organisasi tersebut berada di bawah penguasaan pihak Jepun. Walaubagaimana pun, Sukarno, Mohamad Hatta, Ki Hadjar Dewantara dan Kyai Haji Mas Mansur telah diangkat sebagai ketua untuk mentadbir organisasi tersebut.[14]

Selain itu, hubungan yang baik wujud di antara pihak Jepun dengan negara Indonesia apabila jumlah orang yang menjadi penasihat pihak Jepun semakin ramai. Hal ini dapat dibuktikan apabila sebuah Dewan Penasihat Pusat yang ditubuhkan di Jakarta telah diketuai oleh Sukarno itu sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa, wujudnya satu hubungan yang baik antara pihak Jepun dengan negara Indonesia semasa pendudukan Jepun di Indonesia. Secara kesimpulannya, dalam mencapai proses kemerdekaan terdapat berbagai usaha yang telah dilakukan oleh Sukarno dan ahli-ahli PNI dalam memperjuangkan matlamat PNI itu sendiri yang menginginkan kemerdekaan menjadi hak milik Indonesia. Sesungguhnya, usaha Sukarno ini dilihat sebagai satu kejayaan semasa era pemerintahannya yang telah berjaya mengekalkan kemerdekaan negara Indonesia sehingga ke hari ini.

2.2 Latar belakang Pancasila

Kelahiran Pancasila adalah hasil daripada perjalanan sejarah Indonesia yang panjang kerana dijajah oleh bangsa-bangsa kolonialisme seperti Belanda dan Jepun. Natijah daripada penjajahan oleh kuasa-kuasa luar ini telah menimbulkan kebencian dan kesengsaraan dalam kalangan rakyat Indonesia sehingga perasaan nasionalisme untuk membebaskan negara Indonesia daripada terus dijajah semakin berkobar-kobar. Buktinya usaha-usaha untuk membebaskan Indonesia dilakukan oleh Sukarno dan akhirnya Jepun menwujudkan suatu badan yang dikenali sebagai Badan Penyelidik Usaha-usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia pada 1 Jun 1945 bertujuan untuk mempersiapkan Indonesia ke arah kemerdekaan.[15] Tertubuhnya pertubuhan ini telah memberi peluang kepada Sukarno untuk menghujahkan pidatonya tentang Pancasila.[16] Di dalam pidatonya itu , beliau telah menegaskan bahawa pentingnya Pancasila untuk diterapkan dalam kalangan semua rakyat Indonesia untuk menwujudkan perasaan cinta akan negara , untuk melambangkan identiti bangsa Indonesia dan Pancasila dijadikan sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat Indonesia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum , etnik dan aliran pemikiran. Akhirnya Pancasila berjaya dijadikan sebagai dasar negara secara rasminya setelah Indonesia dimerdekakan oleh Jepun. Untuk pengetahuan juga, Pancasila diperkenalkan adalah untuk mengukuhkan republik Indonesia sebagai sebuah negara yang baru mengecapi kemerdekaan. Pancasila menekankan lima prinsip iaitu Ketuhanan yang Maha Esa, Demokrasi, Humanisme (kemanusiaan), Keadilan sosial dan Nationalisme.[17] Berbalik kepada persoalan mengenai Pancasila sama berjaya atau tidak, penulis berpendirian teguh dengan mengatakan bahawa Pancasila yang diperkenalkan oleh Presiden Sukarno adalah berjaya berdasarkan hujahan dan bukti-bukti yang dikemukakan oleh penulis seperti membangkitkan semangat nasionalisme, penerimaan oleh rakyat Indonesia dan Pancasila dijadikan sebagai ideologi negara.

2.3 Membangkitkan Semangat Nasionalisme

Kejayaan yang dilakukan semasa Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Sukarno dapat dianalisis menerusi prinsip Pancasila yang diperkenalkan. Bukti yang menunjukkan bahawa Prinsip Pancasila oleh Sukarno berjaya, dapat dibuktikan menerusi kebangitan nasionalisme dalam kalangan rakyat Indonesia. Mengapa penulis mengatakan bahawa Pancasila berjaya membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Indonesia? Persoalan ini dibuktikan dengan melihat sendiri keadaan rakyat Indonesia yang telah mengalami zaman penjajahan yang telah lama sehingga menyebabkan rakyat Indonesia seolah-olah sudah kehilangan semangat dan jiwa nasionalnya sehingga ada dalam kalangan mereka sudah sebati dengan cara penjajah yang pernah menjajah negara mereka. Oleh itu penting bagi Presiden Sukarno mencari jalan penyelesaian bagi menwujudkan kembali semangat cinta akan negara Indonesia dan memperkenalkan Prinsip Pancasila yang merupakan suatu langkah yang terbaik untuk menyatupadukan rakyat Indonesia dengan menwujudkan perasaan sayang dan cinta akan negara Indonesia.

Kebangkitan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk di Indonesia dapat diterapkan menerusi pendekatan prinsip Pancasila iaitu nasionalisme. Prinsip nasionalisme ini mengajak rakyat Indonesia untuk bersatu membentuk suatu bangsa Indonesia.[18] Hal ini bermakna bahawa Pancasila yang diperkenalkan oleh Sukarno adalah ingin menwujudkan semangat nasionalisme dalam kalangan semua penduduk Indonesia yang mewakili keseluruhan geopolitik yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T.[19] Sebagai contoh dahulunya setiap daerah kecil di Indonesia mempunyai semangat nasionalisme yang tersendiri dan keadaan ini berubah apabila Prinsip Pancasila yang diperkenalkan akhirnya menjadikan seluruh kawasan , daerah-daerah dan Kepulauan Indonesia bersatu membentuk negara bangsa Indonesia. Semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Indonesia diperkukuhkan lagi menerusi aspek Bahasa Negara iaitu Bahasa Indonesia. Tidak dinafikan salah satu ciri untuk menyatupadukan sesuatu bangsa adalah menerusi bahasa yang dipertuturkan. Begitu juga di Indonesia sehingga pada hari ini mereka mempertuturkan bahasa Indonesia.[20]

Salah satu faktor yang penting untuk membuktikan Pancasila membangkitkan semangat nasionalisme adalah melalui penerapan di dalam bidang pendidikan. Presiden Sukarno menjadikan pendidikan sebagai saluran utama bagi memastikan Pancasila itu berjaya diamalkan oleh rakyat republik Indonesia apabila Program Pendidikan Pancasila diperkenalkan pada peringkat persekolahan.[21] Tujuan program ini diwujudkan adalah untuk menjadikan Pancasila itu sesuatu pegangan yang kuat, utuh dan bertahan sebagai satu ideologi negara.[22] Pendidikan Pancasila pada peringkat sekolah juga merupakan kurikulum pendidikan yang bertanggungjawab untuk mengembangkan martabat manusia dan kehidupan bangsa Indonesia bagi menuju cita-cita nasionalisme. Seterusnya bukti Pancasila berjaya diterapkan di dalam pendidikan dapat dilihat apabila nilai-nilai moral dan norma Pancasila diterapkan dan ditanam dalam kalangan pelajar-pelajar yang dianggap sebagai generasi penerus bagi bangsa Indonesia.[23] Selain itu juga, penerapan pancasila di dalam bidang pendidikan dilakukan dengan harapan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang bertakwa dan beriman kepada Tuhan yang Maha Esa selaras dengan merujuk prinsip yang pertama, berbudi perkerti luhur, memiliki pengetahuan, berketerampilan, memiliki sahsiah dalam aspek rohani, jasmani serta memiliki rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Sekadar mengambil contoh sekiranya di Malaysia program pendidikan untuk menerapkan nilai setia dan cinta akan negara diterapkan melalui kurikulum pendidikan seperti Sejarah , Penghayatan Rukun Negara dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tetapi di Indonesia untuk melahirkan warganegara yang memahani dan berjiwa Pancasila Pendidikan Kewarganegaraan diperkenalkan ( PKN).[24] Analisis yang dapat dilakukan oleh penulis ialah apabila Pancasila berjaya diterapkan dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah, secara tidak langsung pelajar-pelajar ini akan melaksanakan dan mematuhi prinsip-prinsip Pancasila dengan baik dan yakin, memahami tugas dan peranan sebagai seorang warganegara dan perkara yang penting sekali, pelajar-pelajar ini lah yang akan meneruskan pembangunan yang dirancang oleh pemerintah Republik Indonesia dalam usaha untuk menwujudkan bangsa Indonesia yang bersatu. Kesimpulan yang dapat dinyatakan di sini ialah apabila penerapan Pendidikan Pancasila diterapkan dalam kalangan pelajar, diharapkan suatu hari nanti mereka akan meneruskan kelangsungan dan perkembangan bangsa Indonesia yang mempunyai keperibadian berkonsepkan Pancasila dengan mematuhi lima Prinsip Pancasila.

2.4 Penerimaan Pancasila oleh Bangsa Indonesia

Selain itu juga , Prinsip Pancasila adalah berjaya dapat dibuktikan dengan penerimaan masyarakat Indonesia terhadap konsep Pancasila. Rakyat Indonesia mudah menerima prinsip-prinsip Pancasila kerana prinsip-prinsip yang diperkenalkan sememangnya mendukung nilai-nilai kerohanian yang menjadi asas kepada kehidupan bangsa Indonesia itu sendiri. [25]Selain itu juga, Falsafah Pancasila mudah diterima dengan melihat sendiri nilai-nilai yang menjadi pegangan rakyat Indonesia sejak zaman nenek moyang lagi yang tidak pernah luntur misalnya dahulu nilai seperti mengamalkan gotong-royong, nilai persatuan , kemanusiaan sudah tertanam dalam kalangan bangsa Indonesia.[26] Bukan itu sahaja malahan bangsa Indonesia dahulunya mempunyai sifat-sifat yang unik dalam pergaulan dan hubungannya dengan bangsa lain serta bangsa Indonesia juga terkenal dengan sifat-sifat toleransi, ramah-tamah, tolong-menolong sehingga digelar Orang Asing bahawa bangsa Indonesia ialah “A smiling nation’’ .[27] Penerimaan rakyat Indonesia terhadap Pancasila begitu mudah kerana mereka menganggap bahawa Pancasila adalah penjelmaan daripada keperibadian bangsa Indonesia sejak dari dahalu lagi.[28]

Selain itu untuk memperkenalkan sesuatu bentuk pemikiran yang baru kepada rakyat bukanlah perkara mudah buktinya Presiden Sukarno tidak terus memperkenalkan Prinsip Pancasila ini kepada rakyat Indonesia malahan beliau sendiri mengkaji terlebih dahulu nilai-nilai kehidupan yang selama ini menjadi tradisi dalam kalangan penduduk Republik Indonesia.[29] Tegasnya di sini Pancasila dikatakan berjaya kerana medapat sokongan dan Prisip Pancasila yang diperkenalkan diterima oleh bangsa Indonesia sendiri dan kesan jangka panjang dapat juga dilihat apabila Pancasila masih relevan untuk ditaati sehingga pada hari ini.

2.5 Pancasila dijadikan sebagai Ideologi Negara

Analisis penulis mengenai kejayaan Pancasila dapat dinilai setelah Indonesia menerima proklamasi ( Pengistiharaan) kemerdekaan pada 17 Ogos 1945,[30] Presiden Sukarno mempunyai agenda untuk menjadikan Falsafah Pancasila sebagai salah satu Ideologi negara yang harus dipegang dan diamalkan oleh semua bangsa Indonesia.[31] Ideologi berasal daripada kata idea yang merujuk konsep pemikiran atau gagasan.[32] Dalam erti kata yang lain Prinsip Pancasila yang diperkenalkan adalah untuk memberi arah dan tujuan yang ingin dicapai untuk menwujudkan semangat nasionalisme atau satu bangsa dan satu negara dalam kalangan rakyat Indonesia.[33]

Rancangan Sukarno untuk menjadikan Pancasila sebagai suatu Ideologi Negara republik Indonesia dapat dibuktikan menerusi pelantikan beliau sebagai Presiden Indonesia. Sebagai sebuah negara yang baru merdeka Indonesia memerlukan suatu ideologi untuk dijadikan sebagai pegangan dan panduan dalam menentukan corak hidup bangsa Indonesia. Tanpa memiliki panduan hidup bagaimana negara bangsa Indonesia akan dapat dibentuk? Oleh itu, apabila Presiden Sukarno memperkenalkan Prinsip Pancasila, penulis menganggap kewujudan ini adalah tepat pada masanya kerana pada saat itu, rakyat Indonesia masih mencari-cari identiti, panduan dan pegangan ideologi untuk mereka pegangi dan mengambarkan identiti mereka sebagai bangsa Indonesia.

Selain itu juga, pada pandangan penulis Pancasila merupakan suatu ideologi yang tepat untuk dipegang oleh bangsa Indonesia yang berlainan kaum, etnik, agama dan budaya. Dengan mengamalkan Prinsip Pancasila sebagai pegangan hidup mereka , rakyat Indonesia dapat bersatu. Kejayaan Pancasila dapat dilihat kesannya sehingga sekarang apabila rakyat Indonesia masih berpegang kepada Pancasila walaupun ada sesetengah pihak yang cuba untuk mengubah ideologi Pancasila dengan ideologi yang lain namun usaha itu menemui kegagalan kerana rakyat Indonesia sudah menerima pancasila sebagai panduan hidup mereka.

3.0 KELEMAHAN PRESIDEN SUKARNO

Sebagai seorang pemimpin nasionalis, Sukarno juga tidak terkecuali dari melakukan kesilapan. Pelbagai usaha dilakukan oleh Sukarno adalah demi membangunkan negara Indonesia sebagai sebuah negara yang membangun seperti negera-negara yang sedang membangun pada ketika itu. Namun, usaha-usaha yang dilakukan ternyata tidak mencapai matlamat yang ingin dicapai. Semua ini adalah demi memenuhi ambisi (cita-cita) beliau untuk menjadi seorang pemimpin yang berkuasa di Indonesia. Dalam tempoh tahun 1957 hingga 1966, memperlihatkan kepimpinan Sukarno dalam memerintah dan mentadbir Indonesia menjadi goyah. Kelemahan Sukarno dapat dilihat apabila beliau sendiri telah mengisytiharkan Dikri Presiden yang membolehkan beliau menjadi Presiden Republik Indonesia untuk seumur hidup. Selain itu, Sukarno turut mengubah sistem politik dari demokrasi berparlimen kepada demokrasi terpimpin bagi mengukuhkan kuasa beliau sebagai presiden. Usaha radikal Sukarno dapat dilihat apabila beliau mengisytiharkan Kofrontasi Malaysia pada tahun 1963. Walaubagaimana pun, usaha ini gagal mencapai matlamatnya. Akhir sekali, usaha Sukarno untuk menstabilkan ekonomi Indonesia yang berada dalam keadaan parah pada ketika itu melalui Ekonomi Terpimpin turut mengalami kegagalan.

3.1 Dikri Presiden 1959

Tindakan Sukarno dengan mengisytiharkan Dikri Presiden pada 5 Julai 1959 yang memperlihatkan segala kuasa berpusatkan pada presiden. Dikri Presiden yang dikeluarkan oleh Presiden Sukarno memperkatakan tiga perkara penting, iaitu membubarkan Konstitunate, mengembalikan semula Undang-Undang Dasar 1945 (UUD 1945) dan pembentukan Majlis Permusyawaratan Rakyat Sementara (MPRS), Dewan Perwakilan Rakayat Sementara (DPRS) dan Dewan Pertimbangan Agung Sementara (DPAS) dalam masa terdekat.[34] Walaubagaimana pun, dikri presiden ini tidak dilaksanakan mengikut ketetapan yang dinyatakan.

Pengisytiharan Dikri Presiden ini dibuat bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi yang dalam keadaan tidak menentu pada ketika itu. Namun, sebaliknya ia menyimpang dari apa-apa yang diperkatakan. Melalui dikri presiden ini, segala kuasa akan tertumpu pada presiden, yakni kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari berada di bawah presiden. Sedangkan mengikut UUD 1945, dinyatakan bahawa tiga badan ini diasingkan dan dijalankan oleh menteri-menteri.[35] Antaranya, tentang kekuasaan jawatan Presiden. Berdasarkan UUD 1945, tempoh jawatan yang dipegang sebagai seorang presiden adalah terhad dalam tempoh lima (5) tahun.[36] Walau bagaimanapun, dengan adanya Tap Majlis Permesyuaratan Rakyat Sementara (MPRS) No. III/1963, secara tidak langsung menjadikan Sukarno memegang jawatan sebagai Presiden seumur hidup.[37] Sukarno juga bertindak membubarkan Dewan Perwakilan Rakyat. Sedangkan dalam Undang-Undang Dasar 1945 ini tidak dinyatakan Presiden mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Keadaan ini secara jelas menunjukkan bahwa Sukarno cuba untuk menjadi seorang pemimpin yang berkuasa mutlak dan menjadikan dia seorang diktator.

3.2 Demokrasi Terpimpin (Guided Democracy)

Bagi menguatkan lagi kuasanya sebagai seorang presiden, Sukarno telah mewujudkan satu bentuk demokrasi baru iaitu Demokrasi Terpimpin (Guided Democracy). Demokrasi Terpimpin diwujudkan bagi menggantikan Demokrasi Berparlimen yang sebelum ini menjadi corak pemerintahan di Indonesia. Sukarno berpendapat Demokrasi Berparlimen tidak membantu ke arah pembangunan negara sebaliknya ia gagal membangunkan negara. Tambahan pula, Sukarno tidak berpuas hati terhadap politik di Indonesia kerana masalah dalaman parti-parti politik membawa kepada kejatuhan kerajaan Indonesia.[38] Oleh itu, beliau telah melakukan pemansuhan terhadap parti politik pada tahun 1956 dan bercadang untuk menubuhkan satu bentuk demokrasi yang baru iaitu Demokrasi Terpimpin. Demokrasi Terpimpin diisytiharkan oleh Presiden Sukarno pada 17 Ogos 1959 sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-24. Melalui Demokrasi Terpimpin, Sukarno telah melibatkan golongan militeri dan Parti Komunis Indonesia dalam pentadbirannya. Hal ini disebabkan kedua-dua golongan ini antara golongan yang kuat menyokong Demokrasi Terpimpin Sukarno. Parti Nasionalis Indonesia (PNI) dan Nadhtul Ulama (NU) turut menerima demokrasi terpimpin ini. Namun begitu, sistem demokrasi terpimpin ini mendapat tentangan daripada Parti Sosialis Indonesia (PSI) dan kebanyakan parti Islam di Indonesia, terutama daripada Masjumi.[39]

Demokrasi Terpimpin dapat memberi satu gambaran bahawa Sukarno cuba untuk berkuasa dengan adanya sokongan serta penglibatan gologan militeri dan komunis dalam membentuk sebuah negara Indonesia yang kuat. Hal ini terbukti apabila Demokrasi Terpimpin mendapat sokongan daripada golongan militeri dan Parti Komunis Indonesia (PKI). Demokrasi Terpimpin ini secara tidak langsung membolehkan Sukarno menjadi lebih berkuasa dan hal ini ditambah lagi apabila Mohammad Hatta meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden Indonesia pada tahun 1956. Perkara-perkara ini dapat menguatkan lagi kedudukan dan kuasa Sukarno sebagai Presiden di Indonesia.[40]

Sukarno telah membentuk satu ideologi iaitu NASAKOM yang merupakan gabungan daripada NASional-Agama-KOMunis. NASAKOM menurut Sukarno adalah berasaskan Pancasila yang keempat iaitu keadilan sosial. Walaubagaimanapun, wujud ketidakseimbangan antara ketiga-tiga elemen utama ini apabila PKI banyak mendominasi dalam semua hal termasuk pentadbiran. Begitu juga dengan golongan militeri. Sebaliknya, Agama Islam terpinggir dalam kebanyakan hal. Boleh dikatakan ideologi NASAKOM ini banyak menguntungkan PKI.

Sukarno pada dasarnya memerlukan sokongan PKI bagi merealisasikan perubahan yang dibawa dari aspek politik Indonesia dalam Demokrasi Terpimpin. Selain itu, Sukarno turut menganggap PKI sebagai satu alat untuk mengimbangi kuasa militeri.[41] Perkembangan pengaruh PKI dalam Demokrasi Terpimpin semakin menyerlah dan keadaan ini menyebabkan golongan Islam menentang PKI kerana mereka tidak mengingini perluasan kuasa komunis dalam negara. Namun bagi PKI, pegaruh Islam dalam politik memberikan ancaman yang hebat bagi ideologi komunis.[42]

Pengaruh Islam turut bekurang disebabkan oleh kebangkitan militeri yang merupakan golongan utama dalam Demokrasi Terpimpin. Hal ini terbukti apabila gologan militeri dalam Demokrasi Terpimpin ditawarkan satu per tiga daripada jawatan di kabinet serta jawatan rasmi seperti pengurus sesebuah syarikat. Namun golongan militeri khuatir atas kemaraan pengaruh PKI di Indonesia dan mereka sedar keadaan ini secaa tidak langsung akan mengugat kuasa politik dan autoriti mereka dalam negara.[43] PKI juga tidak mendesak golongan militeri untuk membentuk kerajaan campuran dengan Islam. Sokongan golongan militeri terhadap Sukarno dapat dilihat apabila golongan ini tidak membantah tindakan Sukarno untuk mengharamkan parti Islam yang terbesar iaitu Masjumi pada tahun 1960 kerana terlibat dalam pemberontakkan wilayah di bawah Pemerintah Revolusioner Republik Indonesia (PRRI) di bahagian Barat Sumatera pada bulan Februari 1958. Pemberontakan ini dilakukan atas dasar untuk menyelamatkan dan mengekalkan demokrasi.[44] Walaubagaimana pun, pada 24 Mac 1960, Masjumi dan Parti Sosialis Indonesia (PSI) bergabung membentuk Liga Demokrasi sebagai tindak balas terhadap pemerintahan diktator Sukarno.

Sukarno juga dilihat tidak mampu untuk mengawal pergerakan dan kuasa PKI apabila PKI cuba untuk merebut kuasa dengan Sukarno melalui Gerakan 30 September atau lebih dikenali sebagai G30S pada tahun 1965.[45] Gerakan ini menyaksikan berlaku pembunuhan enam orang pegawai tertinggi militeri oleh PKI.[46] PKI telah merancang gerakan ini seolah-olah terjadinya berlaku pergolakan dalam angkatan tentera. Dengan cara ini, PKI dapat mendesak Sukarno untuk menerima gerakan G30S ini dan seterusnya PKI dapat menguasai Republik Indonesia.[47] Namun begitu, percubaan rampasan kuasa ini berjaya dipatahkan angkatan tentera di bawah pimpinan Jeneral Suharto. PKI akhirnya berjaya dilumpuhkan oleh angkatan tentera di bawah pimpinan Jeneral Suharto.[48] Keadaan ini secara tidak langsung telah melemahkan kuasa Sukarno dan menunjukkan zaman kejatuhan Sukarno sebagai Presiden Republik Indonesia.

Keadaan ini jelas menunjukkan kelemahan Sukarno dalam mengimbangi ketiga-tiga elemen utama dalam pentadbirannya iaitu militeri, komunis dan Islam. Tidak wujud keadilan dalam Demokrasi Terpimpin seperti yang dicanangkan oleh Sukarno. Sebaliknya, Sukarno mempergunakan PKI dan militeri bagi mengukuhkan kedudukan beliau sebagai ketua negara. Manakala pengaruh Islam terus diketepikan.

3.3 Konfrontasi Malaysia

Konfrontasi Malaysia merupakan satu penentangan Indonesia terhadap Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Penentangan ini dilakukan oleh Presiden Sukarno kerana hasrat beliau untuk menubuhkan Indonesia-Raya yang mencantumkan Tanah Melayu dengan Indonesia terhalang akibat daripada penubuhan Malaysia. [49]Sukarno menentang keras penubuhan Malaysia dan bertindak memutuskan hubungan politik, ekonomi dan sosial dengan Tanah Melayu. Pada asasnya, Sukarno melancarkan konfrontasi bagi meluaskan wilayah jajahan serta menjamin penguasaan Indonesia di Asia Tenggara. Beliau turut berpendapat bahawa Malaysia merupakan manifestasi negara neo-kolonialisme yang dihasilkan British yang akan membahayakan Indonesia.[50] Oleh itu, Sukarno telah menyusun beberapa strategi untuk melancarkan konfrontasi menentang Malaysia. Pada mulanya, Sukarno menggunakan ancaman pertanian sebagai strategi untuk mendapat sokongan domestik terhadap konfrontasi ini. Beliau turut percaya bahawa pembentukan Malaysia merupakan satu bentuk imperialisme yang secara langsung akan mempengaruhi dasar dan hubungan luar negara Indonesia.

Sukarno juga menjalankan polisi konfrontasinya melalui perluasan sokongan daripada persatuan antarabangsa dan hanya Filiphina sahaja yang membalas dan menyokong kepada strategi beliau. Hal ini kerana Filipina dan Indonesia berminat terhadap Borneo Utara. Namun kedua-dua strategi yang digunakan oleh Sukarno untuk meluaskan kuasanya melalui konfrontrasi ini gagal pada tahun 1965.[51] Hal ini disebabkan oleh faktor ancaman pertanian tidak mendapat sokongan secara sepenuhnya di samping ekonomi Indonesia menjadi semakin meleset disebabkan oleh konfrontasi ini kerana Malaysia merupakan destinasi utama untuk pengeluaran eksport ekonomi Indonesia.

Tambahan pula, isu tentang neo-kolonialism dan neo-imperialism tidak bertahan lama dalam kalangan persatuan antarabangsa menyebabkan perluasan sokongan yang dibuat oleh Sukarno turut menemui kegagalan. Sukarno cuba meraih sokongan daripada negara-negara Arab dalam merealisasikan polisi konfrontasinya terhadap Malaysia. Walaubagaimana pun, kebanyakan negara-negara Arab tidak bersetuju dengan polisi konfrontasi Sukarno terhadap Malaysia. Sukarno bertambah tidak gembira apabila negara-negara Arab yang menganggotai Non - Aligned Movement (NAM) memberi status pemerhati kepada Malaysia dalam Persidangan NAM yang Kedua di Cairo walaupun percubaan awal untuk mengecualikan kehadiran Malaysia dalam semua bentuk mesyuarat.[52] Malaysia turut memperoleh sokongan daripada Persatuan Antarabangsa dan hal ini menyebabkan Sukarno mengalami kesukaran untuk melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia kerana adanya sokongan besar daripada British dan sekutu-sekutunya.[53] Antara tahun 1963 hingga 1966, kuasa British mula menguasai di Borneo Utara. Keadaan ini memburukan lagi usaha Sukarno untuk meluaskan kuasanya di Borneo Utara.

Secara amnya, kita dapat lihat keinginan Sukarno dalam melancarkan konfrontasi ini adalah untuk meluaskan wilayahnya ke Malaysia di samping keinginan beliau untuk terus menjadi seorang presiden yang paling berkuasa di Indonesia. Polisi konfrontasi beliau juga tidak banyak mendapat sokongan dari negara luar memantutkan lagi usaha beliau ini.

3.4 Ekonomi Terpimpin (Guided Economic)

Kelemahan Sukarno dapat dilihat melalui bidang ekonomi apabila keadaan ekonomi Republik Indonesia di bawah Demokrasi Terpimpin Sukarno berada dalam keadaan sangat teruk. Sukarno kurang bijak dalam merencana ekonomi negara Indonesia secara tidak langsung menjadikan ekonomi Indonesia terus di ambang kemunduran. Sikap anti-kolonialisme Sukarno dengan tidak mengadakan perdagangan dengan negara luar menjadi salah satu sebab kepada kemunduran ekonomi Indonesia.

Sukarno cuba untuk memperkenalkan satu polisi ekonomi untuk menangani masalah ekonomi Indonesia melalui Ekonomi Terpimpin. Tujuan utama diperkenalkan oleh Sukarno adalah untuk membentuk sebuah sistem ekonomi yang bersifat nasionalis, demokratis, bebas daripada imperialisme bagi membentuk ekonomi Indonesia yang tidak bergantung kepada kuasa atau negara lain. Sukarno ingin membentuk sistem ekonomi yang berasaskan kekeluargaan, negara dapat menguasai segala bidang pengeluaran yang berkaitan dengan kehidupan rakyat dan kekayaan sumber alam dikuasai oleh negara dan dikelola sepenuhnya bagi kesejahteraan rakyat.[54] Dengan cara ini, ekonomi yang dijalankan selaras dengan yang terkandung dalam Pasal 33 UUD 1945.

Sistem ekonomi yang diperkenalkan oleh Sukarno ini tidak banyak membantu meningkatkan pembangunan negara Indonesia. Beliau terlalu mengawal dan menguasai ekonomi negara dan mewujudkan satu hubungan tegang dalam perdagangan asing dan menolak bantuan kewangan dari negara luar. Pada tahun 1958, Sukarno telah memiliknegarakan pemilikan Belanda di Indonesia dan merampas firma-firma milik orang British dan Amerika sebagai tindakan beliau melalui polisi konfrontasi terhadap Malaysia.[55] Dengan cara ini, syarikat-syarikat kepunyaan Barat yang dimiliknegarakan berada di bawah kerajaan Indonesia.

Namun tindakan ini tidak dapat mengatasi masalah ekonomi sehingga pada tahun 1963, Sukarno membentuk Deklarasi Ekonomi (DEKON) untuk mencapai tahap ekonomi sosialis Indonesia dengan cara terpimpin. Namun begitu, ekonomi di Indonesia terus mengalami inflasi iaitu peningkatan harga secara berterusan disebabkan pembentukan DEKON.[56] Negara Indonesia mengalami peningkatan inflasi yang sangat teruk , iaitu sehingga mencapai 600% pada tahun 1966. Pengeluaran daripada hasil pembuatan merosot dan penawaran bagi barangan keperluan turut berkurangan.[57] Keadaan ini secara tidak langsung memudaratkan kehidupan masyarakat di Indonesia disebabkan ekonomi yang tidak stabil.

3.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya, setelah menganalisis, kami berpendirian teguh dengan mengatakan bahawa kejayaan yang paling utama sepanjang pemerintahan Indonesia di bawah pemerintahan Sukarno adalah dengan melihat usaha-usahanya untuk mendapatkan kemerdekaan Indonesia. Hal ini kerana sehingga hari ini seluruh dunia mengakui kemerdekaan Indonesia adalah hasil perjuangan daripada usaha yang tidak kenal erti penat lelah oleh Presiden Sukarno. Selain itu juga, kita boleh lihat kesan jangka panjang kemerdekaan Indonesia masih mampu bertahan sehingga Presiden Sukarno layak digelak Bapa Kemerdekaan. Seterusnya menerusi Prinsip Pancasila yang diperkenalkan juga berjaya kerana Pancasila telah membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk Republik Indonesia untuk membentuk satu negara bangsa Indonesia sehinggakan mereka menjadikan pancasila sebagai satu ideologi atau pegangan di dalam kehidupan mereka. Kejayaan Pancasila juga dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang apabila Pancasila masih releven untuk dijadikan sebagai pegangan dalam kehidupan bangsa Indonesia. Namun begitu , setiap kelebihan pasti ada kekurangan yang dapat dilihat menerusi pemerintahan dan pentadbiran Presiden Sukarno terutamanya di dalam Demokrasi Terpimpin. Kami juga berpendirian teguh dengan mengatakan bahawa Demokrasi Terpimpin yang dijalankan oleh Presiden Sukarno hanya menemui kegagalan. Kegagalan ini juga atas sikap Presiden Sukarno sendiri yang mahukan kekuasaannya terus gah , utuh dan bertahan tetapi akhirnya usaha beliau hanya sia-sia sahaja. Kelemahan Presiden Sukarno membawa pembaharuan di negara Republik Indonesia menyebabkan pemerintahan beliau berakhir ekoran digulingkan oleh Jeneral Suharto pada 1966 yang telah membawa perubahan di dalam sistem politik daripada Demokrasi Terpimpin kepada Order Baru. Kejatuhan Presiden Sukarno oleh Jeneral Suharto secara tidak langsung menamatkan pemerintahan Indonesia daripada kediktatoran Presiden Sukarno.

.

Bibliografi

Abd Aziz Hitam & Wan Azaham Wan Mohammad. (1988). Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Adrian Vickers. (2005). A History of Modern Indonesia.United Kingdom: Cambridge University Press.

Adam Schwarz. (1999). A Nation In Waiting: Indonesia’s Search For Stability. Australia: Allen & Unwin.

Ayub Ranoh. (2006) Kepimpinan Kharismathis: Tinjauan Teologis-etis Atas Kepimpinan Kharismatis Sukarno, Jakarta: PT BPK Gunung Mulia.

Ardi Nuswantoro. Jurnal Political Leaderhip and Foreign Policy: Study of Sukarno’s Confrontation Policy against Malaysia. Indonesia: Gadjah Mada University.

Benedict Anderson. (2002). Journal Bung Karno and the Fossilization of Soekarno’s Thought. Indonesia: Akademic Research Library.

Burhanuddin Salam. (1996). Filsafat Pancasila. Jakarta:PT Rineka Cipta.

C.L.Joseph. (2005).The Politics of Indonesia-Malaysia Relations. London: Bodmin Cornwall.

Damien Kingsbury. (1998). The Politics of Indonesia.Australia: Oxford University Press.

Dahm.B. (1969). Sukarno and The Struggle for Indonesian Independence. Ithaca and London: Cornell University Press.

Ismaun. (1970). Pancasila Dasar Filsafat Negara Republik Indonesia.Bandung: Carya Remadja.

Ian Chalmers, dan Vedi R. Hadiz. (1997). The Politics of Economic Development in Indonesia: Contending Perspectives. London: Routledge.

J.D Legge.(1972).Sukarno A Political Biography.Singapore: Stamford Press Pte .Ltd.

Luthfi Assyaukanie. (2009). Islam and the Secular State in Indonesia. Singapore: ISEAS.

Miriam Budiardjo. (1972). Dasar-Dasar Ilmu Politik.Jakarta: Pt Gramedia Pustaka Utama.

M.Aziz Toyibin & A.Kosasih Djahiri. (1977). Pendidikan Pancasila.Jakarta: PT Rineka Cipta.

Milton Osborne& Allen Unwin.(1985).Southeast Asia: An Introductory History.Sydney: Australia.

Mohammad Hatta. (1977). Pancasila.Jakarta:Penerbit Mutiara.

Rizal Sukma. (2003). Islam in Indonesian Foreign Policy. London: Routledge Curzon.

Ricklefs.M.C. (2008). Sejarah Indonesia Moden. Jakarta:Serambi Ilmu Semesta.

Soediman Kartohadiprodjo. ( 1980). Pancasila.Bandung: Penerbit Alumni.

S.Takdir Alisjahbana. (1961). Revolusi Masyarakat dan Kebudayaan di Indonesia. Jakarta: Dian Rakyat.

Solichin Salam. (1981). Bung Karno Putera Fajar. Jakarta: PT Gunung Agung.

St Sularto. (2001). Sukarno Seratus Tahun. Jakarta: Kompas.

Tempoh jawatan Presiden ini dapat dilihat dalam Teks Undang-Undang Dasar 1945, Bab III, Pasal 7 dlm http://www.kpi.go.id/download/regulasi/UUD%201945.pdf 03 Disember 2011.

Kenyataan tentang Sukarno diangkat sebagai Presiden Indonesia seumur hidup boleh dilihat berdasarkan artikel “Ketetapan Majelis Permusyawaratan Rakyat Sementara Republik Indonesia No.III/MPRS/1963 Tentang Pengangkatan Pemimpin Besar Revolusi Indonesia Bung Karno Menjadi Presiden Republik Indonesia Seumur Hidup” dlm

http://tatanusa.co.id/tapmpr/63TAPMPR-III.pdf 03 Disember.



[1] Amir Hendarsah. (2007). 11 Macam Asia Musuh Amerika. Yogyakarta: Galangpres. Hlm. 71.

[2] Ibid.

[3] Ricklefs.M.C. (2008). Sejarah Indonesia Moden. Jakarta:Serambi Ilmu Semesta. Hlm. 444

[4] Ricklefs.M.C. (2008). Sejarah Indonesia Moden. Jakarta:Serambi Ilmu Semesta Hlm. 449.

[5] Solichin Salam. (1981). Bung Karno Putera Fajar. Jakarta: PT Gunung Agung. Hlm. 86.

[6] Dahm.B. (1969). Sukarno and The Struggle for Indonesian Independence. Ithaca and London: Cornell University Press. Hlm. 198-199.

[7] Solichin Salam. (1981). Bung Karno Putera Fajar. Jakarta: PT Gunung Agung. Hlm. 53.

[8] Dahm.B. (1969). Sukarno and The Struggle for Indonesian Independence. Ithaca and London: Cornell University Press. Hlm. 197-198.

[9] Solichin Salam. (1981). Bung Karno Putera Fajar. Jakarta: PT Gunung Agung. Hlm. 53.

[10] St Sularto. (2001). Sukarno Seratus Tahun. Jakarta: Kompas. Hlm. 79.

[11] Solichin Salam. (1981). Bung Karno Putera Fajar. Jakarta: PT Gunung Agung. Hlm. 54.

[12] Ricklefs.M.C. (2008). Sejarah Indonesia Moden. Jakarta:Serambi Ilmu Semesta. Hlm. 429.

[13] Ricklefs.M.C. (2008). Sejarah Indonesia Moden. Jakarta:Serambi Ilmu Semesta. Hlm. 421.

[14] Ibid. Hlm. 432.

[15] .Burhanuddin Salam. (1996). Filsafat Pancasila. Jakarta: PT Rineka Cipta. Hlm. 12-13.

[16] Soediman Kartohadiprodjo. ( 1980). Pancasila.Bandung: Penerbit Alumni. Hlm. 8.

[17] Adrian Vickers. (2005). A History Modern Of Indonesia. United Kingdom: University Press. Hlm. 118-138.

[18] J.D Legge. (1972). Sukarno A Political Biography.Singapore: Stamford Press Pte .Ltd. Hlm. 207.

[19] Abd Aziz Hitam & Wan Azaham Wan Mohammad. (1988). Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 135.

[20] Burhanuddin Salam. (1996). Filsafat Pancasila.Jakarta: PT Rineka Cipta. Hlm. 33.

[21] M.Aziz Toyibin & A.Kosasih Djahiri. (1977). Pendidikan Pancasila.Jakarta: PT Rineka Cipta. Hlm. 108.

[22] Ibid. Hlm. 109.

[23] Ibid .

[24]M.Aziz Toyibin & A.Kosasih Djahiri. (1977). Pendidikan Pancasila.Jakarta: PT Rineka Cipta Hlm. 112.

[25] Mohammad Hatta. (1977). Pancasila.Jakarta:Penerbit Mutiara. Hlm. 13.

[26] Ibid.

[27] Ibid.

[28] S.Takdir Alisjahbana. (1961). Revolusi Masyarakat dan Kebudayaan di Indonesia.Jakarta:Penerbit Dian Rakyat. Hlm. 187.

[29] Adrian Vickers. (2005). A History of Modern Indonesia.United Kingdom: Cambridge University Press. Hlm. 115.

[30] Milton Osborne& Allen Unwin. (1985). Southeast Asia: An Introductory History.Sydney: Australia. Hlm. 160.

[31] Adrian Vickers. (2005). A History Of Modern Indonesia.United Kingdom:Cambridge University Press. Hlm. 116.

[32] Ismaun. (1970). Pancasila Dasar Filsafat Negara Republik Indonesia.Bandung:Carya Remadja. Hlm. 205.

[33] Ibid.

[34] Ayub Ranoh. (2006) Kepimpinan Kharismathis: Tinjauan Teologis-etis Atas Kepimpinan Kharismatis Sukarno.Jakarta: PT BPK Gunung Mulia. Hlm. 92.

[35] Miriam Budiardjo. (1972). Dasar-Dasar Ilmu Politik.Jakarta: Pt Gramedia Pustaka Utama. Hlm.116.

[36] Tempoh jawatan Presiden ini dapat dilihat dalam Teks Undang-Undang Dasar 1945, Bab III, Pasal 7 dlm http://www.kpi.go.id/download/regulasi/UUD%201945.pdf 03 Disember 2011.

[37] Kenyataan tentang Sukarno diangkat sebagai Presiden Indonesia seumur hidup boleh dilihat berdasarkan artikel “Ketetapan Majelis Permusyawaratan Rakyat Sementara Republik Indonesia No.III/MPRS/1963 Tentang Pengangkatan Pemimpin Besar Revolusi Indonesia Bung Karno Menjadi Presiden Republik Indonesia Seumur Hidup” dlm http://tatanusa.co.id/tapmpr/63TAPMPR-III.pdf 03 Disember 2011.

[38] Rizal Sukma. (2003). Islam in Indonesian Foreign Policy. London: Routledge Curzon. Hlm 33.

[39] Ibid. Hlm 33.

[40] Ibid.

[41] Rizal Sukma. (2003). Islam in Indonesian Foreign Policy. London: Routledge Curzon. Hlm. 35.

[42] Ibid.

[43] Ibid. Hlm 33.

[44] Luthfi Assyaukanie. (2009). Islam and the Secular State in Indonesia. Singapore: ISEAS. Hlm.76.

[45] Operasi penumpasan G30S dijalankan pada 1 Oktober 1965 tanpa melibatkan perjuangan menggunakan senjata

[46] Damien Kingsbury. (1998). The Politics of Indonesia.Australia: Oxford University Press. Hlm. 57.

[47] Ayub Ranoh. (2006). Kepimpinan Kharismathis: Tinjauan Teologis-etis Atas Kepimpinan Kharismatis Sukarno.Jakarta: PT BPK Gunung Mulia. Hlm. 101.

[48] Damien Kingsbury. (1998). The Politics of Indonesia.Australia: Oxford University Press. Hlm. 57.

[49] C.L.Joseph. (2005).The Politics of Indonesia-Malaysia Relations. London: Bodmin Cornwall. Hlm. 97.

[50] Rizal Sukma. (2003). Islam in Indonesian Foreign Policy. London: Routledge Curzon. Hlm. 34.

[51] C.L.Joseph. (2005). The Politics of Indonesia-Malaysia Relations. Hlm. 98.

[52] Rizal Sukma. (2003). Islam in Indonesian Foreign Policy. London: Routledge Curzon. Hlm. 36.

[53] Ardi Nuswantoro. Jurnal Political Leaderhip and Foreign Policy: Study of Sukarno’s Confrontation Policy against Malaysia. Indonesia: Gadjah Mada University.

[54] Ayub Ranoh. (2006). Kepimpinan Kharismathis: Tinjauan Teologis-etis Atas Kepimpinan Kharismatis Sukarno.Jakarta: PT BPK Gunung Mulia. Hlm. 94.

[55] Adam Schwarz. (1999). A Nation In Waiting: Indonesia’s Search For Stability. Australia: Allen & Unwin . Hlm. 17.

[56] Benedict Anderson. (2002). JournalBung Karno and the Fossilization of soekarno’s Thought. Indonesia: Akademic Research Library. Hlm. 16.

[57] Ian Chalmers, dan Vedi R. Hadiz. (1997). The Politics of Economic Development in Indonesia: Contending Perspectives. London: Routledge. Hlm. 14.

No comments:

Post a Comment