Website counter

Sunday, January 1, 2012

Penglibatan Jepun dalam Perang Dunia

1.0 Pengenalan

Menjelang pertengahan abad ke-19, Jepun merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem politik dan sosial yang masih ketinggalan. Perkembangan nasionalisme dan pembangunan pesat dalam bidang ekonomi komersial menjadikan Jepun bersedia untuk mengharungi era sistem politik dan sosial yang baharu. Beberapa dekad kemudian, Jepun muncul sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Seterusnya abad-20 jelas Jepun melaksanakan dasar imperialisme terhadap negara lain seperti Korea dan China dan menjadi perhatian kuasa-kuasa besar.

Jepun mulai muncul sebagai kuasa besar yang dikatakan setaraf dengan kuasa besar lain seperti Rusia, Britain dan Amerika Syarikat melalui Persetiaan Inggeris- Jepun 1902. Hasil persetiaan ini telah membolehkan Jepun untuk bertindak memerangi Rusia sekaligus menjadi kuasa utama di Korea. Pengiktirafan yang diterima setelah berjaya mengalahkan kuasa Rusia menjadikan Jepun berkeyakinan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai kuasa besar dunia dengan menyertai Perang Dunia Pertama (PD1). Jepun mahu berdiri setanding dengan Jerman dan Amerika Syarikat. PD1 telah berlaku pada tahun 1914 di Eropah dan melibatkan beberapa kuasa besar di dunia termasuk Jerman, Britain, Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Penglibatan Jepun dalam PD1 mempunyai agendanya yang tersendiri. Antaranya adalah untuk memperluas dan memperkukuhkan kuasa ke atas wilayah-wilayah di China dan Korea, ingin mengaut keuntungan ekonomi serta memperbaiki dan memantapkan ekonomi Jepun, serta ingin menyamakan taraf mereka dengan kuasa Barat. Jepun berusaha mencapai matlamat-matlamat tersebut secara jelasnya melalui Tuntutan 21 ke atas China dan Perjanjian Versailles.[1]

2.0 Persetiaan Jepun – Inggeris 1902

Jepun tidak mampu mempertahankan kepentingannya di China dan Korea secara bersendirian kerana terdapat kuasa asing seperti Rusia dan Jerman yang telah menguasai beberapa wilayah China dan Korea. Jepun sendiri telah digesa untuk keluar dari Semenanjung Liaotung oleh kuasa Dreibund yang ingin memajak wilayah tersebut kepada Rusia.[2] Hal ini menyedarkan Jepun bahawa mereka perlu mendapatkan sokongan kuasa Barat supaya dapat mengekalkan kepentingan Jepun di China dan Korea yang boleh memenuhi keperluan politik dan ekonomi Jepun. Maka, Jepun mengadakan hubungan diplomasi dengan kuasa Barat. Pada permulaannya, Jepun dicadangkan oleh Jerman untuk menyertai satu perikatan bersama Britain yang dikenali sebagai Perikatan Inggeris- Jerman- Jepun.[3] Walau bagaimanapun, rancangan ini gagal kerana Jerman sebagai pencadang enggan masuk ke dalam perikatan yang boleh menggugat kedudukan Russia.

Kegagalan rancangan perikatan ini menyedarkan Britain bahawa jika Britain sendiri bersekutu dengan Jepun di bawah satu perikatan, mereka akan mampu mengatasi kuasa Rusia daripada terus mara ke Asia Timur. Perikatan ini juga akan dapat mengurangkan tekanan yang dikenakan oleh Rusia ke atas Eropah sehingga sepanjang sempadan India Tenggara.[4] Sebelum termeterainya perikatan ini, Britain pernah mengadakan hubungan diplomasi dengan Jepun sekitar tahun 1890 yang dikenali sebagai Perjanjian Aoki-Kimberly.[5] Sekali lagi Britain mengadakan hubungan diplomasi dengan Jepun dengan menandatangani Persetiaan Jepun Inggeris 1902.[6] Persetiaan ini menandakan Britain menerima Jepun sebagai negara yang setaraf dengan Britain dan kuasa –kuasa barat yang lain.

Jepun bersetuju menandatangani Persetiaan Jepun- Inggeris 1902 kerana Jepun mempunyai kepentingan yang tersendiri. Kemaraan Rusia ke China adalah untuk mendapatkan satu kawasan yang bebas dari pembekuan di musim sejuk bagi menggantikan pelabuhan Vladivostok yang merupakan pangkalan angkatan laut Rusia. Rusia juga menunjukkan minat di Manchuria untuk membina kereta api Trans- Siberia Railway . Rusia juga mula campur tangan di Korea dengan menghantar penasihat-penasihat tenteranya dan mengendalikan kewangan Korea sedangkan Korea telah mencapai kemerdekaan melalui Perjanjian Yamagata- Lobanoff 1896.[7] Usaha-usaha Rusia mengukuhkan kuasa di China dan Korea telah mengancam kedudukan Jepun di China dan Korea lantas Jepun menjadikan Rusia sebagai musuh utama Jepun.

Begitu juga dengan Britain yang mempunyai kepentingan terhadap China berbanding dengan Jepun yang mempunyai kepentingan terhadap China dan Korea. Britain juga ingin menyekat kemaraan pengaruh Rusia di Asia Timur. Hal ini kerana Britain ingin menjaga kepentingan perdagangannya di Manchuria yang berkemungkinan besar akan dikawal oleh Rusia. Rusia juga menganggap dirinya pelindung pada China selepas berjaya mendesak Jepun keluar dari Semenanjung Liaotung.[8] China pula terpaksa memenuhi tuntutan Rusia berkaitan dengan pemberian kemudahan-kemudahan kerana Rusia mengenakan pelbagai tekanan ke atas China. Hal ini menyebabkan China menandatangani satu perjanjian dengan Rusia yang mengukuhkan kedudukan Rusia di China. Pengaruh Britain di China semakin terjejas kerana pemimpin-pemimpin China yang terdiri daripada Chang- Chih- Tung , Liu Kun-I dan Li Hung Chang mula menyebelahi Rusia.

Kandungan Persetiaan Jepun- Inggeris ini antaranya Jepun perlu mengakui kepentingan Britain di China dan Britain juga perlu mengakui kepentingan Jepun di Manchuria dan Korea.[9] Syarat seterusnya ialah Jepun dan Britain perlu saling melindungi dan menyokong antara satu sama lain terutamanya dalam menjaga kepentingan masing-masing. Jika satu pihak terlibat dengan peperangan maka pihak satu lagi perlu bersikap berkecuali dan berikhtiar menyekat musuh daripada mendapatkan bantuan.[10] Perjanjian ini berlangsung selama lima tahun dan boleh dilanjutkan selama setahun lagi dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Dalam persetiaan ini, Jepun mendapat sokongan padu dari segi ketenteraan dan semangat untuk menentang Rusia yang sering menjadi ancaman kepada Jepun dan British dan menguasai Manchuria dan Korea tanpa rasa kental. Persetiaan ini lebih menyebelahi Jepun untuk muncul satu kuasa yang lebih kuat dan besar di dunia sehingga Jepun berani menentang Rusia . Perbalahan antara Rusia dengan Jepun untuk berebut wilayah Korea dan Manchuria menyebabkan meletusnya Perang Rusia–Jepun pada tahun 1904.[11] Peperangan ini akan dapat melumpuhkan kekuatan Rusia lalu memberi laluan kepada Jepun dan British bagi meneruskan kepentingan-kepentingan mereka ini tanpa rasa sebarang ancaman.

Pada mulanya, Jepun mengadakan berunding dengan Rusia secara damai berkaitan isu Manchuria dan Korea supaya tiada perbalahan yang tidak membawa keuntungan pada mana-mana pihak. Perundingan ini gagal kerana Rusia berkeras untuk menetapkan Jepun hanya diberi hak untuk bergerak di Korea dan Jepun perlu mengakui hak Rusia di Manchuria tetapi hanya di kawasan sepanjang jalan kereta api.[12] Jepun tidak dapat menerima cadangan Rusia sehingga Jepun menyerang Rusia secara mengejut dengan menghantar angkatan laut di bawah pimpinan Laksamana Togo Haichachairo di Port Athur.[13]

Jepun telah mengisytiharkan perang ke atas Rusia pada 10 Februari 1904. Jepun berjaya dalam pertempuran dengan mengalahkan Rusia tetapi pihak tentera Jepun berasa bimbang akan dikalahkan jika peperangan ini berterusan. Hal ini kerana dalam peperangan ini Rusia masih tidak melibatkan ketenteraan Rusia dengan sepenuhnya. Jepun khuatir peperangan yang berterusan ini akan mengorbankan ramai anggota tentera terlatih dan tentera Jepun telah bergerak terlalu jauh dari pusat pangkalan yang akan memberi peluang Rusia melakukan serangan balas terhadap Jepun.

Pihak Jepun telah mengadakan satu perdamaian dengan Rusia melalui bantuan Amerika Syarikat supaya Perang Rusia- Jepun dapat dihentikan pada tahun 1905. Cadangan ini diterima baik oleh Rusia kerana Rusia juga mengalami masalah dalaman negara dan kekalahan dalam pertempuran menentang Jepun. Pada 5 September 1905, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Portsmouth ditandatangani oleh Jepun yang diwakili Komura dan Takuhira dengan Rusia yang diwakili Witte dan Rose untuk berdamai.[14]

Di dalam perjanjian ini, Rusia perlu mengakui kekuasaan politik, ketenteraan dan ekonomi Jepun di Korea. Hak-hak Rusia di Semenanjung Liaotung perlu diserahkan kepada Jepun. Selatan Pulau Sakhalin juga perlu diserahkan kepada Jepun sebagai membayar ganti rugi. Syarat yang seterusnya ialah angkatan tentera Rusia dan Jepun yang berada di Manchuria perlu berundur kecuali pengawal-pengawal kereta api. Rusia dan Jepun juga perlu mengakui kebebasan China untuk memajukan Manchuria dan jalan kereta api di Manchuria hanya boleh digunakan untuk perdagangan serta perusahaan sahaja.[15]

Perjanjian Portsmouth ini telah menunjukkan Jepun merupakan satu kuasa yang kuat sehingga mampu menundukkan Rusia dan Jepun juga telah mengambil alih semua peranan dan hak Rusia di China dan Korea. Kemenangan ini telah menjadikan Jepun adalah sama taraf dengan kuasa barat lain sehingga Jepun mampu membantu Britain untuk menentang Jerman berdasarkan peruntukkan Persetiaan Inggeris- Jepun. Perang Dunia Pertama (PD1) telah berlaku pada 1914 di Eropah menyebabkan Jepun mengukuhkan kuasa di Asia Timur. Jepun juga terus mengisytiharkan perang terhadap Jerman bagi mendapatkan sokongan padu daripada British dan Amerika Syarikat.

3.0 Meluaskan Kuasa dan Pengaruh

Penglibatan Jepun dalam PD1 sememangnya mempunyai agenda yang tersendiri. Antaranya ialah memberi peluang dan ruang kepada Jepun untuk memperluaskan kuasanya dan pengaruhnya di China. PD1 berlangsung dari tahun 1914 sehinggalah 1918 dan pihak yang terlibat ialah Kuasa-kuasa Bersekutu yang terdiri daripada Britain, Perancis, Jepun dan Rusia dalam menentang Jerman. Walaupun penglibatan ini telah didesak oleh Britain tetapi pihak Jepun menerimanya dengan hati terbuka kerana hasratnya yang ingin membalas dendam kepada Jerman.[16]

Hal ini dapat dilihat apabila China dan Amerika Syarikat yang berperanan sebagai pihak berkecuali dalam peperangan meminta pihak yang terlibat agar tidak melangsungkan peperangan di China. Hal ini dipersetujui oleh pihak Britain dan Jerman tetapi ia ditolak oleh Jepun kerana ia merupakan peluang yang sangat baik untuk Jepun mengembangkan pengaruh di China. Selain itu, penglibatan Jepun di dalam PD1 ini juga berlaku disebabkan kelemahan kerajaan Okuma yang sensitif dan lemah yang menerima tentangan dari peniaga disebabkan pelaksanaan Cukai Perniagaan.[17] Dengan itu, penglibatan Jepun di dalam PD1 akan mengukuhkan Jepun kerana pembekalan senjata dan barang-barang lain kepada Kuasa-kuasa Bersekutu.

Jepun telah mengisytiharkan perang ke atas Jerman pada 23 Ogos 1914 apabila Jerman tidak memberi keputusan kepada permintaan Jepun agar menyerahkan kapal-kapalnya dan Teluk Kiaochow di Shantung kepada Jepun.[18] Dengan itu, tentera Jepun telah ditempatkan di Tsingtao, Kiaochow. Permintaan Jepun ke atas Shantung hanya mampu dilihat oleh Britain sahaja kerana Britain sangat memerlukan perlindungan dari Tentera Laut Jepun ke atas kepal-kapal dagangan Pihak Bersekutu di Lautan Pasifik. Tindakan ini menunjukkan bahawa Jepun tidak menghiraukan dasar berkecuali negara China. Walaupun tindakan Jepun ini ditentang oleh Presiden Yuan, tetapi beliau seperti tersepit di antara dua pilihan kerana beliau sangat memerlukan bantuan Jepun dalam membentuk dinasti baru.

Keadaan ini memberikan peluang kepada Jepun untuk memberi tekanan ke atas negara China iaitu dengan mengemukakan ’21 Tuntutan’ yang disampaikan oleh Menteri Jepun di Peking kepada Presiden Yuan pada Januari 1915 secara rahsia. 21 Tuntutan ini mengandungi lima bahagian.[19] Kandungan-kandungan 21 Tuntutan itu sangat menampakkan niat Jepun dalam menguasai kawasan-kawasan seperti Shantung, Chefoo, Tsingtao Tsinan, Manchuria Selatan, Bahagian Timur Monggolia Dalam, Port Arthur, Dairen, Antung-Mukden, Yangtse dan juga pengaruh Jepun dalam politik, kewangan dan tentera. Kawasan-kawasan ini sememangnya memberi kepentingan ekonomi dan politik kepada Jepun.

Bahagian pertama di dalam ’21 Tuntutan’ memberi kebenaran kepada Jepun untuk menduduki dan mengambil alih kepentingan-kepentingan Jerman di Shantung. Selain itu, kerajaan China hendaklah bersetuju terhadap usaha Jepun membina jalan kereta api yang menyambung Chefoo dengan jalan kereta api Tsingtao-Tsinan. Negara China juga tidak boleh menyerahkan mana-mana kawasan atau pulau-pulau yang berhampiran kepada kuasa lain.[20]

Bahagian Kedua pula mengiktiraf kedudukan Jepun di Manchuria Selatan dan Bahagian Timur Mongolia Dalam. Di dalam bahagian kedua ini juga, Jepun meminta kebenaran untuk meningkatkan tempoh penyewaan Port Arthur dan Dairen dari 25 tahun kepada 99 tahun. Jepun ingin menguasai jalan kereta api Selatan Manchuria dan jalan kereta api Antung Mukden serta kebebasan kepada rakyat Jepun untuk memasuki, menetap, dan mengembara di Manchuria Selatan dan Bahagian Mongolia Dalam.[21]

Bahagian ketiga dalam 21 Tuntutan ialah mengenai rancangan penanaman modal Jepun dalam kegiatan industri di Yangtse. Ia berkaitan dengan Syarikat Hanyehping yang mana Jepun mahu menjadikannya sebuah firma kongsi China Jepun bagi mendapatkan bagi mendapatkan bekalan besi. Negara China tidak dibenarkan menjual bekalan besi serta mendirikan perusahaan besi yang lain kerana dikhuatiri akan menjejaskan perusahaan bersama itu.[22]

Bahagian keempat pula ialah berkenaan pernyataan yang jelas bahawa China tidak akan memberi mana-mana pelabuhan sebagai konsesi kepada sebarang kuasa asing. Bahagian yang terakhir ialah yang menyatakan atau menunjukkan secara jelas niat Jepun ke atas China iaitu negara China akan terletak di bawah pengaruh Jepun dari segi politik, kewangan dan tentera di samping menerima penasihat Jepun. Negeri China perlu menerima bekalan senjata dari Jepun atau pembinaan kilang senjata akan terletak di bawah kawalan bersama Jepun-China serta Jepun diberi kebenaran membina beberapa jalan kereta api di selatan negeri China. Tuntutan-tuntutan ini semuanya meletakkan China di bawah pengaruh Jepun. Namun, kebocoran rahsia perjanjian ini telah menyebabkan Jepun memberi tempoh 48 jam untuk menerima tuntutan tersebut atau berperang.[23]

Kuasa-kuasa asing yang terlibat dalam tindak balas berkenaan merasa terganggu dengan tuntutan yang dibuat oleh Jepun, namun mereka tidak mampu bertindak secara berkesan kerana lebih mengutamakan perang di Eropah.[24] Jepun telah memanfaatkan peluang yang ada ini dengan tindakan yang lebih cepat sebelum kuasa asing bertindak membantah tuntutan yang dibuat Jepun. Tuntutan tersebut telah dipersetujui oleh China dalam tempoh 48 jam tetapi penerimaan hanya pada bahagian I hingga IV di dalam 21 Tuntutan tersebut.[25]

Faedah yang diterima oleh Jepun dengan menyertai Perang Dunia Pertama adalah sangat lumayan dari segi ekonomi dan politiknya. Dalam masa yang singkat, Jepun telah muncul sebagai kuasa angkatan laut yang utama di Pasifik di samping dapat mengambil alih kuasa Jerman di China dan Lautan Pasifik. Sebelum peperangan tamat, Jepun telah menandatangani perjanjian sulit antara Rusia, Britain, Perancis dan Itali bagi menyokong tuntutan Jepun ke atas Shantung. Perundingan juga telah dilakukan dengan Amerika Syarikat dan dengan itu Amerika mengakui hak istimewa Jepun ke atas China.

Perjanjian Versailles pada tahun 1919 adalah bagi mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi dan politiknya di Asia dan Lautan Pasifik. Perdamaian dari pihak Jerman telah diisytiharkan dan Jepun diwakili oleh Marquis Saiojii manakala China diwakili oleh C.T Wang dan Wellington Khoo.[26] Sebagai wakil dari kuasa besar, Jepun telah menjadi ahli Lima Kuasa Besar di samping Amerika Syarikat, British, Perancis dan Itali. Selain itu, Jepun turut diberi lima kerusi di dalam perundingan agung dan menjadi wakil bagi tiap-tiap jawatankuasa Badan tersebut. Sebaliknya China telah kehilangan wilayah Shantung dan bantuan dari pihak Barat tidak dapat diberikan disebabkan perjanjian sulit yang telah ditandatangani oleh mereka dengan Jepun sebelum peperangan tamat.[27]

Maka, jelas bahawa Jepun mempunyai agenda yang tersendiri dalam penglibatannya dalam PD1. Peluang-peluang seperti kelemahan pentadbiran Presiden Yuan membolehkan Jepun mengemukakan 21 Tuntutan terhadap China sewaktu peperangan berlangsung. Sekali gus membuatkan Jepun memanfaatkan peluang ini dengan memaksa China bersetuju dengan 21 Tuntutan tersebut. Walaupun bahagian kelima 21 Tuntutan tersebut ditangguhkan, tetapi Jepun telah berjaya memperluaskan dan mengukuhkan pengaruhnya di China dengan penerimaan empat bahagian 21 Tuntutan tersebut dari negara China.

4.0 Memantapkan Ekonomi Jepun

Jepun telah membuat keputusan untuk menyertai Pihak Bersekutu yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Great Britain, Itali, Perancis melawan pihak Jerman dan Austria. Perang Dunia Pertama (PD1) telah bermula pada tahun 1915 dan tamat pada 1918.[28] Kato yang merupakan Menteri Luar Negeri Jepun telah berjaya meyakinkan kabinet Jepun untuk menyertai PD1 kerana ianya dapat memberikan manfaat kepada Jepun apabila menyokong pihak British yang akan muncul sebagai juara dan sekiranya Pihak Bersekutu kalah ianya tidak akan menjejaskan Jepun.[29] Jepun mengambil peluang ini untuk mengukuhkan kedudukannya di Asia Timur antaranya dari aspek ekonomi. Rancangan Tuntutan 21 yang dibuat oleh Kato bersama beberapa orang pembesar Jepun adalah bertujuan untuk melaksanakan proses transformasi Negara China kepada sebuah kawasan naungan Jepun.

Keadaan ekonomi Jepun selepas Perang Rusia-Jepun pada tahun 1904 sehingga 1905 memberikan kesan buruk terhadap ekonomi Jepun. Ekonomi Jepun merosot dan rakyat terpaksa menanggung beban cukai demi keselamatan negara. Oleh itu, Jepun telah menceburi bidang perusahaan berat terutamanya membina kilang-kilang membuat alat-alat senjata. Jepun sedar bahawa untuk menjadi sebuah kuasa imperialis, Jepun hendaklah mengeluarkan sendiri kelengkapan perang tanpa mengharapkan bantuan asing.[30]

Sebelum tahun 1914, ekonomi Jepun tidak stabil akibat daripada rancangan memperbesarkan angkatan laut Jepun yang menelan perbelanjaan besar untuk membeli 17 buah kapal besar dan 20 buah kapal penjelajahan. Ekonomi yang tidak stabil ini juga didorong oleh pertambahan penduduk yang pesat iaitu pada tahun 1900 apabila penduduk Jepun mencecah 44 juta orang. Bagi menampung bekalan makanan terutamanya beras, Jepun terpaksa mengimport beras dari Korea. Jadi apabila perang meletus, kedudukan ekonomi Jepun bertambah baik kerana kapal-kapal dan kilang-kilang Jepun diperlukan oleh Pihak Berikat.

Selain itu juga, Jepun menggunakan kesempatan yang ada untuk meningkatkan hasil penjualan kain di Asia Tenggara yang sebelum ini pengeluaran dan pembekal kain dimonopoli oleh Britain, Jerman dan Perancis. Eksport kain kapas Jepun antara tahun 1913 sehingga 1918 bertambah 185% iaitu daripada 412 juta ela kepada 1,174 juta ela. Muatan perdagangan juga bertambah daripada 1,577 juta ton kepada 2,840 juta ton pada tahun 1914 sehinga 1919. Pada waktu PD1 ini berlangsung, Jepun dikatakan dalam zaman kemewahan. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa PD1 ini memberi manfaat yang baik terhadap perkembangan ekonomi Jepun.[31]

Jepun sememangnya mempunyai agendanya yang tersendiri dalam penglibatannya pada PD1. Antaranya Jepun menggunakan peluang ini untuk mengembangkan pengaruhnya di negeri China.[32] Dengan memberikan tekanan ke atas negeri China seperti mengemukakan Tuntutan 21 ke atas China. Jepun menyedari bahawa wujudnya keperluan yang mendesak bagi Jepun untuk mengukuhkan kedudukannya di Mancuria dan kawasan Dalaman Mongolia yang mempunyai kepentingan ekonomi.[33]

Perkara-perkara yang terkandung di dalam Tuntutan 21 ini sememangnya memperlihatkan keinginan Jepun untuk menguasai ekonomi di China. Antara tuntutan yang jelas menunjukkan minat Jepun ke atas ekonomi China iaitu Jepun ingin menduduki Mancuria Selatan dan bahagian Timur Mongolia. Jepun ingin meminta kebenaran menyewa Port Arthur dan Dairen dari 25 tahun menjadi 99 tahun, ingin menguasai jalan keretapi Selatan Mancuria dan jalan keretapi Antung-Mukden.[34] Ini menunjukkan bahawa Jepun ingin menyekat kuasa Barat terutamanya Jerman di kawasan yang kaya dengan sumber alam ini. Sebab utama jepun ingin menguasai Mancuria ini antaranya untuk mendapatkan keperluan bahan mentah. Menjelang tahun 1928, pengeluaran pertanian Mancuria seperti kacang soya, millet, barli ,mencapai kira-kira $60 juta. Selain itu Mancuria juga mempunyai hasil bumi seperti kayu kayan, arang batu, besi dan emas yang banyak. Bahan-bahan ini terutamanya besi sangat diperlukan untuk memajukan perusahaan Jepun.[35]

Dengan menguasai Mancuria, ini akan memberikan masa depan ekonomi yang baik kepada Jepun. Kira-kira 75% penanaman modal asing di Mancuria dikuasai oleh Jepun. Kepentingan ekonomi Jepun yang utama terletak kepada Syarikat Keretapi Manchuria Selatan. Dalam hubungan perdagangan dengan China, kira-kira 40% adalah melalui Mancuria.[36] Disebabkan faktor ekonomi inilah yang mendorong Jepun untuk melibatkan diri di dalam PD1 menentang musuhnya iaitu Jerman. Tatkala Pihak Bersekutu sibuk dalam peperangan, Jepun telah memasuki China yang pada waktu itu berada dalam kedaan kucar-kacir disebabkan masalah dalaman politiknya ditambah pula apabila Presiden Yuan memerlukan bantuan Jepun untuk menjayakan rancangannya membentuk dinasti baru dan menghalang Jepun membantu golongan-golongan yang menentangnya.

Selain itu juga, kepentingan Jepun terhadap ekonomi China dilihat pada Tuntutan 21 (kumpulan ke-3) dimana Jepun merancang menanam modal dalam perindustrian di daerah Yangtse. Jepun ingin mendapatkan bekalan besi dengan menjadikan Syarikat Han Yeh Peng sebagai sebuah syarikat kerjasama Jepun-China. Jepun juga menghalang China untuk menjual besi tanpa izin Jepun dan mendirikan perusahaan besi yang lain yang dapat menjejaskan perusahaan Jepun. Jelas di sini menunjukkan bahawa Jepun telah mengambil peluang dalam PD1 untuk mengambil kesempatan ke atas ekonomi di China untuk kepentingannya sendiri. Peningkatan ekonomi Jepun dalam PD1 ini memperlihatkan permintaan besar bagi barang-barang Jepun di luar negeri terutamanya senjata dan alat-alat perang bagi sekutunya di Eropah.

Analisis yang dapat dinyatakan di sini ialah, sekutu-sekutu Jepun seperti Britain, Perancis dan Itali masing-masing berlumba-lumba mengeluarkan senjata dan alatan pertahanan, sehinggakan mereka tidak membekalkan barang-barang buatan mereka yang lain ke pasaran-pasaran China, Asia Tenggara, dan bahagian-bahagian lain dunia. Jadi, kesempatan ini diambil oleh Jepun untuk meluaskan pasaran barangannya ke kawasan-kawasan tersebut dan memberikan keuntungan yang besar kepada Jepun.

Jelaslah di sini menunjukkan bahawa penglibatan Jepun di dalam Perang Dunia Pertama ini, ternyata memberikan manfaat yang besar kepada Jepun terutamanya dari aspek ekonominya. Kesan daripada PD1 ini telah meningkatkan kadar eksport Jepun pada tahun 1912 sehingga 1918, iaitu sebanyak 372%. Kadar import pula bertambah sebanyak 760%. Aktiviti perdagangan telah meningkat sebanyak tujuh kali ganda iaitu 760 % dalam tahun yang sama. Selain itu juga, Jepun yang sebelum ini menjadi sebuah negara yang berhutang, kini pada masa PD1 berlangsung, Jepun berjaya menjadi sebuah negara yang memberi hutang kepada negara luar terutamanya dalam eksport dan perkapalan. Nilai pengeluaran perindustrian juga turut bertambah dari 1.4 trilion pada tahun 1914 kepada 3.42 trilion dalam tahun 1921.[37]

Namun, peningkatan ekonomi Jepun (1914-1919) tidak kekal lama. Dengan berakhirnya PD1 pada tahun 1919, maka berakhirnya permintaan alat-alat senjata dan pertahanan di Eropah. Setelah perang tamat, negara-negara Barat mula meningkatkan semula pasaran-pasaran lama mereka di Asia Tenggara dan China. Keadaan ini mengakibatkan kemelesetan ekonomi Jepun menjelang tahun 1920. Sebab utama berlaku kemelesetan ini antaranya Jepun kehilangan peluang pasaran di China kerana boikot terhadap barangan Jepun disebabkan kontroversi mengenai Shantung.[38] Akibatnya Jepun mengalami kerugian besar ke atas ekonomi dan politik.

5.0 Persamaan taraf dengan negara Barat

Jepun merupakan negara yang berpegang teguh kepada konsep pan-asianisme yang menjurus kepada peranan sebenar Jepun di Asia dan menyebarkan ideologi bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk menyelamatkan Asia daripada pencerobohan kuasa barat seperti Rusia, Jerman, Amerika Syarikat dan lain-lain.[39] Perlindungan ke atas Asia ini memerlukan Jepun untuk menjadi sebuah kuasa yang setaraf dengan Barat sebagai sebuah kuasa dunia. Persamaan akan membolehkan Jepun menangani sebarang ancaman dan memerangi Barat dengan jayanya. PD1 dijadikan sebagai batu loncatan untuk mencapai cita-citanya termasuklah ingin menjadi sebuah kuasa yang setaraf dengan kuasa Barat dan diiktiraf. Sejak abad ke-19 lagi, Jepun jelas berusaha memodenkan negaranya dari setiap aspek bermodelkan Barat. Jepun menggalakkan pembelajaran sains dan teknologi Barat serta telah terpengaruh dengan konsep dan institusi Barat.

Abad ke-20 memperlihatkan Jepun sebagai sebuah kuasa imperialis yang baru. Jepun menggunapakai konsep Barat iaitu kuasa besar perlu memerintah negara kecil untuk kebaikan negara kecil itu dan kepentingan politik bagi pihak penjajah. Berdasarkan konsep ini, Jepun melihat Korea sebagai kawasan yang sangat strategik untuk kejayaan Jepun.[40] Kemenangan Jepun ke atas Rusia yang menjadikannya kuasa tunggal di Korea telah menjadi punca utama kebangkitan Jepun. Jepun telah diakui sebagai satu kuasa baru di Timur Jauh dan negara Barat terpaksa menerima negara Jepun sebagai setaraf dengan mereka.[41]

Pada 1902, termeterainya Perjanjian Inggeris-Jepun telah menaikkan keyakinan Jepun kerana Britain dilihat mulai mengiktiraf Jepun sebagai sebuah kuasa dunia. Hal ini kerana Britain meminta bantuan Jepun yang hanya merupakan sebuah Kepulauan kecil di Asia untuk memerangi Rusia yang merupakan salah satu kuasa Barat yang kuat. Seterusnya sekitar 1905, Jepun yang menjadi sekutu tentera Britain telah menang ke atas Rusia dan muncul sebagai kuasa utama dunia dalam bidang ketenteraan.[42]. Kejayaan ini telah membuktikan kekuatan ketenteraan Jepun dalam menghadapi ancaman Barat malahan menunjukkan persamaan taraf di antara kekuatan Barat dan Jepun.[43]

Selain itu, kemenangan ke atas Rusia telah menaikkan imej Jepun sekaligus digolongkan sebagai sebuah kuasa Eropah. Kekalahan Rusia telah menghapuskan mitos yang menyatakan bahawa kuasa Barat tidak dapat dikalahkan.[44] Keadaan ini menjadikan Jepun berasa bangga kerana merasakan orang Eropah, Amerika Syarikat dan Asia telah mengiktiraf kekuatan tentera Jepun dan kuasa Barat telah memberi Jepun status sebuah kuasa besar.[45] Kemenangan ini menjadi inspirasi kepada Jepun untuk mengorak langkah lebih jauh sehingga muncul sebagai sebuah kuasa besar di dalam PD1. Jepun bermatlamat menjadikan perang ini untuk mengukuhkan kedudukannya di Asia Timur.[46] Penglibatan Jepun jelas mengharapkan ganjaran di sebalik perkhidmatan yang diberikan sebagai sekutu Britain.[47]

Penyertaan Jepun dalam PD1 telah menjadikannya sebagai kuasa kelautan yang utama di kawasan pasifik.[48] Jepun menyertai perjanjian damai di Versailles 1919 untuk mengukuhkan lagi kedudukannya. Ia dihadiri bersama-sama lima kuasa dunia yang lain dan telah diterima sebagai kuasa utama dunia yang baharu.[49] Maka, jelas bahawa matlamat Jepun dalam PD1 yang ingin berkuasa setaraf dan diiktiraf Barat secara dasarnya berjaya.

Di sebalik kejayaan Jepun dalam peperangan dan pengiktirafan yang diterima oleh Barat, ia hanyalah bersifat untuk kepentingan semasa. Dari satu sudut yang lain, Barat tidak pernah dan enggan menerima bangsa lain supaya setaraf dengan mereka. Kemelut ini yang berkaitan persamaan ras khususnya tidak menemui jalan penyelesaian. Di dalam perjanjian ini, Jepun menyatakan mengenai deklarasi persamaan kaum sebagai satu fasal penting untuk dimasukkan ke dalam pertubuhan bangsa-bangsa bersatu yang ingin ditubuhkan itu. Tidak sebagaimana fasal lain yang diterima secara terpaksa oleh Presiden Amerika, tuntutan persamaan perkauman telah ditentang keras oleh Australia dan telah ditolak. Kesannya, imigran-imigran Jepun khususnya di California dan Hawaii terus didiskriminasikan.[50]

Sejak dahulu lagi, di seluruh dunia Barat kecoh dengan “ bahaya kuning”. Di Amerika Syarikat sendiri, orang-orang Timur tidak layak untuk menerima hak atas dasar persamaan ras. Begitu juga keadaan yang berlaku di California yang telah mengasingkan sekolah bagi anak-anak orang Timur. Sehingga 1924, Amerika Syarikat telah meluluskan akta eksklusif yang khusus dikuatkuasakan ke atas penduduk Jepun yang dianggap asing dan tidak layak untuk mendapatkan hak milik. Kesannya, penduduk Jepun berasa sangat kecewa dan terhina.[51]

Sikap perkauman anti-oriental ini telah mencapai kemuncaknya pada awal tahun sebelum perang dunia kedua apabila ibu bapa, golongan imigran, golongan tua dihalau keluar dari tanah pertanian dan rumah kediaman mereka serta ditempatkan di kem tahanan. Oleh itu, tidak hairanlah jika wujud gerakan anti-barat pada 1930-an yang berusaha ke arah meluaskan empayar Jepun melalui kuasa tenteranya sendiri sebagai cara yang terbaik untuk memberhentikan kekangan Barat serta sikap tunduk orang Asia kepada Barat. Gerakan anti barat ketika ini sedar bahawa status Jepun masih di peringkat pertengahan walaupun bergelar kuasa dunia. Tambahan lagi, negara Barat masih enggan menerima Jepun sebagai sama taraf atas alasan keturunan. Oleh itu, persamaan taraf yang diingini oleh Jepun tidak berjaya didapati secara keseluruhannya sebagaimana yang diimpikan.

5.1 Kuasa ketenteraan utama dunia

Jepun menerima pengiktirafan dan diakui sebagai sebuah sebuah kuasa dunia apabila tenteranya memenangi peperangan ke atas Rusia. Sejak daripada itu, Jepun tidak dapat dielakkan daripada melibatkan diri dalam hal ehwal politik dunia. Hal ini termasuklah melibatkan diri dalam PD1 yang dirasakan oleh rakyat Amerika Syarikat berlaku atas faktor persaingan pertahanan.

Sejak zaman Meiji lagi kerajaan Jepun memberi tumpuan khusus kepada kewujudan sebuah angkatan tentera yang mengikut cara Barat kerana sedar bahawa Jepun hanya dapat berdiri teguh menghadapi ancaman Barat menerusi proses modenisasi angkatan tentera.[52] Selain itu, Jepun akur kepada kemajuan teknologi senjata ketenteraan di negara Barat yang sangat hebat. Maka, Jepun perlu berdiri seiring dengan Barat dalam usaha untuk melindungi diri sekaligus menjadi kuasa yang disegani dunia. Tujuan utama pemodenan Meiji juga adalah untuk meningkatkan kekuatan negara dan mempertahankan kemerdekaan, selain ingin menjadikan Jepun diterima ke dalam masyarakat antarabangsa[53].

Pada abad ke-19, Jepun telah menambahbaik angkatan tenteranya sehingga menjadi sebuah angkatan tentera yang moden dan berkuasa. Mereka berazam untuk menguji kemahiran terhadap Rusia yang diiktiraf sebagai kuasa tentera yang terkuat di dunia.[54] Hasilnya, Jepun menang besar ke atas Rusia dan menggantikan kuasa Rusia di Pasifik. Seterusnya, semasa PD1, angkatan tentera semakin hebat dan peralatan ketenteraan menjadi lebih baik. Matlamat untuk cuba menandingi tentera Barat jelas semakin berjaya apabila kapal perang “Nagato” dan “Mutsu” yang digunakan semasa PD1 merupakan kapal tentera yang paling besar dan mahal di dunia.[55] Maka, menjelang tahun 1921, Jepun semakin berkembang sebagai kuasa tentera laut.

Tamatnya PD1 menyaksikan Great Britain, Amerika Syarikat dan Jepun terlibat dalam persaingan kekuatan angkatan tentera laut yang besar dan mahal serta jika tidak ditangani akan menyebabkan peperangan. Jelas bahawa ketenteraan Jepun setaraf dengan ketenteraan kuasa Barat. Maka ia berusaha diatasi melalui Persidangan Washington pada 1921 yang antaranya memeterai perjanjian mengurangkan perlumbaan senjata melalui genjatan senjata selama 10 tahun. Jepun menerimanya kerana sedar bahawa Amerika Syarikat yang kuat berkemungkinan akan bermusuh dengan Jepun dan Jepun sendiri tidak yakin mampu untuk menghadapi peperangan dengan A.S dan Britain.[56]

Selain itu, persidangan ini dibuat kerana Barat bimbang dengan perkembangan kuasa tentera Jepun yang seolah-olah telah menguasai Timur. Maka, Barat dilihat sengaja mengecilkan kekuatan ketenteraan Jepun dengan mengehadkan pemilikan kapal tentera yang lebih sedikit daripada pemilikan oleh Amerika Syarikat dan Britain. Ia membuktikan bahawa sekitar tahun 1920, Amerika Syarikat mulai ingin mengawal kekuatan tentera Jepun yang dianggap sebagai ancaman utama kepada kedudukan Amerika Syarikat di rantau Pasifik. Selain itu, Amerika Syarikat bersungguh-sungguh ingin membatalkan Persetiaan Inggeris Jepun 1902 yang mengikat Amerika Syarikat kepada Jepun. A.S bimbang jika berperang, A.S terpaksa menyebelahi Jepun sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian.

6.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, Jepun sememangnya mempunyai agenda yang tersendiri apabila menyertai PD1. PD1 telah menjadikan Jepun sebagai sebuah kuasa utama dunia dan diiktiraf kekuatannya oleh kuasa Barat. Namun disebalik kejayaan dalam perluasan kuasa ke atas China dan Korea, kemajuan ekonomi, serta kejayaan dalam perhubungan antarabangsa, Jepun kemudiannya mengalami masalah dalaman. Dua dekad selepas PD1 menyaksikan Jepun bermasalah dalam penyesuaian selepas zaman ledakan ekonomi.[57] Contohnya, berlaku inflasi keterlaluan, persaingan dengan industri Eropah yang menyebabkan deflasi serta ketidaktenteraman dalam bidang sosial dan intelektual. Selain itu, 1930-an memperlihatkan Jepun dikuasai oleh golongan tentera. Hal ini kerana masyarakat jepun lebih mudah untuk mempercayai tentera yang dianggap lebih jujur, ikhlas berbanding golongan industrialis dan parti politik yang hanya mencari keuntungan peribadi.[58]

Tahun-tahun selepas PD1 juga menimbulkan banyak konflik di antara Jepun, Amerika Syarikat dan kuasa asing yang lain. Tahun 1930-an menjadi tegang dengan masalah seperti diskrimininasi rakyat Jepun yang semakin meruncing, tindakan menguatkan diri yang lebih drastik dan kejam. Kesannya, pada 1932, Amerika Syarikat telah menjalankan polisi tidak mengiktiraf penaklukan Jepun yang diteruskannya sehingga perang dunia kedua. Walaupun begitu, Jepun tetap meneruskan ketaksuban imperialisme yang didasarkan kepada prinsip “the survival of the fittest” dan “winner takes all”.[59] Keghairahan Jepun berlanjutan sehingga pada 1938, Jepun mengebom bandar-bandar di China dan mengakibatkan beribu-ribu rakyat terkorban.[60] Hal ini menyebabkan Amerika Syarikat semakin bertindak dingin dan mengecam tindakan Jepun. Kemuncak hubungan tegang ini sehinggalah tahun 1945, tercetusnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan kekalahan Jepun. Jepun yang berada di puncak kejayaan akhirnya mengalami kekalahan teruk.[61]

7.0 Bibliografi

Abu Talib Ahmad. (2005). Tamadun Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Best, Antony.(Ed). (2010). The International History of East Asia,1900-1968: Trade, Ideology

and The Quest For Order. London: Routledge Taylor & Frana’s Group.

Chitoshi Yanoga. (1949). Japan Since Perry. New York: Mc Grow-Hill Book Company.Inc.

Joginder Singh Jessy. (1978). Sejarah China dan Jepun. Kuala Lumpur: Anthonian Sdn. Bhd.

Mark R. Peattie. (1975). Ishiwara Kanji and Japan’s Confrontation with the West. London:

Princetor University Press.

Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Kuala Lumpur: Adabi

Publishing Sdn. Bhd.

M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd.

Nicholas Tarling. (2001). A Sudden Rampage The Japanese Occupation of Southeast Asia 1941-

1945. Singapore: Horizon Books Pte Ltd.

Philip Towle dan Nabuko Margaret Kosuge. (2007). Britain and Japan In The Twentieth

Century One Hundred Years of Trade and Prejudice. New York: I.B Taurus Publisher.

Suffian Mansor. (2009). Sejarah China Moden. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Spencer C. Tucker. (1998). The Great War 1914-1918. London: UCL Press



[1] Spencer C. Tucker. (1998). The Great War 1914-1918. London: UCL Press. Hlm 197.

[2] Joginder Singh Jessy. (1978). Sejarah China dan Jepun. Kuala Lumpur: Anthonian Sdn. Bhd. Hlm. 168.

[3] Ibid., hlm. 169.

[4] Ibid., hlm.

[5] Ibid., hlm. 168.

[6] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Kuala Lumpur: Adabi Publishing Sdn. Bhd. Hlm. 150.

[7] Ibid., hlm. 159.

[8] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm. 159.

[9] Best, Antony.(Ed). (2010). The International History of East Asia,1900-1968: Trade, Ideology and The Quest For Order. London: Routledge Taylor & Frana’s Group. Hlm. 22.

[10] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm.161.

[11] Ibid., hlm 163.

[12] Joginder Singh Jessy. (1978). Sejarah China dan Jepun. Hlm. 169.

[13] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm.167.

[14] Ibid., hlm. 169.

[15] Ibid,. hlm 169.

[16] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Kuala Lumpur: Arenabuku. Sdn. Bhd. Hlm. 117.

[17] Ibid. Hlm. 118.

[18] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm. 196.

[19] Joginder Singh Jessy. (1978). Sejarah China dan Jepun. Kuala Lumpur: Antonian Store Sdn. Bhd. Hlm. 191.

[20] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm.194.

[21] Ibid.

[22] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Hlm. 123.

[23] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Hlm. 125.

[24] Ibid. Hlm. 124.

[25] Joginder Singh Jessy. (1978). Sejarah China dan Jepun. Hlm. 125.

[26] Joginder Singh Jessy. (1978). Sejarah China dan Jepun. Hlm. 205.

[27] Nicholas Tarling. (2001). A Sudden Rampage The Japanese Occupation of Southeast Asia 1941-1945. Singapore: Horizon Books Pte Ltd. Hlm 26.

[28] Suffian Mansor. (2009). Sejarah China Moden. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Hlm. 117

[29] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Kuala Lumpur: Arenabuku Sdn. Bhd. Hlm. 117

[30] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm. 170.

[31] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm. 198.

[32] Ibid., hlm. 196.

[33] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Hlm. 121.

[34] Maswari Rosdi. (1983). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm. 197.

[35] Ibid., hlm. 234.

[36] Ibid.,

[37] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Hlm. 138.

[38] M. Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Hlm. 139.

[39] Ibid., hlm. 103.

[40] Edwin O. Reischauer. (2006). Jepun Sejarah Sebuah Negara. Hlm 106.

[41] Maswari Rosdi. (1985). Sejarah China dan Jepun Moden 1800-1955. Hlm 170.

[42] Ibid., hlm 107.

[43] Edwin O. Reischauer. (2006). Jepun Sejarah Sebuah Negara. Hlm 108.

[44] M.Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. hlm. 106.

[45] Ibid., hlm. 107.

[46] M.Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. hlm. 117.

[47] Chitoshi Yanoga. (1949). Japan Since Perry. New York: Mc Grow-Hill Book Company.Inc. Hlm 358.

[48] M.Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. hlm. 118.

[49] Edwin O. Reischauer. (2006). Jepun Sejarah Sebuah Negara. Hlm 108.

[50] M.Rajendran. (1988). Sejarah Jepun.. hlm. 129.

[51] Edwin O. Reischauer. (2006). Jepun Sejarah Sebuah Negara. Hlm 121.

[52] M.Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. hlm. 63.

[53] Abu Talib Ahmad. (2005). Tamadun Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 177.

[54] Ibid., hlm. 103.

[55] M.Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. hlm. 130.

[56] Mark R. Peattie. (1975). Ishiwara Kanji and Japan’s Confrontation with the West. London: Princetor University Press. Hlm 14.

[57] Edwin O. Reischauer. (2006). Jepun Sejarah Sebuah Negara. Hlm 109.

[58] Ibid., Hlm 122.

[59] Philip Towle dan Nabuko Margaret Kosuge. (2007). Britain and Japan In The Twentieth Century One Hundred Years of Trade and Prejudice. New York: I.B Taurus Publisher. Hlm 35.

[60] M.Rajendran. (1988). Sejarah Jepun. Hlm 185.

[61] Ibid., Hlm. 194.

No comments:

Post a Comment