Website counter

Saturday, October 15, 2011

Diskriminasi Pendidikan Belanda Bawa Perubahan Kepada Masyarakat Aceh

1.0 PENDAHULUAN

Buku yang digunakan dalam menganalisis peranan pendidikan masyarakat di Aceh ialah Wajah Aceh Dalam Lintasan Sejarah. Buku ini telah ditulis oleh Teuku Ibrahim Alfian dan diterbitkan oleh Gadjah Mada University Press. Dalam bab kelapan, iaitu tentang Kontak kebudayaan dan pendidikan modern di Aceh pada awal abad ke-20 dijelaskan mengenai unsur kebudayaan Barat iaitu pendidikan moden yang dibawa oleh Belanda sehingga berlakunya perubahan dalam struktur masyarakat Aceh.[1] Fokus perbincangan ialah mengenai diskriminasi pendidikan Belanda sehingga membawa perubahan kepada masyarakat Aceh.

2.0 PERBINCANGAN

Belanda telah menggunakan beberapa strategi dalam usaha untuk menarik perhatian rakyat Aceh dari bangkit menentang pemerintahan kolonial nya. Golongan elite adat adalah merupakan golongan yang terlebih dahulu terpengaruh dengan gaya hidup Barat dan menerima pendidikan sekular.[2] Beberapa strategi telah dilakukan oleh Belanda dalam bidang pendidikan untuk menerapkan pendidikan berbentuk sekular dalam masyarakat Aceh. Walau bagaimanapun pengenalan pendidikan sekular yang diperkenalkan telah menimbulkan beberapa reaksi dalam kalangan rakyat Aceh khususnya golongan elite agama ataupun dikenali sebagai golongan Ulama. Hal demikian kerana terdapat diskriminasi dilakukan oleh pihak Belanda dalam menjalankan dasar pendidikan kepada rakyat Aceh.

Diskriminasi dilakukan Belanda ini adalah bertujuan untuk menarik lebih ramai masyarakat Aceh memilih pendidikan sekular dan meninggalkan pendidikan agama. Menurut Teuku Ibrahim Alfian, strategi ini bukan sahaja semata-mata tidak mahu mereka bangkit menentang pemerintahan kolonial, malah Belanda yakin melalui pendidikan sekular juga rakyat tidak akan terpengaruh dan mengikut seruan golongan elite agama untuk melawan pemerintah Belanda.[3] Walau bagaimanapun, strategi Belanda ini telah menimbulkan tentangan daripada golongan Ulama. Mereka telah menjalankan strategi menyebarkan ajaran agama melalui tabligh dan juga melalui lembaga-lembaga pendidikan seperti dayah ataupun madrasah.[4] Kaum wanita juga tidak ketinggalan untuk menerima pendidikan diberikan oleh golongan Ulama. Pendidikan agama dan moral telah diberikan kepada kaum wanita yang berada di desa mahupun bandar.[5]

Di antara bentuk diskriminasi Belanda ialah peluang menerima pendidikan dalam kalangan murid-murid sekolah. Hal ini dijelaskan oleh Teuku Ibrahim Alfian yang menyatakan bahawa pada umumnya peluang untuk menerima pendidikan lebih banyak diberikan kepada anak-anak daripada golongan elite adat. Hal ini adalah disebabkan golongan elite adat dikatakan lebih banyak menyokong pemerintahan kolonial Belanda jika dibandingkan dengan golongan elite agama. Sokongan yang diberikan oleh golongan elite adat ini adalah semata-mata untuk menjaga kepentingan kedudukan ekonomi mereka.[6] Perkara ini turut dijelaskan oleh Nazaruddin Sjamsuddin menyatakan bahawa kaum Ulubalang lebih berasa terjamin berada di bawah kekuasaan Belanda dan mereka menyukai keadaan politik yang bersifat status quo sehingga mereka sedia menerima kembali Belanda untuk menguasai Aceh.[7]

Justeru itu, peluang pendidikan dapat dilihat lebih diberikan keutamaan kepada golongan elite adat. Mereka telah diberikan keutamaan untuk memasuki sekolah berbahasa Belanda dan menyambung ke sekolah yang lebih tinggi.[8] Belanda juga telah mewujudkan sekolah desa untuk masyarakat mendapat pendidikan menulis, mengira dan membaca huruf Latin. Sejak tahun 1901, ramai golongan Ulubalang telah mendapat pendidikan di Kutaraja yang merupakan sekolah aliran sekular.[9] Oleh itu ramai dalam kalangan mereka yang berkelulusan sekolah negeri yang boleh berbahasa Belanda terdiri sebahagian besarnya daripada golongan elite adat.

Diskriminasi oleh pihak kolonial juga dilihat apabila mereka telah memaksa rakyat Aceh untuk memasuki sekolah desa yang merupakan sekolah sekular diwujudkan oleh Belanda. Mengikut A. Vogel dalam laporan penyelidikannya berkaitan pendidikan di Aceh pada tahun 1919 dalam buku Wajah Aceh Dalam Lintasan Sejarah menjelaskan bahawa, pendidikan yang berlaku di Aceh adalah tidak wajar kerana rakyat telah dipaksa untuk menyukainya.[10] Mereka yang tidak menghantar anak-anak ke sekolah akan didenda dan denda tersebut disalurkan kepada kewangan sekolah desa. Manakala sekolah yang beraliran agama tidak pula diberikan keutamaan. Walhal Aceh merupakan sumber modal utama Indonesia, namun kemudahan sosial dan pendidikan mereka telah diabaikan oleh sebab corak pendidikan mereka bersifat keagamaan.[11]

Selain daripada itu, diskriminasi dapat dilihat juga dalam peluang mendapatkan pekerjaan. Diskriminasi yang dimaksudkan adalah apabila keutamaan lebih diberikan kepada golongan pelajar yang berkelulusan sekular jika dibandingkan dengan mereka yang berkelulusan sekolah Melayu. Hal ini dibuktikan apabila kolonial Belanda telah menarik mereka yang berkelulusan sekular dalam sistemnya sendiri dengan cara menempatkan mereka sebagai birokrat atau guru di sekolah-sekolah sekular.[12]

Menurut A. Rani Usman dalam buku Sejarah peradaban Aceh: Suatu analisis interaksionis, intergrasi dan konflik, mereka yang berpendidikan agama sama sekali tidak diberikan peluang untuk terlibat dalam pentadbiran kolonial. Hal ini dibuktikan apabila mereka yang berpendidikan agama tidak dibenarkan bekerja di perusahaan Mobil Oil yang merupakan perusahaan terbesar di Aceh. Hal demikian kerana mereka ini dikatakan tidak mempunyai kelayakan sepatutnya disebabkan golongan pemuda Aceh ini mendapat pendidikan di Universiti Syiah Kuala yang merupakan sekolah aliran agama dan bukannya sekular.[13]

3.0 KESIMPULAN

Daripada hasil perbincangan yang telah dinyatakan, dapat disimpulkan bahawa diskriminasi Belanda dengan cara memberi keutamaan terhadap pendidikan sekular ini sedikit sebanyak telah mengubah corak hidup masyarakat Aceh. Golongan elite adat misalnya telah mula terpengaruh dengan gaya hidup Barat dan meninggalkan nilai-nilai tradisional Aceh. Manakala bagi mereka yang dahulunya berpegang kepada pendidikan agama juga telah terpaksa menerima pendidikan sekular disebabkan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan. Bentuk-bentuk diskriminasi yang diwujudkan oleh Belanda ini akhirnya telah membawa kepada revolusi sosial di Aceh sehingga tercetusnya Perang Cumbok yang merupakan perang saudara yang sangat diingati dalam sejarah Aceh kerana melibatkan ribuan kematian rakyatnya.[14]

Rujukan:

A. Rani Usman (2003). Sejarah peradapan Aceh: Suatu analisis interaksionis, intergrasi dan konflik. Indonesia: Yayasan Obor.

Franz Magnis-Suseno (2001). Suara dari Aceh, identifikasi kebutuhan dan keinginan rakyat Aceh. Jakarta: YAPPIKA.

Nazaruddin Sjamsuddin (1998). Revolusi di serambi Mekah. Jakarta: Universitas Indonesia.

Neta S. Pane (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka, solusi, harapan dan impian. Indonesia: PT Gramedia.

Teuku Ibrahim Alfian (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Yogyakarta: Gadjah Mada

Tgk. A. K. Jakobi (1998). Aceh dalam perang mempertahankan proklamasi kemerdekaan 1945-1949 dan peranan Teuku Hamid Azwar sebagai pejuang.



[1] Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Yogyakarta: Gadjah Mada. Hlm. 223.

[2] Ibid., Hlm. 231.

[3] Ibid., Hlm. 227

[4] Ibid., Hlm. 121.

[5] Franz Magnis-Suseno. (2001). Suara dari Aceh, identifikasi kebutuhan dan keinginan rakyat Aceh. Jakarta: YAPPIKA. Hlm. 79.

[6] Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Hlm. 226.

[7] Nazaruddin Sjamsuddin. (1998). Revolusi di serambi Mekah. Jakarta: Universitas Indonesia. Hlm. 128.

[8] Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Hlm. 228.

[9] Ibid., Hlm. 227.

[10] Ibid., Hlm. 232.

[11] Neta S. Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka, solusi, harapan dan impian. Indonesia: PT Gramedia. Hlm. 13

[12] Nazaruddin Sjamsuddin. (1998). Revolusi di serambi Mekah. Hlm. 120.

[13] A. Rani Usman. (2003). Sejarah peradaban Aceh: Suatu analisis interaksionis, intergrasi dan konflik. Indonesia: Yayasan Obor. Hlm. 126-127

[14] Tgk. A. K. Jakobi. (1998). Aceh dalam perang mempertahankan proklamasi kemerdekaan 1945-1949 dan peranan Teuku Hamid Azwar sebagai pejuang. Jakarta: PT Gramedia. Hlm. 318-319.

No comments:

Post a Comment