Website counter

Saturday, October 15, 2011

KERELEVANAN AGAMA BUDDHA DALAM PENDIDIKAN MORAL

Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidikmurid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral. Salah satu nilai yang diajarkan ialah berkaitan dengan nilai keadilan. Nilai keadilan yang diajarkan pada setiap tahap bermula daripada Tingkatan 1 hinggalah kepada Tingkatan 5 adalah berlainan mengikut tahap perkembangan pelajar. Sewaktu di Tingkatan 1, nilai keadilan yang diajarkan akan melihat keadilan kepada keluarga, Tingkatan 2 berfokus kepada sekolah, Tingkatan 3 pula kepada masyarakat, manakala bagi Tingkatan 4 dan 5 pula lebih kepada negara dan sejagat. Konsep keadilan di sini ialah satu tindakan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.

Persoalan yang timbul di sini ialah, adakah masih relevan jika agama Buddha diajarkan dalam pendidikan moral? Agama Buddha merupakan satu agama yang bebas. Agama Buddha bukan meruapakan satu gabungan beberapa agama atau idea – idea agama yang berbeza. Terdapat beberapa ajaran dalam agama Buddha yang menjurus kepada penganutnya untuk bertingkah laku baik. Sebagai contoh ialah Jalan Lapan Lapis dan Perintah 10. Dalam ajaran ini, terdapat beberapa perkara yang ditekankan yang membawa konsep keadilan. Jadi bolehlah dikatakan bahawa agama Buddha masih relevan jika diajarkan dalam pendidikan moral di sekolah.

Agama Buddha dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P & P)

Nilai keadilan yang terdapat dalam huraian sukatan pelajaran moral yang digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran moral boleh juga boleh didapati di dalam ajaran Buddha. Misalnya dalam ajaran Buddha Jalan Lapan Lapis. Dalam Jalan Lapan Lapis yang ketiga menekankan penganutnya untuk bercakap benar dalam percakapan dan perkataan. Nilai yang serupa juga terdapat dalam Perintah ke empat yang menyentuh mengenai tidak boleh menipu atau berbohong sesama manusia. Nilai keadilan dapat dilihat kerana, jika seseorang itu berbohong dan menipu, maka tidak adil bagi pihak kedua yang dibohongi. Pihak yang dibohong akan berasa tertipu dan ditindas. Jadi ajaran agama Buddha yang menyuruh penganutnya bercakap benar adalah salah satu konsep keadilan dan relevan untuk diajarkan dalam pendidikan moral.

Dalam kandungan objektif pendidikan moral juga mengkehendaki murid supaya mempunyai iltizam untuk mengamalkan perlakuan yang bermoral secara adil dan altruistik selaras dengan nilai murni masyarakat Malaysia. Maka adalah relevan sekiranya ajaran Buddha yang berkaitan keadilan ini diaplikasikan dalam pendidikan moral. Nilai keadilan yang diaplikasikan ini bukan sahaja dapat menjamin kesejahteraan dan keamanan sewaktu P&P malah boleh di kekalkan dalam kehidupan seharian.

Namun terdapat beberapa masalah dalam penyampaian nilai keadilan ini sewaktu P&P. Hal ini kerana nilai keadilan yang diajarkan pada setiap tingkatan adalah tidak sama. Adakalanya guru terkeliru dengan penyampaian nilai keadilan. Guru menyampaikan makna adil ini sama sahaja bagi setiap tingkatan tanpa mengambil beza merujuk keadilan bagaimana dan kepada siapa. Ini kerana bagi makna adil itu adalah sama iaitu satu tindakan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah. Namun apa yang berbeza ialah pengkhususan konsep keadilan tersebut itu merujuk kepada siapa.

Sebagai contoh nilai keadilan bagi Tingkatan satu ialah amalan keadilan dalam institusi kekeluargaan. Nilai keadilan yang dimaksudkan adalah merujuk dikalangan anggota keluarga seperti pembahagian tugas dan tanggungjawab. Namun ada sesetengah guru yang tanpa melihat dan memahami fokus kumpulan adil tersebut telah turut mengajarkan nilai keadilan itu di dalam P&P Tingkatan 3. Sedangkan pada peringkat Tingkatan 3 nilai keadilan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada masyarakat.

Kesilapan dalam memahami isi sukatan pelajaran dan sikap sambil lewa guru ini secara tidak langsung akan menimbulkan kekeliruan dalam diri pelajar untuk memahami makna sebenar adil. Selain daripada itu, jika nilai adil yang sama sahaja diajarkan untuk setiap tingkatan, maka akan timbulah kebosanan dalam diri pelajar untuk mengikuti P&P tersebut. Sekiranya guru mengajar nilai adil hanya merujuk kepada kekeluargaan bagi setiap tingkatan, maka pelajar akan menganggap nilai adil tersebut hanyalah untuk diaplikasikan dalam institusi kekeluargaan sahaja.

Masalah seperti ini boleh dielakkan sekiranya guru-guru lebih peka kepada isi sukatan matapelajaran moral yang telah disediakan. Guru-guru haruslah membuat rujukan terhadap isi sukatan terlebih dahulu sebelum memulakan P&P. Dengan cara ini bukan sahaja memudahkan guru untuk menyampaikan isi pembelajaran, malahan para pelajar juga akan dapat membezakan dan memahami nilai keadilan tersebut dengan lebih mendalam.

Selain daripada itu, guru-guru boleh menyelitkan berkaitan ajaran agama Buddha yang menekankan kepada nilai keadilan dalam P&P yang dijalankan. Hal ini bukan untuk memberikan kelebihan dan keutamaan kepada pelajar beragama Buddha, tetapi untuk memberikan pendedahan kepada pelajar nilai-nilai positif yang terdapat dalam setiap agama. Hal ini kerana semua agama akan menyuruh penganutnya untuk berkelakuan baik. Jadi adalah relevan ajaran agama Buddha di dalam pendidikan moral. Jika guru tidak mengambil kira semua ini, maka objektif pendidikan moral tidak akan dapat dicapai.

Ajaran Agama Buddha

Nilai keadilan adalah penting dalam semua aspek. Sebagai contoh nilai keadilan penting dalam sebuah institusi kekeluargaan. Hal ini bertujuan untuk membina keluarga yang harmoni dan aman sejahtera. Ibu bapa berperanan utama dalam mewujudkan dan memupuk rasa adil dalam sesebuah keluarga. Sebagai seorang bapa merangkap kepada ketua sebuah keluarga haruslah bijak untuk melakukan sesuatu tindakan. Misalnya dalam hal pembahagian barangan dan juga pendidikan. Sebagai seorang bapa, seseorang itu perlu berlaku adil dalam memberikan sebarang pendidikan kepada anak-anaknya. Tidak seharusnya timbul rasa pilih kasih pada setiap anak-anak. Sekiranya wujud perasaan seperti ini, maka haruslah segera di jauhkan untuk mengelakkan rasa dendam dalam diri anak-anak kerana tidak diberikan keadilan sepatutnya.

Sering terjadi dalam institusi kekeluargaan akan berlakunya penipuan dalam pembahagian harta. Hal seperti ini adalah kerana tidak adanya sifat keadilan dalam diri pembahagi harta tersebut. Dalam ajaran agama Buddha telah melarang penganutnya supaya tidak melakukan penipuan. Jika seseorang melakukan perbuatan menipu akan menyebabkan satu bentuk penganiayaan terhadap bagi individu yang ditipu. Perkara ini dianggap keji dalam ajaran Buddha dan semestinya akan menimbulkan rasa marah terhadap mangsa penipuan.

Namun jika dilihat pada keadaan masa kini, nilai keadilan sudah mula diabaikan. Bukan sahaja dalam institusi kekeluargaan malahan juga dalam masyarakat dan juga negara. Pada peringkat lebih besar yang melibatkan negara semakin berleluasa berlakunya penipuan dan penindasan. Sering terpapar di dada akhbar yang membicarakan tentang rasuah, penyelewengan dan sebagainya dalam suatu pentadbiran. Nilai- nilai moral seperti tidak memberi kesan di kalangan individu yang melakukannya. Permainan politik yang semata-mata menjaga kepentingan tertentu amat jelas dilihat tiadanya nilai keadilan yang wujud. Misalnya dalam pemberian ganjaran kepada mereka yang menyokong dan pandai mengampu. Sebaliknya individu yang satu lagi tidak diberikan layanan yang saksama.

Begitu juga dalam sistem kehakiman untuk menjatuhkan sebarang hukuman. Nilai keadilan amat sukar dipraktikan dalam mengambil keputusan dan sebarang tindakan. Hal ini kerana, semua hukuman adalah berdasarkan bukti yang kukuhsemata-mata. Jadi bersalah atau tidak seseorang itu adalah bergantung kepada kehebatan peguam pembelaanya dan bukti yang dikumpul. Mereka yang bersalah boleh dianggap tidak bersalah sekiranya mereka bijak mewujudkan bukti walaupun palsu. Apa yang penting sebenarnya ialah untuk bercakap benar bagi menyebabkan suatu pihak yang tidak bersalah teraniaya. Di sini dapat dilihat kerelevanan ajaran Buddha dalam pendidikan moral. Dalam ajaran Buddha berkaitan dengan Perintah yang keempat menyentuh supaya tidak boleh menipu dan berbohong sesama manusia. Jika seseorang tersebut mampu bercakap benar, secara tidak langsung mereka juga akan berlaku adil. Jadi adalah relevan agama Buddha dalam pendidikan moral.

Nilai moral diajarkan ada kalanya sukar diikuti dan dipraktikan dalam kehidupan seharian. Bagi diri pelajar misalnya mereka hanya belajar nilai-nilai tersebut sekadar tuntutan untuk lulus dalam peperiksaaan. Tiada satu penilaian yang ada untuk memastikan sama ada pengajaran nilai tersebut benar-benar memberikan kesan dalam diri pelajar. Adalah sukar untuk melihat mereka yang belajar moral akan turut membentuk individu tersebut mematuhi nilai moral dan berkelakuan baik. Sebaliknya pegangan agama lebih mudah diikuti kerana menjadi pegangan sepanjang hidup penganutnya.

Rujukan:

Mohamad Kamal. (2010). Agama dan Kepercayaan Dunia. Kota Bharu: Pustaka HILMI.

No comments:

Post a Comment