Website counter

Saturday, October 15, 2011

Tuntutan Pemisahan Acheh

1.0 Pendahuluan

Aceh dihuni lebih empat juta Muslim dan merupakan kerajaan Islam pertama di Indonesia.[1] Rakyat Aceh hidup dengan mengamalkan ciri-ciri Islam sebagai identiti utama. Hubungan teguh Islam dan Aceh diibaratkan seperti dua permukaan syiling yang tidak dapat dipisahkan.[2] Setelah Indonesia merdeka, Aceh telah masuk ke dalam wilayah negara kesatuan Republik Indonesia (RI) ini. Ketaatsetiaan dan sokongan Aceh terhadap RI tergambar jelas dengan sumbangan besar Aceh kepada pembangunan pusat pemerintahan Indonesia walaupun akibatnya, Aceh sendiri mengalami kemunduran dalam aspek pendidikan, ekonomi dan politik.[3] Pelbagai protes di Aceh berlaku akibat ketidakadilan yang dirasai Muslim Aceh seperti Gerakan Pemisahan Aceh (GAM). Perjuangan kemerdekaan Aceh ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor utama iaitu ekonomi, pendidikan, pancasila, dan orde baru.

2.0 Gerakan Aceh Merdeka (GAM)

Perjuangan GAM ini telah lahir pada 24 Mei 1977 dan diketuai oleh Hasan Tiro.[4] Ia lahir sebagai tindak balas daripada tindakan pemerintahan pusat yang semakin tidak adil semasa pelaksanaan orde baru. Oleh itu Muslim Aceh bangkit menuntut kemerdekaan.[5] Tokoh GAM telah membentuk struktur pemerintahan Aceh merdeka yang terdiri daripada pemimpin tertinggi iaitu Daud Beureueh, dewan syura, dan kabinet Aceh merdeka yang terdiri daripada 15 orang menteri dan enam gabenor.[6]

Perjuangan GAM bertujuan untuk memisahkan Aceh dari RI dan menjadikannya sebuah negara monarki.[7] Perjuangan ini adalah berkonsepkan barat iaitu sekularisme[8]. Kesannya, Hasan Tiro telah mengikis norma Islam di dalam perjuangan kerana menganggap dengan cara ini perjuangan GAM akan mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa.[9] Kewujudan GAM ini telah membangkitkan semangat perjuangan anggota GAM terhadap pemerintah. Perjuangan GAM ini menerima tekanan daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI) sehingga menyebabkan kematian tokoh-tokoh GAM. Tekanan dalam bentuk ketenteraan ini juga dikenakan kepada rakyat biasa supaya rakyat tidak mendukung GAM.

Tekanan demi tekanan terus diberikan kepada GAM sehingga daerah Aceh dijadikan Daerah Operasi Militer (DOM) iaitu gerakan ketenteraan membersihkan anggota GAM. Kesan daripada kekejaman DOM, rakyat Aceh menderita, kecewa dan tidak lagi mempercayai pemerintah RI. Maka, secara jelas apa yang diinginkan oleh Muslim Aceh ini hanyalah untuk memisahkan Aceh dari RI.[10]

Kekejaman semasa DOM bukan sahaja menjadikan seorang wanita itu hilang maruah, menjadi janda, bahkan juga menjadikan 30,000 anak-anak Aceh yatim piatu.[11] Selain itu, DOM juga menghancurkan Islam apabila perempuan yang sudah bersuami dipaksa berkahwin lagi, gadis-gadis Aceh diperkosa, pembunuhan Muslim Aceh secara membabi buta, dan ketidakadilan ke atas Muslim Aceh.[12] Perbuatan TNI ini bertentangan dengan Islam dan semakin meningkatkan semangat ingin berpisah dari RI. Namun, walaupun pelbagai tekanan diberikan, perjuangan GAM masih terus berlaku dengan kemunculan generasi seterusnya seperti Ahmad Kandang sehingga Tengku Abdullah Syafei.[13]

3.0 Pancasila

Pancasila adalah satu ideologi yang diperkenalkan oleh Soekarno pada 1 Jun 1945. Soekarno telah menolak Islam sebagai dasar negara walaupun penduduk Indonesia adalah majoriti yang beragama Islam kerana tidak mahu beberapa daerah di Indonesia yang penduduk bukan Islam memisahkan diri. Sila Ketuhanan yang Maha Esa tidak mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi. Setiap agama yang diamalkan oleh penduduk Indonesia adalah sama termasuk kepercayaan animisme.

Ketuhanan yang Maha Esa dalam Pancasila bukan satu dasar yang berfahaman Islam sebaliknya berfahaman sekular yang memisahkan urusan pemerintahan dengan agama. Bagi golongan Muslim yang moden, mereka berpendapat bahawa Pancasila dan Islam adalah saling bergantungan dalam bidang politik dan ekonomi.[14] Manakala bagi golongan Muslim yang skripturalis menganggap Pancasila adalah bertentangan dengan doktrin Syumuliyah.[15] Hal ini kerana, sila Ketuhanan yang Maha Esa tidak mengikut prinsip Khilafat Islamiyah dan penerapan Syariah secara Kaffah.[16] Soekarno juga tidak memberi kebebasan beragama yang sepenuhnya kepada penduduk Aceh.[17] Slogan “Nasakom” yang dilaungkan oleh Soekarno untuk menubuhkan satu kesatuan yang akan melengkapkan perlaksanaan Pancasila di Indonesia dengan menggabungkan tiga konsep iaitu nasionalisme, komunisme dan keagamaan.[18] Muslim di Indonesia menganggap Pancasila ini merupakan satu dasar negara yang membuka peluang kepada golongan penggerak Ateis seperti Parti Komunis Indonesia untuk bergiat aktif di Indonesia.[19] Malah terdapat juga golongan Muslim yang mengaku diri mereka adalah beragama Islam tetapi tidak pernah berusaha untuk mempertahankan hak dan nasib Muslim yang lain. Hal ini telah menyebabkan Muslim di Aceh meragui akan dasar negara yang berasaskan sekular. Muslim di Aceh juga menuntut Indonesia menjadi sebuah negara Islam tetapi tidak dipedulikan oleh Soekarno.

Para ulama telah menggerakkan penduduk Aceh untuk memisahkan diri dari negara Pancasila kerana Indonesia menjadi huru-hara di bawah Pancasila. Muslim di Aceh tidak sanggup melihat agama Islam dihina secara berterusan. Akhlak dan moral pemuda-pemudi di Indonesia semakin runtuh, berlakunya zina di setiap liku negara, penyelewengan dan rasuah dalam pentadbiran negara menyebabkan negara menjadi mundur dan penduduk Aceh hidup dalam kemiskinan.[20] Pembangunan di Utara Aceh dalam sektor industri yang dilakukan oleh pemerintah pusat telah mengakibatkan Timur Aceh hingga ke bandar Aceh menjadi pusat pelacuran dan pusat hiburan yang telah menghancurkan syariat Islam.[21] Nilai-nilai agama juga semakin terpinggir menyebabkan kedudukan agama Islam semakin tergugat walaupun 100% penduduk Aceh adalah Muslim.[22]

4.0 Order Baru

Rejim Order Baru merupakan rejim di bawah pimpinan Suharto. Beliau telah mengetengahkan konsep Pancasila yang dijadikan sebagai ideologi negara untuk penyatuan rakyat.[23] Tentangan dari pemimpin-pemimpin Islam di Aceh berlaku kerana mereka menganggap bahawa Pancasila bertentangan dengan Islam dan mereka mahu Aceh dijadikan negara Islam serta perlaksanaan hukum syariah. Rejim di bawah Suharto berpaksikan kepada kesepaduan bangsa dan pembangunan ekonomi, bukannya isu agama, oleh sebab itulah Islam tidak berdiri kukuh di bawah pimpinan beliau.[24] Suharto telah menubuhkan Majlis Ulama Indonesia kerana berpendapat institusi Islam berpotensi untuk mencabar kekuasaan negara.[25] Terdapat kemudahan yang disediakan untuk umat Islam. Namun begitu, lebih banyak kepincangan dan musibah yang diberikan kepada umat Islam di bawah Order Baru Suharto.

Pemaksaan semua parti Islam untuk menyertai PPP pada 1973 telah menimbulkan perpecahan kerana masing-masing berpegang pada dakyah masing-masing. Nahdatul Husna yang bersifat lebih terbuka telah menyokong Pancasila. Mereka tidak dapat melakukan apa-apa apabila aliran konservatif melakukan perubahan atau pemodenan dalam undang-undang Islam.[26] Umat-umat Islam khususnya di Aceh yang tidak berpuas hati hanya mampu meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka di masjid-masjid. Peranan kaum ulama telah dikecilkan dalam banyak perkara sehingga terlihat ulama hanya berfungsi sebagai boneka oleh kekuasaan Order Baru.[27] Ia berlaku akibat proses modernisasi dan kapitalisasi. Kemasukan-kemasukan kemajuan yang mendatang sekaligus merubah struktur masyarakat Aceh. Para ulama mula terperangkap ke dalam permainan politik tempatan yang mendatangkan keuntungan.[28]

Di bawah Order Baru, terdapat Operasi Militer yang berlangsung bermula 1989 hingga 1998 yang telah menyebabkan hampir 30000 nyawa terkorban.[29] Penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Aceh dilakukan oleh sesama bangsa sendiri demi membuktikan kesaktian Pancasila di hadapan kaum yang lemah.[30] Pelbagai perlanggaran hak asasi manusia berlaku selama berlangsungnya Operasi Militer di Aceh. Gerakan keamanan ini yang dikatakan berpunca bagi membanteras Gerakan Aceh Merdeka terlihat jelas tersasar dari motif mereka. Hal ini berlaku kerana rakyat Aceh bangun menuntut hak mereka yang jika dihitung tidak sampai sepersen pun dari hasil kekayaan ekonomi Aceh diberi kepada rakyat Aceh.[31]

Peranan agama Islam begitu besar dalam masyarakat Aceh, maka proses politik yang berlaku di Aceh sukar untuk dipisahkan dengan nilai-nilai Islam.[32] Semasa di awal Order Baru, organisasi Islam percaya bahawa campur tangan ketenteraan dalam politik hanyalah sementara kerana janji-janji manis Suharto yang menjanjikan sebuah negara Islam yang merdeka sebaliknya beliau mendirikan sebuah negara kesatuan bangsa dan bermatlamatkan pembangunan ekonomi. Di bawah kerajaan Order Baru ini, Suharto tidak membenarkan dasar kerajaan ditetapkan oleh pertimbangan hukum Islam.[33]

5.0 Pendidikan

Pendidikan adalah merupakan salah satu pencetus kepada kebangkitan Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Beberapa strategi telah dilakukan oleh Belanda dalam bidang pendidikan untuk menerapkan pendidikan berbentuk sekular dalam masyarakat Aceh. Walau bagaimanapun pengenalan pendidikan sekular yang diperkenalkan telah menimbulkan beberapa reaksi dalam kalangan rakyat Aceh khususnya golongan elite agama ataupun dikenali sebagai golongan Ulama. Hal demikian kerana terdapat diskriminasi dilakukan oleh pihak Belanda dalam menjalankan dasar pendidikan kepada rakyat Aceh. Umumnya peluang untuk menerima pendidikan lebih banyak diberikan kepada anak-anak daripada golongan elite adat. Hal ini adalah disebabkan golongan elite adat dikatakan lebih banyak menyokong pemerintahan kolonial Belanda jika dibandingkan dengan golongan elite agama. Sokongan daripada golongan elite adat ini adalah semata-mata untuk menjaga kepentingan kedudukan ekonomi mereka.[34] Mereka telah diberikan keutamaan untuk memasuki sekolah berbahasa Belanda dan menyambung ke sekolah yang lebih tinggi.[35]

Pihak kolonial juga telah memaksa rakyat Aceh untuk memasuki sekolah desa yang merupakan sekolah sekular. Melalui sekolah desa mereka diajar menulis, membaca dan mengira dalam huruf Latin.[36] Mereka yang tidak menghantar anak-anak ke sekolah akan didenda dan denda tersebut disalurkan kepada kewangan sekolah desa. Manakala sekolah yang beraliran agama tidak pula diberikan keutamaan. Walhal Aceh merupakan sumber modal utama Indonesia, namun kemudahan sosial dan pendidikan mereka telah diabaikan oleh sebab corak pendidikan mereka bersifat keagamaan.[37]

Selain daripada itu, Belanda telah melakukan diskriminasi dalam peluang mendapatkan pekerjaan. Diskriminasi yang dimaksudkan adalah apabila keutamaan lebih diberikan kepada golongan pelajar yang berkelulusan sekular jika dibandingkan dengan mereka yang berkelulusan sekolah Melayu. Hal ini dibuktikan apabila kolonial Belanda telah menarik mereka yang berkelulusan sekular dalam sistemnya sendiri dengan cara menempatkan mereka sebagai birokrat atau guru di sekolah-sekolah sekular.[38] Mereka yang berpendidikan agama sama sekali tidak diberikan peluang untuk terlibat dalam pentadbiran kolonial. Mereka yang berpendidikan agama tidak dibenarkan bekerja di perusahaan Mobil Oil yang merupakan perusahaan terbesar di Aceh. Hal demikian kerana mereka ini dikatakan tidak mempunyai kelayakan sepatutnya disebabkan golongan pemuda Aceh ini mendapat pendidikan di Universiti Syiah Kuala yang merupakan sekolah aliran agama dan bukannya sekular.[39]

Oleh sebab wujudnya diskriminasi Belanda ini telah menyebabkan segelintir masyarakat Aceh khususnya golongan elite adat telah mulai melupakan nilai-nilai tradisional dan terpengaruh dengan Barat. Hal ini telah menimbulkan ketegangan sosial di antara golongan elite adat dan elite agama. Golongan elite agama sama sekali menolak pendidikan sekular. Mereka menganggap lembaga agama tradisional telah sempurna sehingga mereka berkata bahawa mereka yang masuk ke sekolah Belanda adalah kafir dan orang yang menulis huruf Latin akan dipotong tangannya di akhirat. Manakala sekolah sekular desa dipanggil sebagai sekolah dosa.[40]

Ketegangan yang berlaku di antara golongan elite adat dan elite agama ini akhirnya telah membawa kepada revolusi sosial di Aceh. Elite agama telah bangkit menentang sehingga tercetusnya Perang Cumbok yang merupakan perang saudara yang sangat diingati dalam sejarah Aceh kerana melibatkan ribuan kematian rakyatnya.[41]

6.0 Kekayaan ekonomi Aceh dieksploitasi kerajaan pusat

Aceh yang diberi gelaran ‘daerah modal’ oleh Presiden Sukarno kerana kekayaan hasil buminya terutamanya gas dan minyak.[42] Kekayaan sumber alam Aceh dapat dibuktikan apabila pada Ogos 1948, daerah ini mampu menyumbangkan dua buah pesawat terbang jenis ‘Dakota’ kepada Republik Indonesia iaitu sama nilainya dengan 20 kilogram emas [43] dan pada tahun 1949, Aceh menjadi dana utama kepada pemerintahan pusat. [44] Era Orde Baru rakyat Aceh menjadi orang asing di negerinya sendiri. Rakyat Aceh rasa dipergunakan terutamanya hasil buminya[45] sehinggakan kadar kemiskinan di sepanjang wilayah Aceh tidak dipedulikan. Apabila rakyat Islam Aceh meluahkan rasa tidak puas hati, situasi ini telah disalah erti kan dan akhirnya kekecewaan ini berubah kepada pemberontakan. [46]

Terdapat tiga diskriminasi nyata dapat dilihat dari sudut ekonomi masyarakat Islam di Aceh iaitu dari aspek peluang pekerjaan, peluang pendidikan dan syarikat luar yang mengusahakan industri minyak dan gas di Aceh. Sumber gas di Aceh ini telah di dominasi oleh perusahaan dari Amerika. Antara kilang-kilang yang wujud seperti perusahaan fabrik, kertas dan wangian. Bagi melancarkan perjalanan pengeluaran hasil ekonomi terutamanya minyak di Aceh, kerajaan telah menjadikan Aceh sebagai zon pembangunan industri (ZILS). [47] Fenomena ini telah membawa perubahan sosial dan pembangunan kepada masyarakat Islam di Aceh. Masalah rakyat Aceh menjadi semakin berat apabila petani tempatan mengeluh disebabkan hasil tanaman mereka rosak disebabkan pencemaran sungai, kolam ikan dan udang disebabkan pembangunan dalam industri minyak yang tidak di selenggara dengan baik. Kos hidup yang semakin tinggi disebabkan harga bekalan asas meningkat. [48]

Walaupun Aceh menjadi pusat ekonomi utama, rakyat Islam Aceh mengalami kehidupan yang sukar dan hidup dalam kemiskinan. Keadaan ini berlaku apabila mereka tiada pekerjaan. Lambakan imigran luar dari daerah Aceh masuk untuk mengisi pekerjaan dalam sektor minyak. Kemasukan imigran ini menjadikan pertambahan penduduk Aceh Utara meningkat dari 50% kepada 300% di kawasan-kawasan zon pembangunan industri di Aceh. [49] Jumlah masyarakat Islam Aceh yang bekerja di sektor minyak ini terlalu sedikit. Masalah pengangguran ini membuatkan masyarakat Islam Aceh hidup melarat dan miskin.

Bagi mereka kelalaian pemerintahan pusat lemah kerana tidak dapat menangani isu pengangguran ini kerana Muslam Aceh tidak dapat menempatkan diri dalam sektor ekonomi disebabkan tiada kemahiran dan pendidikan yang baik. Tiada program bagi mendidik dan melatih tenaga kerja dari kalangan penduduk Aceh untuk bekerja di perusahaan minyak gas. Pelajar Aceh yang berpendidikan tinggi juga tidak berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan di Aceh. [50] Masyarakat Islam Aceh yang rata-ratanya hidup dalam kemiskinan tidak dapat menempatkan diri dalam pendidikan formal. Disebabkan kemunduran masyarakat Islam Aceh ini, kemudahan tidak diselenggara dengan baik apabila bilangan sekolah tidak mencukupi, tiada hospital dan jalan raya tidak diturap. Keadaan masyarakat semakin kronik kerana tidak ada peluang pekerjaan untuk pemuda Aceh.[51] Diskriminasi ini telah menimbulkan konflik sosial oleh masyarakat Aceh sehingga kepada munculnya Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

7.0 Penutup

Kesimpulannya, sepanjang pemerintahan Soekarno dan Soeharto telah menyebabkan rakyat Muslim Aceh menderita bukan sahaja dari aspek fizikal bahkan juga psikologi. Hal ini kerana, setiap dasar yang diperkenalkan oleh pemerintahan pusat bersifat sekular dan tidak dapat diterima dan diadaptasi di dalam kehidupan seharian Muslim Aceh yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunah. Secara keseluruhannya, ketidakpuasan hati Muslim Aceh telah bermula sejak berlakunya pengeksploitasian ekonomi Aceh oleh pusat yang mengakibatkan kemunduran ekonomi dan pendidikan di Aceh, kemudiannya merebak apabila dilaksanakan Pancasila yang meminggirkan syariat Islam dan akhirnya memuncak semasa Orde Baru di bawah Soeharto. Kesannya, Muslim Aceh memberontak dan membentuk Gerakan Aceh Merdeka.



[1] Fikar W.Eda dan S. Satya Dharma(penyusun). (1999). Sebuah kesaksian Aceh menggugat sepuluh tahun rakyat Aceh di bawah tekanan militer. Jakarta: Pustaka Sinar Harapan. Hlm 3.

[2] Ibid. Hlm 5.

[3] Fikar W.Eda dan S. Satya Dharma(penyusun). (1999). Sebuah kesaksian Aceh menggugat sepuluh tahun rakyat Aceh di bawah tekanan militer. Hlm 5.

[4] Neta S, Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka solusi, harapan dan impian. Jakarta: Penerbit PT Gramedia Widiasarana Indonesia. Hlm 43.

[5] Fikar W.Eda dan S. Satya Dharma(penyusun). (1999). Sebuah kesaksian Aceh menggugat sepuluh tahun rakyat Aceh di bawah tekanan militer. Hlm 5.

[6] Neta S, Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka solusi, harapan dan impian. Hlm 43.

[7] Ibid. Hlm 47.

[8] Tim Kell. (1995). The roots of Acehnese rebellion, 1989-1992. New York: Cornell Modern Indonesia project. Hlm 64.

[9] Neta S, Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka solusi, harapan dan impian. Hlm 48.

[10] Neta S, Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka solusi, harapan dan impian. Hlm 283.

[11] Fikar W.Eda dan S. Satya Dharma (penyusun). (1999). Sebuah kesaksian Aceh menggugat sepuluh tahun rakyat Aceh di bawah tekanan militer. Hlm 265.

[12]Ibid. hlm. 304.

[13] Neta S, Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka solusi, harapan dan impian. Hlm 56.

[15] Ibid., hlm. 169.

[16] Ibid., hlm. 169.

[17] Pane, Neta S. (2001). Sejarah dan kekuatan Gerakan Aceh Merdeka solusi, harapan dan impian. Hlm. 12.

[18] Federick, William H. (1982).Pemahaman sejarah Indonesia: sebelum dan sesudah revolusi. ( Asvi Warman Adam, Terjemah). Jakarta: Pustaka LP3ES Indonesia. Hlm. 400.

[20] Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Yogjakarta: Gadjah Mada Universiti Press. Hlm. 257.

[21] Pane, Neta S. (2001). Sejarah dan kekuatan Gerakan Aceh Merdeka Solusi, Harapan dan Impian. Hlm .40.

[22] Ibid., hlm. 12.

[23] Gordon P. Means. (2009). Political Islam in Southeast Asia. Selangor: Lynne Reinner Publishers. Hlm. 100.

[24] Edward Aspinael. (2009). Islam and nation: Separatist rebellion in Aceh Indonesia. Singapura: Stanford University Press. Hlm. 52.

[25] Gordon P. Means. (2009). Political Islam in Southeast Asia. Hlm. 101.

[26] Ibid., hlm. 100.

[27] Al- Chaidar, Sayed Mudhahar Ahmad & Yarmen Dinamika. (1999). Aceh bersimbah darah. Jakarta: Pustaka Al- Kautsar. Hlm. 49.

[28] Ibid., hlm. 54.

[29] Al- Chaidar, Sayed Mudhahar Ahmad & Yarmen Dinamika. (1999). Aceh bersimbah darah. Hlm. 40.

[30] Ibid., hlm. 40.

[31] Ibid., hlm. 14.

[32] Ibid., hlm. 47.

[33] Rizal Sukma. (2006). Islam in Indonesian foreign policy. New York: Routledge. Hlm. 41.

[34]Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Yogyakarta: Gadjah Mada. Hlm. 226.

[35] Ibid., Hlm. 228.

[36] Ibid., Hlm. 227.

[37] Neta S. Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka, solusi, harapan dan impian. Indonesia: PT Gramedia. Hlm. 13.

[38] Nazaruddin Sjamsuddin. (1998). Revolusi di serambi Mekah. Jakarta: Universitas Indonesia. Hlm. 120.

[39] A. Rani Usman. (2003). Sejarah peradaban Aceh: Suatu analisis interaksionis, intergrasi dan konflik. Indonesia: Yayasan Obor. Hlm. 126-127

[40] Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Hlm. 231-232.

[41] Tgk. A. K. Jakobi. (1998). Aceh dalam perang mempertahankan proklamasi kemerdekaan 1945-1949 dan peranan Teuku Hamid Azwar sebagai pejuang. Jakarta: PT Gramedia. Hlm. 318-319.

[42] Ibid., hlm. 246.

[43] Tgk. A.K. Jakobi. (1998). Aceh dalam perang mempertahankan proklamasi kemerdekaan 1945-1949. Jakarta: Gramedia Pustaka Utama. Hlm 277.

[44] Teuku Ibrahim Alfian. (2005). Wajah Aceh dalam lintasan sejarah. Hlm. 246.

[45] Galian asli seperti gas yang ditemui di Arun Aceh Utara pada tahun 1970-an, telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Indonesia. Situasi ini terbukti apabila keuntungan daripada sumber gas dan minyak ini menjadi sumber modal utama bagi pembangunan jangka panjang di Nusantara. [45] Arun telah mengeluarkan 12.3 juta tan cecair gas asli. Bagi industri minyak di Aceh purata keluaran yang dihasilkan setiap tahun mencecah US$2.6 juta diserahkan kepada kerajaan pusat. Pada tahun 1990, keluaran domestik kasar Aceh mencecah 3.6 peratus dari jumlah keluaran keseluruhan Indonesia. Namun walaupun daerah ini kaya dengan minyak, tetapi wilayah Aceh tetap menjadi daerah kedua termiskin Indonesia. Masyarakat Aceh menunjukkan rasa tidak puas hati dengan para pemerintah Jakarta yang merancang strategi pembangunan dengan menggunakan modal-modal dari Aceh kemudian dibawa ke Jakarta tanpa memikirkan kesan yang terjadi pada daerah Aceh.

[46] Neta S. Pane. (2001). Sejarah dan kekuatan gerakan Aceh merdeka. Hlm. xi.

[47] Gorden P. Means. (2009). Political Islam in Southeast Asia. Hlm. 262.

[48] Ibid., hlm. 263.

[50] Abdul Rani Usman. (2003). Sejarah peradaban Aceh: Suatu analisis interaksionis integrasi dan konflik. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia. Hlm. 127.

[51] Ibid., hlm. 127.

No comments:

Post a Comment