Website counter

Saturday, October 15, 2011

Gerakan Nasionalisme India

1.0 PENGENALAN

Nasionalisme secara umumnya membawa maksud kebangsaan dan ia merujuk kepada bangsa dan negara. Semangat nasionalisme atau kebangsaan ini merupakan satu perasaan taat setia sehingga sanggup mendorong seseorang itu bangkit dan memperjuangkan hak-hak sesama manusia dan kemerdekaan daripada penjajahan bangsa asing.[1] Semangat nasionalisme ini lahir berteraskan keinginan untuk membebaskan negara daripada penguasaan bangsa asing untuk keinginan membentuk sebuah negara bangsa.[2] Secara ringkasnya nasionalisme merujuk kepada hak negara itu dipulangkan kepada rakyatnya termasuklah hak pemerintahan, menguruskan ekonomi dan bebas dari segala kongkongan asing.[3]

Konsep nasionalisme ini berbeza mengikut beberapa pandangan. Menurut R. I Rotberg dianggap suatu kancah penyalahgunaan untuk menggambarkan beraneka keadaan, kedudukan manusia dan corak pemikiran. Berbeza pula dengan R. Suntharalingam apa lebih penting konsep nasionalisme untuk mengenal pasti ciri-ciri asas dan membezakan nasionalisme dengan kefahaman lain yang berkaitan seperti etnosentrisme dan antipenjajah.[4] Manakala Hans Kohn mentakrifkan nasionalisme seperti dalam bukunya, The Idea of Nationalism, ‘Nationalism as a state of mind…nationalism is not a natural phenomenon but a consciously and deliberately created idea which a people finally come to imbibe at a certain stage of their history’.[5] Menurut beliau faktor sosial dan intelektual telah membawa kepada kemunculan idea nasionalisme tersebut.

Nasionalisme yang berlaku di India berkembang secara berperingkat. Terdapat empat peringkat perkembangannya iaitu tahun 1858 hingga 1885 sebagai peringkat permulaan tumpuan sosiokeagamaan. Tahun 1885 hingga 1905 peringkat nasionalisme liberal, 1905 hingga 1918 bersifat militan dan keempat tahun 1919 hingga 1947 peringkat terakhir menuju kemerdekaan. Dalam setiap peringkat perkembangan nasionalisme, terdapat beberapa pertubuhan penting yang wujud dalam memperjuangkan nasionalisme yang berlaku di India.

2. 0 GERAKAN SOSIOKEAGAMAAN

Gerakan nasionalisme tahap pertama ini telah bermula pada tahun 1858 hinggalah tertubuhnya India National Congress (INC) pada tahun 1885.[6] Gerakan nasionalisme yang bersifat tempatan ini lebih tertumpu kepada soal berkaitan dengan sosiokeagamaan sahaja. Walau bagaimanapun, isu sosiokeagamaan ini dikatakan telah tercetus sejak awal abad ke-19. Walaupun gerakan nasionalisme ini masih pada peringkat awal, namun telah wujud beberapa pertubuhan penting. Antaranya ialah Brahmo Samaj dan Arya Samaj. Pada peringkat ini, perkembangan nasionalisme yang berlaku agak lambat. Misalnya apa yang berlaku di Bombay hanya memberi kesan sedikit kepada Calcutta, Madras dan vice versa.

Penubuhan Brahmo Samaj yang wujud di Calcutta tidak begitu meluas perkembangannya walaupun ramai yang terlibat dalam pertubuhan ini terdiri daripada golongan cerdik pandai. Di Bengal timur, cawangan yang pertama terletak di Dacca pada tahun 1846, di Nasirabad tahun 1853, Faridpur tahun 1857, Barisal tahun 1861 dan Sylhet tahun 1863.[7] Pertubuhan ini telah membawa satu perubahan terhadap sosiopolitik di daerah Bengal. Perpindahan berlaku dalam kalangan masyarakat Bengal yang terpelajar ke luar wilayah membawa bersama dengan minat baru dalam politik dan agama.

Di Bombay terdapat juga pertubuhan yang bukan untuk tujuan politik semata-mata. Tumpuan mereka lebih kepada soal sosial dan pembaikan agama. Pertubuhan seperti ini jelas dilihat dalam kalangan kaum Parsi.[8] Sebagai contoh penubuhan Rahnumai Mazdayasnan Sabha atau Pertubuhan Pembaharuan Agama yang bertujuan menghidupkan sosial orang Parsi dan pemulihan agama Zoroastrian.[9]

3.0 NASIONALISME LIBERAL

Nasionalisme liberal ini tercetus kesan daripada tersebarnya idea-idea liberal kesan daripada perkembangan yang berlaku dalam aspek pendidikan, surat khabar Inggeris dan juga bahas ibunda. Tahun 1885 merupakan tarikh penting dalam perkembangan nasionalisme di India.[10] Pada tahun 1863 satu Rang Undang-undang diperkenalkan dikenali sebagai Ilbert yang membenarkan hakim-hakim India menghakimi orang-orang Eropah.[11] Walaupun cadangan ini adil dan munasabah tetapi ia gagal dilaksanakan kerana tentangan hebat daripada orang-orang Eropah. Manakala pada tahun 1878 diisytiharkan pula sebuah Undang-undang Surat Khabar Tempatan yang menyekat kebebasan akhbar tempatan untuk bersuara.[12] Kesan daripada pengenalan undang-undang ini telah memberikan kesedaran kepada masyarakat tempatan tentang hak-hak politik mereka.

Kesedaran untuk terlibat dalam politik juga didorong oleh dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Gabenor Jeneral India seperti Lord Lytton dan Lord Ripon.[13] Salah satu yang telah dilakukan oleh Lord Ripon ialah membuka kerajaan British kepada orang-orang India.[14] Walaupun tindakan beliau ini membawa tentangan daripada pegawai-pegawai lain beliau menyedari bahawa langkah sebegini harus dilakukan. Seperti apa yang telah dikatakan oleh P. E Roberts dalam bukunya History of British:

‘Kita sendiri telah mendidik generasi yang sedang bangun, telah memberi aspirasi kepada mereka dengan impian-impian dan cita-cita dan kita tidak boleh membantutkan dasar kita sendiri dengan menekan mereka selama-lamanya.’[15]

Kesedaran politik ini seterusnya telah membentuk parti-parti politik di India. Salah satu parti yang terpenting ialah India National Congress (INC). Walau bagaimanapun sebelum wujudnya parti ini telah ada parti-parti lain di Bombay dan Bengal. Misalnya pada tahun 1851 ditubuhkan Persatuan India British di Bombay manakala di London pula ialah Persatuan India London (PIL) pada 1865. Cawangan PIL ini tertumpu di bandar-bandar besar yang keahliannya terdiri daripada pelajar-pelajar India yang menuntut di London.

Pada 28 hingga 30 Disember, satu mesyuarat pertama INC telah diadakan di Bombay dan W. C Bannerjee telah dilantik sebagai Yang Dipertua. Penubuhan INC ini adalah kerana rasa simpati seorang pegawai awam bersara, Allan Octavian Hume terhadap rakyat India.[16] Pada awal penubuhannya adalah bersifat sederhana sehinggakan Dufferin salah seorang pegawai British menganggap INC hanyalah ‘microscopic minority’ iaitu tidak boleh menuntut sebagai mewakili negara keseluruhannya.[17] Namun setelah mendapat sokongan daripada pengikutnya, INC semakin lantang bersuara dan mengkritik dasar-dasar kerajaan serta melakukan beberapa tuntutan. Namun kerajaan British hanya meluluskan satu tuntutan iaitu Akta Majlis-Majlis India 1892 yang menambah ahli bagi majlis perundangan.[18]

Dari segi tuntutan ekonomi sangat mengecewakan kongres apabila British telah bertindak menghapuskan sepenuhnya cukai takrif dalam tahun 1879 yang dilihat satu bentuk diskriminasi terhadap barang-barang buatan India. Hal ini kerana, penghapusan cukai takrif tersebut hanya membawa keuntungan kepada industri kapas Lancashire milik Eropah manakala pengenalan cukai eksais sebanyak lima peratus ke atas barang-barang India membawa kerugian yang jelas kepada industri India.[19]

Pada mulanya pergerakan kongres bergerak perlahan dan masih belum kuat adalah disebabkan hanya mendapat sokongan daripada kelas menengah berpendidikan Barat manakala rakyat masih tidak lagi menghiraukan perjuangan kongres. Tambahan pula orang Islam kebanyakannya tidak mahu mengambil bahagian dalam pergerakan kongres. Pemimpin Islam pada ketika itu Sir Syed Ahmad walaupun merupakan seorang patriot dan nasionalis merasakan orang Islam tidak akan mendapat faedah dengan penyertaan dalam INC. Beliau berasa bimbang sekiranya kuasa itu dikongsi, masyarakatnya akan diketepikan oleh kongres yang dikuasai orang-orang Hindu.[20]

4.0 NASIONALISME MILITAN

Nasionalisme militan ini adalah dalam tempoh 1905 sehingga 1918 kerana munculnya gerakan-gerakan yang bersifat keras diketuai antaranya B. G Tilak, Bipin Chandra Pal, Aurobindho Ghosh dan Lala Lajpat Rai.[21] Aktivis ini semakin bertambah dengan banyak akibat pemisahan Bengal oleh Wizurai Curzon dalam tahun 1905 yang bertujuan memudahkan pentadbiran oleh sebab wilayahnya yang terlalu besar untuk ditadbir.[22]

Mereka percaya tindakan yang keras harus diambil terhadap kerajaan British. Rancangan pemulauan terhadap segala yang berkaitan dengan British telah dilakukan. Sebagai contoh ialah barangan, institusi, sekolah, mahkamah dan lain-lain. Mereka percaya jika langkah ini berterusan akan melemahkan sistem ekonomi dan pemerintahan British. Selain itu, para nasionalis India mendapat semangat untuk menentang British kesan daripada galakan perjuangan Jepun yang telah mengalahkan Russia dalam tahun 1905. Jepun sebagai kuasa Asia pertama yang telah mengalahkan kuasa Eropah menjadi ikutan dan pembakar semangat nasionalis India bangkit menentang British.[23]

Bermula di Bengal atas usaha Swadeshi kemudian telah merebak ke Maharasta dan Punjab. Di Punjab, gerakan penentangan di jalankan oleh Arya Samaj di bawah pimpinan Lala Lajpat Raj. Gerakan Arya Samaj ini yang sesetengah daripadanya anti kepada kaum Muslim dapat dilihat jelas perkembangan pesat perjuangannya dalam mempertahankan persatuannya.[24] Pengaruh ekstremis yang diperjuangkan oleh nasionalis-nasionalis ini kemudian menjadi ikutan dan pegangan ahli-ahli INC.

Demonstrasi dilihat sebagai satu perkara biasa yang sering berlaku di Benggal dan Punjab hingga British bertindak meletakkan kedua kawasan tersebut di bawah Ordinan Kecemasan pada tahun 1907.[25] Akibat keadaan yang tidak dapat dikawal British telah menahan pemimpin politik yang terlibat tanpa dibicarakan. Keadaan lebih memburukkan lagi apabila ekstremis mula membawa bom dan pistol sebagai simbol kepada dewa Kali dan Shiva berdasarkan kepada ajaran Aurobindo Ghosh.[26]

Penentangan juga dilakukan melalui penerbitan surat khabar Yugantar yang bermaksud era baru. Pada tahun 1908 sahaja edarannya telah mencapai sebanyak 10 000 naskhah. Dalam akhbar ini secara terang-terangnya menyeru rakyat India untuk menyingkirkan penjajah walau apa cara sekalipun. Bagi membiayai perjuangan tersebut, B. G Tilak sendiri telah melawat ke seluruh Maharastha tujuan mengutip derma. Penentangan ekstremis ini bukan sahaja hanya berlaku di India malah turut berlaku di London. Leftenan Kolonel William Curzon-Wyllie telah dibunuh oleh Madan Lal Dhingra pada tahun 1909.[27] Tindakan British memenjarakan ekstremis menyebabkan ada di antara mereka yang telah melarikan diri ke luar negara dan masih meneruskan idea penentangan mereka. Contohnya Lala Lajpat Rai ke Amerika Syarikat dan idea beliau mendapat pengaruh yang besar di sana juga di Kanada.

Tercetusnya Perang Dunia Pertama dan pembabitan masyarakat Punjab Sikh semakin memberi keyakinan terhadap ekstremis bahawa perjuangan mereka akan berjaya. Penentangan bermula dengan berlakunya tragedi Komagata Maru. Pada tahun 1913, masyarakat Punjabi Sikh di Amerika Syarikat terutamanya di Francisco telah menubuhkan parti Ghadar yang bekerjasama dengan Jerman yang pada ketika itu sedang berperang dengan British. Walau bagaimanapun, British telah bertindak cekap dengan menjadikan Singapura sebagai pusat gerakan perisikan. Kalangan Ghadawarllah yang berfungsi sebagai pembekal senjata kepada India telah ditangkap sewaktu cuba memasuki Myanmar dan Thailand. Menjelang 1920, akhirnya usaha lilitan ini telah gagal.[28]

4.0 MENUJU KEMERDEKAAN

Peringkat terakhir ialah menuju kemerdekaan yang diterajui oleh Mahatma Gandhi. Dalam langkah menuju kemerdekaan, satu kempen telah diadakan dikenali sebagai Satyagraha oleh beliau.[29] Tindakan yang dilakukan Gandhi ialah menyatukan seluruh masyarakat India dalam satu perjuangan yang sama. Hal ini kerana, sebelum ini INC hanya dianggotai oleh golongan menengah dan berpendidikan Inggeris sahaja. Pembaharuan dilakukan oleh Gandhi dengan mengajak golongan bawahan untuk turut menyertai INC.

Perkara yang paling penting dalam perubahan yang dilakukan oleh beliau adalah menarik masyarakat Islam dalam memperjuangkan politik India. Usaha yang dilakukan boleh dilihat melalui sokongan yang diberikan kongres kepada gerakan Khilafat.[30] Gandhi juga telah berjaya melakukan kerjasama dengan Liga Muslim dari tahun 1919 hingga tahun 1921 terutamanya dengan ahli-ahli liga yang diketuai oleh Muhammad Ali Jinnah. Walau bagaimanapun, Pemberontakan Moplah tahun 1921, telah menyebabkan perpaduan itu berpecah.[31]

Pada bulan Mac 1930, Gandhi telah bertindak mengadakan gerakan penentangan awam dan melakukan penentangan yang dikenali sebagai perarakan garam. Tindakan Gandhi ini telah menimbulkan masalah terhadap British dan akhirnya British telah mengisytiharkan INC sebagai pertubuhan haram. Nasionalisme British semakin mencapai tahap kemuncak apabila undang-undang 1935 telah diluluskan. Dalam undang-undang tersebut dua perkara asas iaitu penubuhan sebuah persekutuan India dan kedua memperkenalkan pemerintahan sendiri kepada kawasan-kawasan jajahan British India.[32]

Satu pilihan raya telah diadakan pada 1937 dan telah membawa kemenangan besar kepada INC. Kemenangan INC ini telah membawa kesan kekalahan yang teruk terhadap Liga Muslim. Oleh itu pemimpin Liga Muslim yang diterajui oleh Muhamad Ali Jinnah telah merancang strategi lebih berkesan dan menjadikan slogan seperti ‘Islam dalam bahaya’ untuk menarik sokongan. Kesan strategi dilakukan Ali Jinnah ini telah menarik ramai penyokong Liga Muslim. Persaingan kedua parti ini akhirnya telah menjadi asas pemisahan India pada tahun 1947.[33]

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, nasionalisme yang berlaku di India adalah disebabkan rasa tidak puas hati di atas pemerintahan British yang dianggap mengetepikan hak-hak masyarakat India sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Nasionalisme yang berlaku di India walaupun berlaku secara bertahap namun tahap-tahap ini tidak berdiri sendiri sebaliknya berlaku secara bertindihan. Nasionalisme India semakin bersemarak apabila dipimpin oleh tokoh-tokoh nasionalis yang berwibawa seperti Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru.

Nasionalisme semakin berkembang dengan adanya lebih ramai orang India yang mendapat pendidikan Inggeris. Kesan pendidikan Inggeris ini telah membawa satu semangat bagi mereka memulakan gerakan nasionalisme dengan lebih tersusun. Gerakan menuntut kemerdekaan India dan pembebasan dari penjajahan British ini seterusnya telah mewujudkan beberapa pertubuhan penting. Walaupun ada di antara pertubuhan yang wujud itu bersifat kepada pemulihan agama dan sosial namun satu matlamat pertubuhan ialah menuntut supaya India dapat ditadbir oleh orang-orang India tanpa campur tangan kuasa penjajah. Antara pertubuhan yang mendapat sokongan ramai rakyat di India ialah Kongres Kebangsaan India (INC).

Pada bulan Ogos 1947 merupakan tarikh bersejarah India dan Pakistan apabila secara rasmi berakhirnya kuasa penjajahan British di India. Muhamad Ali Jinnah telah menjadi Gabenor Jeneral Pakistan manakala Jawaharlal Nehru sebagai Perdana Menteri India yang pertama.

RUJUKAN:

Abdullah Zakaria, Azharuddin Mohd Dali, Azhar Mad Ros, Suffian mansor (2003). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Anil Seal (1987). Kemunculan nasionalisme India (Terjemah, Ainon Bakar). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azharuddin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

C. H Philips (1966). Sejarah India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Francis Watson (1974). India: A concise history. Singapore: C. S. Graphics.

Gilbert Khoo, Dorothy Lo ( 1978). Asia dalam perubahan Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia. Kuala Lumpur: Heineman Educational Books.

Neil Ryan (1978). India: Nasionalisme dan kemerdekaan. Kuala Lumpur: Longman.

Pratibha Jain (1985). Gandhian ideas, social movements and creativity. Jaipur: Rawat Publications.

Ruslan Zainuddin (2004). Sejarah Malaysia. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Stanley Wolpert (2004). A new history of India. New York: Oxford University.

Suhaiza Ibrahim (2007). Malaysia kita. Kuala Lumpur: MDC Publishers Sdn. Bhd.



[1] Suhaiza Ibrahim. (2007). Malaysia kita. Kuala Lumpur: MDC Publishers Sdn. Bhd. Hlm. 239.

[2] Ruslan Zainuddin. (2004). Sejarah Malaysia. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm. 180.

[3] Abdullah Zakaria, Azharuddin Mohd Dali, Azhar Mad Ros, Suffian mansor. (2003). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm. 342.

[4] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 291.

[5] Pratibha Jain. (1985). Gandhian ideas, social movements and creativity. Jaipur: Rawat Publications. Hlm. 1.

[6] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 294.

[7] Anil Seal. (1987). Kemunculan nasionalisme India (Terjemah, Ainon Bakar). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 247.

[8] Kaum Parsi ialah golongan dari Parsi yang telah melarikan diri daripada memeluk Islam pada abad ketujuh.

[9] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 294.

[10] Ibid., Hlm. 295.

[11] Neil Ryan. (1978). India: Nasionalisme dan kemerdekaan. Kuala Lumpur: Longman. Hlm. 12.

[12] C. H Philips. (1966). Sejarah India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 101.

[13] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 295.

[14] Gilbert Khoo, Dorothy Lo. (1978). Asia dalam perubahan Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia. Kuala Lumpur: Heineman Educational Books. Hlm. 1201.

[15] Ibid., Hlm. 1201.

[16] Ibid., Hlm. 1203.

[17] Stanley Wolpert. (2004). A new history of India. New York: Oxford University. Hlm. 256.

[18] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 297.

[19] Gilbert Khoo, Dorothy Lo. (1978). Asia dalam perubahan Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia. Hlm. 1205.

[20] Neil Ryan. (1978). India: Nasionalisme dan kemerdekaan. Hlm. 16.

[21] Ibid., Hlm. 298.

[22] Neil Ryan. (1978). India: Nasionalisme dan kemerdekaan. Hlm. 14-15.

[23] Ibid., Hlm. 15.

[24] Francis Watson. (1974). India: A concise history. Singapore: C. S. Graphics. Hlm. 150.

[25] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 299.

[26] Francis Watson. (1974). India: A concise history. Hlm. 151.

[27] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 300.

[28] Ibid., Hlm. 301.

[29] Ibid., Hlm. 302.

[30] Francis Watson. (1974). India: A concise history. Hlm. 151.

[31] Pemberontakan Moplah membabitkan pembunuhan masyarakat Hindu oleh orang-orang Islam.

[32] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 308-309.

[33] Ibid., Hlm. 309-310.

No comments:

Post a Comment