Website counter

Saturday, October 15, 2011

Infrastruktur Mempengahruhi Sosioekonomi

1.0 Pengenalan

Istilah insfrastruktur adalah merujuk kepada satu kemudahan dan perkhidmatan asas seperti kemudahan pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Kemudahan ini diperlukan untuk pembangunan dan pertumbuhan sesebuah negara, masyarakat, organisasi dan lain-lain.[1] Hal ini bertujuan untuk memenuhi keperluan ekonomi dan sosial masyarakatnya. Perkembangan infrastruktur yang berlaku meliputi sistem perhubungan atau komunikasi dan sistem pengangkutan serta perkembangan bandar dan luar bandar yang saling mempunyai perkaitan rapat dengan sosioekonomi penduduk Malaysia. Kepentingan ekonomi lazimnya akan turut mempengahruhi corak kependudukan di sesuatu kawasan.[2] Walau bagaimanapun, infrastruktur ini dikatakan lebih membawa kepentingan bagi golongan mempunyai tahap ekonomi yang kukuh jika dibandingkan dengan mereka yang mempunyai tahap ekonomi yang kurang stabil.

Infrastruktur mula berkembang dengan pesat pada kurun ke-18.[3] Sebelum itu, infrastruktur tidak banyak dibina dan kurang mendapat perhatian. Akibat daripada berlakunya kepesatan dalam sistem ekonomi, pembinaan infrastruktur semakin maju dan galak dijalankan. Antaranya ialah pembinaan sistem perhubungan seperti kereta api dan jalan raya, komunikasi seperti sistem telegraf dan pos, kemudahan awam lain seperti sekolah, pusat kesihatan dan sebagainya. Kesan daripada perkembangan infrastruktur ini, maka secara tidak langsung ianya turut mempengahruhi corak perkembangan bandar dan luar bandar serta telah mewujudkan bandar- bandar baru dan kawasan luar bandar yang telah menjadi satu kawasan tumpuan masyarakat. Perkembangan- perkembangan infrastruktur yang semakin pesat inilah yang akhirnya telah memberi kesan jelas terhadap sosioekonomi masyarakat tempatan.

2.0 Infrastruktur Zaman Tradisi

Sebelum adanya kemudahan infrastruktur yang pesat menjelang abad ke-19, masyarakat di negeri-negeri Melayu telah menjadikan sungai sebagai sistem pengangkutan yang sangat penting jika dibandingkan dengan jalan darat. Kawasan petempatan yang didirikan juga adalah tertumpu di kawasan yang berdekatan dengan kuala-kuala sungai. Sebagai contoh ialah bandar Kuantan di Pahang didirikan berhampiran Sungai Kuantan, bandar Kuching berhampiran dengan Sungai Sarawak dan begitu juga dengan bandar-bandar lain.[4] Pembukaan kawasan bandar yang berdekatan dengan sungai ini bagi memudahkan perhubungan ke suatu bandar lain.

Jalan darat kurang digunakan kerana faktor topografi dan alam sekitar telah mencorakkan sistem pengangkutan sebelum abad ke-19. Hutan tebal, kawasan berbukit-bukau amat sukar diterokai untuk dijadikan jalan pengangkutan. Hanya mereka yang kaya mampu menggunakan gajah sebagai kenderaan. Walau bagimanapun, mereka kurang gemar menggunakan khidmat gajah kerana jumlah muatan adalah terhad. Bagi golongan yang tidak mampu pula, mereka hanya berjalan kaki melalui denai-denai. Sistem komunikasi juga terhad kerana untuk menyampaikan suatu berita ada kalanya memerlukan masa berhari-hari kerana jarak perjalanan yang jauh. Tanpa adanya kemudahan infrastruktur yang maju, maka tahap sosial dan ekonomi masyarakat juga kurang berkembang.

3.0 Kesan Pembangunan Infrastruktur Terhadap Sosial Masyarakat Tempatan

Menjelang abad ke-19, infrastruktur di negeri-negeri Melayu mula mengalami peningkatan lebih baik. Kesan kemajuan infrastruktur ini telah mempengahruhi keadaan sosial masyarakat tempatan.

3.1 Peningkatan Taraf Perkhidmatan Kesihatan Penduduk

Beberapa buah hospital telah ditubuhkan bagi memberi kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Pada tahun 1878, sebuah hospital yang pertama di Tanah Melayu telah didirikan di Taiping dan Kuala Lumpur. Menjelang tahun 1896, beberapa buah hospital lagi telah didirikan dibeberapa buah negeri. Negeri Perak mencatat jumlah tertinggi iaitu 15 buah hospital diikuti oleh Selangor kurang sebuah daripada jumlahnya. Seterusnya Negeri Sembilan tiga buah dan di Pahang dua buah hospital telah didirikan. Bukan sahaja hospital dibina tetapi juga pusat kesihatan kecil seperti di Tanjong Malim, Gopeng dan sebagainya.[5]

Tidak terkecuali bagi penduduk Sabah dan Sarawak menikmati kemudahan kesihatan. Pada tahun 1953 di Sabah telah didirikan 17 buah hospital dan dua buah pusat kesihatan telah dibuka setiap satu di Sandakan dan Kota Kinabalu.[6] Pusat kesihatan ini telah ditubuhkan khususnya bagi penduduknya terutama golongan wanita dan kanak-kanak yang tidak mampu membayar kos rawatan.

Bagi memperbaiki taraf kesihatan penduduk, satu institusi penyelidikan telah ditubuhkan dikenali sebagai Institusi Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur. Penubuhan pusat penyelidikan ini telah mampu mengawal dan menghapuskan beberapa wabak penyakit seperti malaria dan beri-beri. Bagi mengawal merebaknya penyakit malaria, sebuah Lembaga Pemusnahan Nyamuk ditubuhkan pada tahun 1911 disetiap negeri. Tujuannya ialah menjalankan kempen bagi memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.

Pembinaan hospital, pusat kesihatan dan institusi penyelidikan ini telah memberikan perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada penduduk bukan sahaja di semenanjung malah Sabah dan Sarawak. Jika sebelumnya penduduk terdedah dengan penyakit yang mudah berjangkit seperti malaria, namun setelah tertubuhnya IMR dan Lembaga Pemusnahan Nyamuk penyakit tersebut telah dapat dikawal dengan adanya penyelidikan yang dilakukan seterusnya membawa penemuan penawar penyakit tersebut. Kemudahan dihospital juga telah mampu menyalurkan rawatan segera kepada pesakit. Dengan segala kemudahan ini, maka kadar kematian penduduk dapat dikurangkan dan kadar kelahiran juga bertambah disebabkan kesihatan yang semakin baik.

3.2 Peluang Pendidikan Lebih Baik

Penubuhan sekolah- sekolah telah memberikan peluang masyarakat Tanah Melayu untuk mendapatkan pendidikan. Sekolah-sekolah Melayu bermula pada tahun 1821 apabila Penang Free School membuka cawangnnya di Gelugor. Pada tahun 1855, ditubuhkan Sekolah Melayu di Teluk Belanga dan di Kampung Gelam.[7]

Manakala untuk kaum Cina, sebuah sekolah Cina pertama di tubuhkan di Melaka pada tahun 1815.[8] Penubuhan sekolah-sekolah Cina menjadi semakin pesat antara 1900-1919. Tidak ketinggalan masyarakat India, kanak-kanak India mendapat pelajaran di sekolah-sekolah aliran Inggeris atau sekolah India yang menggunakan bahasa pengantar Tamil, Malayalam, Telegu, Punjabi atau Hindi.[9]

Penubuhan sekolah-sekolah tersebut telah dapat mengurangkan kadar buta huruf dikalangan masyarakat Tanah Melayu. Kanak-kanak telah diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya. Pendidikan yang baik secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk meningkatkan taraf kehidupan sosialnya.

3.3 Komunikasi Berlaku Dengan Lebih Cepat

Kemudahan telefon dan telegraf telah membantu mempercepatkan hubungan antara masyarakat. Pada tahun 1886 telah wujud talian telegraf yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Melaka. Pemasangan talian kabel telegraf semakin rancak apabila tertubuhnya Negeri-negeri Melayu Bersekutu tahun 1895. Sepanjang 2000 batu talian kabel elektrik dipasang di negeri- negeri tersebut.[10] Manakala di Sabah dan Sarawak lewat sedikit perkembangan telekomunikasi yang berlaku. Di Sarawak pada tahun 1949 telah terdapat 18 kemudahan telefon. Sistem telegraf Sarawak adalah bergantung kepada radio telegraf.[11]

Pembinaan pejabat pos dimulai di Negeri-negeri Selat dan diikuti dengan bandar-bandar utama.[12] Kemudian barulah berkembang ke bandar-bandar lain yang mempunyai kepentingan ekonomi. Pada tahun 1875, sebuah pejabat pos mula dibina di Taiping yang seterusnya berkembang ke seluruh Perak. Pada akhir kurun ke-19, wakil pos di luar bandar telah ditubuhkan di kawasan pertempatan yang mempunyai penduduk melebihi 1000 orang.[13] Manakala pada tahun 1980 di Sabah telah terdapat 35 buah pejabat pos, 101 wakil pos dan 13 pos bergerak.[14]

Segala urusan penyampaian berita ke suatu tempat tidak perlu memakan masa yang lama serta menjimatkan tenaga tanpa perlu ke tempat tersebut. Dengan adanya kemudahan telefon, segala berita dan maklumat penting boleh disampaikan dengan kadar segera. Kos perpelanjaan juga dapat dikurangkan. Hubungan antara kampung dan bandar terasa semakin dekat dan memudahkan mereka untuk saling berkomunikasi. Kemudahan telekomunikasi ini juga telah mendedahkan masyarakat luar bandar dengan pelbagai maklumat.

4.0 Kesan Pembangunan Infrastruktur Terhadap Ekonomi Masyarakat Tempatan

Pembangunan infrastruktur bukan sahaja mempengahruhi sosial masyarakat tempatan malahan memberi kesan terhadap ekonomi mereka. Faktor kedatangan pedagang dari Eropah dan Cina secara pesat telah membantu kemajuan dalam pembinaan infrastruktur. Namun tujuan sebenar mereka adalah semata-mata untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka sahaja.

4.1 Kemunculan Bandar-bandar Baru

Pembinaan infrastuktur kebanyakan tertumpu di kawasan bandar- bandar utama. Segala kemudahan yang berpusat di kawasan bandar ini telah menyebabkan berlakunya penumpuan penduduk di kawasan tersebut. Kemunculan bandar- bandar baru ini adalah ekoran daripada kegiatan ekonomi yang pesat seperti perlombongan dan pelabuhannya. Berlaku juga perpindahan penduduk dari kampung ke kawasan bandar untuk menjalankan kegiatan ekonomi yang lebih baik.

Sebagai contoh bandar- bandar baru ialah Taiping, Ipoh dan Kuala Lumpur serta pelabuhan- pelabuhan seperti Pulau Pinang, Klang dan Singapura.[15] Kemunculan bandar baru dan pelabuhan ini telah merubah sosioekonomi masyarakat di Tanah Melayu terutama di pantai barat Semenanjung yang jauh meninggalkan perkembangan di pantai timur. Ini disebabkan banyak kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan landasan kereta api telah di bina tertumpu di sekitar bandar-bandar tersebut.

Sebahagian besar bandar-bandar baru yang muncul ini adalah tertumpu kepada kawasan yang berdekatan dengan lombong bijih timah seperti bandar Taiping dan Teluk Anson (Teluk Intan) di Perak, bandar Klang di Selangor dan lain-lain. Elemen ini dibantu disokong dengan kemudahan infrastruktur yang dibina seperti kemudahan asas, pembinaan kilang dan juga pusat-pusat pentadbiran.[16] Bermula daripada kawasan petempatan biasa lama-kelamaan bertukar menjadi bandar.

Majoriti penduduk di bandar- bandar utama ialah kaum Cina seperti di Kuala Lumpur mencatat 11. 0 peratus pada tahun 1947 berbanding orang Melayu 66.4 peratus diikuti India berbeza sebanyak 48.4 peratus.[17] Hal ini disebabkan ramai dikalangan masyarakat Cina yang terlibat dengan perlombongan bijih timah. Misalnya Yap Ah Loy seorang Kapitan Cina yang telah membangunkan Kuala Lumpur.

Kesan daripada kemunculan bandar- bandar baru ini telah mengubah kependudukan masyarakat di Tanah Melayu berasaskan tempat, keturunan, kaum dan budaya. Pengasingan inilah yang telah menyebabkan berlakunya perbezaan ekonomi dikalangan masyarakat tersebut. Kaum Cina bertumpu di bandar, pelabuhan dan kawasan perlombongan bijih timah dan orang India di pelabuhan dan ladang getah, manakala masyarakat peribumi hingga awal kurun ke- 20 lebih selesa dengan kehidupan tradisional mereka di luar bandar sebagai petani dan nelayan.[18] Pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam bidang perusahaan dan kemudahan yang disediakan di luar sektor tani menyebabkan kegiatan ekonomi masyarakat Melayu ketinggalan.[19]

4.2 Memudahkan Urusan Perniagaan dan Wujud Peluang Pekerjaan

Kemudahan infrasruktur yang dibina telah banyak membantu dalam urusan perniagaan. Apabila urusan berjalan lancar, maka hasil keluaran juga akan bertambah dengan pesat. Pengangkutan kereta api berperanan bagi menghubungkan kawasan-kawasan perusahaan penting. Manakala jalan raya pula digunakan untuk menghubungi kawasa-kawasan petempatan.

Pembinaan landasan keretapi telah membantu perkembangan pengeluaran bijih timah. Di Perak yang merupakan sebuah negeri yang terkaya dengan hasil bijih timah telah dibina landasan kereta api pertama di Larut.[20] Menjelang 1903, wujud satu landasan utama menghubungkan sistem kereta api Selangor dengan Perak dan Seberang Perai yang telah memudahkan perhubungan antara ketiga-tiga negeri tersebut.[21] Sistem kereta api telah mengurangkan kos pengangkutan dan memendekkan masa perjalanan mengangkut barang.

Dengan adanya sistem pengangkutan yang baik telah memudahkan bahan-bahan keperluan seperti bijih timah, getah, arang batu dan sebagainya dibawa ke kilang-kilang untuk diproses dan dipasarkan. Ini dibuktikan apabila berlakunya kemelesetan pada eksport bijih timah dan getah telah mempengahruhi jumlah laluan kereta api. Sistem kereta api ini juga telah mewujudkan satu pasaran nasional kerana landasannya yang menerokai semua negeri kecuali Terengganu. Sistem kereta api juga telah mengalakkan perjalanan penduduk dalam negeri. Pada tahun 1903, bilangan penumpang menggunakan khidmat kereta api berjumlah 4.2 juta. Bilangan ini meningkat kepada 13.1 juta pada tahun 1913.[22] Jelas menunjukkan sistem kereta api ini telah memberikan kemudahan kepada penduduk Tanah Melayu.

Selain itu, kemudahan sistem telegraf dan telefon telah mempercepatkan urusan perniagaan dijalankan. Urusan jual beli dapat dilakukan dengan mudah tanpa perlu memakan masa yang panjang dan para peniaga dapat ke suatu tempat dengan cepat. Apabila urusan perniagaan semakin lancar, ini telah memesatkan perniagaan dijalankan dan seterusnya telah membuka peluang- peluang pekerjaan kepada masyarakat di Tanah Melayu. Pembinaan landasan kereta api misalnya memerlukan tenaga buruh yang terdiri daripada pekerja Cina, Jawa dan Melayu.[23]

Menjelang tahun 1911, banyak jalan utama dibina menghubungkan bandar besar dengan bandar kecil, kawasan ekonomi dan pelabuhan utama.[24] Perhubungan ini telah membuka peluang ekonomi berlaku antara kawasan. Pembinaan jalan raya juga telah membawa kemunculan pengenalan kenderaan bermotor pada tahun 1902. Oleh itu, industri kilang pembuatan tayar semakin pesat yang memerlukan tenaga buruh untuk bekerja. Di Sabah, pembukaan jalan raya telah menggalakkan pembukaan tanah baru untuk sektor pertanian moden seperti disepanjang jalan raya antara Telupid ke Sandakan.[25] Tanaman koko dan kelapa sawit ditanam secara besar-besaran. Pembukaan ladang seperti ini juga telah membuka peluang pekerjaan yang luas.

5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, kemudahan infrastruktur yang wujud di Tanah Melayu telah memberikan kesan terhadap sosisoekonomi masyarakatnya. Infrastruktur yang dibina bukan sahaja memberikan kemudahan kepada penduduknya malah telah membantu mempertingkatan ekonomi mereka. Hal ini kerana, sistem pengangkutan yang baik adalah penting bagi perkembangan ekonomi dan juga masyarakatnya. Tanah Melayu mempunyai sistem perhubungan yang terbaik di Asia Tenggar juga kemudahan infrastruktur lain yang diwujudkan bagi menjalinkan hubungan dengan negara luar.

Walau bagaimanapun, tumpuan pembinaan pembangunan infrastruktur lebih kepada kawasan yang berpotensi yang mempunyai peluang ekonomi meningkat maju. Justeru itu, kesan daripadanya telah wujud perbezaan kemajuan antara kawasan di Tanah Melayu. Negeri di pantai barat adalah lebih maju jika dibandingkan dengan negeri di pantai timur. Masyarakat bumiputera juga jauh ketinggalan daripada segi pembangunan sosioekonomi jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Jika diteliti, kemudahan infrastruktur yang dibina ini lebih banyak memberikan keselesaan kepada golongan yang mempunyai kepentingan ekonomi sahaja.

Bibliografi

Kamus Dewan Edisi ke-4 (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 577.

Abdul Rahman Haji Ismail (2007). Malaysia sejarah kenegaraan dan politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Samad Hadi (1986). Sabah perubahan dalam pembangunan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Amarjit Kaur (1985). Seabad keretapi di Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia.

Azman Abdul Manaf (2001). Sejarah sosial masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd

Buyong Adil (1981). Sejarah Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Mohd Isa Othman (2002). Sejarah Malaysia 1800-1962. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Mohd. Taib Osman (1989). Masyarakat Melayu struktur, organisasi dan manifestasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ruslan Zainuddin (2004). Sejarah Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti

Sulong Mohamad (1985). Persekitaran sosio-fizikal dan pembangunan di residensi Sandakan, Sabah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zainal Abidin Abdul Wahid et.al (1906). Malaysia warisan dan perkembangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



[1] Kamus Dewan Edisi ke-4, 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 577.

[2] Azman Abdul Manaf (2001). Sejarah sosial masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Hlm. 24.

[3] Ibid. Hlm. 24.

[4] Ibid. Hlm. 26.

[5] Ruslan Zainuddin (2004). Sejarah Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti. Hlm. 328.

[6] Buyong Adil (1981). Sejarah Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 58.

[7] Mohd Isa Othman (2002). Sejarah Malaysia 1800-1962. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributions Sdn. Bhd. Hlm. 210.

[8] Ibid. Hlm. 212.

[9] Ibid. Hlm. 213-214.

[10] Azman Abdul Manaf (2001). Sejarah sosial masyarakat Malaysia. Hlm. 42.

[11] Ibid. Hlm. 44.

[12] Mohd Isa Othman (2002). Sejarah Malaysia 1800-1962. Hlm. 204.

[13] Zainal Abidin Abdul Wahid et.al (1906). Malaysia warisan dan perkembangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 248.

[14] Abdul Samad Hadi (1986). Sabah perubahan dalam pembangunan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 186.

[15] Abdul Rahman Haji Ismail (2007). Malaysia sejarah kenegaraan dan politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 288.

[16] Azman Abdul Manaf (2001). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Hlm. 47.

[17] Ibid. Hlm. 49.

[18] Abdul Rahman Hj. Ismail (2007). Malaysia sejarah kenegaraan dan politik. Hlm. 291.

[19] Mohd. Taib Osman (1989). Masyarakat Melayu struktur, organisasi dan manifestasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 114.

[20] Amarjit Kaur (1985). Seabad keretapi di Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia. Hlm. 5.

[21] Ibid. Hlm. 25.

[22] Ibid. Hlm. 52.

[23] Ibid. Hlm. 4.

[24] Azman Abdul Manaf (2001). Sejarah sosial masyarakat Malaysia. Hlm. 30.

[25] Sulong Mohamad (1985). Persekitaran sosio-fizikal dan pembangunan di residensi Sandakan, Sabah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 66.

2 comments: