Website counter

Saturday, October 15, 2011

Hubungan Malaysia-Jepun

ABSTRAK

Artikel yang dikaji adalah bertajuk ‘Dana Jepun untuk meningkatkan Malaya’. Malaya yang dimaksudkan kini telah dikenali sebagai Malaysia. Mengikut daripada apa yang dikatakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tengku Abdul Rahman menyatakan bahawa Jepun memainkan peranan penting dalam pembentukan dan perluasan industri Malaysia. Hal ini dibuktikan apabila mereka telah membawa kakitangan dan pekerja mahir masuk ke dalam negara ini yang bertujuan melatih Malaysia teknik-teknik baru seterusnya bagi mewujudkan industri baru. Kesan daripada pelaburan yang dilakukan Jepun terhadap Malaysia telah mewujudkan satu hubungan kerjasama yang membawa kepentingan perniagaan antara kedua-dua buah negara tersebut.

Kesan daripada dasar industri liberal, Jepun tidak terkecuali untuk melaburkan modal yang berjuta-juta dolar kepada industri di Asia. Modal dasar yang telah dilaburkan Jepun yang diberikan status perintis kepada Malaysia berjumlah sekitar RM 50 juta. Hal ini telah membuktikan bahawa Jepun memainkan peranan penting dalam pembangunan industri Malaysia. Antara produk kerjasama Malaysia-Jepun ialah besi waja, semen, produk keluli, tuna dan ubat gigi.

Produk Jepun memperolehi pasaran yang luas di Malaysia. Produk Jepun seperti radio, motorsikal dan kereta mendapat pasaran yang tinggi kerana kurang berlaku persaingan harga. Kemasukan produk-produk ini menjadi pilihan kerana harganya yang berpatutan. Walaupun tiada bantuan program Jepun di negara ini, tetapi ramai pelabur Jepun telah membantu perkembangan pertanian dan industri perikanan di bawah Rancangan Columbo. Industri perintis yang sedang beroperasi memiliki modal sebanyak RM 6.2 juta, sementara lima perusahaan bijih besi memiliki jumlah modal RM 2.7 juta. Pelaburan perkongsian masa depan untuk menghasilkan semen berjumlah RM 30 juta. Selain itu, kilang baja pertama di Prai dengan kerjasama Jepun akan membawa keuntungan ratusan juta dolar jika berjaya.

Beberapa pelabur Jepun telah datang ke negara ini untuk meninjau potensi pelaburan dan mendapati taraf hidup telah meningkat. Hal ini menyebabkan pelaburan kurang meningkat jika dibandingkan dengan jumlah yang telah dilaburkan. Jepun telah membuktikan barangan hasil keluaran mereka adalah setanding dengan jenis jenama negara lain. Barang transistor keluaran Jepun telah meduduki jumlah jualan yang tinggi di negara ini jika dibandingkan dengan buatan negara lain.

Industri Jepun semakin maju hinggakan Australia telah membeli turbin raksasa untuk menjalankan kuasa hidronya. Dalam bidang eletronik khususnya Jepun merupakan negara pengeluar yang terbaik. Statistik perdagangan Malaysia-Jepun menunjukkan bahawa berlaku kemelesetan perdagangan import bijih besi Jepun. Namun Jepun terus mengimport produk utama Malaya terutama getah dan bijih timah dalam jumlah yang terus meningkat. Hinggakan pada tahun 1961, Jepun merupakan pembeli terbesar produk keluaran Malaysia.

1.0 Pengenalan

Hubungan Malaysia-Jepun telah bermula sejak 24 November 1957 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah memutuskan untuk mengadakan perjanjian perdagangan antara kedua-dua buah negara.[1] Bermula daripada detik tersebut, kedua-dua buah negara ini telah menjalankan kerjasama dalam pelbagai segi terutama dalam hal perdagangan dan ekonomi. Jepun sebagai sebuah negara yang maju dalam kepakaran teknologi juga ekonominya telah menjadi ikutan kepada negara-negara Asia Timur yang lain. Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun tidak terkecuali untuk menjadikan Jepun sebagai model ikutan bagi pembangunan negara. Lebih-lebih lagi disebabkan hubungan sedia ada yang telah lama terjalin.

Bagi memperluaskan ekonominya, Jepun telah melakukan banyak pelaburan ke atas negara-negara lain. Jepun telah memindahkan sebahagian besar daripada kemampuan sektor pembuatan ke Asia, Eropah dan Amerika Utara mulai tahun 1970-an. Pemindahan teknologi dan kepakaran tersebut daripada pelbagai bidang bermula daripada pembuatan kereta kepada elektronik, teknologi berkaitan komputer dan kewangan antarabangsa.[2] Malaysia sebagai salah sebuah negara sedang membangun tidak terkecuali menerima pelaburan dan kepakaran dari Jepun.

Kebanyakan pelaburan di Malaysia adalah datangnya daripada Jepun dan beberapa negara lain yang membolehkan Malaysia mencapai objektif untuk menjadi sebuah negara perindustrian.[3] Bagi mencontohi kemajuan Jepun, beberapa dasar telah diwujudkan oleh Malaysia yang mengikut model pembangunan Jepun. Antara yang paling jelas ialah Dasar Pandang Ke Timur. Sehingga kini Malaysia masih lagi menjalin hubungan dengan Jepun dan ini diperkukuhkan lagi dengan perjanjian-perjanjian lain.

2.0 Keadaan Jepun Masa Dulu

Sebelum muncul sebagai sebuah negara yang maju pada masa kini, dan sebelum pemulihan yang dilakukan Meiji pada tahun 1868, selama kira-kira 250 tahun, Jepun telah menjalankan dasar pemencilan yang relatif daripada dunia luar. Dasar ini telah diwujudkan semasa Jepun berada di bawah pemerintahan Shogun Tokugawa.[4] Pemerintahan Shogun Tokugawa ini tidak membawa sebarang perkembangan tamadun sebaliknya hanya mendorong kepada kemiskinan masyarakat Jepun. Dasar ini telah dikeluarkan secara rasmi oleh maharaja pada tahun 1633, 1635, 1639.[5]

Setelah kejatuhan Keshogunan, maka bermulalah zaman pemerintahan Meiji. Meiji telah membuka semula dasar tutup pintu Jepun kepada buka pintu. Dasar luar semasa pemerintahan Meiji merupakan perkara yang amat menarik dan penting kepada masyarakat Jepun. Zaman Meiji ini adalah merupakan zaman transformasi Jepun ke arah kemodenan negara yang lebih kuat. Penghapusan sistem feudal telah membuka peluang kepada golongan peniaga, pedagang dan pemborong menjalankan perniagaan. Banyak tanah yang telah dimajukan membawa kepada kemunculan golongan industri.[6]

Bermula tahun 1895, Jepun telah mengalami perubahan ekonomi yang pesat. Banyak kemajuan yang telah dicapai dalam sisitem perusahaan moden, pembinaan, perkapalan dan juga perniagaan dan perdagangan luar negeri yang menunjukkan bukti kemajuannya.[7] Penguasaan Korea sebagai tanah jajahan Jepun semakin membantu Jepun ke arah perkembangan ekonomi yang maju. Korea sebagai sebuah tanah jajahan telah dieksploitasi sepenuhnya oleh Jepun. Jepun telah mengeksploitasi sumber-sumber galian Korea dan telah membina banyak industri keluli, kimia, kenderaan dan pengangkutan. Dasar buka pintu dan hubungan perdagangan yang giat dijalankan Jepun inilah yang akhirnya telah membawa Jepun kepada sebuah negara yang maju hingga sekarang.

3.0 Ekonomi Jepun Masa Kini

Kejayaan ekonomi Jepun yang mantap telah menjadi model ikutan untuk negara-negara Asia Timur bahkan juga bagi negara kuasa besar lain setelah Jepun bangkit daripada kemusnahan Perang Dunia Kedua. Kemusnahan yang dihadapi negara ini meliputi daripada segala segi. Namun pada masa kini, ekonominya telah melonjak tinggi kepada tahap kedudukan terpenting dalam arena antarabangsa pada awal tahun 1960-an.[8]

3.1 Faktor Menyumbang Kepada Kepesatan Pertumbuhan Jepun dan Kesan Terhadap Malaysia

Terdapat beberapa faktor yang telah menyumbang Jepun mencapai kemajuanya hingga kini. Pertamanya adalah kerana pelaburan yang tinggi. Sumbangan para penabung kecil yang selari dengan kehendak industri berkenaan, yang telah dilaburkan semula dalam bentuk keluaran dalam negara kasar kebangsaan yang besar, dari segi keluaran yang produktif, terutamanya perusahaan barangan modal.[9] Jepun turut membuat pelaburan di Malaysia. Misalnya pelaburan yang dibuat pada tahun 1967 oleh Jepun dalam projek kilang baja di Prai, Penang sebanyak 39% dipegang oleh syarikat Jepun dan lebih setengah daripadanya adalah daripada kilang baja Yawata.[10] Usaha sama antara Malaysia-Jepun melalui pelaburan yang telah dibentuk, secara tidak langsung telah memberikan pulangan modal yang menguntungkan ekonomi kedua-dua buah negara.

Selain itu faktor lain ialah kerana tenaga buruh berpendidikan tinggi yang semakin bertambah sepanjang tahun 1960-an.[11] Hal tersebut adalah kerana faktor kelahiran yang meningkat selepas perang berakhir. Pertumbuhan penduduk Jepun semakin bertambah tahun ke tahun. Pada tahun 1980-an jumlah penduduk Jepun meningkat sebanyak 117 juta.[12] Selepas tahun tersebut barulah jumlah pertumbuhan penduduk menjadi mendatar. Jumlah penduduk Jepun yang ramai ini telah mendorong negara tersebut untuk mendapatkan barangan keperluan daripada Malaysia seperti getah, besi waja dan bijih timah. Jumlah penduduk yang semakin meningkat ini juga telah menyebabkan Jepun sangat bergantung kepada perdagangan asing.[13] Sebahagian besar barangan keperluannya, Jepun terpaksa membeli dari negara luar bagi mendapatkan bahan mentah, bahan bakar dan juga keperluan bahan makanan.

Faktor seterusnya ialah disebabkan berlakunya transformasi inovasi penciptaan teknologi yang semakin canggih Jepun. Kemunculan ramai golongan berpendidikan tinggi telah melahirkan pakar-pakar serta jurutera yang berusaha untuk memulihkan semula kemampuan negara tersebut bersaing dengan negara lain melalui penciptaan teknologi mereka. Walaupun sesetengah barangan yang dihasilkan hanya peniruan daripada barangan asing, namun hasil kualiti yang telah diubahsuai adalah lebih baik.[14] Bidang mutu Jepun adalah lebih baik jika dibandingkan dnegan Amerika Syarikat dan Eropah.[15] Kebanyakan pengetahuan Jepun telah dihasilkan di tempat lain dan sebahagian besarnya di Amerika Syarikat. Hingga kini Jepun masih banyak mengimport pengetahuan daripada yang dieksportnya.[16]

Terdapat juga faktor luaran yang telah membawa kemajuan industri di Jepun. Keadaan antarabangsa yang meluas telah memainkan peranan penting dalam kebangkitan ekonomi Jepun. Sekatan antarabangsa telah dikurangkan dan pasaran dunia dibuka membawa kepada perdagangan antrabangsa memasuki era peluasan yang hebat.[17] Penyertaan Jepun dalam GATT (Perjanjian Umum tentang Tarif dan Perdagangan) seterusnya semakin membuka peluang Jepun untuk pasaran eksportnya. Jepun bukan sahaja mengimport barangan daripada Malaysia malah telah mengeksport barangan keluaran mereka seperti radio, kereta dan juga transistor yang mencatat jumlah permintaan tertinggi di Malaysia.

Selain itu, Jepun turut membawa masuk teknologi mereka ke dalam Malaysia untuk mewujudkan kerjasama industri. Hal ini membawa keuntungan kepada Malaysia kerana mendapat peluang kepakaran dari Jepun untuk diaplikasikan dalam industri negara. Hinggakan pada tahun 1970-an, Malaysia telah berjaya mencapai kemajuan pesat dalam eksport barang keluaran kilang. Di antara tahun 1970 dan 1975 eksport barang keluaran kilang telah bertambah lebih daripada 14%. Industri tersebut ialah keluaran kayu, kain dan pakaian, getah dan komponen-komponen elektronik dan pemasangannya.[18]

Kerjasama transnasional Jepun dengan beberapa pertubuhan memberikan peluang Jepun meluaskan pasaran perniagaanya. Produk pembuatan tidak lagi hanya dibuat di sesebuah negara sahaja. Produk tersebut mungkin direka bentuk di Jepun, komponennya dibekalkan dari Taiwan, dipasang di Malaysia dan akhirnya dipasarkan di Thailand untuk pasaran dunia.[19] Jepun seterusnya telah melakukan perubahan daripada pengeluaran hasil tekstil kepada industri berat. Malaysia juga turut mendapat keuntungan kerana Jepun telah mengimport bahan mentah seperti bijih timah untuk industri elektroniknya. Sebahagian besar eksport bijih besi Malaysia adalah juga bergantung kepada Jepun.[20]

4.0 Hubungan Kerjasama Malaysia- Jepun

Hubungan di antara Malaysia-Jepun bermula pada 24 November 1957 apabila Perdana Menteri Jepun yang pertama iaitu Kishi Nobusuke melakukan lawatannya ke Malaysia. Beliau merupakan Perdana Menteri asing pertama yang melawat Malaysia setelah kemerdekaan negara dicapai pada 31 Ogos 1957. Lawatan balasan Tunku Abdul Rahman secara rasmi ke Jepun pada 21 hingga 26 Mei 1958 telah mengikat Perjanjian Perdagangan Jepun-Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 10 Mei 1960 yang merupakan perjanjian ekonomi pertama di antara kedua-dua negara.[21] Bukan sahaja dengan Malaysia, Jepun telah mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara yang cintakan keamanan. Tidak hairanlah Jepun mampu mempertahankan kemerdekaannya dan menjalin kerjasama dengan negara-negara lain dalam pelbagai aspek.

Hubungan ekonomi yang terjalin ini telah diteruskan oleh Perdana Menteri berikutnya iaitu Tun Razak. Hubungan ini dapat diteruskan apabila Jepun sekali lagi menghulurkan bantuan pembiayaan sebahagiaan besar projek pembangunan melalui Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA). Malaysia juga telah menerima bantuan pinjaman ketiga dari Jepun yang disalurkan untuk membiayai projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua. Hubungan ini menjadi semakin kukuh pada era pemerintahan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn. Perkembangan hubungan menjadi semakin baik apabila penubuhan Malaysia-Japan Economic Association (MAJECA) dan Japan-Malaysia Economic Association (JAMECA).[22]

Pada era Tun Dr. Mahathir pula, beliau telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada lewat tahun 1981 bertujuan mempelajari dan mencontohi Jepun.[23] Manakala pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah menegaskan akan meneruskan Dasar Pandang Ke Timur tersebut dalam lawatan Kemuncak Memperingati ASEAN-Jepun. Hinggalah kini, di zaman Najib Tun Razak, hubungan Malaysia-Jepun terus terjalin dan dasar-dasar yang telah sedia ada masih diteruskan. Dalam aspek ekonomi misalnya, perdagangan antarabangsa Malaysia sepanjang tahun 2009 mencatatkan jumlah sebanyak RM 988. 24 bilion. Dari jumlah tersebut sebanyak RM 108.71 bilion merupakan perdagangan dua hala dengan Jepun.[24]

5.0 Perlaksanaan Dasar

Bagi mengukuhkan kestabilan ekonomi Malaysia, beberapa dasar telah diwujudkan bagi membolehkan Malaysia bersaing dalam era globalisasi yang cepat membangun. Dasar yang dibentuk ini telah membawa kepada beberapa hubungan kerjasama dengan negara-negara lain khususnya Jepun. Dasar ini juga bertujuan memantapkan sistem ekonomi dan pentadbiran negara.

5.1 Dasar Pandang Ke Timur

Dasar ini telah dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 semasa persidangan Joint Annual Conference of MEJECA/ JAMECA di Kuala Lumpur.[25] Kejayaan ekonomi Jepun yang maju telah menjadi model ikutan negara-negara Asia Timur yang lain termasuklah Malaysia. Pandang ke Timur dan bukannya ke Barat juga merupakan suatu pemisah penting daripada pergantungan mental terhadap negara-negara Barat dan pemikiran Barat.[26] Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk meningkatkan kemajuan negara.[27]

Telah lebih lima belas tahun Malaysia mengamalkan dasar tersebut bagi menjadi contoh kepada pembangunan negara. Malaysia begitu berminat untuk mengamalkan budaya kerja, amalan industri dan teknologi Jepun. Sebagai langkah tersebut, Malaysia telah bertindak menghantar pelajar-pelajarnya ke Jepun untuk mendapatkan pengalaman dan pendidikan di sana. Selain itu Malaysia turut melakukan lawatan sambil belajar ke Jepun yang diadakan sektor swasta dan kerajaan bagi membolehkan mereka membawa balik teknik serta mengaplikasikan pengurusan dan budaya Jepun dalam kerja mereka.[28] Langkah ini secara tidak langsung semakin mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia-Jepun. Selain itu, Dasar Pandang Ke Timur ini telah membolehkan syarikat Jepun membentuk ikatan strategik dengan syarikat Malaysia untuk kerjasama perniagaan dalam Negara Dunia Ketiga.[29]

Dasar Pandang Ke Timur ini bukanlah bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan dagangannya dengan rakan-rakan yang ada sekarang. Sebaliknya, kerajaan akan terus memperluaskan lagi perdagangannya dengan mengadakan hubungan dengan rakan-rakan bukan tradisional di samping terus mengekalkan dan memajukan hubungan perdagangan yang sedia ada selaras dengan kepentingan negara. Dasar ini telah memberi kesan yang besar terhadap usaha-usaha memajukan negara seterusnya dasar ini dapat membantu kerajaan untuk meninggikan prestasi dan daya pengeluaran negara ini. Di samping itu ianya boleh menjadi asas pengwujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.

5.2 Dasar Luar Negara

Selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia telah membentuk beberapa polisi hubungan luar negaranya. Dasar luar negara dianggap satu alat yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk berhubung dan berinteraksi dengan sesebuah negara lain sama ada jiran mahupun negara yang jauh daripadanya.[30] Hal ini kerana kejayaan sesebuah negara bergantung kepada keupayaanya menerima dan menyesuaikan diri dengan pengaruh global. Objektif asas dan utama Dasar Luar Malaysia adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan nasional di arena antarabangsa selain bertujuan menangani perkembangan dan cabaran politik, ekonomi, keselamatan dan sosial negara tersebut. Dasar ini juga dapat memupuk hubungan baik serta dapat mengeratkan kerjasama dengan negar-negara lain. Selain itu, pendirian serta kepentingan negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia sendiri dapat dipertahankan di arena antarabangsa.

Kerjasama Malaysia-Jepun telah membuka banyak peluang kepada peningkatan ekonomi kedua-dua negara tersebut. Kedudukan strategik Malaysia telah menarik pelabur bagi operasi luar mereka. Persekitaran perniagaan Malaysia diserlahkan lagi dengan kedudukan lokasinya di tengah-tengah Asia Tenggara yang membolehkannya memenuhi pasaran ASEAN (Association of Southeast Asian Nations). ASEAN mempunyai pasaran yang lebih baik apabila tertubuhnya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA). Perjanjian terhadap Tarif Keutamaan Efektif Am (CEPT) untuk AFTA yang meliberalkan perdagangan ASEAN melalui pengurangan tarif secara beransur-ansur bertujuan untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas dalam masa lima belas tahun bermula satu Januari 1993.[31] Dengan mewujudkan pusat pengeluaran di Malaysia, pengilang boleh mengeksport ke negara anggota ASEAN lain dengan bebas atau dengan duti import yang minimum.

Malaysia juga menggalakkan pelabur-pelabur asing dalam sektor pembuatan dan menerapkan pendekatan global untuk mengerakkan pembangunan industri. Langkah utama Malaysia menggalakkan pelabur asing juga dapat dilihat dengan pembukaan pejabat seberang laut oleh Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) sejak tahun 1972, iaitu di negara yang mengeksport modal dan teknologi.[32] Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelabur Jepun untuk melakukan pelaburan mereka. Galakkan tersebut telah menjadikan Jepun sebagai negara pelabur terbesar di Malaysia. Pelaburan Jepun meningkat sebanyak 91.2% daripada RM 2.3 bilion pada 1995 kepada RM 4.4 bilion pada 1996.[33] Tumpuan pelaburan yang dilakukan adalah ke atas industri elektrik dan elektronik.

6.0 Kesimpulan

Walaupun Jepun pernah menjajah Malaysia suatu ketika dulu, namun sebagai sebuah negara yang berfikiran jauh, Malaysia masih juga mahu menjalin hubungan dengan negara Jepun. Hal ini disebabkan banyak kelebihan dan manfaat yang diperolehi Malaysia yang telah disalurkan oleh Jepun dalam segala hal terutamanya dari segi pembangunan ekonomi. Pelaburan yang dilakukan Jepun sahaja telah mencatat jumlah terbesar dalam industri di Malaysia secara tidak langsung membantu Malaysia untuk membangunkan ekonominya bersaing dengan negara-negara lain.

Hubungan antara Malaysia-Jepun wujud adalah kerana berlaku saling kebergantungan antara kedua-dua buah negara tersebut. Permulaan kemajuan negara Jepun juga dibantu oleh Malaysia kerana Jepun memerlukan bahan-bahan mentah seperti getah dan bijih timah daripada Malaysia. Manakala Malaysia pula memerlukan modal pelaburan daripada Jepun untuk membuka tapak-tapak perindustrian. Pada abad digital kini juga kebergantungan itu masih boleh dilihat. Malaysia mempunyai kemahiran tenaga manusia dalam bidang tertentu yang agak murah dan dapat digunakan oleh syarikat Jepun walaupun tidak ditempatkan di Malaysia. Manakala Jepun pula memiliki teknologi multimedia yang dapat memaninkan peranan dalam dunia ekonomi tanpa sempadan.

Kesimpulannya, hubungan kerjasama antara Malaysia dan Jepun telah membantu kedua-dua buah negara untuk sama-sama meningkatkan ekonomi dan juga kemajuan negara masing-masing. Kini Malaysia telah mampu bersaing dan memiliki teknologi yang setanding dengan negara-negara lain. Ekonomi Malaysia juga menjadi semakin mantap dan industri Malaysia telah mampu menghasilkan barang keluaran buatan sendiri untuk pasaran eksport.

Rujukan:

Abdullah Zakaria Ghazali, Azharuddin Mohamad Dali, Azhar Mad Aros dan Suffian Mansor (2000). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Shah Alam: Fajar Bakti.

Dasar pandang ke timur (2006). Diperoleh pada September 26, 2010 daripada http://apps.emoe.gov.my/bppk/nota/DASAR/DASAR%20PANDANG%20KE%20TIMUR%201.pdf

Dasar pandang ke timur (2008). Diperoleh pada September 26, 2010 daripada http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=240:dasar-pandang-ke-timur&catid=88:dasar-dasar-negara

Duncan McCargo (2008). Jepun masa kini (Ruslan Zainuddin, Terjemah). Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan Negara Malaysia.

G. C Allen (1989). Ekonomi negara Jepun (Sulung Muhamad, Terjemah). Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu.

Ghazali Darusalam (2001). Tamadun Islam dan tamadun Asia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Gilbert Khoo dan Dorothy Lo (1978). Asia dalam perubahan. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books Sdn. Bhd.

Harcharan Singh Khera (1972). Problems & prospects of the Malaysian economy. Petaling Jaya: Khera Sdn. Bhd.

Harold M. Vinacke (1967). Sejarah Timor jauh dalam zaman moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kevin Young, William C. F Bussink (1980). Malaysia pertumbuhan dan keadilan dalam masyarakat majmuk. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya.

Mahathir Mohamad (1999). Kebangkitan semula Asia (Mohd Satar Hashim, Terjemah). Selangor: Pelanduk Publications.

Mahathir Mohamad (2003). Pengurusan ekonomi Malaysia (Mokhtar Ahmad, Terjemah). Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Mahathir Mohamad (2003). Kerjasama serantau dan ekonomi digital: Ucapan pilihan Dr. Mahathir Mohamad (Rahhayu Ibrahim dan Suziana Abd Aziz, Terjemah). Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Mahathir Mohamad (2003). Lingkaran pasifik dalam abad ke-21: Hubungan dan kerjasama Asia-Pasifik (Jurina Pieei, Terjemah). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Md. Nasrudin (2010). Dinamisme hubungan bilateral Malaysia-Jepun. Diperoleh pada September 23, 2010 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Mohd Salleh Abdul Majid (1993). Fokus Ekonomi. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd.

Peter F. Drucker. (1995). Masyarakat pasca kapitalis (Nazlifa Md. Ali, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rashidah Mamat (2008). Malaysia pembinaan negara bangsa: Dasar-dasar negara. Pulau Pinang: Zammas X’Press Niaga.

Wolf Mendl (1995). Japan’s Asia policy: Regional security and global interests. London: Routledge.



[1] Md. Nasrudin (2010). Dinamisme hubungan bilateral Malaysia-Jepun. Diperoleh pada September 23, 2010 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

[2] Duncan McCargo (2008). Jepun masa kini (Ruslan Zainuddin, Terjemah). Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan Negara Malaysia Hlm. 171.

[3] Mahathir Mohamad (2003). Pengurusan ekonomi Malaysia (Mokhtar Ahmad, Terjemah). Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Hlm. 145.

[4] Ghazali Darusalam (2001). Tamadun Islam dan tamadun Asia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors. Hlm. 308.

[5] Abdullah Zakaria Ghazali, Azharuddin Mohamad Dali, Azhar Mad Aros dan Suffian Mansor (2000). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Shah Alam: Fajar Bakti. Hlm. 165-166.

[6] Gilbert Khoo dan Dorothy Lo (1978). Asia dalam perubahan. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books Sdn. Bhd. Hlm. 1043.

[7] Harold M. Vinacke (1967). Sejarah Timor jauh dalam zaman moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 448.

[8] Mahathir Mohamad (1999). Kebangkitan semula Asia (Mohd Satar Hashim, Terjemah). Selangor: Pelanduk Publications. Hlm. 93.

[9] Duncan McCargo (2008). Jepun masa kini (Ruslan Zainuddin Terjemah). Hlm. 34.

[10] Wolf Mendl (1995). Japan’s Asia policy: Regional security and global interests. London: Routledge. Hlm. 101.

[11] Duncan McCargo (2008). Jepun masa kini (Ruslan Zainuddin, Terjemah). Hlm. 34.

[12] Ibid. Hlm. 34.

[13] G. C Allen (1989). Ekonomi negara Jepun (Sulung Muhamad, Terjemah). Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu. Hlm. 187.

[14] Duncan McCargo (2008). Jepun masa kini (Ruslan Zainuddin, Terjemah). Hlm. 34-35.

[15] Mohd Salleh Abdul Majid (1993). Fokus Ekonomi. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. Hlm. 73.

[16] Peter F. Drucker. (1995). Masyarakat pasca kapitalis (Nazlifa Md. Ali, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 171.

[17] Duncan McCargo (2008). Jepun masa kini (Ruslan Zainuddin, Terjemah). Hlm. 36.

[18] Kevin Young, William C. F Bussink (1980). Malaysia pertumbuhan dan keadilan dalam masyarakat majmuk. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya. Hlm. 351- 352.

[19] Dr. Mahathir Mohamad (2003). Kerjasama serantau dan ekonomi digital: Ucapan pilihan Dr. Mahathir Mohamad (Rahhayu Ibrahim dan Suziana Abd Aziz, Terjemah). Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Hlm. 117.

[20] Harcharan Singh Khera (1972). Problems & prospects of the Malaysian economy. Petaling Jaya: Khera Sdn. Bhd. Hlm. 32.

[23] Mahathir Mohamad (1999). Kebangkitan semula Asia (Mohd Satar Hashim, Terjemah). Hlm. 96.

[25] Dasar pandang ke timur (2006). Diperoleh pada September 26, 2010 daripada http://apps.emoe.gov.my/bppk/nota/DASAR/DASAR%20PANDANG%20KE%20TIMUR%201.pdf

[26] Mahathir Mohamad (1999). Kebangkitan semula Asia (Mohd Satar Hashim, Terjemah). Hlm. 96.

[28] Mahathir Mohamad (1999). Kebangkitan semula Asia (Mohd Satar Hashim, Terjemah). Hlm. 103.

[29] Mahathir Mohamad (2003). Kerjasama serantau dan ekonomi digital: Ucapan pilihan Dr. Mahathir Mohamad (Rahhayu Ibrahim dan Suziana Abd Aziz, Terjemah)(. Hlm. 79.

[30] Rashidah Mamat (2008). Malaysia pembinaan negara bangsa: Dasar-dasar negara. Pulau Pinang: Zammas X’Press Niaga. Hlm. 202.

[31] Dr. Mahathir Mohamad (2003). Lingkaran pasifik dalam abad ke-21: Hubungan dan kerjasama Asia-Pasifik (Jurina Pieei, Terjemah). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors. Hlm. 30.

[32] Ibid. Hlm. 31.

[33] Mahathir Mohamad (2003). Kerjasama serantau dan ekonomi digital: Ucapan pilihan Dr. Mahathir Mohamad (Rahhayu Ibrahim dan Suziana Abd Aziz, Terjemah). Hlm. 80.

No comments:

Post a Comment