Website counter

Saturday, October 15, 2011

Ekonomi Asia Tenggara sebelum Penjajahan

1.0 Pendahuluan

Asia Tenggara merupakan sebuah kawasan di Tenggara Asia. Ia meliputi dua jenis masyarakat iaitu negeri-negeri kepulauan dan negeri-negeri di Tanah Besar.[1] Asia Tenggara merangkumi negara-negara seperti Indonesia, Vietnam, Filipina, Burma dan Thailand. Sistem ekonomi di Asia Tenggara telah wujud sejak sekian lama dahulu, sejak sebelum kedatangan penjajah lagi. Sistem ekonomi yang diamalkan sewaktu sebelum kedatangan penjajah ialah sistem sara diri, komersial dan perdagangan. Sistem sara diri ialah kegiatan ekonomi yang dijalankan untuk mendapatkan bahan makanan dan lain-lain hasil untuk memenuhi keperluan harian dan untuk kewajipan cukai. Kegiatan utama sara diri ialah bercucuk tanam, menangkap ikan, dan memungut hasil hutan.[2] Peralatan yang digunakan juga adalah yang paling asas dan bersifat primitif. Disebabkan oleh itu, lebihan hasil yang dikeluarkan oleh para petani adalah terhad.

Selain itu, sistem ekonomi secara komersial juga telah wujud. Sebagai contoh, lebihan beras di Siam, Burma dan Kampuchea telah wujud. Sebagai contoh, lebihan beras di Siam, Burma dan Kampuchea telah menjadi barang eksport dari awal lagi dengan Jawa sebagai pengeksport utama. Tambahan itu, pertanian tanaman komersial juga telah diusahakan secara meluas sejak abad ke-15. Hasilnya adalah seperti lada hitam, bunga cengkih, kapas dan gula. Lada merupakan tanaman komersial yang paling bernilai antara abad ke-15 dan ke-18.[3] Pada mulanya ia bersifat tradisional dan terikat di bawah kekuasaan pemerintah.

Sistem ekonomi perdagangan pula merupakan unsur yang amat penting dalam ekonomi Asia Tenggara. Kegiatan ini berkembang kerana sebahagian besar Asia Tenggara bersifat kepulauan, maka kegiatan pelayaran telah mewujudkan aktiviti perdagangan. Galakan perdagangan seperti yang dilakukan Raja-raja Burma menggalakkan perdagangan dengan negara-negara maritim. Perkembangan perdagangan lebih pesat setelah kemasukan barat kerana minat mereka terhadap kekayaan bahan mentah di Asia Tenggara. Kedatangan penjajah barat telah mengubah corak ekonomi tradisional Asia tenggara. Oleh itu, sistem ekonomi yang wujud di Asia Tenggara sebelum kedatangan penjajah akan dirungkai dalam penulisan ini.

2.0 Sistem Tanah

Sumber ekonomi masyarakat tradisonal Asia Tenggara jelasnya bermula dan bertumpu kepada aktiviti pertanian. Pada awalnya, tanah yang digunakan oleh petani secara amnya adalah dipunyai dan dikuasai sepenuhnya oleh golongan pemerintah sebagai pemilik utama.[4] Namun, pemerintah tidak akan mampu menguruskan kesemua tanahnya, lalu diwujudkan sistem pengagihan tanah.

Pengagihan ini adalah kadangkala berbeza antara sesuatu kawasan mengikut sistem masing-masing dalam mengerjakan tanah. Perbezaan dan persamaan perlaksanaan ini, contohnya kita dapat lihat di Burma dan Vietnam. Di kawasan Tonkin dan Annam di Vietnam sebelum masuknya Eropah, kedua-dua kawasan ini sahaja di Asia Tenggara yang mempunyai tradisi memiliki tanah sendiri, iaitu satu tradisi yang diwarisi dari China.[5] Saiz bidang tanah adalah dihadkan oleh undang-undang pemerintah dan kebanyakan kampung terus mempunyai tanah hak milik bersama.

Selain itu, pada abad berikutnya di Vietnam ini, sistem pengagihan tanah berbentuk “personal share land” yang telah memperuntukkan tanah kepada pegawai kerajaan berdasarkan pangkat mereka dan kepada petani lelaki mengikut umur dan taraf kesihatan mereka. Tanah ini diagihkan semula setiap tiga tahun mengikut keadaan semasa. Selain itu, terdapat juga tanah umum yang diperuntukkan kepada golongan khas seperti askar, anak yatim, balu dan orang miskin yang tidak berupaya membayar cukai mereka. Tanah umum ini tidak boleh dijual tetapi boleh disewa kepada para petani untuk tempoh maksima tiga tahun dan wang sewa itu dikhaskan untuk kegunaan kampung.[6]

Manakala jika dilihat di Burma, seperti juga di Vietnam, tanah dibahagikan kepada tiga jenis iaitu tanah kerajaan, tanah persendirian dan tanah biara.[7] Jika dilihat dari sudut pembahagian tanah kerajaan ini, ia seperti keadaan yang berlaku di Vietnam yang mengkhaskan tanah kepada pegawai kerajaan, dan di Burma sendiri, tanah ini dikerjakan oleh golongan Ahmudan iaitu pegawai diraja untuk manfaat negara. Tanah persendirian pula diwarisi oleh sesebuah keluarga atau kampung dan jarang dikenakan cukai. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah pada abad ke-19 apabila cukai kepala dikenakan kepada golongan Athi.[8] Tanah biara pula didermakan oleh orang perseorangan atau raja untuk menampung golongan sangha.[9] Tanah ini dikerjakan oleh hamba biara dan seperti juga tanah umum di Vietnam, ia tidak dikenakan cukai.[10]

Contoh yang memperlihatkan keadaan sistem tanah yang sama ialah Burma dan Kemboja. Iaitu seperti juga di Burma, Kemboja memberikan pengagihan tanah kepada setiap keluarga untuk diusahakan.[11] Jadi jika dilihat di ketiga-tiga buah negara ini, wujud persamaan di mana masing-masing membahagikan tanah kepada masyarakat biasa, dan juga pegawai kerajaan, namun terdapat juga pembahagian tanah kepada pengelasan yang berbeza contohnya tanah biara.

Dalam melihat kepada sistem tanah ini, wujud hal-hal berkaitan pemilikan atau penyewaan tanah. Dalam aspek ini, mengambil contoh Burma, Vietnam, dan Thailand, dapat dilihat pelbagai situasi dan permasalahan yang dialami khususnya oleh petani seperti kehilangan hak penyewaan, peminjaman wang daripada tuan tanah yang menyebabkan kerugian dan pelbagai lagi.

Contoh corak penyewaan tanah dapat dilihat di Thailand iaitu di Daerah Rangsit. Tuan tanah mengusahakan tanah dalam unit yang besar dan menyebabkan penyewaan tanah banyak berlaku. Kebanyakan tuan tanah ini tidak tinggal di tanah mereka dan adalah dari golongan keluarga diraja serta kebiasaannya tanah ini disewakan setahun sahaja. Penyewaan ini mampu mencecah angka yang tinggi menyebabkan berlaku peminjaman daripada tuan tanah atau orang tengah. Apa yang paling merugikan di bawah sistem “tog khao” ini, bayaran balik adalah dengan padi yang belum dituai dan kadar bunganya mungkin berjumlah sehingga 50% setiap bulan.[12] Hal ini pastinya merugikan para petani yang terlibat.

Permasalahan lain yang timbul berkaitan dengan hak petani dapat dilihat contohnya pada abad ke-16 di Burma iaitu tanah persendirian itu dimiliki oleh masyarakat tani. Namun, berlaku usaha-usaha untuk menukar hak milik tanah ini. Namun, pada tahun 1890 dan 1940, usaha telah dijalankan untuk menyekat kegiatan penukaran hak milik tanah. Contohnya kelulusan undang-undang bantuan pertanian Burma 1891 yang bertujuan melindungi petani Burma daripada kehilangan hak milik tanah.[13]

Masalah juga turut berlaku di Vietnam, seperti juga di Burma dan Thailand dari sudut yang berbeza sedikit tetapi masih berfokuskan kepada masalah kaum tani. Masalah ini wujud apabila kerajaan tidak berusaha untuk mengubah cara pertanian warisan kolonial yang terbukti hanya menguntungkan tuan tanah yang kaya. Hal ini kemudian menyebabkan berlaku reformasi tanah yang mengakibatkan pembahagian semula tanah pada 1956[14] serta persetujuan bertulis antara tuan tanah dengan penyewa tanah. Kesannya penyewa berhak dapat perlindungan daripada jawatankuasa hal ehwal pertanian yang ditubuhkan di peringkat daerah.

3.0 Sistem Kerah

Amalan ekonomi di setiap kawasan Asia Tenggara adalah hampir sama bagi setiap kawasan. Buktinya dari aspek penghambaan, walaupun ekonomi perhambaan tidak wujud, namun sistem yang diamalkan kebanyakan kerajaan sebelum abad-19 menyaksikan idea perhambaan itu wujud tetapi dikenali sebagai sistem kerah.[15] Sistem kerah ini dijalankan oleh masyarakat atas dasar paksaan dan jika ingkar, mereka akan dihukum dan ini menyebabkan golongan ini tiada pilihan lain. Selain itu, sistem ini sebenarnya berkait rapat dengan sistem feudalisme yang mana menekankan ketaatsetiaan antara golongan yang pemerintah dengan golongan yang diperintah. Hal ini menjadikan rakyat itu terikat di bawah kekuasaan raja dan perintahnya.

Sistem kerah ini contohnya dapat dilihat di Kampuchea, Vietnam dan Indonesia. Di ketiga-tiga negara ini idea pengabdian, penghambaan atau sistem kerah telah lama wujud dan diamalkan sejak awal abad lagi terutamanya sebelum kedatangan penjajah. Di Jawa dan Madura, Indonesia dan Vietnam misalnya terdapat pelbagai bentuk khidmat wajib yang perlu dilakukan dan ini ditentukan oleh keadaan tempatan dan adat resam.[16]

Antara khidmat wajib itu ialah kerahan tenaga dalam pertanian, melakukan kerja-kerja pembinaan atau pembaikan istana dan jalan raya, ketenteraan dan sebagainya. Secara jelas lagi, semasa zaman Wangsa Nguyen di Vietnam pada 1802, petani telah dikerah untuk membuat pelbagai kerja seperti membina istana raja di Hue.[17] Di Vietnam Selatan, perkhidmatan buruh selama tujuh hari diwajibkan kepada setiap lelaki yang sihat. Jika khidmat ini tidak dilakukan, ia perlu diganti dengan bayaran piaster.

Di Kampuchea pula pada abad-19, seperti juga di Vietnam, di dalam hierarki masyarakat Khmer, rakyat bebas diberikan hak tertentu tetapi perlu memberikan perkhidmatan kepada raja iaitu terlibat selama 90 hari dalam sistem kerah menjalankan kerja yang diarahkan oleh golongan pemerintah. Jadi, dilihat bahawa di Kampuchea dan Vietnam, secara jelas sistem kerah ini dikenakan ke atas masyarakat oleh raja yang memerintah.

Berbeza sedikit dengan di Filipina dan Indonesia, sistem kerah ini dikenakan oleh golongan tuan tanah kepada penyewa tanah. Contohnya di Filipina, datu dan tuan tanah bebas mempunyai hamba abdi untuk mengerjakan tanah mereka dan berkhidmat di rumah mereka. Terdapat hamba abdi yang bertumpu pada tanah dan ½ daripada hasil tanaman mereka dibayar kepada tuan mereka.[18]

Walaupun idea sistem kerah ini telah lama menapak dalam sistem ekonomi masyarakat tradisional negara-negara Asia Tenggara, namun pada abad ke-19 semasa era penjajahan, sistem kerah atau perhambaan ini ditentang hebat oleh golongan penjajah dan masyarakat kerana dianggap faktor yang merugikan ekonomi masyarakat. Lalu, ada usaha-usaha yang dijalankan oleh khususnya golongan berkuasa tertentu antaranya penjajah untuk menghapuskan sistem ini. Contohnya dapat dilihat di Indonesia iaitu pada 1890, khidmat wajib ini dihapuskan.[19]

4.0 Kepercayaan

Aktiviti pertanian sara diri yang dilakukan oleh masyarakat Asia Tenggara sangat dipengaruhi dan mempunyai ikatan erat dengan kepercayaan ghaib seperti semangat ghaib, semangat padi dan sebagainya. Unsur ini dilambangkan oleh dewa dewi atau penjaga semangat tersebut. Bagi masyarakat Asia Tenggara secara umumnya mereka percaya bahawa setiap benda itu mempunyai nyawa mereka sendiri dan mempunyai penjaga yang wujud dalam bentuk semangat. Oleh hal yang demikian bagi menjaga agar semangat tersebut sentiasa berada dalam keadaan aman dan tidak mengganggu, maka pelbagai bentuk acara diadakan pada antaranya musim menuai.[20] Namun, kepercayaan anamisme ini mengalami sedikit perubahan apabila masuknya pengaruh Hindu Buddha dan Islam pada abad seterusnya.

5.0 Sistem Cukai

Sistem cukai di Asia Tenggara yang telah wujud sejak abad ke-11 iaitu raja memaksa rakyat di naungannya untuk membayar cukai supaya memastikan rakyat di bawah naungan raja itu dapat menunjukkan taat setia mereka kepada pemerintah. Hasil cukai merupakan salah satu punca pendapatan raja dan pembesar. Hal ini berlanjutan sehingga abad ke-19 dan sebelum penjajah dari luar seperti Perancis, Sepanyol dan British berminat menjajah Asia Tenggara. Sejak abad ke-11, hasil pertanian yang diusahakan bukan lagi untuk keperluan diri dan keluarga walaupun pertanian dijalankan secara sara diri, malahan untuk membayar cukai yang disifatkan wajib kepada para petani. Ini dapat dilihat antaranya dalam masyarakat Burma.[21] Cukai ini dibayar kepada pembesar atau pegawai yang dilantik oleh raja dan juga raja yang memerintah. Antara cukai yang terdapat sebelum penjajahan di Asia Tenggara ialah cukai tanah, cukai hasil pertanian, dan cukai cukai perdagangan. Akan tetapi, pada abad ini, cukai tanah lebih diutamakan kerana penduduk Asia Tenggara lebih tumpu kepada aktiviti pertanian sara diri.

Tuntutan kerajaan terhadap hasil pertanian ini adalah berdasarkan dakwaan bahawa semua tanah merupakan hak milik raja dan rakyat harus membayar cukai sebagai balasan kerana raja mengizinkan para petani secara khusus mengerjakan tanah. Akibat daripada kedudukan petani yang sering ditindas dari segi hasil pertanian, lebihan hasil pertanian adalah kurang dan kadang-kala keperluan makanan ahli keluarga tidak dapat dipenuhi. Cukai ini kebiasaannya dikutip secara paksa oleh pegawai yang mementingkan kekayaan diri sendiri. Hal ini boleh lihat di salah satu negara di Asia Tenggara iaitu Burma, seorang ywa thugyi diberikan tanggunjawab untuk memungut cukai tanah dan menjalankan pentadbiran undang-undang.[22]

Selain itu, terdapat beberapa golongan pemerintah yang menggunakan cukai tersebut untuk membina sistem pengairan dan perparitan yang sistematik supaya pada musim hujan tidak berlaku banjir yang boleh merosakkan tanaman penduduk negara tersebut. Hal ini boleh dilihat berlaku di Burma juga dalam pembinaan satu sistem pengairan yang hebat dan membolehkan masyarakat Khmer menghasilkan jumlah hasil tanaman sara diri yang tinggi walaupun berlaku musim hujan monsun.[23] Antara sistem pengairan yang telah dibina iaitu empangan reseau hydraulique.[24] Sistem ini membolehkan pengairan air ke sawah-sawah dengan kawalan kadar yang bersesuaian dengan musim dan akan berubah apabila tiba masanya.

Asia tenggara sangat dipengaruhi dengan pengaruh agama Hindu Buddha. Hal ini menyebabkan satu golongan wujud yang tidak perlu untuk membayar cukai iaitu golongan sami atau songha.[25] Mereka adalah sami agama Hindu Buddha dari institusi agama.[26] Golongan ini bukan sahaja tidak perlu membayar cukai tanah malah mereka diberikan keistimewaa untuk mengerjakan tanah tanpa batasan. Ini kerana golongan sami ini telah memberi jaminan keselamatan, peluang ekonomi, kestabilan, kedudukan politik dan sosial serta kelahiran semula dalam kepercayaan agama Hindu Buddha di negara tersebut. Burma merupakan salah satu negara di asia Tenggara yang berlaku dengan ketara. Golongan pura-kywan mendapat faedah politik dan ekonomi di samping dibebaskan daripada membayar cukai negeri.[27] Pura-kywan juga berhak mengerjakan tanah kerana raja-raja telah memberi tanah kepada mereka.[28]

Pada abad ke-18 dan sekitar abad ke-19, hasil pungutan cukai menjadi semakin penting dan mempunyai yang tinggi sehingga kedudukan raja atau pembesar boleh terjejas apabila berlaku berkurangnya hasil cukai tanah. Hal ini telah berlaku di Burma, kedudukan raja tergugat kerana golongan pura-kywan telah melampaui batas atas pemberian tanah daripada raja. Golongan ini merebut tanah dengan raja dan pembesar sehingga tidak dapat kawal.[29] Raja hanya dapat menstabilkan kedudukan mereka dengan memerintah pegawai kerajaan untuk merampas kembali hak dan tanah yang diberikan kepada golongan pura-kywan. Raja juga menghantar golongan pura-kywan ke Celyon untuk memulihkan semula peranan mereka ke arah keagamaan yang seperti asal.[30] Krisis ini kembali pulih apabila diperintah oleh wangsa Konbaung.

Selepas abad ke-15, pertanian secara komersial telah mula diusahakan secara meluas di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, sistem pertanian yang diamalkan pada waktu ini adalah bersifat tradisional dan terikat di bawah kekuasaan pemerintah.[31] Situasi ini boleh lihat di Sumatera secara umumnya pemilik pertanian komersial seperti padi, kapas, lada dan gula perlu membayar cukai satu setengah dollar perhasil pertanian kepada raja pada pesta tahunan di Indonesia.[32]

Pada abad ke-19 pula, kebanyakkan negara di Asia Tenggara menjadi semakin maju dari segi ekonomi kerana kemunculan pelbagai hasil pertanian yang membawa Asia Tenggara muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan maritim. Potensi ekonomi Asia Tenggara juga berada di tahap yang tinggi kerana pungutan hasil cukai menjadi semakin tinggi yang dihasilkan oleh rakyat. Contohnya, pada abad ke-19 di Burma, semasa pemerintahan Mindon, beberapa perubahan telah dijalankan seperti cukai baru berdasarkan kewangan keluarga diperkenalkan dan kelas ahmudan dihapuskan.[33] Dasar- dasar baru ini berkaitan cukai membolehkan pemerintahan memajukan negara dengan memperkenalkan pelbagai teknologi untuk memajukan pertanian di Burma dengan menggunakan hasil daripada pungutan cukai.[34]

Sistem cukai yang memaksa penduduk di Asia Tenggara terutamanya para petani membayar cukai tanah dan cukai hasil pertanian komersial menjadi punca pendapatan utama di Asia tenggara. Di samping itu, cukai perdagangan juga dikutip oleh pihak pemerintah kerana pada sekitar abad ke-18, Asia Tenggara menjadi negara yang semakin giat aktif dalam perdangan serta mempunyai hubungan perdagangan dengan negara-negara besar seperti China. Ini adalah salah satu faktor penjajah dari barat ingin menjajah negara-negara yang terdapat di Asia Tenggara walaupun secara paksa dan penuh dengan muslihat.

6.0 Sistem Pertanian

Sebelum abad ke-15 negara-negara di Asia Tenggara telah mengamalkan sistem pertanian secara kecil-kecilan yang dikenali sebagai sistem pertanian pindah. Sistem ini diamalkan oleh kebanyakan masyarakat yang masih lagi menjalankan kehidupan secara nomad terutamanya di kawasan pedalaman dan berbukit. Masih terdapat pelbagai pandangan tentang sistem pertanian ini. Seorang sarjana, Donald W. Fryer misalnya menyatakan bahawa sistem pertanian ini juga merupakan pertanian sara diri sebab beliau hanya mencatatkan dua jenis sistem sahaja iaitu pertanian pindah dan pertanian sawah. Kawasan bagi pertanian pindah ini adalah berbeza mengikut tempat.[35] Ia dikenali sebagai Caingin di Filipina, rai atau ray di Vietnam, tam rai di Thailand, taungya di Burma dan ladang di Indonesia. Antara satu ciri nyata aktiviti pertanian pindah ini ialah pelbagai jenis tanaman ditanam dalam satu kawasan. Misalnya terdapat lebih daripada 400 jenis tanaman biasanya ditanam oleh petani pindah di Mondoro, Filipina.

Selepas abad ke-15, pertanian secara komersial telah mula diusahakan secara meluas di Asia Tenggara. Sistem pertanian yang diamalkan pada waktu ini adalah bersifat tradisional dan terikat di bawah kekuasaan pemerintah. Sebagai contoh, di Sumatera secara umumnya pemilik pertanian komersial perlu membayar cukai satu setengah dollar perhasil pertanian kepada raja dan kepada suku pada pesta tahunannya.[36] Di antara tanaman yang diusahakan secara komersial ialah seperti padi, lada, tebu dan kapas. Jenis-jenis tanaman ini telah menggantikan hasil hutan dan laut yang merupakan eksport utama Asia Tenggara pada masa itu.

6.1 Padi

Pada mulanya, aktiviti pertanian diusahakan untuk kegunaan sendiri dan lama-kelamaan bertukar menjadi kegiatan ekonomi komersial. Keadaaan ini telah dipengaruhi faktor geografi dan cuaca di Asia Tenggara yang panas dan lembap sepanjang tahun serta teknologi tinggi yang dicipta oleh masyarakat tempatan. Antara kawasan padi yang terdapat di Asia Tenggara ialah Delta Irrawaddy (Burma), Dataran Bangkok/Lembah Menam Chao Phraya (Thailand) dan Delta Mekong (Vietnam), Tasik Tonle Sap (Kampuchea) dan Laos.

Padi merupakan tanaman paling asas di Asia Tenggara. Hampir semua negara di Asia Tenggara menanam padi kerana merupakan makanan ruji masyarakatnya. Di Thailand sejak awal abad, penanaman padi sawah dijalankan di Dataran Bangkok atau Lembah Menam Chao Phraya. Sementara di Burma pula Dataran Irrawaddy dan Delta Mekong merupakan kawasan penanaman padi yang penting. Pertanian padi yang pada mulanya dijalankan secara kecil-kecilan telah bertukar kepada satu ekonomi komersial yang kemudiannya diperdagangkan.

Berdasarkan faktor ekologi, masyarakat pertanian yang bersifat sara diri di Asia Tenggara terutamanya di Burma, Siam, dan Vietnam boleh dibahagikan kepada dua iaitu, pertanian sawah tetap dan pertanian pindah.[37] Hasil utama bagi pertanian sara diri ialah sawah padi yang banyak didapati di negara Thailand dan Burma. Contohnya, masyarakat Burma atau lebih dikenali sebagai masyarakat Kanchin di Bukit Kanchin telah mengusahakan pertanian sawah.[38] Mereka ini merupakan masyarakat di pinggir yang berdekatan bukit-bukau. Masyarakat ini juga menjalankan pertanian pindah dan aktiviti memburu. Terdapat juga masyarakat yang menjalankna penternakan seperti kerbau yang digunakan membajak sawah. Aktiviti penternakan ini contohnya dapat dilihat di negara Laos.[39]

Terdapat dua jenis padi iaitu yang ditanam mengikut musim, iaitu satu jenis tanaman di kawasan paya pada bulan November untuk dituai pada bulan Mac berikutnya, sementara satu lagi ditanam pada musim hujan. Bagi jenis kedua, benih padi disemai di tapak semaian sebelum ditugal ke bendang. Selepas musim menuai, bendang dibakar untuk mendapatkan baja asli.[40] Padi sawah mempunyai dua kategori. Pertama, padi sawah bergantung semata-mata kepada air hujan sebagaimana yang dijalankan oleh petani-petani secara tradisi di Filipina dan Delta Sungai Irrawaddy.

Kedua, menggunakan air tambahan yang boleh dilaksanakan melalui banjir dari sungai seperti di tanah pamah Mae Nam di Thailand, kawasan Palembang di Sumatera dan di sepanjang bahagian hilir Sungai Mekong. Di kawasan yang berbukit pula penanaman padi bukit dijalankan. Misalnya aktiviti penanaman padi bukit yang dijalankan di Filipina dan Pulau Jawa secara perwarisan. Penanaman padi jenis ini dapat dijalankan kerana ia hanya memerlukan kuantiti air yang sedikit. Penanaman padi bukit turut diamalkan oleh masyarakat yang tinggal di Tanah Besar Asia Tenggara seperti suku Chin, Karen, Kachin dan sebagainya.

Di Vietnam utara telah dapat dijalankan penanaman padi dua kali setahun di kawasan sawah dan ditambah pula dengan penanaman jagung, ubi keledek, kacang dan buah-buahan. Di kawasan delta di bahagian Selatan, terlalu sedikit hujan dan suhu yang terlalu tinggi dan menyebabkan tidak dapat dijalankan penanaman dua kali setahun. Di Delta Mekong pula, cara penanaman padi adalah lebih rendah mutunya. Sistem batas dan paritnya adalah juga kurang baik jika dibandingkan dengan wilayah utara. Oleh hal yang demikian, penanaman padi adalah bergantung semata-mata kepada hujan. Tambahan lagi pengawalan banjir di Sungai Mekong tidak begitu baik. Namun, masalah ini dapat diatasi dengan memperkenalkan padi terapung.

Pada awal abad ke-16 penduduk yang sedikit di Burma hanya bertanam padi untuk keperluan asas sahaja, dan apabila keperluan itu sudah dipenuhi hasil-hasil tanaman yang berlebihan yang tidak mendapat permintaan itu mungkin dibiarkan tidak bertuai.[41] Mereka hanya menggunakan hasil untuk kegunaan kelompok yang kecil sahaja. Di Burma, sebelum Pegu diambil oleh British, negara ini tidak pernah mengeksport beras. Sebaliknya, pada abad ke-17, di Arakan telah menanam padi untuk di eksport. Sistem tanaman padi secara secara sara diri telah bertukar kepada komersial mendatangkan banyak keuntungan bukan sahaja menambah kekayaan tetapi mewujudkan hubungan antarabangsa dan perubahan dalam sosial masyarakat negara yang terlibat. Kesannya, pihak pemerintah dan peniaga-peniaga mendapat keuntungan berlipat kali ganda hasil daripada tanaman secara meluas.

Menjelang abad ke-19, permintaan orang India yang bertambah-tambah telah menyebabkan penanaman padi semakin meluas. Ditambah dengan sistem saliran yang baik telah diwujudkan dibeberapa kawasan Asia Tenggara semakin menyumbang kepada meluasnya tanaman padi. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di Myanmar iaitu di kawasan Kyauhse. Kyauhse sebuah kawasan pertanian seluas 100 00 ekar diusahakan sejak awal abad ke-17 dan merupakan kawasan jelapang padi negara disebabkan oleh terdapatnya sistem pengairan yang paling baik di sana. Di tambah dengan adanya pembukaan Terusan Suez pada 1869 menyebabkan penanaman padi semakin berkembang dengan lebih cepat lagi.[42]

Selain itu juga, sistem tanaman padi secara komersial telah dapat mewujudkan hubungan antarabangsa dan serantau antara negara-negara Asia Tenggara dengan negara-negara lain seperti negara China dan Jepun. Perhubungan antarabangsa yang wujud ini telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan di dalam sosial masyarakat. Sebagai contoh, di Siam sesetengah phrai yang terlibat dalam pertanian kontan telah mendapat keizinan nai mereka untuk menggantikan perkhimatan mereka kepada nai dengan pembayaran wang. Kebebasan daripada kewajipan tradisional ini membolehkan phrai memajukan usaha pertanian yang mendatangkan pendapatan yang lumayan.[43]

Aktiviti pertanian pada abad ke-16 sehingga ke-18 di Vietnam amat bergantung kepada sistem parit dan tali air yang dibina untuk mengawal banjir.[44] Sistem saliran ini membantu petani mengawal aktiviti pertanian mereka seperti yang terdapat di Sungai Koi dan teknik pengawalan ini diambil dari China sejak berzaman. Masyarakat Vietnam akan menyuburkan tanaman menggunakan najis manusia dan binatang yang dijadikan sebagai baja asli.[45] Keadaan ini bertepatan dengan cara hidup seharian masyarakat Vietnam yang mengguna semula bahan-bahan buangan semaksimum mungkin. Najis manusia dan binatang itu secara langsung turut membantu menyuburkan tanah-tanah pertanian mereka.

Selain daripada Sungai Koi, kawasan pertanian utama yang lain termasuklah Lembah Mekong, Delta Sungai Merah di Tongking. Lembah Sungai Mekong merupakan antara kawasan pertanian yang utama dan dianggap mempunyai sejarah pertanian yang sangat lama. Kawasannya sangat subur terutama kesan daripada limpahan lumpur Sungai Mekong menyebabkan ia menjadi kawasan tumpuan penduduk. Sungai-sungai ini juga menjadi kawasan perikanan yang penting. Sebagai masyarakat yang bergantung kepada ekonomi sara diri, maka aktiviti pertanian dan perikanan dilaksanakan secara beriringan.

6.2 Lada

Lada adalah merupakan tanaman komersial yang bernilai antara abad ke-15 hingga abad ke-18 kerana pasaran bagi tanaman ini sangat meluas meliputi Eropah, India dan China. Faktor permintaan yang menggalakkan dengan harga yang tinggi telah menyebabkan ramai penduduk di Asia Tenggara mula mengusahakan tanaman lada. Misalnya penduduk di Borneo dan Sumatera. Bagi penanaman lada, faktor utama yang menjadi penentu ialah jenis tanah yang sesuai. Di Sumatera, tanaman lada adalah mengikut musim buah-buahan kerana tidak mempunyai satu pola teratur kemungkinan disebabkan oleh pengaruh musim seperti di Pantai Barat India. Namun secara jelasnya, lada dapat mengeluarkan hasil dua kali setahun dan kebiasanya tempat yang sesuai bagi tanaman ini ialah di tepi sungai atau anak sungai.[46]

Pada permulaannya, penanaman lada banyak dipengaruhi oleh pihak pemerintah dan kebiasaannya penanaman lada ini dilakukan dikawasan pedalaman. Sebagai contoh, di Banten, sultan telah memerintahkan bahawa setiap penduduk yang melebihi umur 16 tahun mesti menanam 500 pokok lada setahun dan pembesar-pembesar dipertugaskan mengutip hasilnya.[47] Seterusnya pertanian lada ini meningkat secara komersial dan terus mengalami perkembangan sehingga pertengahan abad ke-17.

Pada pertengahan abad ke-17, penanaman lada secara komersial tidak lagi menguntungkan penanamnya.[48] Hal ini demikian kerana pada tahun 1650 sehingga 1680-an, berlakunya kemelesetan ekonomi dunia yang secara langsung telah menyebabkan berlakunya kemerosotan dalam ekonomi negara-negara Asia Tenggara. Kemerosotan ekonomi yang berlaku di Asia tenggara ini telah menyebabkan masyarakat Asia Tenggara mula menanam semula tanaman keperluan harian mereka dan secara tidak rasmi menolak sistem pertanian yang berkembang sejak abad ke-15 dan mengabaikan permintaan pasaran dunia terhadap pengeluaran komersialnya, serta mengurangkan pergantungan mereka pada bahan makanan yang diimport dari negeri-negeri serantau yang lain.[49]

Pada abad ke-18 petani-petani China turut menceburkan diri dalam penanaman lada secara komersial. Petani-petani China telah menanam lada secara komersial di kawasan seperti di Pulau Pinang, Johor dan Brunei. Namun menjelang abad ke-19, akibat berlaku kemerosotan keuntungan hasil, petani-petani China ini tidak lagi mengusahakan tanaman lada secara komersial.

6.3 Tebu

Tebu dianggap sebagai satu tumbuhan asli di Asia Tenggara dan setelah diproses, ianya dapat menghasilkan gula. Walaupun begitu, pengeluaran gula bukanlah bermula di rantau ini sehinggalah abad ke-17 apabila satu kaedah penapisan diperkenalkan oleh orang China. Sebelumnya, penduduk tempatan masa itu tidak menganggap tebu sebagai satu tanaman yang penting disebabkan mereka tidak mengetahui hasil lumayan yang boleh diperolehi daripada tebu. Kaedah penapisan yang diperkenalkan tersebut telah membawa keuntungan kepada beberapa buah negara. Misalnya, gula yang dikeluarkan di Kampuchea, Jawa, Vietnam dan Siam telah dipasarkan sehingga ke Jepun dan China terutamanya.

Pada awal abad ke-19 pengenalan teknik penanaman yang lebih baik oleh pihak pemodal telah membolehkan tanaman tebu secara komersial berkembang secara pesat di Asia Tenggara. Sebagai contoh di Jawa, tebu merupakan satu tanaman yang diusahakan secara meluas menjelang tahun 1820-an setelah Belanda memperkenalkan sistem tanaman serahan secara paksa dan Tanaman Rodi Menjelang tahun 1820-an. Kawasan-kawasan yang diusahakan juga telah bertambah sebanyak 18% diantara tahun 1833 sehingga 1861 dan daya pengeluaran juga telah meningkat sebanyak 300% dalam jangka masa yang sama.[50]

6.0 Perdagangan

Perdagangan yang wujud di negara-negara Asia Tenggara antara abad ke-17 dan abad ke-19 secara tidak langsung memberi gambaran mengenai perkembangan sosiopolitik dan ekonomi sebelum berlakunya penjajahan oleh kuasa barat. Dalam hal ini, perbincangan akan memefokuskan kepada beberapa negara yang dilihat menunjukkan perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam perdagangan sehinggakan faktor perdagangan itu sendiri menjadi hal utama barat berusaha untuk menguasai Asia Tenggara.

Ayudhya yang merupakan ibu kota kerajaan Siam sejak tahun 1350/1, walaupun terletak di kawasan “pedalaman”, tetapi Ayudhya ditubuhkan dengan kefahaman pentingnya perdagangan kepada golongan pemerintah dan bukan untuk menguasai hasil golongan petani semata-mata.[51] Pada ketika ini telah wujud hubungan dagang dengan beberapa kuasa asing. Walau bagaimanapun, penglibatan mereka adalah sangat kecil dan tidak menimbulkan tekanan tekanan politik dan atau sosioekonomi ke atas kerajaan Siam. Hubungan Siam-China sepertimana yang digambarkan oleh orang Teochew sebenarnya bukan sahaja sekadar ikatan perdagangan,tetapi lebih daripada itu.[52]

Pada abad ke-19, masyarakat Siam telah mengalami perubahan yang besar disebabkan faktor luaran seperti kemasukan buruh Cina dan perubahan sistem cukai. Perhubungan perniagaan antara Ayudhya dan wangsa Manchu yang dilakukan oleh Raja Thaksin pada tahun 1776 hingga 1877 bagi mendapat bahan-bahan binaan, alat senjata dan pekerja-pekerja mahir untuk ditukarkan dengan beras dan kayu[53] untuk membangunkan Siam dengan menggunakan perdagangan dan buruh dari China. Secara tidak langsung, rakyat telah terlibat sebagai pengeluar barangan untuk dieksport.

Kemunculan Ayudhya ini menunjukkan corak perdagangan baru yang lebih menumpukan hasil pengeluaran tempatan selain kemudahan perniagaan yang ditawarkan oleh rantau ini sejak abad ketujuh. Ayudhya bukan sahaja muncul sebagai pelabuhan, malah sebagai pusat pengeluaran kawasan pedalaman seperti hasil hutan dari Kemboja, Laos, Lanna Thai dan Pagan.[54] Pelabuhan-pelabuhan Siam merupakan tempat-tempat penting kerana kapal Portugis yang hendak belayar ke China dapat berteduh pada musim angin monsun timur laut apabila Laut Chian Selatan menjadi ganas.[55]

Dari sudut hubungan luar, Siam juga berdagang dengan pusat kuasa lain sepeti Segenting Kra dan Nusantara. Ayudhya direkod mengimport barang-barang seperti kain dari Gujerat dan lada dari Sumatera dan menjualnya kepada pelabuhan-pelabuhan di pantai Tanah Besar. Ayudhya merupakan pusat mengumpul bahan-bahan pengeluaran seperti beras, bahan makanan , gading, lac dan sebagainya.[56]

Seterusnya Filipina yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari China, Jepun, Siam dan Kemboja. Filipina berperanan menjadi pusat pengumpulan barang dagangan sebagai contohnya, segala hasil sutera dan rempah ratus akan dikumpulkan terlebih dahulu sebelum dikirimkan ke Acapulco. Filipina bertindak sebagai gerbang perdagangan Amerika-Sepanyol menyebabkan pengaliran wang Amerika ke Filipina. Kapal-kapal Sepanyol dari pelabuhan Acapulco di Mexico membawa ke Manila wang dan jongkong perak bagi membolehkan mereka membeli kain sutera, baldu, tembikar, gangsa-gangsa dan batu permata dari China.[57]

Disebabkan Filipina tidak mempunyai rempah atau emas dan perak, adalah perlu bagi Filipina untuk mengadakan perdagangan dengan negeri-negeri China dan Jepun untuk dapat berdiri sendiri. Ekonomi Filipina adalah bergantung kepada kapal-kapal di Manila yang secara tidak langsung membolehkan Manila mempunyai pelabuhan-pelabuahan cantik dan yang berhampiran dengan kepuk padi di Luzon Tengah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pusat perdagangan pulau-pulau.[58]

7.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, sebelum kedatangan penjajah. Asia Tenggara telah mempunyai sistem ekonominya sendiri. Sistem ekonomi bercorak tradisi ini kemudiannya bertukar kepada komersial dan lebih menjadi maju. Hasil-hasil yang diusahakan adalah seperti padi, lada hitam, tebu, kapas, bunga cengkih dan sebagainya. Tetapi kebanyakan daripada sistem ekonomi ini adalah bersifat tradisional dan terikat dengan pemerintah. Terdapat beberapa cukai yang dikenakan oleh pemerintah dalam sistem ekonomi tradisional ini. Hasil bumi yang banyak di Asia Tenggara telah mendatangkan banyak manfaat kepada kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara.

Hal ini sekaligus menarik minat kuasa barat ke Asia Tenggara. Akibat daripada keadaan politik dalam sesebuah kerajaan tidak stabil telah menyebabkan kuasa barat berpeluang campur tangan dalam pentadbiran yang bermatlamatkan untuk mengaut kekayaan ekonomi di Asia Tenggara semata-mata. Seperti yang berlaku di Vietnam, penaklukan Perancis ke atas Vietnam dikatakan berpunca daripada kedudukan sosiopolitik raja-raja pemerintah Dinasti Nguyen yang tidak begitu kukuh. Secara tidak langsung pihak Barat telah menjajah kerajan-kerajaan di Asia Tenggara kecuali Thailand. Pada abad ke-19 merupakan kemuncak perluasan kuasa barat sekaligus merubah corak sistem ekonomi di Asia Tenggara.

BIBLIOGRAFI

Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Kuala Terengganu: Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd, 1991.

Abdul Rahman Abdullah, Sejarah Tamadun Asia Tenggara Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Abdullah Zakariah Ghazali, Azharudin Mohamed Dali, Azhar Mad Aros dan Suffian Mansor, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan Dan Asia Timur 1800-1963, Kuala Lumpur: Fajar Bakti sdn.Bhd, 2000.

D.G.E Hall, Sejarah Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1979.

Diedit oleh David G. Marr dan A.C Milner, Southeast Asia In the 9th to 14th Centuries, Singapore: Institue of Southeast Asian Studies Singapore, 1986.

D.J.M Tate, Sejarah Pembentukan Asia Tenggara Jilid ke-2, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1987.

Tan Pek leng, Sejarah Asia Tenggara Moden, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Jarak Jauh USM, 2004.

Donald W. Fryer PH.D, Asia Tenggara Yang Sedang Membangun Suatu Kajian Mengenai Perkembangan dan Sebaliknya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979.

George Mcturnan Kahin, Kerajaan dan Politik Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.

Kobkua Suwannathat Pian, Sejarah Thai Zaman Bangkok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.

Willian Marsden, (pentj), A.S Nasution, Mahyuddin Mendim, (edit) Ewa Panjaitan, Sejarah Sumatera, Bandung: Remaja Rosdakarya Offset, 1999.



[1] D.G.E Hall, Sejarah Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1979, Hlm., 3.

[2] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Kuala Terengganu: Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd, 1991, Hlm., 13.

[3] Tan Pek Leng, Sejarah Asia Tenggara Moden, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Jarak Jauh USM, 2004, Hlm., 63.

[4] Diedit oleh David G. Marr dan A.C Milner, Southeast Asia In the 9th to 14th Centuries, Singapore: Institue of Southeast Asian Studies Singapore, 1986, Hlm., 330.

[5] Donald W. Fryer PH.D, Asia Tenggara Yang Sedang Membangun Suatu Kajian Mengenai Perkembangan dan Sebaliknya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979, Hlm., 101.

[6] Tan Pek leng, Sejarah Asia Tenggara Moden, Hlm., 60.

[7] Ibid., Hlm., 60.

[8] Di bawah sistem pemerintahan beraja di bawah Dinasti Konbaung, athi merupakan golongan yang berada di hierarki terbawah iaitu merupakan golongan pembesar tradisional.

[9] Golongan Sangha ini dikaitkan dengan pengaruh Buddha. Iaitu merupakan golongan komuniti sami-sami Buddha. Golongan ini dianggap guru, atau ketua dalam pelbagai upacara antaranya perkahwinan,kematian, pertabalan diraja, pembakaran mayat, serta permintaan hajat. Kedudukan mereka ini lebih kepada kekuatan spiritual. Biara yang dinaungi oleh mereka adalah dibiayai oleh pemerintah dan menjadi alat perpaduan bagi golongan memerintah dengan golongan diperintah.

[10] Tan Pek Leng, Sejarah Asia Tenggara Moden, Hlm., 60.

[11] D.J.M Tate, Sejarah Pembentukan Asia Tenggara Jilid ke-2, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1987, Hlm., 828.

[12] Donald W. Fryer PH. D, Asia Tenggara Yang Sedang Membangun Suatu Kajian Mengenai Perkembangan dan Sebaliknya, Hlm., 202.

[13] D.J.M Tate, Sejarah Pembentukan Asia Tenggara jilid ke-2, Hlm., 156.

[14] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, 1991, Hlm., 270.

[15] Abdullah Zakariah Ghazali, Azharudin Mohamed Dali, Azhar Mad Aros dan Suffian Mansor, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan Dan Asia Timur 1800-1963, Kuala Lumpur: Fajar Bakti sdn.Bhd, 2000, Hlm., 129.

[16] D.J.M Tate, Sejarah Pembentukan Asia Tenggara jilid ke-2, Hlm., 540.

[17] Abdullah Zakaria, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963, Hlm., 47.

[18] George Mcturnan Kahin, Kerajaan dan Politik Asia Tenggara, Hlm., 890.

[19] D.J.M Tate, Sejarah Pembentukan Asia Tenggara Jilid ke-2, Hlm., 560.

[20] Abdullah Zakaria, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963, Hlm., 134.

[21] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Hlm., 40.

[22] Ywa thugyi merupakan seorang ketua kampung dilantik oleh raja berasaskan pada keturunan dan harta di Burma. Mereka bertugas dengan pihak pembesar dan raja tidak akan dibayar gaji, sebaliknya merka berhak mengambil sebahagian daripada cukai yang mereka dapat kutip daripada para petani

[23] D. G. E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, Hlm., 163.

[24] Reseau hydraulique dapat menampung air hujan yang banyak walaupun berlaku musim hujan yang lebat. Sistem ini juga dapat mengatasi masalah kekurangan air semasa musim kemarau.

[25] Songha ahíla merupakan organisasi sami yang ditubuhkan dalam instituís agama Hindu Buddha.

[26] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, Hlm., 28.

[27] Ibid., Hlm., 29.

[28] Pura- kywan merupakan golongan yang terikat dengan insitusi agama seperti sami.

[29] Abdul Rahman Abdullah, Sejarah Tamadun Asia Tenggara Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2000. hlm 68.

[30] Ibid., Hlm., 68.

[31] Willian Marsden, (pentj), A.S Nasution, Mahyuddin Mendim, (edit) Ewa Panjaitan, Sejarah Sumatera, Hlm., 92.

[32] Ibid., Hlm., 92.

[33] Almudan sama erti seperti kywan-to. Istilah Almudan diubah pada sekitar abad ke18 sehingga 19. almudan membawa maksud rakyat yang menjalankan tugas-tugas yang khusus untuk raja dan golongan yang terikat dengan kerajaan mereka berhak mengerjakan tanah raja.

[34] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Hlm., 35.

[35] Abdullah Zakariah Ghazali, Azharudin Mohamed Dali, Azhar Mad Aros dan Suffian Mansor, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan Dan Asia Timur 1800-1963, Hlm., 134.

[36] Willian Marsden, (pentj), A.S Nasution, Mahyuddin Mendim, (edit) Ewa Panjaitan, Sejarah Sumatera, Hlm., 92.

[37] Masyarakat pertanian sawah tetap dan berpindah boleh disamakan dengan masyarakat pusat dan pinggir.

[38] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Hlm., 56.

[39] Ibid., Hlm., 56.

[40] Ibid., Hlm., 74.

[41] D. G. E Hall, Sejarah Asia Tenggara, Hlm., 933.

[42] Ibid., Hlm., 933.

[43] Kobkua Suwannathat Pian, Sejarah Thai Zaman Bangkok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, Hlm., 146.

[44] Abdullah Zakaria Ghazali, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Asia Timur 1800-1963, Hlm., 133.

[45] Gilbert Khoo B.A (Hons), Asia Dalam Perubahan, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books, 1978, Hlm., 458.

[46] Ibid., Hlm., 92.

[47] Tan Pek leng, Sejarah Asia Tenggara Moden, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Jarak Jauh USM, 2004, Hlm., 63.

[48] Kobkua Suwannathat Pian, Asia Tenggara: Hubungan Tradisional Serantau, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, Hlm., 117.

[49] Ibid., Hlm., 116.

[50] D.J.M. Tate, Sejarah Pembentukan Asia Tenggara: Perubahan Ekonomi dan Sosial Jilid Kedua, Hlm., 64.

[51] Kobkua Suwananthat Pian, Asia Tenggara: Hubungan Tradisisonal Serantau, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, Hlm., 13.

[52] Abdullah Zakaria Ghazali, Azharudin Mohd.Dali, Azhar Hj. Mad Aros & Suffian Mansor, Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963, Hlm., 165.

[53] Abu Talib Ahmad, Sejarah Asia Tenggara Asia Tenggara, 1991, Hlm., 16.

[54] Kobkua Suwananthat Pian, Asia Tenggara: Hubungan Tradisisonal Serantau, Hlm., 46.

[55] D.G.E Hall, Sejarah Asia Tenggara. Hlm., 294.

[56] Ibid. Hlm., 47.

[57] D.G.E Hall, Sejarah Asia Tenggara, 1979, Hlm., 300.

[58] Ibid., Hlm., 300.

No comments:

Post a Comment