Website counter

Saturday, October 15, 2011

Faktor Kejatuahan Turki Uthmaniyah

PENDAHULUAN

Kerajaan Turki Uthmaniyyah di asaskan oleh suku bangsa pengembara yang berasal dari wilayah Asia Tengah. Sulaiman Syah telah memimpin sukunya meyelamatkan diri dari serangan bangsa Mongol. Mereka telah pergi ke arah barat meminta perlindungan daripada Jalal ad-Din.[1] Selepas kematian Sulaiman, anaknya bernama Ertoghul telah mengambil alih pemerintahan ayahnya dan setelah kematian Ertoghul, pemerintahan telah di wariskan kepada puteranya Osman.[2] Bermula pada saat inilah wujudnya sebuah kerajaan di namakan Kerajaan Uthmaniyyah. Kerajaan ini mendapat nama sempena daripada nama ketua Turki iaitu Osman yang di anggap perintis pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah.

Namun, menjelang abad ke-17, empayar Turki Uthmaniyyah ini telah mengalami zaman kemerosotan sejak peringkat terakhir pemerintahan Sultan Sulaiman Agung.[3] Kejatuhan empayar Turki Uthamaniyyah ini berlaku secara berperingkat dan mengalami proses yang panjang. Banyak faktor yang di kaitkan dengan kejatuhan empayar tersebut sama ada dari faktor masalah dalaman negara itu sendiri mahupun faktor masalah dari luar. Dalam faktor-faktor tersebut merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi.[4] Jatuhnya empayar Uthmaniyyah telah membawa beberapa kesan terhadap negara umat Islam. Dalam esei ini, penekanan adalah kepada faktor dalaman yang membawa kejatuhan empayar tersebut.

FAKTOR DALAMAN

Politik

Faktor politik merupakan satu penyebab utama menyebabkan kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Kebergantungan kepada politik menjadi rentetan kepada kejatuhan kerajaan tersebut. Kelemahan pemerintah dan pentadbiran merupakan faktor dalaman yang serius membawa kepada kemerosotan empayar Turki Uthmaniyyah.

Faktor pertama ialah kelemahan peribadi sultan yang memerintah. Pada abad ke-18, sultan yang dilantik terdiri daripada mereka yang mempunyai peribadi yang lemah seperti zalim, berlagak dengan kemewahan dan hanya menurut hawa nafsu. Pada waktu ini kuasa sultan banyak dipengahruhi oleh kaum wanita. Misalnya, Sultan Salim II yang banyak menghabiskan masa-masanya di istana berdampingan dengan golongan harem.[5] Kewujudan harem disebabkan keturunan pewaris mempunyai kuasa yang berterusan dan mereka mendapat peluang untuk menjaga anak-anak lelaki sultan yang belum dewasa sehingga mereka mencapai umur 14 hingga 16 tahun.[6] Keadaan serba mewah di istana telah menjatuhkan akhlak baginda di mana baginda sentiasa mabuk dan kurang berfikir di sebabkan terlalu banyak pergaulannya bersama dayang-dayang. Begitu juga waris beliau yang masih muda telah dilantik menjadi sultan iaitu Murad III yang mengikuti jejak langkah ayahnya berakhlak rendah dan di pengahruhi oleh wanita. Kelemahan sultan telah menyebabkan golongan harem mengambil kesempatan untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan dan secara lansung turut mengawalnya.[7]

Zaman pemerintahan sultan Murad III merupakan satu zaman kekuasaan Kesultanan Harem di mana golongan wanita tersebut mempengahruhi perlantikan sultan dan turut mengawal pentadbiran empayar tersebut.[8] Sultan Murad III, telah di pengahruhi oleh ibunya, Sultanah Nur Banu, dan isterinya yang pertama iaitu Sofia yang merupakan wanita berbangsa Itali. Sultan telah menjadi alat bagi mereka berdua dan perkara yang semakin membimbangkan apabila isteri-isteri raja yang mempunyai anak berusaha untuk menjadikan putera mereka dilantik menjadi sultan. Hal demikian inilah yang menyebabkan berlaku kekacauan dalam istana bagi merebut jawatan sultan.[9] Sultan Ibrahim I juga tergolong dalam sultan yang di pengahruhi oleh harem bilamana baginda telah bertindak kejam membunuh wazirnya yang banyak berjasa iaitu Kara Mustafa setelah dihasut oleh wanita istana.[10] Sultan Murad III pula bertindak zalim dengan membunuh lima orang saudaranya supaya tampuk pemerintahannya dapat dipegang tanpa sebarang gangguan. Dengan cara tersebut maka persaingan merebut jawatan sultan dapat di kurangkan.[11]

Sultan-sultan yang rakus mengikut hawa nafsu telah berkahwin dengan bangsa-bangsa yang mereka tawan menyebabkan ramai sultan tersebut bukan lagi berdarah Turki asli. Mereka merupakan darah campuran hasil perkahwinan sultan dengan bangsa yang di tawan yang kebanyakanya adalah beragama Kristian. Perkara ini menyebabkan mereka tidak lagi berfahaman dan menjadi Islam sejati dengan hanya berfoya-foya sahaja. Segala tugas pentadbiran telah diserahkan kepada wazir-wazir. Lebih menyedihkan apabila mereka akhirnya digulingkan oleh wazir-wazir yang telah belot.[12] Manakala isteri-isteri sultan yang beragama Kristian pula telah menjadi talibarut orang Eropah. Semangat dan akhlak sultan waktu itu tidak lagi seperti sultan-sultan Turki Uthmaniyyah di zaman kegemilangan menyebabkan korapsi berlaku secara berleluasa.

Masalah birokrasi yang timbul menyebabkan empayar ini semakin mengalami kemerosotan. Akibat tidak mengenali satu sistem pewarisan kuasa secara teratur menyebabkan perebutan kuasa sering berlaku apabila seorang sultan itu mangkat. Perkara ini terjadi di sebabkan tidak ada satu sistem teratur untuk menamakan pengganti mewarisi takhta. Maka dalam hal ini, hanya mereka yang kuat sahaja akan layak merebut peluang menaiki takhta. Sistem pewarisan takhta melalui amalan syura tidak lagi di ikuti oleh mereka.[13] Seperti yang berlaku kepada Sultan Murad III yang telah melenyapkan saudara lelakinya yang menjadi pesaing perebutan takhta dengan cara pembunuhan.[14] Perkara ini menjadi semakin buruk apabila perebutan kuasa di kalangan isteri dan gundik-gundik sultan yang ramai telah bergaduh sesama mereka untuk melantik puteranya sebagai sultan. Justeru, hal seperti ini telah menyebabkan keadaan politik empayar tersebut semakin berada dalam keadaan tidak stabil.

Masalah ini menjadi semakin serius apabila sesuatu jawatan yang di sandang tidak lagi berdasarkan kepada tahap kebolehan seseorang, malahan kejujuran dan kebolehan tidak lagi menjadi faktor utama menyandang sesuatu jawatan. Hal tersebut kerana mereka telah di kaburi oleh korapsi yang semakin berleluasa. Bagi golongan yang kaya sememangnya memberikan satu keistimewaan kepada mereka kerana membolehkan mereka membeli jawatan kerajaan dan pangkat demi untuk menjaga kepentingan. Keadaan sebegini telah menyebabkan empayar tersebut semakin parah manakala sultan sudah tidak lagi di hormati oleh rakyat.[15] Lebih-lebih lagi kerana sultan-sultan yang dilantik tidak mempunyai pengalaman dalam soal pemerintahan.

Sosial

Berlakunya beberapa siri pemberontakan telah menyebabkan empayar Turki Uthmaniyyah ini menjadi semakin lemah dan merosot. Misalnya pemberontakan yang di lakukan oleh seorang pemimpin Mamalik bernama Ali Beg menuntut supaya negeri Mesir di lepaskan dari pengaruh kerajaan Turki Uthmaniyyah.[16] Impiannya akhirnya tercapai apabila berjaya menakluk Ghaza, Nablus, Quds, Jafa dan Damaskus yang telah hampir ke Anatolia tetapi tidak berjaya. Setelah mencapai kejayaan tersebut beliau telah melantik dirinya sebagai sultan dan memakai gelaran ‘Sultan Mesir dan Hakim Dua Lautan’. Beliau juga telah mencipta wang sendiri dan namanya disebut dalam khutbah Jumaat.[17]

Pemberontakan juga berlaku di kalangan wazir-wazir istana. Pemberontakan berlaku di mana apabila Kara Mustafa yang merupakan seorang wazir besar telah di singkirkan. Beliau diganti oleh Mustafa Koprulu.[18] Pada waktu pemerintahan sultan Muhamad V, pemberontakan banyak berlaku di serata tempat di bahagian wilayah seperti di Yaman, Kurdistan, Balkan, Bulgaria dan lain-lain wilayah untuk menuntut kemerdekaan daripada Turki. Pemberontakan berlaku apabila pengaruh nasionalisme yang di bawa oleh Eropah diserapkan melalui golongan angkatan muda. Tujuan pemberontakan tersebut untuk membersihkan secara habis-habisan bangsa Turki.

Selain beberapa siri pemberontakan tersebut, faktor ketenteraan yang lemah juga semakin menggugat empayar tersebut. Kelemahan ketenteraan ini berlaku di sebabkan oleh kelemahan pemerintahan. Perkara ini dapat di buktikan apabila sultan yang di lantik mengetuai angkatan perang dan bertanggungjawab dalam merancang strategi adalah merupakan golongan yang berperibadi lemah dan tidak berpengalaman. Sewaktu pemerintahan Sultan Salim II, baginda telah menghapuskan amalan tradisi lama yang mengharuskan calon sultan untuk menjalani satu ekspedisi tentera untuk memperolehi pengalaman, perlu mempunyai pengalaman sebagai gabenor di salah satu kawasan dan mempelajari pendidikan khas dalam hal pentadbiran.[19] Syarat-syarat ini bertujuan untuk melahirkan seorang pemerintah yang benar-benar layak dan berwibawa untuk memimpin.

Selain daripada itu, masalah disiplin telah luntur di kalangan askar Janissari. Mereka mula mengamalkan rasuah dan berjuang hanya untuk mendapatkan harta rampasan perang sahaja. Perkara sebegini telah mempengahruhi pemikiran mereka dan melemahkan semangat perjuangan untuk mempertahankan negara. Ramai di kalangan askar Janissari ini telah mula tidak menurut arahan kerana mereka dikuasai keuntungan imbuhan harta rampasan. Hal demikian telah menyebabkan kekalahan berpihak kepada mereka. Sebagai contoh, sewaktu zaman Sultan Osman II, peperangan yang berlaku antara Turki dan Poland di mana berpunca daripada faktor dalaman iaitu tentera dari golongan Inkisyariah yang tidak mematuhi rancangan dan membawa mereka kepada kekalahan.[20]

Sikap tentera Turki yang tidak mahu menerima pembaharuan juga adalah faktor menerima kekalahan. Mereka mengamalkan fahaman ortodoks dan tidak mahu menerima segala teknologi baru. Selain itu, faktor kewangan menampung kos perbelanjaan perang yang tidak mencukupi juga menyebabkan teknologi dalam ketenteraan tidak dapat berkembang. Hal ini berlaku kerana, wang yang dikumpul untuk menubuhkan tentera pusat telah di tukar kepada sumber pendapatan kelas atau kelompok pelabur kerana ‘sijil-sijil bayar’ Janissari telah bertukar menjadi satu aset pelaburan.[21]

Ekonomi

Bidang pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi kurang diberikan perhatian oleh pemerintah. Usaha untuk memajukanya tidak dilakukan dan menyebabkan para petani tidak lagi berminat untuk menjalankan kegiatan pertanian. Di tambah pula mereka jauh ketinggalan disebabkan faktor kekurangan teknologi yang lebih maju. Selain itu, cukai yang tinggi di kenakan terhadap tanah pertanian oleh tuan-tuan tanah yang telah bertindak membolot kawasan tanah telah mendesak para petani untuk berhijrah ke kawasan bandar dan secara langsung turut meninggalkan pekerjaan petani.[22] Akibat pertanian tidak dijalankan, mengakibatkan sumber pendapatan ekonomi negara turut terjejas kerana ketiadaan sumber pengeluaran bahan yang dapat menyumbang kepada peningkatan hasil ekonomi negara.

Berikutan hal tersebut, kerajaan tidak dapat lagi menampung keperluan negara yang banyak dialirkan kepada kos pembangunan negara dan juga kos peperangan. Perkara ini mengakibatkan kerajaan terpaksa melakukan pinjaman daripada pihak pemodal Inggeris dan Perancis. Namun walaubagaimana pun, masalah ini tidak dapat juga di selesaikan malahan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang disebabkan pengeluaran dalam negeri yang semakin berkurang manakala perbelanjaan semakin bertambah.[23] Hal demikian secara tidak langsung telah menjerat empayar tersebut masuk ke dalam penjajahan barat kerana bergantung kepada modal dari barat. Natijahnya, empayar Turki akhirnya terpaksa tunduk kepada kemahuan barat.

FAKTOR LUARAN

Berikutan masalah dalaman yang wujud dalam empayar Turki Uthmaniyyah menyebabkan munculnya kuasa-kuasa luar yang turut mengambil kesempatan di atas kelemahan kerajaan tersebut. Dalam aspek ekonomi, kemunculan ramai golongan kapitalis Eropah telah melemahkan sistem ekonomi dan perdagangan di Turki. Kemasukan kapitalis tersebut di wilayah juga telah mengakibatkan berlakunya inflasi. Mereka secara tidak langsung turut mendominasi bidang perdagangan. Kerjasama bangsa Eropah dalam bidang perniagaan sesama mereka dan saling memberikan modal telah membuka peluang mereka untuk mewujudkan satu jenis industri baru dalam sektor logam dan tekstil.[24] Dengan adanya industri tersebut, mereka harus mencari pasaran baru bagi mengeksport barangan yang di hasilkan.

Oleh itu, mereka telah mula bersaing dengan dengan Turki dalam merebut kawasan perdagangan. Keadaan Turki yang kurang stabil menyebabkan tidak dapat meneruskan persaingan dan telah jauh ketinggalan. Di Eropah berlaku peningkatan harga bahan mentah akibat kesan permintaan yang semakin meningkat. Para pedagang Eropah yang bersikap bijak telah bertindak membeli bahan-bahan mentah dari Turki dan membawanya pulang ke Eropah untuk di hasilkan pelbagai barangan siap. Setelah itu, mereka akan memasarkan semula barangan yang telah siap kepada wilayah Turki dan memberikan diskaun menyaingi produk yang sama di hasilkan oleh Turki.[25] Cara sebegini, semestinya orang ramai akan membeli barangan keluaran Eropah tersebut kerana jauh lebih murah. Justeru, ianya telah menghancurkan sistem ekonomi tradisional penduduk Turki.

Akibat daripada kekurangan bahan mentah yang telah banyak dibeli oleh pedagang Eropah mengakibatkan negara Turki sendiri telah kekurangan bahan mentah untuk industri negara. Kesanya ialah berlaku inflasi selama lebih dua abad. Nilai matawang negara turut mengalami penurunan yang drastik dan bahan makanan berada pada tahap harga yang tinggi. Pengaruh ekonomi Eropah ini bukan sahaja menjatuhkan para petani, malahan turut mempengahruhi jumlah pendapatan dan gaji para pegawai kerajaan.[26]

Persaingan dalam perdagangan dengan negara-negara Eropah turut menyebabkan ekonomi empayar tersebut menjadi lemah. Kerajaan Turki Uthmaniyyah terpaksa bersaing dengan Portugis untuk merebut kawasan perdaganagn di perairan India. Keadaan menjadi semakin tenat apabila munculnya dua kuasa besar yang lain iaitu Inggeris dan Belanda yang seterusnya akhirnya telah mendominasi jalan perdagangan di perairan India dan menguasai perdagangan di Asia. Manakala perdagangan di Laut Hitam pula telah di kuasai oleh kuasa Rusia.[27] Persaingan demi persaingan semakin membawa kemerosotan kepada empayar tersebut. Sikap Turki yang hanya mengimport barang jadi dan mengeksport bahan mentah sebenarnya hanya membawa kejatuhan ekonomi negara tersebut.

Petanda kemelesetan ekonomi ini telah membawa empayar tersebut untuk mengadakan beberapa siri perjanjian dengan beberapa kuasa luar yang pada dasarnya hanya semakin memburukan keadaan empayar tersebut. Satu perubahan telah dilakukan apabila empayar tersebut bersetuju menjadi sekutu kuasa-kuasa Eropah. Walhal jika dilihat kuasa Eropah ini bersetuju namun ada kepentingan lain di sebaliknya. Terdapat beberapa pakatan yang berlaku antara negara Eropah seperti Perancis, Belanda, Britain Russia.[28] Misalnya semasa berlakunya Perang Crimea di mana Perancis, Britain dan Turki telah berpakat untuk menentang Tsar Russia.

Pakatan yang dibuat oleh Turki telah membawa kepada beberapa siri perjanjian. Perjanjian pertama di meterai ialah perjanjian Karlowitz, 1699 yang menyebabkan empayar tersebut terpaksa menyerahkan sebahagian kuasa wilayahnya kepada kuasa Eropah. Menerusi perjanjian tersebut kawasan seperti Hungry dan Translivia diserahkan kepada imperium Habsburg, Dalmatia, Morea dan kepulauan Aegia kepada Venesia dan Azov juga wilayah Timur hingga Dnister diserah kepada Rusia.[29] Untuk menebus kembali wilayah yang hilang, empayar Turki telah melakukan serangan namun mengalami kekalahan. Kegagalan tersebut telah membawa termeterainya perjanjian kedua iaitu pada 26 Ogos 1718 bagi mengakhiri peperangan tersebut. Seperti dalam perjanjian pertama, empayar Turki turut kehilangan beberapa wilayahnya lagi iaitu, Belgrade dan Senendria dan beberapa wilayah yang diserahkan kepada Habsburg.[30]

KESAN-KESAN

Di sebabkan pelbagai masalah yang timbul samada faktor dari dalam mahupun luar telah menyebabkan kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak dapat bertahan dan akhirnya telah jatuh. Kejatuhan kerajaan ini telah membawa kesan yang buruk terhadap negara Turki itu sendiri dan terhadap negara-negara Islam yang lain. Dasar-dasar Islam telah mula tidak diamalkan manakala perkara yang terlarang dalam Islam pula mula bermaharajalela.

Di Turki, selepas jatuhan empayar Uthmaniyyah pentadbirannya telah diambil alih oleh beberapa orang pemerintahan yang cuba memodenkan dan mewujudkan sebuah negara ala-barat. Pelbagai perubahan yang di lakukan yang menjurus kepada bentuk sekular. Antara tokoh yang terlibat ialah Mustafa Kamal yang merupakan seorang Dunmah (Dunama) iaitu bangsa Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam bagi merosakkannya dari dalam.[31]

Semasa pemerintahan dipegang oleh beliau, banyak perubahan telah di lakukan yang pada dasarnya telah melenyapkan nilai-nilai Islam. Pembaharuan yang di lakukan ialah dengan menghapuskan beberapa jawatan penting. Mustafa telah menghapuskan sistem khalifah yang menjadi teras kekuatan umat Islam.[32] Dengan terhapusnya sistem khalifah yang telah di amalkan sejak berzaman membawa kesan yang buruk di mana semakin melemahkan orang-orang Islam kerana tidak mempunyai seorang pemimpin untuk membimbing. Bukan sahaja jawatan khalifah yang di mansuhkan malahan jawatan Shaikh al Islam turut di hapuskan. Pembaharuan dilakukan turut memberi kesan terhadap bidang pendidikan di mana pengajaran berkaitan agama dihalang. Dalam bidang pendidikan, beliau telah menutup sekolah-sekolah agama seperti madrasah dan maktab. Beliau juga memansuhkan Kementerian Evkaf yang mengendalikan harta-harta wakaf. Kesan penghapusan kementerian tersebut meyebabkan Jabatan Perdana Menteri telah mengambil alih hal berkenaan harta wakaf yang mengikut sistem sekular.

Dalam bidang sosial, kesan kemodenan dilakukan telah menyebabkan menghalalkan perkara yang berdosa di sisi Islam. Antaranya beliau telah menggalakan kaum wanita membuka aurat dengan mengenakan pakaian secara barat yang kebanyakannya adalah mendedahkan aurat. Manakala bagi kaum lelaki, mereka di larang memakai topi fez Mahmud ataupun sebarang topi yang tidak bertepi dengan memperkenalkan undang-undang topi.[33]Apa yang dikatakan Mustafa ialah bagi mentamadunkan diri sama seperti barat.Beliau juga bertindak menggantikan Taqwim Islam (calendar Hijrah) kepada Kalendar Gregorian (calendar Kristian).[34]

Beliau juga telah melakukan satu reformasi bahasa. Mustafa telah mengeluarkan satu perintah di mana abjad barat perlu di gunakan menggantikan tulisan Turki. Tulisan rumi di wajibkan dan huruf-huruf Al-Quran (Arab) di haramkan. Alasannya ialah untuk mentamadunkan bahasa Turki agar setanding dengan bahasa Eropah. Terjemahan Al-Quran sahaja di benarkan membacanya dalam bahasa Turki. Azan juga turut di perintah di tukar ke bahasa Turki. Manakala status masjid Aya Sofea pula telah di jadikan museum.[35] Kesan yang timbul apabila bahasa Arab seperti dalam al-Quran diharamkan akan menyebabkan generasi akan datang tidak akan dapat membaca al-Quran.

Manakala di Mesir pula, kesan perubahan telah di lakukan oleh Muhammad Ali Pasha yang di katakan sebagai bapa kemodenan Mesir. Setelah kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah maka Mesir yang menjadi salah sebuah negeri naungannya, telah terpisah seperti negeri naungan Turki yang lain. Seperti di Turki, pembaharuan telah banyak di lakukan oleh Muhammad Ali Pasha yang membawa kesan yang negative kepada umat Islam. Antaranya ialah dilihat dalam aspek sosial. Beliau telah menjadikan Perancis sebagai model perubahan. Kesan pembaharuan beliau menyebabkan ramai ulama yang bertanggungjawab telah disingkirkan. Bagi mengelakkan penentangan daripada ulama, maka beliau menjalankan ‘dasar pecah dan perintah’ di mana beliau telah memberikan jumlah gaji yang besar kepada golongan yang menyokongnya manakala bertindak membuang daerah ulama yang bertanggungjawab seperti Umar Makram dan Shaikh Ahmad al-Tantawi. Beliau juga sangat menitikberatkan soal ketenteraan di mana beliau telah membawa tenaga pengajar dari luar khususnya Perancis bagi memberikan latihan ketenteraan.

Manakala dalam bidang ekonomi, beliau telah memperbaiki sistem perairan dan memperkenalkan sejenis tanaman kontan iaitu kapas. Hal ini bertujuan menaikan ekonomi Mesir. Beliau juga telah melaksanakan dasar monopoli dalam pertanian. Kesannya orang bawahan seperti petani telah ditindas. Dasar monopoli ini hanya membawa kesan kerugian kepada kaum petani tetapi memberi keuntungan negara kerana dapat mengaut keuntungan yang besar. Beliau telah menjalankan dasar perluasan kuasa namun tidak berjaya apabila British mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu perjanjian di kenali sebagai Perjanjian London di mana Muhammad Ali yang telah ditewaskan dipaksa untuk kembali semula ke Mesir.[36]

KESIMPULAN

Berdasarkan telah apa yang dinyatakan, dapat dikatakan bahawa setelah kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah negara-negara Islam yang berada di bawah naungan Turki telah terpisah dan jauh dari mengamalkan ajaran Islam sebenar. Kelemahan dalaman Turki telah menyebabkan negara-negara lain khususnya Eropah mengambil peluang untuk menghancurkan negara tersebut. Kejatuhan empayar yang pernah gemilang pada suatu ketika dulu adalah disebabkan kelalaian hal keduniaan tanpa memikirkan soal pembangunan kerohanian. Munculnya beberapa orang tokoh seperti Mustafa Kamal dan Muhammad Ali Pasha semakin membawa negara-negara Islam terbabit lebih ke arah sekularisme. Kesanya ajaran Islam semakin ditinggalkan oleh negara-negara Islam dan dapat dilihat hingga masa kini bahawa ajaran sekularisme telah meresap dan meracuni setiap umat Islam.

BIBLIOGRAFI

Di perolehi daripada: http://ms.wikipedia.org/wiki/Empayar Uthmaniyyah. pada 21 Feb 2009.

Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Shah Alam: Karisama Publications Sdn. Bhd.

Hj. Dasuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Iram Lapidus (1999). Sejarah Sosial Umat Islam. Jakarta: Pt. Raja Grafinda Persada.

Lois A. Aroin dan Richard P. Mitchell, Muhammad Redzuan Othman (pent) (1991). Timur Tengah dan Afrika Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 59.

Marshall G.S. Hodgson, Razali Masrun (pent) (2004). Kebangkitan Islam-Gambaran dan Sejarah dalam Tamadun Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

M.G.S Hodgson, Mohd Razali Masrun (pent) (2004). Kebangkitan Islam, Gambaran dan Sejarah Dalam Tamadun Dunia Edisi Empayar Serbuk Letupan dan Zaman Moden Jilid 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Dr. Hamka (1997). Sejarah Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.

Syafiq A. Mughni (1996). Sejarah Kebudayaan Islam Di kawasan Turki. Surabaya: IAIN Sunan Ampel.



[1] Syafiq A. Mughni (1996). Sejarah Kebudayaan Islam Di kawasan Turki. Surabaya: IAIN Sunan Ampel. Hlm. 51.

[2] Hj. Dasuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 385-386.

[3] Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Shah Alam: Karisama Publications Sdn. Bhd.

Hlm. 3.

[4] Syafiq A. Mughni (1996). Sejarah Kebudayaan Islam Di kawasan Turki. Hlm. 92.

[5] Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Hlm. 4.

[6] Lois A. Aroin dan Richard P. Mitchell, Muhammad Redzuan Othman (pent) (1991). Timur Tengah dan Afrika Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 59.

[7] Ibid. Hlm.7.

[8] Iram Lapidus (1999). Sejarah Sosial Umat Islam. Jakarta: Pt. Raja Grafinda Persada. Hlm. 515.

[9] Prof. Dr. Hamka (1997). Sejarah Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD. Hlm. 603.

[10] Ibid. Hlm. 610-611.

[11] Ibid. Hlm. 603.

[12] Haji Dasuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. Hlm. 410.

[13] Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Hlm 4.

[14] Haji Dasuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. Hlm. 412.

[15] Ibid. Hlm. 414.

[16] Ibid. Hlm. 416.

[17] Prof. Dr. Hamka (1997). Sejarah Umat Islam. Hlm. 620.

[18] Haji Dasuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. Hlm. 415.

[19] Syafiq A. Mughni (1996). Sejarah Kebudayaan Islam Di kawasan Turki. Hlm. 97.

[20] Haji Dasuki Haji Ahmad (1987). Ikhtisar Perkembangan Islam. Hlm. 412.

[21] M.G.S Hodgson, Mohd Razali Masnin (pent) (2004). Kebangkitan Islam, Gambaran dan Sejarah Dalam Tamadun Dunia Edisi Empayar Serbuk Letupan dan Zaman Moden Jilid 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 154.

[22] Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Hlm. 143.

[23] Ibid. Hlm.143.

[24] Syafiq A. Mughni (1996). Sejarah Kebudayaan Islam Di kawasan Turki. Hlm. 106.

[25] Ibid. Hlm. 107.

[26] Ibid. Hlm. 107.

[27] Ibid. Hlm. 105.

[28] http://ms.wikipedia.org/wiki/Empayar Uthmaniyyah. 21 Feb 2009.

[29] Syafiq A. Mughni (1996). Sejarah Kebudayaan Islam Di kawasan Turki. Hlm. 114.

[30] Ibid. 114.

[31] Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Hlm. 168.

[32] Ibid. Hlm. 172.

[33] Marshall G.S. Hodgson, Razali Masrun (pent) (2004). Kebangkitan Islam-Gambaran dan Sejarah dalam Tamadun Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 313.

[34] Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Hlm. 176.

[35] Ibid. Hlm. 179.

[36] Ibid. Hlm. 209.

2 comments:

  1. sbb kejatuhan adalah kehilangan monopoli perdagangan apabila jalan laut dibuka 1511...bukan sahaja turki ttp yemen..mekah..syria turut lumpuh...laluan sutera turut ditinggalkan...tiada wang negara merosot...janji tuhan.

    ReplyDelete