Website counter

Saturday, October 15, 2011

Geografi Asia Tenggara

1.0 PENGENALAN

Asia Tenggara mendapat nama berikutan daripada lokasinya yang terletak di tenggara benua Asia. Di dalam lingkungan Asia Tenggara terdapat beberapa gugusan kepulauan yang secara geografinya di bahagikan kepada dua kawasan iaitu sebelah tenggara dan sebelah timur daratan Asia.[1] Bagi bahagian dataran Asia Tenggara menjadi sebuah benua Asia yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, IndoChina, Burma dan Myanmar, Thailand, Laos dan Vietnam. Manakala di bahagian kepulauan pula terdiri daripada Indonesia, Filipina, Brunei dan Malaysia dan Singapura. Istilah ‘Asia Tenggara’ menurut K.M. Pannikar, telah mula dipakai sewaktu Perang Dunia Kedua oleh Pihak Angkatan Turus Tertinggi Bersekutu bagi mewakili semenanjung-semenanjung antara India dan China.[2]

Kawasan di Asia Tenggara mempunyai beberapa ciri topografi yang pelbagai contohnya seperti bertanah pamah, bergunung-ganang dan berbukit, dan sebagainya. Asia Tenggara hanya meliputi 3% daripada kawasan tanah dunia dan menampung kira-kira 7% penduduk dunia dan telah meningkat kepada 8% pada tahun 1980.[3] Perbezaan beberapa kawasan di Asia Tenggara secara langsung turut mempengahruhi perkembangan kependudukannya. Pelbagai aspek yang mempengahruhi jumlah kependudukan di Asia tenggara. Antaranya kepentingan aspek tersebut ialah dari segi ekonomi, politik dan social. Namun di dalam esei ini, penekanan di berikan kepada aspek ekonomi dan di kategorikan kepada tiga zaman iaitu prasejarah, zaman kerajaan awal dan zaman moden.

SISTEM EKONOMI

Kawasan Tanah Pamah

Sewaktu zaman prasejarah, masyarakat di zaman logam telah mula menjalankan ekonomi yang disebut system ‘barter’ iaitu secara tukaran barang. Bermula pada zaman neolitik, masyaraktnya telah mula tinggal menetap dan menjalankan pertanian. Mereka mula tinggal menetap dan bertani di kawasan yang subur. Di zaman logam mereka telah mula melakukan aktiviti bercucuk tanam, menternak binatang dan melakukan perniagaan. Kawasan bertanah rata dan berdekatan dengan punca air menjadi tumpuan mereka untuk menjalankan penternakan binatang. Antara contoh penempatan ialah di Sungai Tembeling, Pahang.[4]

Pada zaman kerajaan awal di Asia Tenggara terdapat dua bentuk kerajaan iaitu agraria dan maritim. Kerajaan agraria adalah merupakan kerajaan yang berasaskan kepada ekonomi pertanian. Kawasan yang menjadi tumpuan ialah seperti kawasan tanah subur, kawasan pedalaman dan berbukit, di lembah-lembah sungai dan juga di lereng-lereng gunung berapi.[5] Kawasan seperti ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi kerana berpotensi menghasilkan keuntungan daripada hasil kegiatan pertanian dijalankan. Contoh kawasan subur yang dapat dilihat seperti di Sungai Mena di Thailand dan Sungai Irrawaddy di Myanmar.

Dikawasan tanah subur biasanya terletak di kawasan delta-delta yang bertanah pamah. Kawasan seperti ini bersesuaian untuk dijadikan petempatan penduduk. Fizikal tanah yang rata memudahkan pergerakan penduduk dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Mengikut dari Gorman (1977) bahawa padi merupakan tanaman awal di Dataran AsiaTenggara.[6] Kawasan ini amat bersesuaian dijadikan kawasan pertanian padi kerana kandungan tanah yang subur. Selain melakukan aktiviti pertanian, penduduk pada masa ini juga menjalankan aktiviti lain iaitu berburu binatang, menangkap ikan, menternak binatang dan sebagainya. Contoh kawasan tersebut ialah delta Sungai Mekong dan Irrawaddy di Myanmar dan Dataran Bangkok atau Lembah Chao Phraya di Negara Thai.[7] Kawasan ini mempunyai kesuburan tanah yang tinggi dan menjadi tumpuan masyarakat hingga menjadikan kawasan ini padat penduduk.

Walaupun dikatakan tanah pamah mempunyai penduduk yang padat namun terdapat sebahagian besarnya tidak mempunyai ramai penduduk. Perkara ini kerana lanar-lanar lama di kawasan tersebut biasanya mengandungi laterit yang tidak sesuai untuk manjalankan pertanian padi sawah. Kawasan tersebut ialah di bahagian tengah Sungai Mekong. Kawasan ini kurang menjadi tumpuan penduduk kerana tidak mempunyai lanar baharu yang subur untuk menjalankan pertanian padi sawah yang merupakan pertanian utama penduduk ketika itu.[8]

Walaubagaimana pun pada zaman Asia Tenggara moden, walaupun lanar tersebut mengandungi laterit namun pertanian ladang boleh dilakukan. Jenis tanaman tersebut ialah getah dan kelapa sawit. Tanaman seperti ini tidak memerlukan air yang banyak dan sesuai dilakukan di kawasan berbukit dan beralun. Tanaman getah ini telah mendorong ramai buruh daripada luar khususnya India datang ke Malaysia mulai pada abad ke-19. di anggarkan kira-kira tiga juta orang India telah dibawa sebagai buruh untuk berkerja di ladang getah.[9] Manakala sejumlah lebih kurang 2.6 juta orang India telah berhijrah ke Burma antara tahun 1852 dan 1937. Kesannya, menjelang tahun 1931, 10 peratus penduduk di Hilir Burma terdiri daripada orang India.[10]

Kawasan tanah pamah ini sesuai diadakan jalinan pengangkutan seperti jalan keretapi dan jalan raya. Lebuhraya merupakan satu jalan perhubungan yang mudah dan cepat selain menjimatkan masa perjalanan. Di bandingkan dengan kawasan bercerun tinggi dan bergunung ganang, jalan perhubungan sukar dibina selain berkemungkinan mempunyai tahap risiko yang lebih tinggi. Kemudahan jalan pengangkutan seperti ini akan memudahkan bagi penduduk untuk bergerak ke satu tempat yang lain. Dengan adanya jalinan perhubungan yang baik, maka kawasan tersebut akan menjadi tumpuan penduduk seterusnya menjadikan kawasan tersebut sebagai pertempatan mereka. Contohnya dilihat kepada kawasan bandar yang mempunyai system perhubungan yang baik secara tidak langsung menjadi tumpuan penduduk.

Kawasan Berbukit dan Bergunung-Ganang

Kawasan bertanah tinggi menjadi tumpuan masyarakat di zaman prasejarah. Mereka tinggal di dalam gua ataupun kawasan terbuka iaitu di luar gua. Contoh kawasan terssebut ialah Gua Niah, Sarawak.[11] Tujuannya ialah untuk berlindung daripada keadaan cuaca seperti panas dan ribut selain daripada menghalang serangan binatang liar. Di kawasan pergunungan biasanya mempunyai hutan yang mengandungi pelbagai jenis flora dan fauna yang boleh dijadikan bahan makanan. Kegiatan masyarakat pada waktu itu selain daripada bertani mereka juga melakukan aktiviti memungut hasil hutan. Oleh itu, kawasan hutan menjadi tumpuan bagi masyarakat untuk tinggal berdekatan kawasan tersebut.

Dikawasan berbukit-bukit dan bergunung ganang tebal tidak mempunyai penduduk yang ramai. Faktor tersebut kerana kurangnya sumbangan terhadap sistem ekonomi kecuali di kawasan yang terdapat longgokan-longgokan galian.[12] Kawasan tanah tinggi ini juga menyukarkan jalan perhubungan penduduk untuk ke suatu destinasi di tuju berikutan faktor jarak yang lebih jauh berbanding di kawasan bertanah pamah. Namun bagi penduduk kerajaan agraria kawasan tanah tinggi ini juga penting bagi mereka terutama yang tinggal di kawasan pedalaman. Mereka melakukan aktiviti memungut hasil hutan seperti damar, kayu cendana dan sebagainya untuk dijual kepada kerajaan maritim bagi diperdagangkan. Di kawasan berbukit dan kering pertanian boleh dilakukan seperti penanaman padi bukit atau lebih dikenali padi huma. Contohnya pertanian tersebut dijalankan di kawasan Filipina dan Pulau Jawa. Pertanian ini tidak memerlukan kuantiti air yang banyak seperti padi sawah. Suku-suku kaum yang tinggal di pedalaman Tanah Besar Asia Tenggara seperti suku Chin, Karen, Kachin dan sebagainya melakukan penanaman padi bukit.[13]

Selain daripada itu, kawasan bergunung-ganang dan berhutan tebal telah menjadi begitu penting pada masa kini. Hutan monsun yang terdapat di kawasan tanah tinggi terdiri daripada pelbagai jenis tumbuhan. Antaranya yang paling berharga ialah pokok kayu jati. Pokok jenis ini banyak terdapat di kawasan berbukit dan beralun. Ianya tidak sesuai dikawasan berair. Hutan jati ini sangat subur di Burma yang terletak di Zon Kering. Namun kayu jati juga terdapat di timur negeri Thai.[14]

Di Indonesia perdagangan eksport kayu-kayan amat penting. Kawasan hutan dianggap penting kerana mempunyai nilai yang tinggi. Hutan kayu jati di bukit batu kapur dan dataran tinggi Rembang dan lain-lain kawasan di Jawa Utara banyak mempunyai hutan tersebut.[15] Kayu jati digunakan untuk menghasilkan industri perabot yang bermutu tinggi kerana ketahanan kayunya. Selain daripada itu, jenis-jenis kayu lembut diperlukan untuk menghasilkan pulpa dan kertas. Kepentingan kawasan tanah tinggi ini bukan sahaja terletak kepada pertanian, namun dalam industri lain seperti pelancongan. Berikutan daripada pentingnya kawasan tanah tinggi, kawasan ini telah menjadi tumpuan ramai.

Sungai dan Laut

Seperti yang kita sedia maklum bahawa sungai dan laut merupakan satu bentuk geografi yang penting di Asia Tenggara. Dapat kita lihat kepentinganya selain daripada kegunaan harian seperti minuman, membasuh dan sebagainya, sungai juga merupakan satu jalan perhubungan yang penting pada waktu dahulu sebelum jalanraya mula dibina. Selain kawasan sekitarnya yang dikatakan subur, amat bersesuaian untuk dijadikan tapak pertanian. Wujud pelabuhan yang menggalakkan kedatangan para pedagang ke Asia Tenggara. Faktor inilah yang telah menyebabkan perpindahan penduduk ke Asia Tenggara dengan begitu pesat. Kemajuan petempatan di kawasan pesisir pantai akan lebih maju jika dibandingkan dengan kawasan pedalaman dan kebiasaannya sesuatu tamadun akan bermula di pesisir pantai. Jika terdapat kemajuan sekalipun di kawasan pedalaman namun tidak semaju di kawasan pesisir pantai. Jadi tidak hairanlah jika kawasan ini menjadi satu kawasan tumpuan utama penduduk di Asia Tenggara.

Jika kita lihat pada zaman prasejarah lagi masyarakatnya telah menjadikan sungai sebagai satu aspek utama untuk mereka membina pertempatan kekal. Di zaman logam, perkembangan kemajuan telah membawa kepada penciptaan alatan perhubungan seperti sampan dan perahu. Pada zaman tersebut juga telah wujud interaksi ataupun hubungan antara masyarakt persisir pantai setempat dengan masyarakat pesisiran pantai di luar kawasan mereka.[16] Mereka juga melakukan aktiviti menangkap ikan untuk mendapatkan sumber protein selain bercucuk tanam. Selain daripada menangkap ikan, mereka turut mencari hasil laut yang lain seperti kulit siput, kerang dan sebagainya. Kulit siput pada masa tersebut merupakan barangan yang bernilai untuk menjadi barang tukaran dalam system barter. Kawasan pesisir pantai dan sungai menjadi tumpuan kerana sumber air daripada sungai juga akan digunakan untuk menyiram tanaman. Berikutan peningkatan teknologi yang dihasilkan, telah membawa mereka kepada melakukan perdagangan primitif iaitu sistem ‘barter’ ataupun system tukaran barang. Contoh kawasan dapat dilihat di Vietnam.

Selain daripada kerajaan agraria, terdapat satu lagi kerajaan yang terawal iaitu kerajaan maritim. Berbeza dengan kerajaan agraria yang bergantung kepada ekonomi berasaskan pertanian, kerajaan maritime lebih bergantung kepada kegiatan yang berasaskan perdagangan dan aktiviti kelautan. Oleh itu, kerajaan ini berkembang pesat di pesisir pantai dan muara-muara sungai. Contoh dapat dilihat ialah kerajaan Funan bertempat di sepanjang Sungai Mekong. Pusat pentadbirannya adalah Vyadhapura yang mempunyai bandar pelabuhan yang bernama Oc Eo yang terletak di delta Sungai Mekong.[17]

Oc Eo merupakan pusat perdagangan dan perusahaan dan berhubung dengan Pantai Teluk Siam, Tanah Melayu, Indonesia dan beberapa negara lain. Pengembara Cina ada menyatakan lalu lintas air ini sebagai Laluan Funan yang menghubungkan mereka dengan semenanjung Tanah Melayu. Selain itu, bandar tersebut dihubungkan dengan laut oleh terusan-terusan besar yang dapat dilalui oleh kapal-kapal laut.[18] Bandar tersebut terletak di kawasan yang strategic iaitu di tengah-tengah perjalanan laut yang sibuk, antara China dan Barat.[19] Kemudahan laluan tersebut dan keadaan tempat yang strategic menyebabkan ramai pedagang asing datang dan ada di antara mereka yang tinggal menetap di kawasan tersebut. Oleh itu bilangan penduduk di kawasan tersebut akan semakin bertambah.

Antara contoh lain ialah kerajaan Angkor. Kerajaan tersebut mencapai satu tahap yang gemilang semasa pemerintahan Suryavarman II. Faktornya adalah kerana pengenalan satu system pengairan untuk kegiatan pertanian. Sistem pengairan tersebut itu juga dikenali sebagai baray.[20] Berikutan pengenalan system pengairan tersebut, ianya telah mendatangkan pulangan hasil yang lumayan kepada masyarakat petani di kawasan itu. Kawasan yang menjadi tumpuan ialah di sekitar Tasik Tonle Sap yang merupakan kawasan utama penduduk menjalankan pertanian. Ini menunjukkan bahawa kawasan yang berhampiran punca air iaitu sungai dan laut mempengahruhi hasil ekonomi masyarakat dan seterusnya mempengahruhi kependudukan masyarakat di kawasan tersebut.

FAKTOR SOSIAL

Kedudukan Geografi

Kedudukan geografi sesuatu kawasan turut mempengahruhi kadar kependudukan di Asia Tenggara. Selain factor ekonomi, politik dan social yang menyebabkan mereka berhijrah ke Asia Tenggra, factor jarak antara negara juga turut mempengahruhi kadar kedatangan mereka di kawasan Asia Tenggara. Dikatakan Asia Tenggara menerima limpahan penduduk daripada India dan China.[21] Keadaan ini juga di sebabkan Asia Tenggara yang menjadi ‘rantau terbuka’ sejak berabad lama menjadi tumpuan masyarakat untuk dating. Kesan masalah dalaman yang dialami di negara mereka seperti bencana alam iaitu letusan gunung berapi, gempa bumi dan sebagainya mendorong mereka untuk melakukan migrasi ke negara lain. Antara kawasan yang menjadi tumpuan bagi mereka ialah Asia Tenggara.

Perkara ini dapat dibuktikan dengan ramainya kedatangan penduduk India ke Myanmar. Kemasukan orang India di Myanmar telah berlaku sebelum kedatangan British dan jumlahnya semakin meningkat pada abad ke-19.[22] Kedatangan orang India ke Asia Tenggara bukan sahaja tertumpu di Myanmar malah di beberapa kawasan lain seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Antara factor yang menyebabkan ramainya jumlah kedatangan masyarakat India ke Myanmar adalah kerana jarak diantara kedua negara tersebut adalah berdekatan.[23] Hal yang demikian, secara tidak langsung ianya kurang memberi masalah kepada masyarakat India untuk melakukan migrasi ke Myanmar. Selain jarak yang hampir telah menjimatkan jarak perjalanan mereka, kos bagi pengangkutan juga dapat dikurangkan. Jika dibandingkan dengan beberapa kawasan yang jauh, akan mengeluarkan jumlah kos yang tinggi kerana mengambil masa untuk sampai ke suatu destinasi. Pada tahun 1880-an berlaku perubahan kadar harga tambang dari India untuk ke Myanmar telah mengalami penurunan menjadi semakin murah. Peluang ini direbut oleh oleh masyarakat India untuk beramai-ramai datang ke Myanmar.[24]



[1] http://www.crayonpedia.org/mw/Bentang Alam Kawasan Asia Tenggara. 9 Feb 2008.

[2] Donald W. Fryer (1979). Asia Tenggara Yang Sedang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 2.

[3] Ibid. Hlm. 2.

[4] Suhaiza bte Ibrahim (2007). Malaysia Negara Kita. Kuala Lumpur: MDC Publishers Sdn. Bhd. Hlm. 7.

[5] Ibid.Hlm. 9.

[6] Peter Bellwood (2000). Prasejarah Kepulauan Indo-Malaysia. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama. Hlm. 301.

[7] Abdullah Zakaria, Azharuddin, Azhar, Suffian (2004). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Hlm. 135.

[8] Donald. W. Fryer (1979). Asia Tenggara Yang Sedang Membangun. Hlm. 44.

[9] Tan Pek Leng (2004). Modul Sejarah Asia Tenggara Moden. Pulau Pinang: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM. Hlm. 40.

[10] Ibid. Hlm. 41.

[11] Suhaiza (2007). Malaysia Negara Kita. Hlm. 3.

[12] Donald. W. Fryer (1979). Asia Tenggara Yang Sedang Membangun. Hlm.44.

[13] Abdullah Zakaria, Azharuddin, Azhar, Suffian (2004). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Hlm. 136.

[14] Donald. W. Fryer (1979). Asia Tenggara Yang Sedang Membangun. Hlm. 51.

[15] Ibid. Hlm. 417.

[16] Suhaiza (2007). Malaysia Negara Kita. Hlm. 6.

[17] Dr. Mohd. Rais b. Abdul Karim (1991). Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hlm. 25.

[18] Ibid. Hlm. 25.

[19] D.G.E Hall (1987). Sejarah Asia Tenggara. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 34.

[20] Suhaiza (2007). Malaysia Negara Kita. Hlm. 12.

[21] Abdullah Zakaria, Azharuddin, Azhar, Suffian (2004). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm. 222.

[22] Ibid. hlm. 225.

[23] Ibid. hlm. 225.

[24] Ibid. hlm. 226.

No comments:

Post a Comment