Website counter

Saturday, October 15, 2011

Jawaharlal Nehru

PENGENALAN

Jawaharlal Nehru telah dilahirkan di Allahabad pada 14 November 1889.[1] Beliau merupakan putera sulung daripada tiga saudara kandung.[2] Beliau telah dibesarkan dalam keluarga yang berada kerana ayahnya Pandit Motilal Nehru merupakan seorang peguam yang sangat bijak dan terkenal di bandar Allahabad.[3] Ibu beliau pula merupakan seorang wanita dari kasta Brahman. Pandit Motilal Nehru menyediakan Nehru pendidikan yang istimewa. Beliau tidak dihantar belajar ke sekolah harian biasa sebaliknya beliau diberi pendidikan di rumah. Motilal Nehru telah mengupah seorang guru berbangsa Ireland dan juga seorang pengasuh wanita berbangsa Inggeris untuk menguruskan perihal diri Nehru.[4] Beliau menerima pendedahan bukan sahaja berkaitan mata pelajaran yang lazimnya diajar di sekolah, tetapi Jawaharlal Nehru turut diajar dengan subjek berkaitan kesusasteraan Inggeris, falsafah Yunani kuno dan sebagainya. Ketika beliau berumur 15 tahun, Jawaharlal Nehru telah dihantar ke England untuk mendapatkan pendidikan di Harrow selama 2 tahun, seterusnya diikuti dengan pengajian di institusi Trinity College, Cambridge dalam bidang undang-undang.[5] Walaupun masih belajar dan berada di bumi asing ketika itu, minat Jawaharlal Nehru terhadap dunia politik terutamanya yang melibatkan politik India kian bertambah dan ketara.

Sekembalinya Jawaharlal Nehru ke India pada tahun 1912, beliau kemudiannya telah bernikah dengan Kamala, iaitu seorang wanita dari Kashmir pada tahun 1916. Seterusnya, sekitar tahun 1919, Jawaharlal Nehru telah terlibat secara tidak langsung dalam politik negara India di bawah inspirasi Mohandas Karamchand Gandhi.[6] Penglibatan Nehru dalam arena politik India tidak dapat dipisahkan daripada Mahatma Gandhi kerana beliau banyak dibimbing Gandhi dari segi politik. Jawaharlal Nehru bangkit berjuang menjadi pemimpin yang berkaliber dalam memperjuangkan kemerdekaan India daripada cengkaman pemerintahan British. Selain itu peranan Nehru bukan hanya dapat dilihat dari segi soal kemerdekaan India, malah Jawaharlal Nehru turut terlibat dalam soal pemisahan Pakistan.

POLITIK

Walaupun kupasan ini lebih kepada peranan politik yang dimainkan oleh Nehru, namun secara tidak langsung hujahan yang dilontarkan oleh beliau mencakupi keseluruhan aspek yang berkaitan kebangkitan nasionalisme termasuk sosioekonomi. Penubuhan India National Congress (INC) merupakan klimaks terhadap kebangkitan nasionalisme India yang selama ini berada di bawah pemerintahan British. Jawaharlal Nehru mempraktikkan perkara yang telah dipelajari di Eropah dalam politik semasa di India iaitu dengan melibatkan diri dalam organisasi anti-penjajah dan mengisytiharkan diri sebagai sosialis.[7]

Matlamat perjuangan adalah untuk berkerajaan sendiri. Jawaharlal Nehru meneruskan perjuangan Mahatma Gandhi dalam INC dengan mengambil kira kepentingan penubuhan sebuah persekutuan India dan pengenalan terhadap pemerintahan sendiri kepada kawasan-kawasan jajahan British di India.[8] Pilihanraya diadakan pada 1937 dan banyak kerusi yang dimenangi oleh INC telah menjadikan ianya sebuah parti yang sangat berpengaruh di India. Keadaan ini telah memberi peluang kepada Nehru selaku pemimpin utama untuk memperjuangkan manifesto nya. Di wilayah yang dimenangi, INC telah menubuhkan kerajaan sendiri tanpa perlu bergantung pada parti lain kecuali di Bombay, Assam dan Bengal.[9] Antara usaha yang dilakukan oleh Nehru ini ialah membangunkan parlimen demokrasi di India dan menjadikan Parti Kongres sebagai sebuah parti utama. Dalam keadaan ini, Nehru melihat tekanan ekonomi yang berlaku telah membawa kepada idea pembaharuan politik yang bukan sahaja melibatkan pembangunan sosioekonomi, malah membentuk kerajaan sendiri yang bersifat sosialis. Perkara utama yang dilaksanakan Nehru ialah membentuk kesatuan dalam kuasa politik kerajaan iaitu dengan memastikan golongan petani dan individu yang tertindas dengan tekanan ekonomi untuk bangkit membina kesatuan dalam sebuah organisasi.[10] Walaupun keadaan ini telah dilihat mewujudkan pertembungan antara golongan rakyat yang berfahaman komunisme dan sosialis, tetapi dari sudut pandang lain Nehru melihat ini merupakan permulaan terhadap kebangkitan nasionalisme rakyat India untuk membentuk kerajaan sendiri.

Selain itu, di bawah INC, pembentukan negara bangsa diperjuangkan. Pembangunan semangat kebangsaan perlu didahulukan sebelum mencapai kemerdekaan.[11] Dalam perjuangan INC yang terpaksa berkompromi dengan Liga Muslim yang menuntut keadilan mempertahankan agama anutan masing-masing. Dalam keadaan seperti ini, Nehru melihat perlunya kerjasama dalam INC bagi memperjuangkan manifestasi mereka. Oleh itu, sebagai seorang pemimpin yang berfahaman sosialis, beliau berusaha untuk mengasimilasikan konsep negara bangsa itu dalam pemerintahan di India dengan memenuhi kebudayaan India.

Secara asasnya, pembaharuan politik yang dilaksanakan oleh Nehru ini memberi ruang terhadap hubungan sosioekonomi yang dibentuk sepanjang pemerintahan beliau. Gerakan ke arah pembentukan negara bangsa dalam INC yang diperjuangkan merupakan hal yang telah membangkitkan gerakan kebangkitan nasionalisme India. Dalam hal ini, pendidikan Barat yang diterima beliau merupakan senjata untuk memahami pandangan dan tindakan koloni barat yang berbuat baik dengan pemerintah India sebelum ini semata-mata untuk kepentingan ekonomi penjajah. Oleh itu, melalui INC ini, Nehru telah membuka ruang kepada rakyat India untuk berusaha dan membentuk sebuah pentadbiran sendiri dan memiliki India di atas dasar negara bangsa yang diperjuangkan.

EKONOMI

Nehru turut memainkan peranan dari segi ekonomi di India. Akibat revolusi industri yang berlaku, telah menyebabkan Inggeris semakin memerlukan bahan-bahan mentah seperti kapas untuk pengeluaran industrinya. Pada tahun 1857, telah berlakunya satu pemberontakan yang mengakibatkan politik di India telah dikuasai oleh Inggeris.[12] Perubahan politik ini telah membawa satu impak terhadap industri tekstil India kerana telah wujud pelbagai peraturan yang membebankan hinggakan mereka tidak dapat membuat bahan pakaian dengan harga yang murah. Pembukaan Terusan Suez telah menyebabkan pengaliran barangan tekstil buatan Inggeris ke India. Kehidupan rakyat India semakin melarat dan kemiskinan berlaku akibat mereka tidak dapat mengeluarkan barangan sendiri. Hal ini semakin meruncing apabila berlakunya bencana alam dan rakyat hidup dalam kelaparan hinggakan berlakunya kematian di Kashmir pada tahun 1861.[13]

Keadaan rakyat yang sengsara dilihat sendiri oleh Jawaharlal sewaktu menghantar ibu dan isterinya yang sakit ke daerah Mussoori. Ketika ini, beliau melihat rakyat petani hidup dalam kemelaratan kerana ditindas oleh kaum zamindar, bania, dan tuan tanah. Jelas sekali kemiskinan menguasai kehidupan kaum tani (kisan). Keadaan tersebut meninggalkan kesan dalam diri Nehru sekali gus menyedarkan Nehru untuk mengubah keadaan tersebut. Oleh itu, Nehru menyokong pendekatan Satyagraha yang di perkenalkan oleh Mahatma Gandhi. Jawaharlal Nehru telah meniupkan api perjuangan di daerah pertanian. Perjuangan Satyagraha yang disokong Jawaharlal Nehru ini turut di perhebatkan lagi dengan pemberontakan petani hasil dorongan Nehru. Perjuangan melalui satyagraha diharapkan dapat mengubah keadaan ekonomi rakyat supaya mereka kembali mengguna barangan buatan India berbanding barangan tekstil buatan luar.

Selain itu, Nehru turut berperanan melindungi nasib kaum buruh. Sekitar tahun 1920-an keadaan buruh dilihat begitu menyedihkan sedangkan kaum pemodal berada dalam keadaan mewah. Buruh sering kali terlibat dengan pelbagai tunjuk perasaan sama ada secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran. Tunjuk perasaan di Bombay pada tahun 1929 yang berlangsung selama setengah tahun dan melibatkan ramai buruh.[14] Walaupun ketika itu wujud Gabungan Syarikat Sekerja (AITUC) namun akibat ketidaksefahaman menyebabkan wujudnya pelbagai aliran dalam institusi ini. Tambahan lagi, hanya sesetengah buruh sahaja yang terlibat dalam AITUC ini. Di samping itu, gerakan buruh ini turut dikawal oleh golongan politik. Golongan politik ini tidak memahami keadaan buruh dengan baik. Keadaan ini menyebabkan Nehru dipilih sebagai ketua AITUC India bertujuan memperjuangkan nasib kaum buruh.

Dalam mengubah keadaan ekonomi rakyat India, Nehru telah mengadakan pidato dan mengelilingi India melalui INC. Dua buah resolusi telah diperkenalkan iaitu mengenai resolusi program agraria dan resolusi tentang perburuhan. Resolusi pertama membincangkan berkenaan kaum tani. Antara isi resolusi yang di utarakan ialah sewa tanah harus diturunkan, tunggakan hutang kaum tani dihapuskan dan koperasi pertanian dibangunkan. Jelasnya tindakan yang diambil ini membantu memperbaiki keadaan pertanian dan kaum tani pada umumnya, sekali gus menghapuskan sistem zamindar. Resolusi yang kedua pula membincangkan berkenaan isu upah, cuti dan penubuhan badan yang berfungsi menyelesaikan pertelingkahan majikan dan buruh.[15]

PENDIDIKAN

Pada tahun 1899 hingga tahun 1964, Jawaharlal Nehru telah dilantik sebagai Perdana Menteri India yang memperjuangkan kemerdekaan India.[16] Dalam pemerintahan Nehru, Parlimen India banyak melakukan perubahan dalam aspek perbezaan kasta, undang-undang dan emansipasi wanita. Perjuangan idea liberal Nehru dipengaruhi oleh Bertrand Rusell.[17] Oleh itu, Nehru telah menggunakan tiga prinsip utama iaitu demokrasi, sekularisme dan kebebasan befikir.[18] Ikrar Perlembagaan India berasaskan tiga prinsip utama tersebut berdasarkan aspirasi rakyat dimaktubkan pada 26 November 1949.[19]

Masyarakat Hindu-Muslim hidup secara bersama dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, Nehru meletakkan sekular sebagai dasar negara untuk mengelakkan permusuhan sesama sendiri. Secara tidak langsung, India dilihat mampu menjadi sebuah negara republik demokrasi sekular yang terbesar di dunia. Sebagai seorang pemimpin, Nehru sedar pendidikan boleh menyatupadukan rakyat India yang berbilang kaum agama. Salah satu penentu kedudukan sosial ialah pendidikan. Dengan ini, sistem pendidikan turut bersifat sekular di India. Pada mulanya, kurikulum pendidikan telah diubah dan diadaptasi dari British bagi mendapatkan pendidikan berkualiti. Bahasa pengantar turut ditukar daripada bahasa Urdu kepada bahasa Hindi yang merupakan bahasa rasmi negara India.[20]

Memandangkan kesedaran kasta begitu mendalam dalam kalangan masyarakat Hindu dan Islam, tugas Nehru dilihat begitu berat dan semakin mencabar untuk memecahkan sistem kasta yang telah diwarisi sejak berkurun lamanya. Dalam rancangan lima tahun (Five Years Plan), Nehru memastikan dasar pendidikan secara percuma dan wajib diterima oleh kanak-kanak di India. Sekiranya ibu bapa mengingkari arahan daripada kerajaan, mereka boleh dikenakan hukuman. Hal ini bertujuan bagi mengurangkan dan membasmi kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat India. Malahan, pembinaan sekolah-sekolah turut dipergiatkan bagi menarik minat khususnya bagi masyarakat Islam yang bimbang ajaran agama Islam terhapus sekiranya mereka menerima pendidikan sekular. Penyediaan susu percuma dan makanan kepada kanak-kanak turut diberi bagi mengatasi kekurangan gizi terutamanya kanak-kanak India. Pada November 1959, Nehru pernah menyatakan makanan merupakan keperluan utama bagi mengatasi masalah kepadatan penduduk dan kebuluran.[21] Oleh itu, keperluan kanak-kanak tidak diabaikan disebabkan mereka merupakan pelapis kepada sumber tenaga di India kelak.

Bagi pelajar-pelajar yang berusia 15 tahun ke atas, sekolah teknik dan vokasional dibuka terutamanya kawasan luar bandar. Ketika itu, negara India mula beralih daripada zaman pertanian kepada zaman perindustrian. Tujuannya untuk menyediakan sumber generasi muda yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terlatih dalam pasaran pekerjaan. Bagi pelajar-pelajar yang kurang cemerlang dan berminat dengan bidang yang memerlukan kemahiran yang tinggi, mereka boleh memohon untuk memasuki sekolah teknik dan vokasional. Aliran bidang yang mereka minati membolehkan mereka bersemangat untuk bersaing dan mampu menjana sumber pendapatan negara. Nehru juga menubuhkan institusi pendidikan tinggi seperti All India Institute of Medical Science, Indian Institute of Technology, India Institutes of Management dan National Institutes of Technology. Oleh itu, mereka boleh mempraktikkan dan mencurahkan ilmu pengetahuan mereka kepada negara setelah menamatkan pengajian mereka kelak.[22]

Selain itu, kaum wanita juga diberi peluang yang sama dengan kaum lelaki untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan. Disebabkan kedudukan mereka yang rendah dalam sistem kasta, Nehru telah memperjuangkan emansipasi wanita. Banyak sekolah telah dibuka kepada golongan wanita untuk mereka memulakan persekolahan terutamanya pada abad ke-19 hingga ke-20. Kaum wanita seperti janda telah digalakkan untuk memperolehi pendidikan bagi membantu keluarga mereka. Hal ini jelas apabila satu pertiga dan wanita memegang jawatan sebagai guru di sekolah menengah di luar bandar.[23] Secara tidak langsung, hak mereka mendapatkan pendidikan dan pekerjaan telah disuarakan. Secara tidak langsung, perpaduan dapat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat India tanpa mengira agama, bangsa dan bahasa melalui pendidikan.

KONTEKS AGAMA YANG MEMBAWA KEPADA PEMISAHAN PAKISTAN

Peranan Jawaharlal Nehru dari segi agama dapat dilihat dalam pembabitan beliau di dalam Kongres Kebangsaan India. Dalam era sebelum India mendapat kemerdekaan, telah berlaku ketegangan antara dua penganut agama yang dominan di India iaitu Hindu dan juga Islam. Pada peringkat sebelumnya, orang Islam dan juga Hindu pernah bekerjasama iaitu dalam gerakan Khilafat. Gerakan ini mendapat sokongan daripada Mahatma Ghandi yang telah menyertai perhimpunan gerakan Khilafat. Beliau merasakan bahawa perhimpunan tersebut akan menjadi jambatan yang menghubungkan perpaduan masyarakat Hindu dan juga Islam.[24] Hal ini telah menyebabkan penganut agama Hindu dan juga ahli Kongres India Kebangsaan turut memberikan sokongan terhadap gerakan ini. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak bertahan lama apabila Gandhi menarik balik sokongan terhadap Khilafat apabila berlaku peperangan British-Afghan dan kebangkitan Moplah pada tahun 1921.[25]

Ketegangan antara kedua-dua penganut agama ini semakin meruncing. Salah satu faktornya adalah disebabkan jurang ekonomi antara kedua-dua kaum tersebut. Orang Islam tidak mampu menandingi ekonomi orang Hindu kerana kebanyakan mereka hanya terdiri daripada golongan petani. Philips dan Cyril Henry menyatakan bahawa di merata-rata India, perbezaan kekayaan antara orang-orang Hindu dan kemiskinan orang-orang Islam jelas kelihatan khusus sekali di Calcutta.[26] Hal ini menyebabkan Mahatma Gandhi melalui Kongres Kebangsaan India telah memperkenalkan satyagraha. Gandhi telah menyarankan agar masyarakat India mengamalkan kehidupan sederhana, menggunakan barangan buatan India serta memasuki sekolah-sekolah India.[27] Dalam hal ini Nehru telah berperanan sebagai penyokong kuat kepada setiap tindakan yang diambil oleh Ghandi ini. Rasional sokongan Nehru kepada Ghandi ini kerana beliau melihat usaha Ghandi dapat membantu membaiki kehidupan masyarakat India sekali gus mengurangkan ketegangan yang timbul antara kedua-duanya.

Selain daripada faktor ekonomi terdapat beberapa sebab lain yang menimbulkan ketegangan. Antaranya ialah British telah membuka peluang kepada orang-orang Hindu untuk memasuki perkhidmatan awam. Tindakan ini diambil berikutan desakan daripada golongan yang berpendidikan di India supaya British menunaikan janji untuk membuka peluang kepada orang Hindu memegang jawatan di dalam perkhidmatan awam.[28] Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati dari kalangan orang Islam. Pada peringkat awalnya memang sudah terdapat jurang antara orang Hindu dan Islam contohnya dari segi jumlah orang Hindu yang jauh lebih ramai berbanding orang Islam. Tambahan pula sudah ramai orang Hindu yang menerima pendidikan Barat. Persengketaan kaum berlaku dan merebak ke seluruh India dan yang paling dahsyat ialah di Calcutta pada tahun 1926 apabila 67 orang terbunuh dan 400 orang tercedera.[29]

Setelah berhadapan dengan ketegangan antara kedua-dua kaum menyebabkan satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji permasalahan tersebut pada tahun 1928. Dalam hal ini Nehru telah berperanan secara tak langsung apabila beliau memegang jawatan sebagai setiausaha kepada ayahnya Motilal Nehru yang menjadi ketua kepada jawatankuasa tersebut. Hasil daripada perbincangan jawatankuasa ini satu laporan telah dikeluarkan yang diberi nama Laporan Nehru. Tidak semua cadangan yang terkandung dalam laporan itu dipersetujui kerana sebahagian besar dari ahli kongres mahukan kebebasan India dan bukannya kedudukan utama bagi kaum India. Bagi pihak orang Islam pula yang diwakili oleh Liga Muslim, Muhamad Ali Jinnah pada peringkat awalnya bersetuju dengan cadangan laporan tersebut tetapi kemudiannya ditolak oleh Liga Muslim pada persidangan tahunannya pada tahun 1929.[30] Liga Muslim mendesak satu kerajaan bercorak persekutuan dengan autonomi wilayah, dan juga perundian berasingan dan kuota istimewa bagi pengundi-pengundi Islam.[31] Walaupun laporan ini tidak berjaya namun jelas memperlihatkan penglibatan Nehru dalam usaha menyelesaikan pertelingkahan agama yang berlaku di India.

Ketegangan yang timbul menyebabkan politik India kucar-kacir. Pertelingkahan ini telah membawa kepada persaingan antara dua parti terbesar iaitu Kongres Kebangsaan India dan Liga Muslim. Dalam hal ini peranan Nehru dalam menyelesaikan pertelingkahan agama semakin jelas apabila Nehru berperanan sebagai pemimpin kepada Kongres Kebangsaan India. Bermula tahun 1936 Jawaharlal Nehru telah dilantik menjadi presiden Kongres Kebangsaan India dan beliau bertindak menerajui kongres dalam pilihan raya tahun 1937.[32] Dalam pilihan raya ini Kongres Kebangsaan India memperoleh kemenangan. Kemenangan kongres di bawah pimpinan Nehru menyebabkan Liga Muslim di bawah pimpinan Muhamad Ali Jinnah tergugat. Oleh itu, beliau berhasrat untuk memenangi semula kepercayaan orang-orang Islam. Pada bulan Mac 1940, dalam persidangan Liga Muslim di Lahore, Muhamad Ali Jinnah telah mengemukakan Resolusi Pakistan. Melalui resolusi ini masyarakat Islam mendesak supaya diwujudkan kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Selain itu, pelbagai usaha lain juga yang dilakukan oleh Liga Muslim bagi menarik perhatian masyarakat termasuklah menggunakan slogan seperti ‘Islam dalam bahaya’.[33]

Liga Muslim kemudiannya mendapat kembali kepercayaan masyarakat Islam dan hal ini dibuktikan melalui kejayaan mereka dalam pilihan raya tahun 1945 dan 1946. Mereka memenangi 30 kerusi yang diperuntukkan kepada masyarakat Islam dalam Majlis Undangan Pusat dan 425 kerusi daripada 492 kerusi Islam dalam Majlis Undangan Wilayah.[34] Walaupun begitu keadaan di India masih juga tidak aman kerana pergaduhan antara kedua-dua belah pihak masih berlaku. Dalam era sebelum kemerdekaan iaitu antara tahun 1942 hingga 1945 berlaku banyak rusuhan di India. Terdapat gerakan yang mahukan supaya kerajaan British keluar dari India di tambah pula dengan pergaduhan antara orang Hindu dan juga Islam telah memburukkan keadaan. Dan pada tahun 1946 keadaan bertambah buruk terutamanya di Bengal apabila Muslim mahu menjadikan 16 Ogos 1946 sebagai Hari Kelepasan Am bagi perjuangan Pakistan.[35] Namun terdapat golongan Hindu yang enggan bekerjasama. Dalam masa tiga hari rusuhan berlaku seramai 4000 orang terbunuh dan 10 000 orang lagi cedera.[36] Ternyata di sini bahawa hubungan antara orang Hindu dan Islam semakin buruk.

British jelasnya tidak mampu untuk menyelesaikan keadaan yang semakin tegang. Tambahan pula Liga Muslim berkeras untuk menuntut kebebasan wilayah yang terdiri daripada orang Islam. Ketika itu sebagai pemimpin kepada kongres, Nehru telah bertindak tegas dengan mengadakan perbincangan dengan ahli kongres dan pemimpin Liga Muslim bagi mencapai satu kesepakatan. Hasil daripada perbincangan ini beliau telah bersetuju bahawa kawasan-kawasan yang ramai penduduknya beragama Islam dikeluarkan daripada India sebagai sebuah negara yang merdeka. Walaupun terdapat reaksi penentangan daripada beberapa pihak seperti Mahatma Ghandi namun persetujuan majoriti yang diperoleh menyebabkan pembahagian kawasan seperti yang dicadangkan terus dilaksanakan. Hasilnya satu jawatankuasa telah dibentuk dan rancangan pembahagian wilayah-wilayah India ini telah dibentangkan pada bulan Jun 1947. Akhirnya pada 14 Ogos 1947 Pakistan telah diumumkan sebagai sebuah negara yang merdeka dan India pula mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

Dapat disimpulkan di sini bahawa, pada permulaannya peranan Nehru dalam menyelesaikan konflik agama adalah tidak langsung. Hal ini dapat dilihat apabila beliau hanya menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Gandhi di samping membantu pelaksanaan jawatankuasa yang diketuai oleh ayahnya. Namun setelah beliau menjadi pemimpin kepada kongres, Nehru dilihat lebih tegas untuk melaksanakan peranannya sebagai pemimpin utama.

KESIMPULAN

Jelaslah bahawa Jawaharlal Nehru merupakan tokoh penting dalam sejarah India terutamanya melibatkan perihal perjuangan menuntut kemerdekaan dan tidak terkecuali dalam hal yang membabitkan pemisahan Pakistan. Beliau telah berperanan sebagai seorang pemimpin politik penting dalam Kongres Kebangsaan India, tokoh penting yang terlibat dalam gerakan kemerdekaan India dan tidak dilupakan merupakan Perdana Menteri pertama kepada negara India yang merdeka. Nehru terus setia menyumbang bakti kepada negaranya hinggalah Jawaharlal Nehru akhirnya telah menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 27 Mei 1964, ketika masih lagi aktif dalam politik India.[37]

BIBLIOGRAFI

Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

B.N Pandey. (2003). Nehru. New Delhi: Rupa Paperback Company.

Stein Burton. (1998). A History of India. UIC: Blackwell Publisher.

Blackwell Fritz. (2004). India: A global studies handbook. California: ABC CHO.

Gilbert Khoo dan Dorothy Lo. (1978). Asia dalam perubahan sejarah Tenggara, Selatan

dan Timur Asia. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (ASIA) LTP.

Selig S. Harrison, Paul H. Kreisberg dan Dennix Kux. (ed). (1999). India and Pakistan: The first fifty years. United Kingdom: Woodraw Wilson Centre Press & Cambridge University Press.

Hazil. (1950). Jawaharlal Nehru: antara dua dunia. Amsterdam: Penerbitan Djambatan

Djakarta.

H.Y Sharada Prasad & A.K Damodaran. (2002). Selected works of Jawaharlal Nehru.

New Delhi: Jawaharlal Nehru Memorial Fund.

Md. Afandi Awang. (2006). Komunalisme: kesannya ke atas peradaban India. Kuala

Lumpur: Universiti Malaya.

Ryan Neil. (1978). India nasionalisme dan kemerdekaan. Kuala Lumpur: Longman.

Spear Pencival. (1970). A history of India: Volume 2. England: Penguin Books Limited.

Philips dan Cyril Henry. (1966). Sejarah India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wolpert Stanley. (2004). A New History of India.. New York: Oxford University Press.

Wolpert Stanley. (2006). A new history of India. New York: Oxford

University Press.

Srinath Raghavan. (2010). War and peace in modern India. England: Palgrave

Macmillan.



[1] Hazil. (1950). Jawaharlal Nehru: antara dua dunia. Amsterdam: Penerbitan Djambatan Djakarta. hlm. 5.

[2] Srinath Raghavan. (2010). War and peace in modern India. England: Palgrave Macmillan. hlm. 12.

[3] Pencival Spear. (1970). A history of India: Volume 2. England: Penguin Books Limited. hlm. 244.

[4] Hazil. (1950). Jawaharlal Nehru: antara dua dunia. hlm. 6.

[5] Ibid., hlm. 9.

[6] Srinath Raghavan. ( 2010). War and peace in modern India. hlm. 12.

[7] Stein Burton. (1998). A History of India. UIC: Blackwell Publisher. hlm. 311.

[8] Azharuddin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 309.

[9] Ibid., hlm. 310.

[10] Stein Burton. (1998). A History of India. hlm. 336.

[11] Fritz Blackwell. (2004). India: A global studies handbook. California: ABC CHO. hlm. 9.

[12] Hazil. (1950). Jawaharlal Nehru antara dua dunia. hlm. 13.

[13] Ibid., hlm. 15.

[14] Ibid., hlm. 46.

[15] Ibid., hlm. 70.

[16] Wolpert. S. (2004). A new history of India. New York: Oxford University Press. hlm. 357.

[17] Srinath Raghavan. (2010). War and peace in modern India. hlm. 14.

[18] Md. Afandi Awang. (2006). Komunalisme: kesannya ke atas peradaban India. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. hlm. 117.

[19] Ibid., hlm. 122.

[20] B.N Pandey. (2003). Nehru. New Delhi: Rupa Paperback Company. hlm. 342.

[21] Stein Burton. (1998). A history of India. hlm. 376.

[22] H.Y Sharada Prasad & A.K Damodaran. (2002). Selected works of Jawaharlal Nehru. New Delhi: Jawaharlal Nehru Memorial Fund. hlm 94.

[23] Harrison S,S. & et. al. (1999). India and Pakistan: the first fifty years. United Kingdom: Woodraw Wilson Center Press & Cambridge University Press. hlm. 120.

[24] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. hlm. 303.

[25] Ibid., hlm. 304.

[26] Philips dan Cyril Henry. (1966). Sejarah India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 138.

[27] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. hlm. 305.

[28] Gilbert Khoo dan Dorothy Lo. (1978). Asia dalam perubahan sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (ASIA) LTP. hlm. 119.

[29] Ibid., hlm. 136.

[30] Ryan Neil. (1978). India nasionalisme dan kemerdekaan. Kuala Lumpur: Longman. hlm. 32.

[31] Ibid., hlm. 32.

[32] Philips dan Cyril Henry. (1966). Sejarah India. hlm. 145.

[33] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. hlm. 310.

[34] Ibid., hlm. 312.

[35] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. hlm. 315.

[36] Ibid., hlm. 315.

[37] Wolpret S. (2006). A new history of India: Sixth Edition. New York: Oxford University Press. hlm. 370.

No comments:

Post a Comment